Followers

Isnin, April 21, 2014

TAN SRI SHAHRIR ABDUL SAMAD - WARLORD YANG MERENDAH DIRI - SANTAI BERSAMA PEMIMPIN MUDA

Salam dan salam sejahtera.

19 April 2014 - Y.B. Tan Sri Shahrir Abdul Samad di Pulau Pinang.

Y.B. Tan Sri Shahrir Abdul Samad berada di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang untuk memenuhi undangan Sekretariat Dewan Perundingan Pelajar (Parlimen Mahasiswa) USM dalam program Sesi Dialog Bersama Ahli Majlis Penasihat Iskandar Malaysia.


Y.B. Tan Sri Shahrir tiba di Pulau Pinang pada jam 12.20 tengahari telah disambut oleh Y.Bhg. Profesor Dato' Dr. Omar Osman, Naib Canselor USM dan dijamu jamuan makan tengahari bersama pegawai-pegawai universiti.

Pada sebelah petang, Y.B. Tan Sri Shahrir telah hadir sebagai Ahli Panel di dalam Sesi Dialog Bersama Ahli Majlis Penasihat Iskandar Malaysia yang dianjurkan oleh Sekretariat Dewan Perundingan Pelajar (Parlimen Mahasiswa) USM.



Beberapa perkara telah disentuh dan diajukan di dalam sesi dialog berkenaan meliputi pembangunan terkini wilayah Iskandar Malaysia, GST, hutang negara, politik dan sebagainya.

Selesai sesi dialog berkenaan, Y.B. Tan Sri Shahrir bersama para pegawai dan beberapa pelajar telah meluangkan masa menziarah mendiang Karpal Singh.

Pada sebelah malam pula, Y.B. Tan Sri Shahrir meluangkan masa beramah mesra dan makan malam bersama anak-anak Johor di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.


Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru telah meluangkan masa beramah mesra dan menjelaskan mengenai perkembangan pembangunan di Iskandar Malaysia. Beberapa perkara turut disentuh mengenai peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan dan boleh direbut oleh mahasiswa/i anak Johor USM.

Majlis yang bermula jam 8.30 malam itu turut dihadiri Penasihat Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) USM dan barisan kepimpinan IKMAR USM.

Tahniah dan terima kasih kepada Y.B. Tan Sri Shahrir kerana menjadi Ahli Parlimen (tanpa jawatan menteri) pertama berjumpa anak-anak Johor di USM (dalam tempoh 10 tahun).



Tan Sri Shahrir bersama penasihat dan kepimpinan IKMAR USM





Kehadiran Y.B. Tan Sri Shahrir ke program IKMAR telah menyangkal tuduhan bahawa pemimpin-pemimpin Johor hanya akan menunjukkan muka apabila tiba musim pilihanraya sahaja bagi meraih sokongan orang muda di perantauan.

Selepas program bersama IKMAR, Y.B. Tan Sri Shahrir meluangkan masa bersama beberapa bekas pemimpin pelajar USM. Sesi 'ngeteh' itu berfokus kepada isu-isu semasa dan strategi dalam politik. Beliau turut berkongsi pengalaman ketika wujudnya Team A dan Team B di dalam UMNO suatu ketika dahulu.


Sesi ngeteh yang santai itu seolah-olah sesi bersama rakan-rakan di kedai mamak. Tiada protokol, tiada rasa malu atau teragak-agak untuk mengajukan persoalan. Sekiranya berkesempatan, ingin sahaja semuanya dirakamkan di sini, tetapi mustahil.


Saya dan rakan-rakan sudah mendapat jawapan utama mengenai kehebatan dan kebijaksanaan beliau dalam mengekalkan kerusi Parlimen Johor Bahru, sedangkan banyak kerusi ibu negeri telah jatuh kepada parti pembangkang.


*******************

Selain daripada pengalaman, pemikiran dan prinsip yang beliau pegang, saya kagum dengan cara beliau berinteraksi dengan orang yang berhadapan dengan beliau. Beliau tidak 'mencantas' orang lain untuk mengeluarkan idea bahkan kritikan semasa bertukar-tukar fikiran. Beliau mendengar dan memberi peluang. Paling utama, beliau tidak memegang telefon bimbit sepanjang bersembang dan memberi fokus sepenuhnya kepada perbualan kami.

Malaysia, UMNO dan Barisan Nasional perlu lebih ramai pemimpin yang berprinsip dan berpandangan jauh seperti Tan Sri Shahrir Abdul Samad.