Followers

Khamis, Disember 29, 2011

Keluhan seorang Guru

Salam dan salam sejahtera.

Cuti Krismas yang lalu saya telah berjumpa dengan seorang hamba Allah yang menjadi tempat rujukan saya dalam hampir setiap keputusan penting. Bermula dengan hal yang berkaitan pelajaran sehinggalah keputusan peribadi untuk masa depan akan dirujuk demi mendapatkan keputusan yang terbaik setelah berfikir dengan bijak dan bijaksana.

Saya tergamam apabila diajukan soalan mengenai UMNO.


Apa itu UMNO?


Kenapa logo UMNO begitu?



Kenapa keris di bendera ada satu tapi di logo ada dua?

Mana lagi satu keris? Dia orang jual ke?

Siapa penasihat-penasihat kepada pemimpin-pemimpin UMNO dahulu?



Kenapa Dato' Onn Jaafar keluar dari UMNO? (bukan versi buku teks)

Saya tidak akan memberitahu kesemuanya di sini. Seeloknya anda sebagai pembaca memikirkannya. Sewajarnya juga ahli-ahli UMNO yang sayang kepada UMNO dan setia kepada parti mengetahui perkara ini.


Adakah pemimpin-pemimpin utama UMNO tahu akan jawapan kepada persoalan-persoalan di atas?


Saya tidak mahu menaip begitu panjang kerana ramai khususnya pemimpin-pemimpin saya tidak ada peruntukan masa untuk membaca.


Cuma saya hanya ingin mengingatkan bahawa, ketika kepimpinan Allahyarham Dato' Onn Jaafar dan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, kedua-duanya dikhabarkan meminta nasihat daripada golongan-golongan alim ulama untuk membuat keputusan penting parti dan negara. Salah satunya yang kita semua ketahui ialah berkaitan dengan tarikh kemerdekaan negara kita.


Hari ini pula bagaimana? Jika di zaman Pak Lah, beliau mempunyai penasihat-penasihat yang hebat seperti menantunya, bagaimana pula dengan Dato' Sri Mohd Najib? Mungkin beliau juga memiliki penasihat yang hebat seperti pegawai-pegawai perisik di agensi-agensi tertentu. Segalanya mungkin sahaja.


Saya menaip kali ini selepas melihat kekecewaan di raut wajah guru saya yang terlalu letih dengan sikap pemimpin-pemimpin negara khususnya pemimpin UMNO. Perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air kononya. Agama apa? bangsa mana? tanah air siapa? Jika masing-masing cuba menjaga periuk nasi sendiri dengan hajat untuk terus kekal berkuasa di kerusi parlimen masing-masing.


Saya juga amat kecewa dengan itu semua.


Sekiranya diizinkan oleh-Nya, saya akan menaip dan memberitahu mengenai satu peristiwa di Batu Pahat, Johor. Peristiwa di mana seorang manusia yang terlalu lama berada di satu kedudukan sehingga 'menutup' peluang golongan akademik untuk membuat program kemasyarakatan di kampung tertentu.


Allahyarham Syeikh Abdullah Fahim
Salah seorang ulama yang dicari oleh pemimpin tertinggi negara dan pemimpin-pemimpin utama parti politik negara ini.
(Al-Fatihah)


Sekian.

Khamis, Disember 22, 2011

Demonstrasi itu menyusahkan! Era kerajaan tahu segalanya sudah berakhir..

Salam dan salam sejahtera.

Pada 21 Disember 2011 telah diadakan perhimpunan aman di hadapan bangunan Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya. Seperti mana sedia maklum, perhimpunan aman itu dihadiri oleh para mahasiswa/i dan alumni Universiti yang menggelarkan diri mereka ASPIRASI.


Saya sendiri secara peribadi telah menerima dua mesej untuk turut sama berada di sana bagi menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri dan mendesak Timbalan Menteri Menteri Pengajian Tinggi meletak jawatan.
Mesej pertama yang saya terima pada 18 Disember 2011 adalah seperti di bawah;

Salam ASPIRASI : Jemputan ke Himpunan Aman Sokong PM - 21 Disember 2011 (Rabu) 2.30 petang di hadapan bangunan KPT Putrajaya. Mahasiswa dan Alumni di semua IPT seluruh Malaysia dijemput untuk menunjukkan sokongan kepada YAB DS Najib sebagai PM Malaysia bagi terus memimpin negara ini dan mendesak Saifuddin Abdullah melepaskan jawatan dalam kabinet dan parti kerana telah memalukan nama baik pemimpin no 1 negara. Mari bersama tunjukkan bahawa kita lebih ramai yang mahukan YAB DS Najib terus meneraju negara......

Di bawah ini pula adalah mesej yang kedua yang saya terima pada 20 Disember 2011;

"WE LOVE PM"
Tunjukkan sokongan kepada YAB DS Najib. Himpunan Aman Sokong PM. 21 Disember 2011. Rabu. 2.30 petang. Di hadapan bangunan KPT.
Saya sayang PM
Dia sayang PM
Mereka sayang PM
Kami sayang PM
Semua sayang PM
"WE LOVE PM"
"WE LOVE PM"
"WE LOVE PM"
"WE LOVE PM"
"WE LOVE PM"
 
Saya tidak mahu menulis semula mengapa perhimpunan aman ini diadakan. Tidak perlu rasanya menyatakan semula apa yang berlaku di PWTC dek kerana tindakan BIADAB mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menurunkan bendera/gambar Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Sekadar gambar hiasan

Saya berharap mahasiswa daripada UPSI itu akan mendapat balasan yang setimpal. Jika tiada undang-undang untuk mengadili mahasiswa yang bakal bergelar pendidik itu, saya berharap akan ada pihak yang akan mengadilinya sendiri. Disebabkan terlalu ghairah berdemonstrasi maka ia sesuka hati melakukan 'rampasan kuasa' di PWTC. Berani buat maka kena berani untuk menanggung akibatnya. Tidak perlu membuat laporan polis sekiranya menerima ugutan/ancaman dek kerana keberanian yang tidak bertempat itu. Sungguh memalukan UPSI!

Secara peribadi saya tidak suka dengan budaya demonstrasi yang semakin menjadi-jadi di negara ini. Suatu ketika kita hanya melihat budaya demonstrasi di negara-negara luar dan hanya menontonnya di kaca televisyen. Namun begitu, hari ini negara tercinta ini semakin kerap diadakan demonstrasi. Saya rindukan cara pentadbiran Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad, seorang 'DIKTATOR' yang baik.

Tindakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) yang berdemonstrasi dan berlaku BIADAB di PWTC itu bukanlah tindakan daripada golongan yang terpelajar.

Saya lebih terkilan apabila menerima dua mesej seperti di atas yang secara jelas turut ingin mengadakan demonstrasi di hadapan Kementerian Pengajian Tinggi walaupun nama demonstrasi itu telah 'dimurnikan' menjadi perhimpunan aman.

Saya sendiri telah diajukan soalan oleh seorang pembantu peribadi seorang insan yang 'berpengaruh' mengenai undangan tersebut.

Secara peribadi saya menjawab bahawa tindakan untuk mengadakan perhimpunan aman itu adalah membuang masa. Hal ini kerana golongan mahasiswa/i yang berideologikan fahaman ASPIRASI itu sudah tentunya mempunyai hubungan akrab dengan Menteri dan Timbalan Menteri. Persoalannya di sini ialah mengapa mereka tidak mahu menggunakan saluran yang lebih baik untuk mendapatkan respon daripada Kementerian Pengajian Tinggi khususnya Datuk Saifuddin Abdullah?

Adalah tidak wajar demonstrasi di lawan dengan demonstrasi. Jika SMM dan Bebas itu melakukan tindakan BODOH, mengapa ASPIRASI juga melakukan perkara yang sama?

Saya beranggapan perhimpunan aman itu adalah sia-sia kerana memorandum yang diserahkan itu tidak diberi terus kepada Datuk Saifuddin sendiri. Jika saya tidak silap, Datuk Saifuddin sendiri ada membuat satu status di dalam facebook yang menyatakan bahawa ketika perhimpunan aman itu dilakukan, beliau mempunyai program di Batu Pahat dan Seremban. Ohh, mungkin perhimpunan aman itu hanya sekadar simbolik untuk mendesak Datuk Saifuddin meletak jawatan.

Saya tetap berpegang bahawa golongan yang berhimpun atas nama ASPIRASI itu perlu mengadakan perjumpaan secara bersemuka dengan Datuk Saifuddin untuk mendengar sendiri dari mulut beliau mengenai isu-isu yang dipertikai oleh mereka.

Saya mohon maaf kepada para pembaca. Saya bukanlah hendak menyokong Datuk Saifuddin, tetapi saya perlu menyatakan pandangan bahawa UMNO dan Barisan Nasional yang merupakan parti mentadbir urus negara ini tidak memiliki menteri dan timbalan menteri yang rapat dengan mahasiswa/i. Saya tidak nampak menteri yang begitu rapat dengan kecuali Datuk Saifuddin. Menteri-menteri dan timbalan menteri yang lain mungkin tidak mahu mencampuri urusan Kementerian Pengajian Tinggi, mungkinlah.

Saya tidak berasa pelik sekiranya Datuk Saifuddin lebih akrab dengan mahasiswa/i, hal ini kerana beliau adalah bekas pemimpin belia dan merupakan pemimpin mahasiswa/i ketika beliau di institusi pengajian tinggi.

Kita jangan terlalu mudah menjatuh hukum. Mungkin kita mencari kesalahan para mahasiswa/i yang berdemonstrasi di PWTC, tetapi kita tidak pernah mencari puncanya.

Cuba kita fikirkan, berapa kerap kerajaan melalui kementerian membuat program bersama mahasiswa/i di IPT? Berapa kerap juga Menteri Pengajian Tinggi beramah mesra bersama mahasiswa/i secara SANTAI tanpa protokol? Siapakah wakil-wakil pemimpink hususnya Setiausaha Politik yang telah mengadakan perjumpaan bersama mahasiswa/i dan mendengar masalah mereka?

Mungkin itu semua tidak dilakukan kerana hendak mengelakkan budaya politik luar masuk ke dalam kampus. Itu bukanlah alasan kerana jika mereka khususnya menteri masuk ke dalam kampus, menteri itu bukanlah menteri UMNO/BN tetapi menteri itu adalah menteri kerajaan Malaysia.

Saya yakin, sehingga saat saya menaip ini, masih ada perjumpaan diadakan di antara mahasiswa/i dengan pemimpin-pemimpin parti politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Perjumpaan yang diadakan secara tertutup di hotel-hotel bersama pemimpin-pemimpin mahasiswa/i bukanlah langkah yang baik kerana 'sudah terlambat'. Mengapa 'sudah terlambat'? Sengaja saya timbulkan persoalan di sini supaya para pembaca berfikir mengenainya.

Saya akui akan ada pihak yang tidak menyukai penulisan ini. Salah satunya adalah pihak yang telah saya nyatakan pada beberapa penulisan saya sebelum ini. (Bahagian doktrinisasi).

Sekali lagi saya ulangi di sini bahawa UMNO/BN dan pihak kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi kekurangan manusia yang boleh bersama dan akrab dengan mahasiswa/i. Sewajarnya mereka (mahasiswa/i) diberikan sentuhan peribadi dan pihak kementerian perlu kerap mengadakan perjumpaan bersama mahasiswa/i supaya mahasiswa/i akan berasa lebih dihargai.

Saya tertarik dengan kata-kata Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mengatakan bahawa era kerajaan tahu segalanya telah berakhir. Adakah itu hanya sekadar retorik atau kata-kata politik?

Jika era kerajaan tahu segalanya sudah berakhir, mengapa pandangan dan idea mahasiswa/i dan golongan muda tidak diambil kira? Adalah lebih molek sekiranya suara mahasiswa/i dan generai muda/belia didengari juga.

Ingatan Blogger kepada DS Najib

Salam dan salam sejahtera.

Saya tertarik dengan penulisan di dalam blog (KLIK) ini bersumberkan pada blog lain.

Sama ada disedari atau tidak, adalah lebih elok pihak yang berkenaan berhati-hati.
 
Jangan pandang remeh maklumat risikan
 
AKHBAR Utusan Malaysia dan blog-blog yang pro kerajaan telah banyak kali memperkatakan serta mendedahkan tentang musang berbulu ayam atau musuh dalam selimut dalam kepimpinan Najib tapi malangnya Najib bagaikan buta untuk melihat keadaan sekeliling malah Najib dilihat lebih memilih untuk mendengar atau terpengaruh dengan cakap-cakap orang-orang yang dipilihnya termasuklah Setiuasaha–Setiausaha Politik ataupun Ketua-ketua agensi daripada mahu mendengar dan menyiasat apa yang dilaporkan oleh rakyat, pemimpin yang dipilih oleh rakyat dan juga kalangan MKT yang dipilih oleh orang ataupun ahli-ahli UMNO.

Isu Air Asia, isu MAS, isu penyenaraian Koperasi Permodalan Felda (KPF) oleh Felda Global Ventures dan banyak lagi isu-isu yang menjadi rungutan rakyat ditimbulkan oleh pemimpin-pemimpin yang dipilih oleh rakyat bagaikan tidak mendapat tempat untuk Najib pasang telinga dan mengambil kira pandangan-pandangan yang diberikan.

Niat Najib terhadap rakyat dan Negara ini mungkin baik tetapi perlaksanaannya akan diusahakan untuk digagalkan oleh watak-watak yang sememangnya sedang bersungguh-sungguh menjalankan gerakan untuk meruntuh serta mencalarkan imej Najib, BN dan UMNO dan barangkali Najib tidak sedar dengan apa yang sedang berlaku di sekelilingnya kerana diberikan gambaran baik-baik sahaja oleh watak-watak yang sedang berlakon didepan matanya.

Najib bagaikan tolak segala pandangan mereka ini dan lebih akur kepada pandangan serta nasihat-nasihat daripada kalangan pegawai yang banyak bersifat gunting dalam lipatan dan api dalam sekam dan kita menjangkakan akan berlaku serangan secara serentak daripada pihak-pihak ini hingga Najib ditendang keluar dari Putrajaya sebagaimana nasib Pak Lah satu ketika dulu. Mungkin Perdana Menterinya nanti bukan dari UMNO sekiranya gerakan-gerakan ini berjaya.

Kita lihat dan Najib harus lihat dengan mata kasyaf beberapa perkembangan politik sejak akhir-akhir ini kerana ianya boleh ditafsirkan bahawa seperti ada gerakan dalaman yang disusun serta dirancang begitu rapi untuk menggulingkan beliau.

Sebagai contoh paling dekat, keadaan politik ataupun ekonomi negara tidak akan dibenarkan berada dalam keadaan tenang, bila tenang akan muncullah berbagai-bagai peristiwa dan watak-watak tertentu yang dilihat cuba menganggu gugat kestabilan politik negara ataupun program-program transformasi Perdana Menteri. Watak-watak ini akan berselindung di belakang PM Najib.

Watak-watak yang sepatutnya menjadi benteng mempertahankan kerajaan dan PM Najib mula dicurigai menjalankan agenda-agenda bagi memenuhi tuntutan individu tertentu baik yang berada di dalam kerajaan ataupun parti atau yang berada di luar kerajaan dan juga parti. Gerakan-gerakan mereka ini cukup mencurigakan dengan penganjuran program-program seperti di INFRA (sebagai contoh), satu pusat latihan di bawah KEMAS dan juga kumpulan pemikir maya yang terletak di Puchong. Najib tahukah semua ini?

Najib dikelilingi musang berbulu ayam..!

Malah ada juga yang mendakwa kehadiran Ahmad Maslan bagi mengawal selia FELDA tidak banyak menguntungkan kerajaan dan juga PM Najib malah dilihat lebih banyak merosakkan sokongan masyarakat FELDA apatah lagi dengan kebocoran beberapa maklumat serta dokumen-dokumen sulit hingga berjaya diperoleh oleh pembangkang dan juga blogger-blogger yang pro pihak lawan. Timbul tandatanya, siapa yang berikan semua ini?

Begitu juga dengan tindakan CUEPACS satu badan yang mewakili kakitangan kerajaan yang begitu banyak mendesak serta mempertikaikan keputusan-keputusan kerajaan. Mereka ini seperti sengaja merancang untuk menekan kerajaan terutama sekali dalam isu SBPA dan setiap tahun menuntut bonus daripada kerajaan walaupun ada perkhidmatan mereka dicemuh rakyat.

Dan paling terbaru, dalam waktu terdekat ini sekali lagi difahamkan mahasiswa-mahasiswa akan turun berdemontrasi untuk mendesak kerajaan memansuhkan AUKU dan adakah Saifuddin Abdullah sekali lagi akan mengetuai demontrasi ini sebagaimana beliau lakukan baru-baru ini. Mahasiswa yang sedang gila mahu berpolitik ini akan digunakan semaksimum mungkin untuk menggegarkan kepimpinan Najib. Adakah sekali lagi Najib akan `ditampar’ oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini?

Sebahagian ini dan ada lagi bahagian-bahagian yang saya simpan yang dilihat sebagai bukti nyata untuk menghalang Najib daripada menjayakan transformasi politik dan pentadbiran awam dalam kerajaannya dan sekiranya Najib menyerah bulat-bulat perancangan ini untuk dijayakan oleh pegawai-pegawai lantikannya, kita yakin dan amat percaya usaha Najib akan disabotaj oleh orang-orang yang Najib sangkakan berdiri teguh bersamanya sedangkan mereka inilah yang akan menikam Najib dari belakang.

Najib jangan pandang remeh dengan segala maklumat-maklumat yang disalurkan oleh orang-orang yang sayang kepada kepimpinan beliau. Memandang rendah atau mengkesampingkan segala maklumat atau laporan atau risikan yang bukan dari `inner-circle’nya, Najib akan meletakkan kedudukan beliau dalam bahaya.
 
*********************************
Ada beberapa perkara yang saya tidak bersetuju dengan penulisan ini, tetapi tidak kesemuanya perlu diabaikan. Adalah sesuatu yang penting untuk barisan kepimpinan parti dan negara melihat perkara ini sebagai sesuatu yang penting dan tidak mengabaikan maklumat yang diperolehi.

*Saya juga blogger yang menyokong kepimpinan Datuk Sri Mohd Najib. Tetapi tidak menyokong membabi buta. Kritikan itu perlu untuk mencapai sesuatu yang lebih baik.

Sabtu, Disember 17, 2011

Mereka bijak tapi tindakan bodoh

Salam dan salam sejahtera.

KEBEBASAN. Itulah yang dicari oleh sekumpulan mahasiswa/i yang berdemonstrasi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Kebebasan apakah? Anda boleh lihat gambar-gambar di bawah ini;






Kita semua sewajarnya berbangga apabila yang turun menyertai demonstrasi itu kebanyakkannya adalah mahasiswa/i Melayu. Alhamdulillah majoritinya Melayu, itu berdasarkan gambar yang dipaparkan.

Kebebasan akademik. Apakah tiada kebebasan akademik di negara ini? Sedangkan para pensyarah cerdik pandai berstatus ilmuan bebas mengeluarkan hujah dan pendapat sekiranya di minta oleh pihak media. Kebebasan para ilmuan cerdik pandai ini tiada batasnya apabila membuka mulut di dalam dewan-dewan kuliah.

Maafkan saya. Saya melihat signifikan demonstrasi yang dibuat oleh para mahasiswa/i itu hanya sekadar mengikut telunjuk dan arahan pihak-pihak tertentu. Arahan pihak mana?

Perlu diketahui bahawa keputusan mahkamah berkenaan kes seorang lelaki berstatus Datuk Seri yang juga merupakan ANU-gerah Tuhan seperti yang diperkatakan oleh isterinya itu akan diketahui pada 9 Januari 2012.

Tidakkah kita melihat tindakan mahasiswa/i tersebut seolah-olah hendak menutup isu sodomi tersebut? Sebelum ini negara kita lebih memberi tumpuan kepada BERSIH sehingga melupakan seketika kes sodomi tokoh terkenal yang bijak berkata-kata itu.

Maaf, saya tidak suka cara atau budaya demonstrasi diamalkan di dalam negara ini. Tindakan ini akan menyusahkan banyak pihak dalam melaksanakan urusan tertentu.

Ketika para mahasiswa/i Universiti lain sibuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah-pensyarah, ada juga mahasiswa/i Universiti tertentu yang mempunyai masa untuk berdemonstrasi sehingga menurunkan gambar Perdana Menteri.
Tindakan menurunkan gambar Perdana Menteri itu sebenarnya menunjukkan kedangkalan dan kejahilan mahasiswa/i dalam menghormati demokrasi negara ini. Demokrasi bukanlah sistem yang perlu kita terima apabila ia memihak kepada kita. Demokrasi adalah kemenangan bagi pihak yang memperolehi sokongan terbanyak. Ini definisi yang cuba saya ringkaskan kepada para pembaca supaya mudah difahami.

Sedar atau tidak, tindakan mahasiswa/i yang menurunkan gambar Perdana Menteri di PWTC itu sebenarnya telah menodai demokrasi. Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri atas tiket beliau sebagai Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat dan merupakan Presiden UMNO serta Pengerusi Barisan Nasional. Sememangnya betul Perdana Menteri tidak dipilih secara terus oleh rakyat tetapi majoriti rakyat negara ini memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan.

Tindakan yang dilakukan oleh para mahasiswa/i itu sebenarnya adalah salah satu cara mereka mengucapkan TERIMA KASIH kepada kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Sri Mohd Najib yang telah mengumumkan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), yang akan membenarkan mahasiswa/i menjadi ahli parti politik.

Tindakan Perdana Menteri yang terlalu berlembut dan selalu menunaikan permintaan golongan minoriti sememangnya telah mengguris hati golongan majoriti.

Saya sendiri telah mendengar khabar mengenai ulasan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia mengenai pindaan AUKU tersebut. Media khususnya stesyen televisyen swasta dan stesyen televisyen kerajaan telah bercanggah dalam melaporkan berita. Bayangkanlah, satu-satunya media rasmi kerajaan telah memutar belit kenyataan YDP MPP USM yang secara jelas menyatakan bahawa beliau menghormati keputusan kerajaan untuk meminda AUKU tetapi tetap dengan pendirian tidak bersetuju pindaan dilakukan.

Saya agak kecewa dengan media rasmi kerajaan itu yang telah melaporkan dengan salah perkara tersebut. Pembetulan yang dibuat melalui perbualan telefon di dalam program siaran langsung juga khabarnya telah 'dicantas' kerana mungkin tidak mahu memalukan stesyen televisyen itu sendiri.

Kerajaan sewajarnya tahu bahawa tidak semua tuntutan rakyat negara ini akan dapat ditunaikan.

Saya hanya berharap supaya kerajaan pimpinan Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ini mampu mengatasi permasalahan yang telah berlaku disebabkan beberapa tindakan 'baik hati' kerajaan terhadap tuntutan-tuntutan golongan minoriti.

  • Novel Interlok telah dipinda sebab ada perkataan paria dan beberapa pindaan lain telah dipinda.
  • Utusan Malaysia bertarikh 17 Disember melaporkan bahawa Novel Interlok tidak akan digunakan bagi mata pelajaran sastera untuk pelajar tingkatan lima mulai tahun 2012.
Saya yakin, disebabkan 'keterbukaan' dan 'kebaikan hati' kerajaan yang ada sekarang ini, InsyaAllah suatu hari nanti akan ada tuntutan untuk meminda sejarah tanah air untuk menyatakan bahawa semua kaum utama di negara ini sebenarnya adalah penduduk asal Tanah Melayu ini.

Kesemua yang difikirkan mustahil hari ini mungkin akan berlaku

Mereka dan kita semua perlu tahu bahawa orang Melayu sememangnya pendatang di Malaysia tetapi status pendatang itu adalah pendatang dari satu KEPULAUAN NUSANTARA atau KEPULAUAN MELAYU.


Fikir-fikirkanlah.

Rabu, Disember 14, 2011

Setiausaha Politik lagi teruk dari Menteri

"...tuan-tuan yang jadi Setiausaha Politik ni janganlah jadi lebih teruk daripada Menteri..." - Datuk Ishak Ismail, Ketua UMNO Bahagian Seremban.

Salam dan salam sejahtera.

Sebaris ayat di atas adalah merupakan kata-kata Yang Berbahagia Datuk Ishak Ismail, Ketua UMNO Bahagian Seremban ketika berucap mewakili UMNO Negeri Sembilan di dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun 2010.

Sememangnya di dalam ucapan Datuk Ishak itu sering membuatkan para perwakilan dan kesemua insan yang berada di dalam dewan PWTC itu tidak kering gusi. Namun begitu, adakah mesej yang disampaikan sampai kepada golongan sasar? Saya biarkan persoalan ini tanpa jawapan.

Di dalam penulisan ini, saya tidak berniat hendak membuka aib pihak-pihak tertentu. Maafkan saya sekiranya terdapat beberapa perkara yang terpaksa diselindungkan demi menghormati hak-hak pihak tertentu.

Secara peribadi saya bersetuju dengan 'nasihat' yang dilontarkan oleh Datuk Ishak ketika berucap di hadapan pemimpin-pemimpin, para perwakilan dan pemerhati UMNO. Akan tetapi nasihat tersebut tidak seharusnya hanya menjadi nasihat yang dipandang sepi atau hanya sekadar hiburan di dalam Dewan PWTC itu sahaja. Perhimpunan Agung UMNO bukanlah medan untuk mendengar lawak jenaka mahupun medan untuk melontarkan propaganda kejayaan parti, tetapi lebih dari itu.

Saya terpaksa mencatatkan di sini perkara yang dialami sendiri selepas berurusan dengan seorang insan yang berstatus Setiausaha Politik. Selepas 21 bulan segala urusan 'diselesaikan', saya dikhabarkan bahawa urusan tersebut masih belum selesai. Penulisan ini bukanlah berunsurkan 'dendam', tetapi dikhususkan kepada semua Setiausaha Politik supaya dijadikan ikhtibar dan tidak membuat perkara yang sama.

Semasa saya menjadi Timbalan Pengarah untuk projek makan malam anak Johor di USM, kami telah meminta tajaan daripada seorang Setiausaha Politik yang 'kebetulan' membuat lawatan ke USM. Selepas sesi ramah mesra bersama Setiausaha Politik tersebut, kami jawatankuasa pengelola telah berjumpa secara peribadi untuk meminta sumbangan kewangan. Setiausaha Politik tersebut secara 'murah hatinya' telah menyebut "saya bagi RM5,000.00 (lima ribu) cukup?" Kami ketika itu umpama sudah mengantuk dan tiba-tiba mendapat bantal terus menerima dengan syarat beliau akan membawa ahli-ahli rombongan daripada pergerakan Pemuda UMNO.

Sekadar Gambar Hiasan

Dipendekkan cerita, pada 27 Mac 2010, saya secara rasmi menerima perlantikan sebagai Yang Di-Pertua Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR), Universiti Sains Malaysia (USM). Secara rasminya juga pada 29 Mac diadakan satu program makan malam untuk Malam Penghargaan khas untuk ahli-ahli IKMAR (tajaan penuh daripada Setiausaha Politik tersebut). Beliau turut membawa bersama beberapa pemimpin Pemuda UMNO Bahagian di Johor ke majlis tersebut. Pada malam itu kami telah dijanjikan sumbangan kewangan sebanyak RM1,000.00 (satu ribu) sebulan untuk melancarkan aktiviti persatuan anak negeri Johor. Hal ini kerana kami sememangnya tidak mempunyai kewangan yang kukuh. Kami berbangga kerana dapat beramah mesra dengan seorang Setiausaha Politik yang begitu rapat dengan pemimpin nombor dua negara ketika itu.

Tidak disangka-sangka, keceriaan dan senyuman kami khususnya saya sebagai YDP tidak lama. Semasa cuti semester tahun 2010, saya telah dihubungi oleh pihak Universiti (Bahagian Hal Ehwal & Pembangunan Pelajar) yang menyatakan bahawa bayaran makan malam sebanyak RM5,000.00 belum dijelaskan. Saya menghubungi sendiri **fiz Catering untuk bertanya mengenai perkara tersebut, dan pemilik **fiz Catering mengesahkan beliau belum mendapat sebarang bayaran. Bayangkanlah, cuti semester tahun 2010 itu saya sendiri terpaksa menjawab panggilan telefon pihak Universiti yang bertanya mengenai bayaran tertunggak sedangkan bayaran itu sudah menjadi tanggungjawab pihak Setiausaha Politik tersebut.

Cuti semester tidak bermakna apabila hampir setiap hari dihubungi oleh pihak Universiti yang bertanya mengenai bayaran tersebut. Apabila sesi baru semester bermula, hampir setiap minggu saya 'mengadap' pegawai Universiti untuk menyelesaikan perkara ini. Saya sendiri diminta oleh pegawai Universiti untuk menghubungi Setiausaha Politik tersebut tetapi gagal. Saya menghubungi pejabatnya, staf yang menjawab hanya mengatakan "tuan sedang bermesyuarat".

Program makan malam IKMAR diadakan pada 29 Mac 2010. Syukur Alhamdulillah, pada bulan Mac 2011 kami anak-anak Johor (IKMAR) USM ditemukan semula dengan Setiausaha Politik tersebut di dalam program Karnival Sukan Anak Johor (KSAJ) yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ramai rakan saya di dalam IKMAR dapat melihat dengan jelas reaksi 'kurang senang' Setiausaha Politik tersebut ketika bersalaman dengan saya selaku YDP ketika itu. Almaklumlah orang ada hutang memang begitulah rasanya.

Sekadar Gambar Hiasan

Selepas sesi perasmian KSAJ, telah diadakan sesi ramah mesra antara Setiausaha Politik tersebut bersama pemimpin-pemimpin persatuan anak Johor di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Saya tidak bertanya soalan kerana 'mengawal' diri daripada bertanyakan soalan yang tidak sepatutnya ditanya. Saya hampir tergelak apabila Setiausaha Politik tersebut menasihatkan kami supaya mengundang pemimpin-pemimpin Johor datang ke Universiti kami untuk beramah mesra. Pokok pangkalnya tuan, pemimpin-pemimpin Johor memang 'MALAS' nak jenguk mahasiswa/i anak Johor di USM kecuali tiba musim pilihan raya.

Selepas sesi ramah mesra tersebut, saya telah berjumpa secara peribadi dengan Setiausaha Politik tersebut dan beliau mengatakan pembayaran tersebut sudah sampai ke proses akhir. Pada mulanya beliau menjelaskan tiada pembayaran dilakukan pada tahun 2010 kerana 'tiada bajet'. Kini, tahun 2011 sudah hampir sampai ke penghujungnya, bajet tahun ke berapa lagi hendak ditunggu? Kena tunggu bajet kerajaan berkebajikanlah nampaknya.

RM5,000.00 bukanlah satu jumlah yang sedikit. Sekiranya tidak mampu ditunaikan janganlah berikan kami harapan. IKMAR turut dijanjikan peruntukkan kewangan sebanyak RM1,000.00 sebulan dan nombor akaun telah diberikan, tetapi sehingga saat saya menaip ini masih belum ada sebarang kemasukan aliran wang tunai ke dalam akaun persatuan. Dimanakah janji-janji itu? Akan tertunai atau akan terkubur?

Suara mahasiswa/i bukanlah sehebat suara golongan yang berteriak di jalanan seperti BERSIH. Suara mahasiswa/i hanya didengari sekiranya mandat pilihan raya sudah hampir ke penghujung. Saya menaip hanya sebagai bekas mahasiswa.

Disebabkan perkara ini masih belum selesai, seseorang telah membantu saya dengan menghubungi pihak di Kementerian. Pegawai yang bertanggungjawab mengatakan bahawa Tan Sri telah menandatangani borang yang berkaitan pembayaran tersebut dan langkah akhir adalah di peringkat kewangan. Namun begitu, sehingga kini bayaran masih belum diselesaikan. Saya berpendapat ada pihak khususnya yang berada di dalam Kementerian tersebut telah menyekat pembayaran demi untuk mencemarkan nama Setiausaha Politik tersebut.

Mungkin disebabkan 'sumpah seranah' kami terhadap Setiausaha Politik tersebut, beliau telah berundur kerana 'tekanan' yang diterima daripada pihak-pihak tertentu. Walaupun beliau bukan lagi Setiausaha Politik, tetapi beliau masih lagi pemimpin belia di negeri Johor dan salah seorang anggota Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Saya tidak mahu menyalahkan sepenuhnya kepada Setiausaha Politik tersebut. Saya hanya ingin menasihatkan kesemua pemimpin UMNO khususnya dan kesemua ahli UMNO yang bercita-cita hendak menjadi Setiausaha Politik atau sebagainya, janganlah menipu mahasiswa/i.

Walaupun yang membuat onar itu adalah Setiausaha Politik, walaupun yang 'menyekat' pembayaran itu adalah orang di dalam Kementerian terbabit, tetapi yang akan mendapat nama buruk adalah Tan Sri. Mahasiswa/i sudah tentu tidak akan menerima pembohongan seperti ini berterusan. Mahasiswa/i khususnya IKMAR hari ini sudah tidak mempercayai janji-janji orang politik.

Walau apa pun, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Universiti kerana membantu IKMAR menyelesaikan bayaran tertunggak sebanyak RM5,000.00 itu. Bayaran tetap perlu dilunaskan. Janji tetap janji wahai Setiausaha Politik.

Hendak mengharapkan sumbangan kerajaan Negeri seperti yang dicanang-canangkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO Johor, sememangnya akan bergegarlah jambatan Pulau Pinang sekiranya benar sumbangan itu diterima oleh IKMAR.

Dua perkara sahaja yang sekali lagi ingin saya tekankan di sini iaitu sumbangan dana yang dijanjikan oleh Setiausaha Politik itu kepada IKMAR sebanyak RM1,000.00 sebulan (termasuk bayaran RM5,000.00) kepada IKMAR perlu ditunaikan, dan UMNO perlu 'membimbing' pemimpin-pemimpin seperti bekas Setiausaha Politik itu untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab dan tidak menjadi lebih teruk daripada Menteri.

Saya berharap Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Mohd Yassin membawa mesej yang saya sampaikan di sini kerana hal ini berkaitan dengan kementerian beliau.

"Saya terima teguran awak mengenai (bekas) Setiausaha Politik itu Syukri.. Masalah ini akan diatasi segera. Terima kasih."

Mungkin inilah ayat yang mungkin terkeluar daripada mulut Tan Sri. Sekadar andaian sahaja. Itulah Syukri, tolak tawaran kerja 'dekat' dengan Tan Sri.


Saya suka dengan ayat seorang pegawai Universiti yang secara spontan berkata mengenai orang agama masuk politik,

"...kalau ada orang politik masuk agama, itu alhamdulillah...tapi bila ada orang agama masuk politik, itu nauzubillah...Syukri, kamu nampak buktinya..."

Sekian.

Jumaat, Disember 02, 2011

Perhimpunan Agung UMNO : Akar Umbi di mana?

Salam dan salam sejahtera..

Minggu ini, parti terbesar umat Melayu beragama Islam sedang mengadakan mesyuarat agungnya. Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO adalah tunjang utama kepada Barisan Nasional dan parti yang berjaya menyatukan pertubuhan-pertubuhan serta orang Melayu untuk menuntut kemerdekaan tanah air ini.

UMNO lahir di dalam istana. UMNO tidak lahir di tepi jalan dengan laungan reformasi. UMNO tidak lahir kerana hendak membela seorang individu. UMNO tidak lahir untuk menghapuskan hak istimewa orang Melayu. UMNO tidak lahir untuk menjadikan negara ini sebagai negara republik. UMNO tidak lahir untuk menjadikan agama Islam sama haknya seperti agama-agama lain di negara ini. UMNO lahir untuk menyatukan seluruh umat Melayu/Islam bagi menuntut kemerdekaan seterusnya mengisi kemerdekaan sehingga apa yang kita semua kecapi hari ini.

UMNO tetap UMNO. Pernah 'dimatikan' seketika pada tahun 1988, namun begitu berjaya 'dihidupkan' semula oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan nama UMNO (Baru).

UMNO, walaupun pernah 'mati' seketika tetapi roh perjuangannya masih tetap sama. Demi AGAMA, BANGSA dan TANAH AIR.

UMNO tidak pernah mengecewakan kita semua. UMNO hanya sebuah parti, organisasi, wadah, dan platform. UMNO tidak bergerak secara sendirinya tetapi digerakkan oleh ahlinya. Di dalam berjuta ahli UMNO, ada barisan kepimpinan yang diberi tanggungjawab untuk membawa ahli dan parti menuju ke puncak kejayaan yang cemerlang.

UMNO hari ini sudah berbeza. Tersentuh hati saya apabila menonton rakaman ucapan wakil UMNO Kelantan (Bahagian Ketereh), yang sebak dan ikhlas menyatakan bahawa sukar melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat. Beliau turut menyatakan supaya jangan ada yang berebut untuk menjadi pemimpin. Saya simpulkan ucapan beliau, kita perlu berjuang dengan ikhlas, tidak perlu berebut hendak menjadi wakil rakyat dan yang paling utama ialah tidak perlu menurut kehendak kaum-kaum lain yang cuba hendak menuntut yang bukan-bukan. Analogi kisah tuntutan Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Melaka.

Keikhlasan itu penting dalam perjuangan. Jika tiada keikhlasan, maka akan berlakulah pengumpulan kekayaan apabila memegang sesuatu jawatan di dalam parti.

Sebagai ahli, saya memuji UMNO kerana berjaya membawa negara ini ke arah yang sangat cemerlang. Kejayaan ini diraih bersama dengan parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain. Namun begitu, UMNO khususnya kepimpinan tertinggi perlu menyedari bahawa pokok yang rendang dan mempunyai daun serta buah yang segar, sebenarnya bergantung dengan akar yang memberi sumber kepada bahagian yang paling hujung di atas pokok itu.

UMNO perlu menghargai jasa ahli di peringkat akar umbi. Saya maksudkan kepimpinan parti sama ada di peringkat kebangsaan, negeri, dan lebih-lebih lagi di peringkat bahagian perlulah menghargai jasa ahli di peringkat cawangan. Ahli di peringkat akar umbi khususnya ahli di cawangan-cawangan inilah yang perlu dihargai kerana mereka bertungkus lumus bekerja untuk parti semasa pilihan raya. Mereka inilah yang memasang poster, menjaga poster supaya tidak dirosakkan oleh 'binatang-binatang' ternakan parti lawan semasa proses kempen pilihan raya diadakan. Mereka inilah yang menjadi pengundi 'totok' atau pengundi setia kepada Barisan Nasional semasa pilihan raya. Mereka ini jugalah yang hadir semasa mesyuarat UMNO di peringkat cawangan diadakan. Mereka ini jugalah yang hadir dan memeriahkan program-program UMNO seperti program Juara Rakyat jika diadakan di kampung-kampung. Persoalannya, adakah penghargaan diberikan kepada mereka?


Penghargaan. Penghargaan lazimnya diterjemahkan melalui sijil penghargaan. Semasa pilihan raya pula, ahli-ahli yang bekerja keras ini akan mendapat makanan dan sedikit pemberian kerana bekerja untuk kemenangan parti. Tetapi, mengapa tidak diberikan peluang kepada ahli-ahli di peringkat cawangan untuk merasai kemeriahan suasana Perhimpunan Agung UMNO di PWTC? Adakah Perhimpunan Agung UMNO di PWTC itu hanya untuk golongan-golongan elit UMNO? Adakah golongan-golongan bawahan atau bahasa kasarnya kami ini 'golongan bangsat' tidak sesuai dan tidak layak berada di sana?

Saya yakin akan ada pemimpin UMNO yang menjawab, "Sesiapa yang hendak pergi silakanlah, kami tidak halang". Mengapa UMNO di peringkat bahagian tidak menyediakan bas untuk membawa kepimpinan di peringkat cawangan untuk berada bersama di PWTC semasa Perhimpunan Agung UMNO? Adakah kerana belanja yang besar? Sewa bas untuk pergi ke Kuala Lumpur daripada Batu Pahat tidak sampai RM3,000.00 (tiga ribu RINGGIT). Apa salahnya UMNO Bahagian menyediakan beberapa buah bas untuk ahli-ahli di peringkat cawangan pergi ke Perhimpunan Agung UMNO? Sekadar menonton slot berita TV3, RTM, Awani di televisyen sahaja itu tidak memadai. Setidak-tidaknya mereka boleh jadikan kenangan selepas penat bekerja untuk parti.

Kos yang besar bukanlah alasan yang kukuh untuk tidak menyediakan beberapa bas kepada ahli di peringkat cawangan untuk turut sama berada di PWTC. Apa salahnya, kos membuat rombongan ke Indonesia, Thailand atau ke mana jua itu digunakan untuk ahli di peringkat cawangan?

Saya mendapat perkhabaran daripada sumber yang berada di PWTC, lokasi di mana berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO. Perkhabaran yang menyatakan bahawa blog rojak ini telah menyebabkan beberapa pihak panas punggung dek kerana teguran, andaian, analisis peribadi dan saranan yang saya catatkan secara ringkas, padat tetapi kadangkala merepek untuk tatapan umum. Saya ikhlas, dan dalam penulisan saya sebelum ini bukanlah hendak menutup pintu pihak-pihak tertentu tetapi itu hanya sekadar andaian dalam pemilihan calon yang dirasakan akan memberi kemenangan kepada parti.

Sekali lagi saya memohon maaf sekiranya penulisan saya sebelum ini menyebabkan beberapa pihak berasa tidak senang. Saya menulis berdasarkan maklumat yang saya perolehi daripada sumber yang boleh dipercayai. Tidak perlu sesiapa bertanya punca maklumat itu kerana saya juga mempunyai rakan-rakan di dalam UMNO Bahagian Parit Sulong, Batu Pahat, Sri Gading, dan Ayer Hitam.

Maaf, saya juga tidak mempercayai laporan drama ‘Gerak Khas’.

Saya juga hendak mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan UMNO Johor kerana membaca penulisan di dalam blog ini. Saya berpegang kepada kata-kata seorang pemimpin UMNO, 

Jika kita bercakap dengan nada yang lembut, belum tentu suara kita dan apa yang kita sebutkan itu akan didengari oleh semua pihak. Jadi, kita perlu sesekali menggunakan kata-kata yang keras untuk menyedarkan mereka tersebut”.

Blog ini sudah terlalu banyak menulis memuji UMNO, apalah salahnya sekiranya saya sebagai ahli UMNO dan empunya blog ini menulis untuk menegur kepimpinan parti yang saya anggotai. Benar, sepatutnya saya menjaga keaiban dan tidak menegur secara umum di sini. Bagaimana pula saya hendak menyampaikan mesej yang jelas supaya diterima oleh kepimpinan parti? Sedangkan surat yang saya hantar semasa saya masih bergelar mahasiswa turut tidak direspon sehinggalah saya sudah bergraduasi? Itu cerita lama. Ya cerita lama tetapi sejarah tetap sejarah dan perlu diungkap semula untuk pengajaran mereka yang mudah lupa.

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana belajar di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam dan yuran pengajian saya diberi subsidi lebih RM9,000.00 (Sembilan ribu) oleh kerajaan yang ditunjangi oleh Barisan Nasional.

Saya menjadi mengisi borang keahlian UMNO selepas tamat tingkatan enam pada tahun 2007. Saya adalah ahli UMNO Bahagian Ayer Hitam. Jangan kerana dek teguran yang saya lemparkan ini, ada pihak yang saya wajar gelar sebagai pencacai pemimpin UMNO cuba hendak menegakkan benang yang basah.

Saya sayang agama saya. Saya sayang Negara saya. Saya sayang bangsa saya. Saya tidak akan bersekongkol dengan manusia yang cuba merosakkan Negara ini dengan niat “masuk UMNO nak jadi wakil rakyat dan nak cari kekayaan untuk diri sendiri”.

Sebagai ahli UMNO sendiri saya sudah mula menyampah dengan sebahagian besar pemimpin parti, maka tidak peliklah sekiranya beberapa rakan saya yang sama-sama menuntut di IPTA (orang Johor) selama ini yang menyokong UMNO (tapi bukan ahli) sudah berubah arah.

Teguran ikhlas kepada kepimpinan parti sama ada di peringkat kebangsaan, negeri mahupun bahagian, seperti mana kata-kata Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak beberapa tahun sudah,

"BERUBAH SEBELUM REBAH".