Followers

Rabu, Mei 12, 2010

Nepotisme yang tak sengaja diamalkan..huhhh!!

Salam.. Salam Sejahtera..

Cakap tak serupa bikin

Dulu semasa Dr. Mahathir Mohamad menerajui Malaysia, beliau dicap sebagai Mahafiraun. Beliau dituduh sebagai orang yang mengamalkan nepotisme, kronisme dan macam-macam lagi.

Beliau dicap acap kali oleh penulis upahan seperti Kickdefella dan blogger-blogger lain, yang kemudiannya ada yang dipilih bertanding pilihan raya, baik mewakili PKR mahupun DAP.

Idea itu kemudian dibawa mulut ke mulut dan disebarkan oleh cerdik pandai, terutamanya Melayu, termasuk yang berada di universiti-universiti di serata tempat. Orang kampung pun termakan dengan slogan-slogan itu.

Parti-parti pembangkang menggunakan modal itu siang dan malam. Pendek kata mereka menang dengan perang saraf itu. Pihak arus perdana, parti yang memerintah sebaliknya terlalu defensif.

Istilah nepotisme digunakan secara meluas. Para pemimpin negara dikatakan mengamalkan nepotisme dan kronisme.

Apa itu nepotisme. Ia berasal dari perkataan Latin nepos, bermakna ‘anak saudara’ atau ‘cucu’. Istilah mudah bahasa Melayu ialah politik anak-beranak. Ia banyak diamalkan oleh pihak gereja di Zaman Pertengahan, apabila paus-paus Katolik dan ketua-ketua paderi yang tiada anak, memberikan kepada anak-anak saudara mereka kedudukan yang tinggi.

Nepotisme biasa berlaku dalam politik. Para pemimpin yang menerajui sesebuah parti akan menurunkan kepada anak beranaknya kuasa tertinggi, walaupun ada yang tidak layak untuk mendudukinya.

Di Malaysia, amalan ini juga berlaku. Kita jangan cakap kepada pihak lain, tapi kepada pihak pembangkang yang dulu amat juara dalam hal ini. Sebenarnya mereka menjuarainya kerana, mungkin, mereka mahu menutup pekung di dada sendiri.

Saya tertarik membaca artikel dalam portal berita sarawakupdate.com mengenai kisah bagaimana DAP dikatakan mengamalkan amalan itu, selama ini.

Benarkah? Susah hendak percaya, kerana DAP kan sebuah parti sosialis demokratik - takkan cakap tak serupa bikin pula?

Tulisan itu bertajuk Nepotism at its best in DAP, atau Nepotisme di kemuncaknya dalam DAP oleh penulis Freddy Kulleh.

Yang menariknya menurut Freddy, DAP menggunakan slogan manifesto di Sibu berbunyi Agenda Perubahan atau Jom Ubah. Tapi DAP sendiri tidak berubah, terutamanya apabila ia melibatkan kaum kerabat dan anak-beranaknya?

Artikel itu menarik untuk direnungkan. Berikut sedutannya:

Perubahan mesti berlaku, dan kita semua menyokong perubahan dalam semua aspek kehidupan, kecuali kita tidak boleh ubah kaum keluarga sendiri.

Sebagai sebuah negara, sudah tentu kita akan berubah, atau melalui transformasi daripada apa yang kita kecapi 50 tahun dulu. Tiada mana-mana orang yang berfikiran waras, walaupun dia dari Ulu Kapit sekali pun akan menafikan hakikat ini.

Perubahan sebagaimana yang kita alami di negara ini merupakan satu proses evolusi, bukan revolusi. Kita mesti berubah demi negara, tapi bukan berubah untuk memuaskan nafsu segelintir individu atau parti milik-keluarganya.

Susah untuk memuaskan semua pihak, terutama di Sarawak yang mempunyai 30 etnik berbeza. Tapi, apakah negara kita ini ialah sebuah negara yang gagal? Fikir!

Berbalik kepada DAP yang lantang meminta penduduk Sibu berubah. DAPlah yang harus berubah dulu.

Freddy terus menulis: DAP sebagai parti politik tidak pernah berubah sejak lima dekad lalu (iaitu 50 tahun).

Sejak pembentukan rasminya pada 1966, DAP ialah Lim Kit Siang dan Lim Kit Siang ialah DAP. DAP ialah parti Satu-Orang, yang disokong oleh Dinasti Lim.

Struktur kepemimpinan DAP tidak pernah melalui perubahan sebenar sejak kewujudannya pada 1966. Supremo parti itu masih Lim Kit Siang dan ‘putera mahkotanya’ Lim Guan Eng (yang berubah hanya jawatan).

Semasa hampir kesemua parti politik mengalami perubahan dalam barisan kepemimpinan (kecuali mungkin MIC) sejak beberapa dekad lalu, tapi apa sudah jadi dengan pihak yang sering bertempik mengenai perubahan, seperti DAP?

Sepanjang riwayat politiknya, Kit Siang sering mendesak para pemimpin BN meletak jawatan kerana ‘kamu sudah terlalu lama’, ‘beri peluang kepada yang lain’, ‘anda sudah tua’, tapi dia sendiri pula macam mana?

Di mana perubahan yang anda laung-laungkan itu saudara Lim Kit Siang?

Nepotisme berada di kedudukan tertinggi dalam DAP, sehinggakan para penyokong parti sosialis itu mempersenda DAP sebagai sebuah syarikat sendirian berhad - ‘DAP Sdn. Bhd.’

Jangan salahkan kritik-kritik itu kerana nepotisme telah menjadi sebati dalam DAP.

Panjang lagi artikel Freddy itu. Bacalah di www.sarawakupdate.com. Beliau turut mengulas mengenai percaturan-percaturan politik Dinasti Lim bagi membolehkan politik anak-beranaknya tercapai.

Oleh kerana amalan Dinasti Lim itu, kini di Sarawak juga menurut penulis itu wujud politik DAP anak-beranak – Dinasti Chong. Di sebabkan amalan ini, banyak anak-anak muda yang layak ditolak ke tepi bagi memberi ruang kepada anak-beranak itu.

Dengan nasihat Dinasti Limlah, Dinasti Chong membawa slogan agenda perubahan itu di Sibu. Sungguh ironis sekali bukan?

Berikut ialah salahsilah politik anak-beranak DAP:

LIM KIT SIANG (Bapa)

- Penasihat DAP

- Ahli Parlimen Ipoh Timur

LIM GUAN ENG (Anak Kit Siang)

- Setiausaha Agung DAP (menggantikan bapanya)

- Ketua Menteri Pulau Pinang

- Ahli Parlimen Bagan

- ADUN Air Puteh

BETTY CHEW GEK CHENG (Menantu Kit Siang)

- Isteri Lim Guan Eng

- ADUN Kota Laksamana (Melaka)

- Bekas ADUN Durian Daun

KARPAL SINGH (Bapa)

- Pengerusi DAP

- Ahli Parlimen Bukit Gelugor

GOBIND SINGH DEO (Anak Karpal)

- Ahli Parlimen Puchong

- Ahli Jawatankuasa Pusat Kebangsaan DAP

- Ahli Jawatankuasa Pemuda DAP

JAGDEEP SINGH DEO (Anak Karpal)

- ADUN Dato Keramat

CHONG SIEW CHIANG (Bapa)

- Naib Pengerusi DAP Sarawak

- Ketua Dinasti Chong

CHONG CHIEN JENG (Anak Siew Chiang)

- Naib Pengerusi Kebangsaan DAP

- Setiausaha Agung DAP Sarawak

- Ahli Parlimen Bandar Kuching

(Freddy akan terus memperbaharui

senarai nepotisme ini…)

Sumber : Utusan Malaysia 12 Mei 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan