Followers

Rabu, Julai 28, 2010

Guru dah dapat.. Mahasiswa bila?

Salam.. Salam Sejahtera..

Tajuk utama akhbar hari ini menyatakan mengenai keizinan untuk guru-guru berpolitik. Tatkala sedang bersarapan di cafeteria saya termenung seketika mengenai tajuk akhbar tersebut. Saya termenung sambil tersenyum sinis kerana tajuk tersebut dan air teh o yang agak panas menerpa ke bibir.

Kenapa tajuk tersebut tidak 'menghairahkan' saya? Kerana setakat mana yang saya tahu selama ini pun sudah ada dalam kalangan guru yang menceburkan diri dalam bidang politik. Tidak kiralah sama ada sebagai ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Parti Keadilan Rakyat (PKR), atau pelbagai jenis parti lagi yang ada di negara ini.

Apabila akhbar melaporkan mengenai keizinan untuk guru berpolitik suatu perkara yang sudah di jangka ialah terdapat suara-suara sumbang yang dengan penuh sinis berkata keizinan itu hanya diberikan kepada mereka yang menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN), tetapi dilarang kepada mereka yang ingin berjinak-jinak dengan Pakatan Rakyat (PR).

Selama ini pun sudah ramai guru yang memegang jawatan di dalam politik. Sebagai contoh di dalam sebuah parti terbesar di negara ini ada dalam kalangan guru yang memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa di peringkat bahagian. Tidak terkecuali juga yang memegang jawatan sebagai setiausaha bahagian. Jika mempunyai rezeki pula akan bertanding semasa pilihanraya.

Apabila keizinan berpolitik diberikan kepada guru mengikut tahap, terdapat pula cadangan daripada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang mengemukakan cadangan supaya mahasiswa diizinkan berpolitik. Saya amat bersetuju dengan cadangan tersebut. Hal ini kerana mahasiswa perlu diberikan hak untuk bersuara dalam isu-isu yang lebih luas merangkumi isu-isu nasional. Sebagai mahasiswa saya sendiri berasa terpanggil untuk memberikan pandangan mengenai perkara-perkara tertentu, akan tetapi tidak mempunyai saluran-saluran yang sesuai.

Persoalannya di sini sejauhmanakah mahasiswa tidak akan menjadi alat kepada parti-parti politik? Adakah tugas hakiki mahasiswa tidak akan terganggu? Bersediakah kita untuk bertindak jika wujud pengasingan ideologi politik yang seterusnya akan menyebabkan pelajar-pelajar universiti berpuak-puak? Jika mahasiswa diizinkan berpolitik, sudah bersediakan pihak universiti untuk memberikan keizinan kepada parti-parti politik membuka cawangan-cawangan mini di dalam kampus? Kesemua ini hanyalah persoalan yang timbul di benak fikiran saya.

Bukanlah saya ingin menuduh sesiapa di sini kerana saya yakin terdapat juga rakan-rakan mahasiswa dan mahasiswi yang menceburkan diri di dalam politik kepartian di luar sana. Ada juga rakan-rakan yang berkata secara sinis bahawa mahasiswa tidak boleh terlibat dengan politik dan jika hendak terlibat mereka hanya boleh menganggotai Putera dan Puteri UMNO sahaja. Penguatkuasaan Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) tidak mengira parti politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Saya sendiri hendak memasuki sebuah pertubuhan mengikut keturunan (keturunan nenek moyang) pun memerlukan keizinan daripada Naib Canselor. Apalah salahnya jika sekiranya rakan-rakan seperjuangan bersabar seketika untuk menceburkan diri daripada politik kepartian.

Namun begitu cadangan supaya mahasiswa diizinkan berpolitik perlu diperhalusi lagi. Setiap perkara yang ingin dilaksanakan mempunyai kesan positif dan negatif. Saya di sinimengambil sikap berkecuali dalam perkara ini kerana kedua-dua keputusan sama ada mahasiswa itu diizinkan berpolitik ataupun tidak ia semestinya memberikan impak kepada mahasiwa dan mahasiswi serta pihak universiti.

2 ulasan:

  1. Salam...
    Cikgu berpolitik???? Lepas ni banyak la nama-nama ahli politik yang digunakan dalam kertas peperiksaan...Cikgu yang kategori 'totok' parti pula akan sedaya upaya pengaruh anak murid....

    Mahasiswa???X pyh la....Pening kepala aku nanti...Baru tahap Pro-M dgn Aspirasi (kira beginer la) dah huru-hara,apa lagi klu jd BN dgn PR di kampus....X pyh bikin kacau la...Rasanya saudara syukri setuju dgn saya...

    BalasPadam
  2. ada kebenaran hujah itu..saya berkecuali dalam hal ni..kalau tak izinkan pun saya tak ada masalah, kalau diizinkan saya makan mendaftar sebagai ahli parti politik & aktif..

    BalasPadam