Followers

Rabu, Julai 28, 2010

Guru dah dapat.. Mahasiswa bila?

Salam.. Salam Sejahtera..

Tajuk utama akhbar hari ini menyatakan mengenai keizinan untuk guru-guru berpolitik. Tatkala sedang bersarapan di cafeteria saya termenung seketika mengenai tajuk akhbar tersebut. Saya termenung sambil tersenyum sinis kerana tajuk tersebut dan air teh o yang agak panas menerpa ke bibir.

Kenapa tajuk tersebut tidak 'menghairahkan' saya? Kerana setakat mana yang saya tahu selama ini pun sudah ada dalam kalangan guru yang menceburkan diri dalam bidang politik. Tidak kiralah sama ada sebagai ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Parti Keadilan Rakyat (PKR), atau pelbagai jenis parti lagi yang ada di negara ini.

Apabila akhbar melaporkan mengenai keizinan untuk guru berpolitik suatu perkara yang sudah di jangka ialah terdapat suara-suara sumbang yang dengan penuh sinis berkata keizinan itu hanya diberikan kepada mereka yang menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN), tetapi dilarang kepada mereka yang ingin berjinak-jinak dengan Pakatan Rakyat (PR).

Selama ini pun sudah ramai guru yang memegang jawatan di dalam politik. Sebagai contoh di dalam sebuah parti terbesar di negara ini ada dalam kalangan guru yang memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa di peringkat bahagian. Tidak terkecuali juga yang memegang jawatan sebagai setiausaha bahagian. Jika mempunyai rezeki pula akan bertanding semasa pilihanraya.

Apabila keizinan berpolitik diberikan kepada guru mengikut tahap, terdapat pula cadangan daripada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang mengemukakan cadangan supaya mahasiswa diizinkan berpolitik. Saya amat bersetuju dengan cadangan tersebut. Hal ini kerana mahasiswa perlu diberikan hak untuk bersuara dalam isu-isu yang lebih luas merangkumi isu-isu nasional. Sebagai mahasiswa saya sendiri berasa terpanggil untuk memberikan pandangan mengenai perkara-perkara tertentu, akan tetapi tidak mempunyai saluran-saluran yang sesuai.

Persoalannya di sini sejauhmanakah mahasiswa tidak akan menjadi alat kepada parti-parti politik? Adakah tugas hakiki mahasiswa tidak akan terganggu? Bersediakah kita untuk bertindak jika wujud pengasingan ideologi politik yang seterusnya akan menyebabkan pelajar-pelajar universiti berpuak-puak? Jika mahasiswa diizinkan berpolitik, sudah bersediakan pihak universiti untuk memberikan keizinan kepada parti-parti politik membuka cawangan-cawangan mini di dalam kampus? Kesemua ini hanyalah persoalan yang timbul di benak fikiran saya.

Bukanlah saya ingin menuduh sesiapa di sini kerana saya yakin terdapat juga rakan-rakan mahasiswa dan mahasiswi yang menceburkan diri di dalam politik kepartian di luar sana. Ada juga rakan-rakan yang berkata secara sinis bahawa mahasiswa tidak boleh terlibat dengan politik dan jika hendak terlibat mereka hanya boleh menganggotai Putera dan Puteri UMNO sahaja. Penguatkuasaan Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) tidak mengira parti politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Saya sendiri hendak memasuki sebuah pertubuhan mengikut keturunan (keturunan nenek moyang) pun memerlukan keizinan daripada Naib Canselor. Apalah salahnya jika sekiranya rakan-rakan seperjuangan bersabar seketika untuk menceburkan diri daripada politik kepartian.

Namun begitu cadangan supaya mahasiswa diizinkan berpolitik perlu diperhalusi lagi. Setiap perkara yang ingin dilaksanakan mempunyai kesan positif dan negatif. Saya di sinimengambil sikap berkecuali dalam perkara ini kerana kedua-dua keputusan sama ada mahasiswa itu diizinkan berpolitik ataupun tidak ia semestinya memberikan impak kepada mahasiwa dan mahasiswi serta pihak universiti.

Sabtu, Julai 17, 2010

Program Akademik di Indonesia

Salam.. Salam Sejahtera..

Kelab Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan lawatan akademik ke universitas di Surabaya dan Jakarta pada 19 Mei hingga 26 Mei 2010 yang lalu.

Lawatan akademik Kelab Sains Politik (KSP) ini disertai seramai 16 orang pelajar dan seorang pensyarah Sains Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Dr. Mohamad Zaini Abu Bakar.

Lawatan akademik yang diadakan bukan sahaja sekadar lawatan akademik tetapi turut diselitkan dengan agenda atau sesi pembentangan kertas kerja oleh barisan exco KSP. Di antara pembentang kertas kerja tersebut ialah Mohd Fahmi Ibrahim, Ainatulfathiyah Abdul Rahim, Mohd Izzuddin Ramli, Nur Fadhilah Othman, Nur Rafidah Khairuddin, Jeyaluxmy Rajendran, Sharon John Joseph, Amirah Rafhanah Abdul Wahab, dan Muhammad Syukri Sa'adon. Selain pembentang kertas kerja, program KSP ini turut disertai oleh beberapa orang delegasi iaitu Mohd Hafifi Shafiee, Remie Ramli, Dedona Singgoi, Siti Nurfarziah Kamil, Norjawahir Raduian, dan juru gambar rasmi kami Wan Nur Syazana Wan Ariffin. Seorang juru iring dan penasihat kami semua Pak Suyatno Ladiqi.

Pada 14 Mei 2010 hari Jumaat ketika kebanyakkan rakan-rakan sedang bercuti semester, semua pembentang kertas kerja di minta untuk berkumpul di Desasiswa Cahaya Gemilang untuk sesi menyiapkan kertas kerja, sesi 'tapisan' kertas kerja, dan sesi latihan pembentangan kertas kerja. Sesi ini berakhir pada 18 Mei 2010 hari Isnin. Sesi latihan diadakan di cafe Cahaya Gemilang USM.
(YDP KSP '10/'11 Izzuddin sedang membentangkan kertas kerja sambil diperhatikan oleh En. Suyatno Ladiqi)

19 Mei 2010 hari Selasa, tepat jam 4.00 pagi kami bergerak daripada USM ke Terminal Penerbangan Tambang Merah (LCCT) Kuala Lumpur menggunakan bas sewa khas. Kami tiba di LCCT dalam jam 11.00 pagi dan berlepas ke Surabaya pada jam 2.00 petang waktu Malaysia dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya pada jam 4.40 petang waktu Malaysia (3.40 waktu Indonesia). Bandara Juanda = Bandar Udara Juanda.

Setibanya di Bandara Juanda Surabaya, kami telah di jemput oleh teman-teman daripada Universitas Airlangga, Surabaya. Mereka membawa kami makan malam di Pusat Membeli belah SOGO Surabaya dan pengalaman paling berharga bagi saya ialah kali pertama membeli makanan dengan harga yang mahal, 38 ribu (RUPIAH). Kami menetap di Hotel Elmi Surabaya.

Aktiviti Akademik KSP bermula pada 20 Mei 2010, hari khamis. Aktiviti bermula di Universitas Airlangga Surabaya. Sesi pembentangan kertas kerja di Universitas Airlangga telah disertai kesemua rombongan KSP dan pembentangan dilakukan oleh mantan Yang Dipertua KSP sendiri iaitu saudara Mohd Fahmi Ibrahim, Ainatulfathiyah Abdul Rahim, Mohd Izzuddin Ramli (YDP), dan Nur Fadhilah Othman. Sebelum sesi pembentangan berlangsung, Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Prof. Madya Ismail Baba telah menyampaikan ucapan dengan tema "Peran Pemuda dalam Menjembatani Krisis Indonesia-Malaysia".

Mohd Fahmi Ibrahim membentangkan kertas kerja yang bertajuk "Peta Kekuatan Politik Malaysia", Mohd Izzuddin Ramli "Masyarakat Pribumi di Malaysia", Nur Fadhilah Othman "Cabaran Sistem Pendidikan di Malaysia", dan Ainatulfathiyah Abdul Rahim pula "The Rise and Challenge of Democracy in Malaysia".

(bergambar dengan sebahagian warga Universitas Airlangga)

Pada sesi soal jawab selepas pembentangan pula saya beranggapan ia agak mencabar kerana terdapat beberapa soalan yang agak sensitif ditujukan kepada pembentang daripada KSP, namun begitu atas kebijaksanaan dan nasihat yang diberikan oleh Pak Suyatno para pembentang telah dapat memberikan jawapan tanpa beremosi dan mengeruhkan keadaan. Antara isu yang dibangkitkan ialah berkenaan dengan isu blok Ambalat, Tenaga Kerja Indonesia (TKI), kebudayaan dan beberapa lagi isu.

Selepas sesi pembentangan di Universitas Airlangga tamat pada jam 2.00 petang, rombongan KSP bergerak menuju ke Universitas Surabaya (UNESA). Perjalanan ke Universitas Surabaya agak jauh kerana jalanraya yang sesak dengan kenderaan sama seperti keadaan di Kuala Lumpur dan Georgetown.

Sesi pembentangan kertas kerja di Universitas Surabaya telah disertai oleh Amirah Rafhanah Abdul Wahab dan Muhammad Syukri Sa'adon (saya sendiri) dan seorang daripada UNESA. Amirah membentangkan kertas kerja yang bertajuk "Media dan Politik Perpaduan di Malaysia", manakala saya "Cabaran Gagasan 1Malaysia". Pada saya sesi pembentangan di UNESA agak mencabar kerana disertai hampir 200 orang mahasiswa dan mahasiswi UNESA, berbeza di Universitas Airlangga dan Universitas Paramadina Jakarta. Saya terpaksa mengakui lutut saya agak mengigil dan gemuruh apabila berdepan dengan peserta yang begitu ramai. Alhamdulillah teman-teman di UNESA semuanya mesra dan peramah. Setidak-tidaknya hilang rasa gemuruh dalam hati ini.

(bersama warga Universitas Surabaya)

Di antara soalan yang diajukan oleh mereka kepada saya berkenaan dengan keadilan sosial yang terdapat di dalam gagasan 1Malaysia dan TKI. Jawapan Pak Suyatno yang telah saya guna pakai semula berkenaan dengan media dan TKI ialah "Media ; kalau ada anjing menggigit orang itu bukan berita, tapi kalau ada orang menggigit anjing itu baru berita..", jawapan ini terpaksa saya guna semula kerana seakan-akan sudah kerap berhadapan dengan soalan-soalan atau isu-isu yang menjadi duri dalam daging antara Malaysia dan Indonesia.

Pada 21 Mei 2010 hari Jumaat kami telah mengadakan kuliah bersama-sama dengan pelajar Airlangga. Sebahagian daripada kami telah 'menyebelahi' Indonesia -termasuk saya. Kami telah di minta untuk berdebat mengenai isu yang menyebabkan berlakunya konflik di antara Malaysia dan Indonesia. Alhamdulillah, program itu berjaya dilakukan tanpa emosi yang tidak terkawal. Terima kasih sama teman-teman di Airlangga yang telah memberikan layanan terbaik kepada kami sepanjang kami berada di sana.

24 Mei 2010 hari Isnin, sesi pembentangan di Universitas Paramadina di Jakarta. Program dimulakan dengan majlis menandatangani dokumen di antara Dr. Mohamad Zaini Abu Bakar dengan pihak Universitas Paramadina. Pembentangan dilakukan oleh Nur Rafidah Khairuddin, Jeyaluxmy Rajendran, dan Sharon John Joseph dengan tajuk "Women and their involvement in the democratization process". Walaupun Sharon kurang sihat tetapi beliau telah dapat memberikan pembentangan yang baik di sana.

(sesi pembentangan kertas kerja di Universitas Paramadina, Jakarta)


(di Gunung Bromo)

Di dalam aktiviti akademik itu kami turut mengambil kesempatan untuk mengadakan program di Gunung Bromo. Perjalanan menggunakan bas mini ala-ala van dan sebuah Toyota Avanza ke Gunung Bromo yang mengambil masa hampir 4 jam daripada hotel penginapan kami di Surabaya.

(melihat matahari terbit & gunung berapi)

Di antara pengalaman paling berharga ialah corak pemanduan saudara-saudara kita di sana yang amat dahsyat dan saya yakin jika diamalkan di Malaysia sudah tentu kadar kemalangan akan meningkat 100% atau lebih. Pengalaman melihat gunung berapi, melihat kawasan yang lebih 1,600 hektar ditenggelami lumpur dan menenggelami perkampungan, kediaman, masjid, tanah perkuburan nenek moyang dan sebagainya amat menyayatkan hati. Di Jakarta kami turut pergi ke Monumen Nasional (MONAS) dan terima kasih kepada bekas pelajar USM yang telah memberikan layanan bertaraf VIP kepada kami semua. Terima kasih juga kepada teman sekuliah, Hasween yang bersama-sama semasa di Jakarta.

Seperti mana yang kerap diperkatakan oleh ayahanda saya, "kalau ada peluang pergi tempat orang pergilah..". Pengalaman paling berharga dan sukar untuk dilupakan ialah sifat peramah teman-teman di sana. Pengalaman yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila ialah semasa di Dunia Fantasi (DUFAN) ketika menaiki Tornado. Sumpah saya tak akan cuba naik benda tu lagi.


Kepada penasihat KSP Dr. Mohamad Zaini Abu Bakar, terima kasih dan kami berbangga kerana mempunyai pensyarah yang sentiasa tenang ketika berhadapan dengan karenah kami semua. Kami tidak menyangka seorang pensyarah akan bersama-sama menjelajah pusat membeli belah antara yang terbesar di Jakarta iaitu Mangga Dua. Kami juga tidak menyangka Dr. Zaini akan turut bersama-sama kami menaiki Tornado semasa di DUFAN.

Saya dan KSP mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Universiti Sains Malaysia (USM) yang memberikan kelulusan dan peluang kepada kami mengadakan lawatan akademik ke Indonesia. Terima kasih juga kepada Dekan PPSK Prof. Madya Ismail Baba yang bersama-sama kami semasa di Universitas Airlangga. Terima kasih tidak terhingga kepada pihak Universitas Airlangga dan semua teman di sana, juga kepada pihak Universitas Surabaya dan Universitas Paramadina yang mesra dan memberikan layanan mesra kepada kami. Kami juga tidak perasan sebenarnya kediaman kami semasa di Jakarta itu berdekatan dengan Kedutaan Malaysia. Terima kasih kepada pihak Kedutaan Malaysia di sana yang menghubungi kami walaupun kami ketika itu sedang menuju ke lapangan terbang untuk berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Terima kasih kepada semua yang berpenat-lelah dalam merealisasikan program ke Surabaya dan Jakarta ini. Jasa anda semua jadi kenangan..

Ahad, Julai 11, 2010

Dia bogel USM dapat TAHNIAH..

Salam.. Salam Sejahtera..

Hampir 2 bulan blog ini terabai kerana kekangan masa yang menyekat untuk meneruskan kehidupan di dunia media maklumat tanpa sempadan ini. Hari ini juga blog Mencari Cahaya Pelita ini sudah berusia 1 tahun. Seperti baru kelmarin menceburkan diri di dalam dunia media baru ini.

Sepanjang tempoh masa 'berehat' daripada arena penulisan blog ini terlalu banyak isu menarik yang membuatkan hati meronta-ronta untuk menulis bagi menyatakan pendirian dan pendapat. Namun begitu kesemuanya itu perlu diketepikan bagi memberikan tumpuan kepada perkara yang lebih penting. Di antara isu yang menarik untuk di ulas ialah berkaitan dengan CADANGAN pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR. Tahniah kepada rakan yang memberikan pendapat rasional di akhbar.

Satu isu yang saya rasa cuba mencari publisiti murahan ialah ....Dalam Botol. Maafkan saya jika saya mengatakan bahawa pengakuan BERBOGEL yang dilakukan oleh pelakon bernama Arja Lee itu sebenarnya salah satu cara untuk MEMPROMOSI filem tersebut. Dikhabarkan juga ada seorang lagi pelakon lelaki telah mengaku turut berbogel di dalam filem yang bakal ditayangkan nanti kerana menjiwai watak akibat di rasuk. Hebat betul mereka semua menjiwai watak.

Saya ingin merujuk Siti Jarum tulisan dalam ruangan SITIJARUM di dalam Pancaindera Mingguan Malaysia yang secara tidak langsung menghina Universiti Sains Malaysia (USM). Secara jelas, terang dan nyata tidak perlu bersuluh lagi bahawa si Cik Siti Jarum ini telah menghina USM. Cik Siti Jarum berkarat yang menulis itu dengan bangga mengucapkan TAHNIAH kepada USM kerana melahirkan pelakon bogel. Adakah kerana seorang manusia maka seluruh USM perlu di kutuk? Jangan kerana sebatang JARUM BERKARAT yang suka bergosip maka beliau telah memalukan seluruh warga USM dengan menggunakan jenama MINGGUAN MALAYSIA.

Saya tidak mahu menyalahkan sepenuhnya SITI JARUM dalam perkara ini. Di antara punca utama ialah daripada pelakon itu sendiri. Arja Lee terlalu 'GHAIRAH' menjiwai watak ketika berlakon tetapi dia perlu mengetahui bahawa dia sedang berlakon di MALAYSIA dan bukannya di negara BARAT. Jika sekiranya beliau berlakon di BARAT, perkara seperti ini sudah tentu tidak akan disensasikan.

Saya bersetuju dengan kenyataan mantan Mufti Johor Dato' Nooh Gadut, beliau telah meminta supaya mereka yang bersekongkol dalam perkara itu untuk bertaubat nasuha kerana khuatir akan mati dalam keburukan dan maksiat serta mendapat kemurkaan Allah S.W.T.

Seperti mana yang diperkatakan oleh Dato' Nooh Gadut, golongan haiwan pun tahu malu apabila tidak menunjukkan kemaluannya kepada manusia. "Inilah akibatnya apabila iman tiada, malu pun hilang", kata beliau.

Satu pertanyaan yang ingin saya ajukan di sini, kenapa dalam banyak-banyak isu sosial yang ada di Malaysia ini tajuk ......Dalam Botol menjadi pilihan? Filem yang sebelum ini pun ada kaitan dengan seks. Adakah pihak yang berkaitan tidak serik-serik atau sememangnya gila seks? Berkaryalah dengan sopan, filem seperti Adnan Sempit pun mampu mencapai keuntungan besar tanpa pelakonnya berbogel.