Followers

Ahad, Oktober 11, 2009

Kecil yang menyengat..

Salam perpaduan dan salam satu Malaysia..

Sebagai pelajar major Sains Politik rasanya gatal jari ini jika tidak menaip hal-hal yang berkaitan politik di tanah air sendiri. Jika ada yang kurang senang saya mohon kemaafan..

Hari ini 11 Oktober 2009 bersamaan 22 Syawal 1430 Hijrah telah menyaksikan satu lagi siri pilihanraya kecil (PRK) di Malaysia yang diadakan di Bagan Pinang, Negeri Sembilan. PRK ini memperlihatkan pertarungan antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

PRK Bagan Pinang merupakan kawasan yang perlu dipertahankan oleh BN kerana penyandangnya iaitu Allahyarham YB. Azman Mohd Nor meninggal dunia.

BN perlu memenangi PRK Bagan Pinang ini kerana telah mengalami kekalahan dalam semua siri PRK di semenanjung Malaysia. Kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang disandangnya juga telah terlepas ke tangan PAS. Hanya PRK di DUN Batang Ai di Sarawak sahaja yang berjaya dimenangi.

Di PRK N31 Bagan Pinang, BN telah meletakkan calonnya iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, Tan Sri Isa Samad. PAS pula meletakkan calonnya yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan iaitu Zulkefly Mohamad Omar.

Sepanjang tempoh berkempen kita dapat melihat dan membaca di media massa mengenai keganasan dan tindakan-tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan. Tidak kiralah sama ada ianya dilakukan oleh pihak yang berbaris mahupun yang berpakat, BN mahupun PAS.

Pertikaian mengenai calon BN tidak perlu dihebahkan lagi. Cukuplah sekadar mengingat kembali mengenai kes politik wang yang pernah dikaitkan terhadap Tan Sri Isa Samad pada Pemilihan UMNO tahun 2004 sehingga mengakibatkan beliau digantung keahlian selama 6 tahun daripada UMNO dan mengakibatkan beliau kehilangan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Di atas sebab kesetiaan terhadap UMNO yang banyak berjasa kepada beliau maka beliau tidak mengkhianati UMNO dan atas kesetiaan beliau itulah maka hukuman terhadap beliau dikurangkan kepada hanya 3 tahun. Pada tahun 2008 beliau tidak dicalonkan dalam PRU-12.

Calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar pula merupakan calon yang diimport daripada luar kawasan Bagan Pinang. Beliau bukanlah anak jati DUN Bagan Pinang. Beliau tidak dikenali di DUN Bagan Pinang kecuali hanya sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan.

Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengeluarkan kenyataan supaya BN tidak meletakkan calon yang terlibat dalam politik wang. Walaupun begitu BN tetap mendengar suara hati pengundi Bagan Pinang yang menyatakan hasrat untuk memilih Tan Sri Isa Samad. Rasa kurang senang Tun Dr. Mahathir dapat dilihat apabila beliau sendiri tidak ke Bagan Pinang untuk berkempen.

Seperti mana kata YAB. Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan calon BN, "Rakyat Bagan Pinang didahulukan..mana yang rakyat nak itu yang kita beri..".


Hari ini tepat pukul 8.00 malam keputusan rasmi telah diumumkan. Keputusan yang telah diduga apabila slogan Perdana Menteri yang "Rakyat Didahulukan.." telah mengembalikan maruah BN yang tercalar dalam siri PRK sebelum ini. Keputusannya, BN menang dengan majoriti yang besar iaitu 5,435 undi, berbanding majoriti semasa PRU-12 yang lalu iaitu 2,333 undi. Pertambahan majoriti sebanyak lebih 3,000 undi.


Calon BN mendapat 8,013 undi manakala calon PAS hanya mendapat 2,578 undi. Keputusan ini memperlihatkan bahawa calon BN yang dikatakan perasuh itu telah berjaya menarik hati para pengundi Bagan Pinang atas keramahan dan keceriaan beliau serta kecekapan beliau dalam menarik perhatian ketika menyampaikan ucapan.

PAS menang besar di PRK Permatang Pasir sebelum ini kerana BN tersalah meletak calon. Kini BN pula yang menang besar di Bagan Pinang. Apa-apa pun tahniah kepada BN kerana berjaya mengekalkan kerusi N31 DUN Bagan Pinang.

Apakah faktor kemenangan BN? Tolak ketepi dahulu rasuah politik, peruntukan segera yang diluluskan kerajaan pusat dan sebagainya. Kita nilai pada calonnya terlebih dahulu. Tan Sri Isa Samad menjadi MB selama 22 tahun, siapa tak kenal dia? Perwatakan beliau cukup menarik, bukan sahaja comel sebab kerendahan fizikal malahan bijak mengambil hati dan perhatian mereka yang mendengar ucapannya. Gaya penyampaian ucapannya yang bersahaja tanpa banyak retorik yang menjengkelkan. Keramahan beliau sudah sebati dengan penduduk di sana. Kelebihan BN ialah meletakkan calon anak tempatan yang sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Kecil yang menyengat..

Inilah pendirian dan jawapan saya kepada mereka yang mengajukan soalan mengenai PRK Bagan Pinang. Jawapan bertulis..macam jawab kat parlimen pulak..

5 ulasan:

  1. kecil-kecil cili padi...

    kecik macam saudara syukri kah???

    BalasPadam
  2. Hitler pun kecil jugak, tapi dia lagi berdesup heh..

    BalasPadam
  3. jangan main2 dengan orang yg kecil, katek, kerdil, ketot dan bla bla bla bla sebagainya..

    BalasPadam
  4. kalau kate comel aku setuju....tp kalau comel disebabkan fizikalnya yang rendah..melampau...sebaik2nya aku setuju klo die ni rendang...tinggi x kate tinggi n rendah x kate rendah.....hahahhaha tp suara macam a.r badul.huhuhuhu

    BalasPadam