Followers

Rabu, Ogos 17, 2011

Berani buat, beranilah tanggung..

Salam.. Salam sejahtera..

Orang kata, kalau berani buat maka kenalah berani untuk menanggung.

Merujuk kepada tajuk berita di laman portal paling NEUTRAL iaitu MALAYSIAKINI pada 16 Ogos 2011 yang bertajuk "Imam kecewa selepas ditangkap dalam BERSIH". 


Secara peribadi saya simpati dengan luahan hati imam tersebut. Saya juga amat simpati dengan nasib beliau sekarang.

Namun begitu adakah beliau yang juga seorang imam sebelum ini menyedari akan apa yang dilakukannya semasa hendak turut serta di dalam perhimpunan BERSIH?

Adakah beliau tidak menerima arahan atau surat rasmi daripada Jabatan Agama Johor (JAJ) supaya tidak turut serta di dalam perhimpunan yang tidak mendapat permit polis itu?

Saya simpati dengan beliau tetapi dalam masa yang sama saya menyokong tindakan penggantungan tugas imam tersebut oleh JAJ. Kita tidak mahu arahan atau amaran hanya sekadar gertakan tetapi tiada tindakan. Maka tindakan itu adalah wajar. Alhamdulillah JAJ berani bertindak dan bukan hanya sekadar AMARAN.

Beliau menerima surat penggantungan tugas pada 2 Ogos 2011 kerana melanggar arahan JAJ dan penggantungan selama 3 bulan itu juga rasanya akan melibatkan pembekuan elaun sebanyak RM750 sebulan.

Seperti biasa Malaysiakini akan melaporkan berita ini untuk meraih simpati dan saya yakin InsyaAllah rezeki itu ada di mana-mana. InsyaAllah imam ini akan mendapat imbuhan daripada penganjur BERSIH yang simpati dengan nasib beliau. Manalah tahu beliau akan diundang untuk berceramah di pentas-pentas seperti mana bekas pengkritik Raja Lawak.

Walau apa pun, saya menyokong tindakan JAJ itu. Arahan dan amaran sudah dikeluarkan dan apabila seseorang itu berani melanggar arahan maka ia juga perlu berani berdepan dengan tindakan.

Berfikir sebelum bertindak. Jagalah periuk nasi kita sendiri. Jangan hanya mengharap makanan percuma di khemah polis seperti di perhimpunan BERSIH.

Ahad, Ogos 14, 2011

Cubaan.. Dugaan.. atau hanya sekadar PROPAGANDA?

Salam.. Salam sejahtera..

Selamat berpuasa di bulan Ramadhan.

Walaupun kita berada di dalam bulan yang mulia, namun begitu kemuliaan Ramadhan itu tidak semestinya terhindar daripada sebarang kontroversi.

Bermula di Selangor, apabila dikhabarkan seramai 12 orang Melayu Islam berbuka puasa di dalam gereja. Perkara ini sudah di ulas panjang lebar oleh pihak-pihak tertentu di media dan blog.

Cuma persoalan yang saya ingin timbulkan di sini, adakah 12 orang Melayu Islam itu terlalu kebulur sehingga perlu berbuka puasa di dalam gereja? Jika tidak mampu sekalipun, rasanya masjid-masjid ada membuat jamuan berbuka puasa.

Walau apa pun saya hormat dan kagum dengan Datuk Dr. Hassan Ali EXCO Selangor yang memperjuangkan dan mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengatasi masalah ini.

Yang penting sekarang ini adalah akidah dan bukannya ideologi politik.

Di Pulau Pinang juga agak menarik isunya. Seperti ada rantaian isu ini.

Mengikut laporan Berita Harian 12 Ogos 2011, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang baru-baru ini telah mengeluarkan arahan larangan bacaan Al-Quran guna pembesar suara pada waktu subuh. Arahan dikeluarkan supaya semua masjid dan surau seluruh Pulau Pinang mematuhi arahan tersebut seperti di dalam surat pekeliling yang telah dikeluarkan oleh mereka.

Arahan menghentikan bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh dikatakan bercanggah dengan hukum syarak kerana boleh mengganggu orang berada di dalam dan luar masjid.

Persoalan saya di sini ialah mengapa selepas sekian lama barulah ada arahan seperti ini? Sebelum ini berkenaan dengan perarakkan sempena Maulidur Rasul. Mungkin disebabkan ideologi politik maka segalanya dihalalkan. Adakah kini sudah muncul pihak-pihak cerdik pandai agama untuk memperbetulkan perkara ini? Adakah cerdik pandai agama dahulu tidak secerdik hari ini? Ini persoalan daripada saya yang keliru dengan pendapat-pendapat golongan agama.

Sekadar andaian sahaja, mungkin isu di Pulau Pinang ini hanya sekadar untuk menutup cerita 12 orang Melayu Islam yang 'TERbuka' puasa di dalam gereja. Segalanya mungkin.

Hari ini sahaja ada isu baru muncul, apa dia? Perkahwinan GAY.

Nampaknya terlalu banyak ujian pada Ramadhan kali ini.

Pokok pangkalnya kalau orang Melayu dan Islam negara ini bersatu dan mengetepikan ideologi politik, pastinya isu ini tidak muncul.

Sama ada ini semua ada cubaan, dugaan atau sekadar propaganda hanya Dia yang tahu..