Followers

Khamis, Oktober 15, 2009

Buka Mata, Hati dan Minda.. Rasional

Salam kepada rakan-rakan seperjuangan dan para pengunjung blog ini..

Hari ini terlintas dalam fikiran saya mengenai sesuatu yang mungkin akan dianggap gila dan mustahil berlaku. Kadangkala saya terfikir apakah yang akan saya lakukan jika saya memiliki kuasa di dalam negara yang bernama Malaysia ini? Persoalan yang agak sukar untuk direalisasikan kerana siapalah saya..hanya insan kerdil yang tiada apa-apa.

Di dalam Islam tiada yang mustahil. Siapa sangka buah cempedak pun boleh jadi nangka. Apa yang akan anda lakukan jika anda mendapat kuasa di dalam negara ini? Jangan salah guna kuasa dah la..

Sekiranya saya memiliki kuasa perkara yang ingin saya lakukan ialah mengkaji sumbangan yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin gerakan berhaluan kiri yang telah cuba berusaha untuk membebaskan tanah air kita daripada penjajahan British. Mungkin idea ini akan mendapat tentangan daripada sesetengah pihak tetapi secara rasional kita perlu mengkajinya.

Kali ini saya nak selit sikit unsur-unsur sejarah.. Saya akui sejarah memang perkara yang membosankan. Kalaulah blog saya ini memaparkan kisah-kisah hiburan dan peribadi, saya yakin mesti ramai yg komen.. Tapi tu semua dunia semata-mata, inilah saya..tak ada manusia yang boleh paksa saya untuk ikut kehendak mereka kecuali mak bapak saya..

Pernahkah kita berfikir mengapakah mereka digelar sebagai berhaluan kiri? Mengapa mereka sanggup menentang British secara gerila?

Hari ini kita mempelajari sejarah yang dicatat oleh mereka yang menang. Seminar sejarah yang saya ikuti di Dewan Budaya USM menyaksikan salah seorang pembentang kertas kerja menyatakan bahawa "Sejarah ditulis oleh mereka yang menang". Sejak sekolah lagi kita telah dididik mengenai jasa UMNO yang banyak berjasa dalam memerdekakan Tanah Melayu. Saya tidak mahu menafikan jasa UMNO tetapi apa yang kita pelajari di sekolah itu tidak diceritakan secara menyeluruh. Catatan di dalam buku teks itu adalah perkara yang benar tetapi ada kisah yang tidak diceritakan.

Oleh sebab itulah saya telah mengambil keputusan untuk mengambil Sejarah sebagai minor di USM ini. Sememangnya UMNO berjasa dalam menuntut kemerdekaan tetapi sebelum itu wujud gerakan yang telah menentang pihak British. Penentangan dilakukan dengan harapan dapat memerdekakan Tanah Melayu.

Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Hizbul Muslimin (HM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan sebagainya merupakan institusi atau organisasi yang diharamkan oleh pihak British kerana menentang mereka. Kesemua organisasi ini diwujudkan adalah bertujuan untuk membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman British. Akan tetapi disebabkan tindakan yang radikal maka pihak British telah mengharamkan pertubuhan-pertubuhan tersebut yang juga dikenali sebagai berhaluan kiri.

Mereka yang dikenali sebagai berhaluan kiri ialah seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ibrahim Haji Yaakub, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad, Mustapha Hussein, Khatijah Sidek, Abdullah CD, Musa Ahmad, Rashid Maidin, Cikgu Mohd. Yusof Ayub, Ibrahim Singgeh dan Ibrahim Karim. Kesemua mereka ini terlibat dalam memimpin gerakan berhaluan kiri untuk menentang penjajahan British.

Gerakan berhaluan kiri ini amat berbeza berbanding gerakan yang berhaluan kanan. Dato' Onn Jaafar merupakan salah seorang pemimpin yang berhaluan kanan dan sanggup berunding dengan British. Gerakan berhaluan kiri tidak berunding dengan British tetapi melancarkan gerakan untuk menghalau British. Hal ini telah tercatat di dalam buku-buku yang kita pelajari.

Tidak dapat dinafikan bahawa Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) mempunyai jasa yang besar dalam memerdekakan Tanah Melayu. Kebijaksanaan yang dimiliki oleh Dato' Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj secara tidak langsung telah menyebabkan pihak British memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Harus disedari bahawa "MERDEKA" adalah slogan kepada PKMM. PKMM merupakan parti yang ditubuhkan terlebih dahulu berbanding UMNO. Ketika awal penubuhan UMNO, slogannya adalah "HIDUP MELAYU" dan kemudian ditukar kepada "MERDEKA". Secara tidak langsung bahawa idea atau semangat untuk memerdekaan Tanah Melayu telah dicetuskan oleh PKMM dan UMNO merealisasikannya.

Apa yang saya ingin tekankan disini ialah kita perlu memberikan penghargaan kepada mereka yang dilabel sebagai berhaluan kiri ini. Pelabelan Haluan Kiri atau Radikal itu bukan diberikan oleh kita tetapi telah diberikan oleh pihak British kerana mereka inilah yang mula-mula membangkitkan semangat untuk merdeka daripada cengkaman British.

Bukanlah saya ingin mempengaruhi sesiapa tetapi eloklah kita merenung kembali sejarah itu. Mengapa kita menafikan sumbangan mereka yang berhaluan kiri ini? Fikirkanlah sendiri.

Tahukah kita di dalam Parti Komunis Malaya (PKM) sendiri wujud Rejimen ke-10 yang dianggotai oleh orang Melayu. Mengapa mereka menyertai PKM? Jawapan yang kita belum temui ialah mereka berjuang untuk membebaskan Tanah Melayu secara kekerasan dan berjuang bersama-sama PKM. Jika anda ingin mengetahui cerita yang sebenar, carilah maklumat tersebut..

Haluan Kanan dan Haluan Kiri mempunyai matlamat sama iaitu ingin memerdekakan Tanah Melayu. Yang membezakan mereka ialah bentuk perjuangan sahaja. Misi mereka adalah sama iaitu membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan British.

Apakah penghargaan yang wajar diberikan? Bukan pingat "DATUK" yang mereka pinta tetapi cukuplah penghargaan untuk menyatakan rasa terima kasih kita kepada mereka..

*Ini hanya pandangan peribadi saya dan tidak mewakili mana-mana institusi..

**Mengikut rujukan buku-buku ilmiah dan bukannya dakyah..

***Sebarang kritikan mahupun sindiran amat dialu-alukan..

Kita perlu belajar untuk menghargai apa yang kita ada serta bagaimana susahnya cara untuk mendapatkannya.

6 ulasan:

  1. Secara jujur dengan ikhlasnya,saya akui saya memang anti komunis sejak dulu walau pandang politik saya banyak berpaksikan radikal dan haluan kiri disamping begitu mengkagumi Fidel Castro dan Che Guevara.Saya juga memang anti dengan anggota komunis kerana dengan telah apa mereka lakukan kepada keluarga saya.Tetapi tidak adil jika saya katakan semua komunis itu jahat.Mungkin itu cara mereka meneruskan perjuang mereka.Mungkin saya juga akan jadi seperti mereka jika berada di tempat mereka.
    Walau saya tidak ada kena-mengena dalam menuntut kemedekaan negara,tak salah jika saya mengucapkan terima kasih kepada golongan kiri dalam menuntut kemerdekaan negara kita.Kerana jika tidak kerana mereka,mungkin kesenangan sekarang tidak kita kecapi lagi.Mungkin kita masih dijajah dan di pecahkan.

    BalasPadam
  2. dalam erti kata yang sebenar mereka ini antara pelopor utama yang menggerakkan usaha untuk menghalau British dan menuntut kemerdekaan..

    BalasPadam
  3. Sebab itu aku tak boleh terima yang kita ni merdeka tanpa menumpahkan darah. Ada yang terkorban, dikurung dan dibuang negeri.

    Tapi aku tak simpati dengan Chin Peng dan PKM pasca merdeka. Sepatutnya dia menggunakan platform demokrasi. Tapi dia tolak waktu Rundingan Baling. Memang wajar komunisme-Stalinist ditolak.

    BalasPadam
  4. Betul tu Nox..kita hanya mengetahui bahawa hanya air liur dan dakwat yang digunakan untuk memerdekakan negara ini, tetapi sebenarnya darah telah mendahuluinya terlebih dahulu..

    Kini kita juga sedang berjuang..berjuang dengan menumpahkan peluh, memerah otak mengeluarkan idea untuk menyiapkan tugasan..

    seperti kata Nox, hanya teh tarik dan air limau suam sahaja yang ditumpahkan..ini cara kita untuk berjuang..tiada hakim dan tiada saksi di kedai kopi

    BalasPadam
  5. Gadis Kamdar,

    Apa salahnya. Tapi air kena bayar sendirilah. He he..

    BalasPadam