Followers

Rabu, April 14, 2010

PKR = Zaid Ibrahim - BN = ???

Salam.. Salam Sejahtera..

Kita kembali kepada cerita politik seketika.

Sebentar tadi Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menamakan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon PKR bagi bertanding di kerusi Parlimen Hulu Selangor dalam pilihan raya kecil yang bakal diadakan pada 25 April 2010, hari Ahad. Tarikh penamaan calon pula ialah pada hari Sabtu 17 April 2010.

Datuk Zaid Ibrahim sebelum ini pernah bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu atas tiket Barisan Nasional pada tahun 2004. Pada tahun 2008 beliau tidak bertanding semula dan telah di lantik sebagai Senator dan Menteri ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

Persoalannya sekarang ini ialah siapakah lawan kepada Datuk Zaid Ibrahim? Siapakah calon yang bakal diturunkan oleh Barisan Nasional? Adakah Barisan Nasional akan menurunkan bekas calon yang tewas kepada Allahyarham Datuk Zainal Abidin Ahmad iaitu Datuk G. Palanivel yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC? Atau adakah calon lain yang merupakan anak tempatan bakal diturunkan oleh Barisan Nasional? Persoalan demi persoalan kedengaran ketika PKR dengan 'selamba' sudah mengumumkan calon mereka.

Datuk G. Palanivel tewas kepada Allahyarham Datuk Zainal Abidin Ahmad dengan majoriti kecil iaitu hanya 198 undi. Walaupun majoriti itu kecil tetapi mempunyai maksud tersirat yang perlu di lihat oleh pemimpin-pemimpin dan mereka yang berkenaan. Mengapa ini berlaku?

Timbul persoalan di benak fikiran saya ialah mengapa majoriti -kekalahan- yang diterima oleh Barisan Nasional melalui calonnnya Datuk G. Palanivel hanya 198 undi sahaja? Sedangkan pada tahun 2004 undi majoriti yang diperolehi ialah sebanyak 14,483 undi. Datuk G. Palanivel bukan baru bertanding pada tahun 2004 yang ketika itu mungkin kemenangan besar Barisan Nasional disebabkan oleh 'kebersihan' watak Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Datuk G. Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC sudah bertanding di kerusi Parlimen yang sama beberapa penggal. Mengapa pada tahun 2008 beliau di tolak dengan majoriti 198 undi? Timbul persoalan di sini.

Terdapat beberapa sumber yang mengatakan bahawa Datuk G. Palanivel akan dicalonkan sekali lagi di Parlimen Hulu Selangor. Jika benar itu berlaku maka Barisan Nasional perlu bersedia jiwa dan raga untuk menerima kekalahan. Mesej sudah jelas dipaparkan oleh pengundi Hulu Selangor yang menolak Datuk G. Palanivel pada tahun 2008. Persoalannya yang perlu di jawab ialah adakah perlu untuk Barisan Nasional meletakkan calon pilihan pengundi Parlimen Hulu Selangor atau meletakkan calon pilihan pemimpin parti? -Pilihan Presiden MIC-

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional mungkin di lihat mempunyai kuasa penuh untuk memilih calon, tetapi harus disedari bahawa kerusi Parlimen Hulu Selangor adalah kuota untuk MIC. Maka sudah tentulah Datuk Seri S. Samy Vellu akan meletakkan calon pilihannya sendiri. Nampaknya UMNO tidak menindas MIC dengan bertanding di kerusi tersebut. Tidak rasis nampaknya seperti mana yang diperkatakan oleh pihak-pihak tertentu.

Sebagai pemerhati yang jauh daripada Parlimen Hulu Selangor saya melihat PKR memiliki kelebihan kerana menampilkan calon yang sudah dikenali oleh pengundi. Secara realitinya PKR tidak perlu bersusah payah memperkenalkan calon kerana walaupun Datuk Zaid Ibrahim adalah orang Kelantan tetapi beliau sudah 'ada nama' di peringkat persekutuan suatu ketika sebagai menteri.

Kini hanya menunggu siapakah yang bakal diturunkan oleh Barisan Nasional untuk menentang Datuk Zaid Ibrahim yang berhasrat mengekalkan kedudukan atau kerusi PKR di dalam Dewan Rakyat yang sedikit demi sedikit berkurangan akibat aktiviti melompat keluar oleh mereka yang mempunyai alasan tersendiri.

*Tidak setuju jika Datuk G. Palanivel menjadi calon Barisan Nasional kerana beliau telah di tolak semasa pilihanraya umum yang lalu.

**Penuhi hasrat akar umbi atau penuhi hasrat pemimpin parti..

"RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN"
PENUHI PERMINTAAN AKAR UMBI

2 ulasan: