Followers

Sabtu, Julai 17, 2010

Program Akademik di Indonesia

Salam.. Salam Sejahtera..

Kelab Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan lawatan akademik ke universitas di Surabaya dan Jakarta pada 19 Mei hingga 26 Mei 2010 yang lalu.

Lawatan akademik Kelab Sains Politik (KSP) ini disertai seramai 16 orang pelajar dan seorang pensyarah Sains Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Dr. Mohamad Zaini Abu Bakar.

Lawatan akademik yang diadakan bukan sahaja sekadar lawatan akademik tetapi turut diselitkan dengan agenda atau sesi pembentangan kertas kerja oleh barisan exco KSP. Di antara pembentang kertas kerja tersebut ialah Mohd Fahmi Ibrahim, Ainatulfathiyah Abdul Rahim, Mohd Izzuddin Ramli, Nur Fadhilah Othman, Nur Rafidah Khairuddin, Jeyaluxmy Rajendran, Sharon John Joseph, Amirah Rafhanah Abdul Wahab, dan Muhammad Syukri Sa'adon. Selain pembentang kertas kerja, program KSP ini turut disertai oleh beberapa orang delegasi iaitu Mohd Hafifi Shafiee, Remie Ramli, Dedona Singgoi, Siti Nurfarziah Kamil, Norjawahir Raduian, dan juru gambar rasmi kami Wan Nur Syazana Wan Ariffin. Seorang juru iring dan penasihat kami semua Pak Suyatno Ladiqi.

Pada 14 Mei 2010 hari Jumaat ketika kebanyakkan rakan-rakan sedang bercuti semester, semua pembentang kertas kerja di minta untuk berkumpul di Desasiswa Cahaya Gemilang untuk sesi menyiapkan kertas kerja, sesi 'tapisan' kertas kerja, dan sesi latihan pembentangan kertas kerja. Sesi ini berakhir pada 18 Mei 2010 hari Isnin. Sesi latihan diadakan di cafe Cahaya Gemilang USM.
(YDP KSP '10/'11 Izzuddin sedang membentangkan kertas kerja sambil diperhatikan oleh En. Suyatno Ladiqi)

19 Mei 2010 hari Selasa, tepat jam 4.00 pagi kami bergerak daripada USM ke Terminal Penerbangan Tambang Merah (LCCT) Kuala Lumpur menggunakan bas sewa khas. Kami tiba di LCCT dalam jam 11.00 pagi dan berlepas ke Surabaya pada jam 2.00 petang waktu Malaysia dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya pada jam 4.40 petang waktu Malaysia (3.40 waktu Indonesia). Bandara Juanda = Bandar Udara Juanda.

Setibanya di Bandara Juanda Surabaya, kami telah di jemput oleh teman-teman daripada Universitas Airlangga, Surabaya. Mereka membawa kami makan malam di Pusat Membeli belah SOGO Surabaya dan pengalaman paling berharga bagi saya ialah kali pertama membeli makanan dengan harga yang mahal, 38 ribu (RUPIAH). Kami menetap di Hotel Elmi Surabaya.

Aktiviti Akademik KSP bermula pada 20 Mei 2010, hari khamis. Aktiviti bermula di Universitas Airlangga Surabaya. Sesi pembentangan kertas kerja di Universitas Airlangga telah disertai kesemua rombongan KSP dan pembentangan dilakukan oleh mantan Yang Dipertua KSP sendiri iaitu saudara Mohd Fahmi Ibrahim, Ainatulfathiyah Abdul Rahim, Mohd Izzuddin Ramli (YDP), dan Nur Fadhilah Othman. Sebelum sesi pembentangan berlangsung, Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Prof. Madya Ismail Baba telah menyampaikan ucapan dengan tema "Peran Pemuda dalam Menjembatani Krisis Indonesia-Malaysia".

Mohd Fahmi Ibrahim membentangkan kertas kerja yang bertajuk "Peta Kekuatan Politik Malaysia", Mohd Izzuddin Ramli "Masyarakat Pribumi di Malaysia", Nur Fadhilah Othman "Cabaran Sistem Pendidikan di Malaysia", dan Ainatulfathiyah Abdul Rahim pula "The Rise and Challenge of Democracy in Malaysia".

(bergambar dengan sebahagian warga Universitas Airlangga)

Pada sesi soal jawab selepas pembentangan pula saya beranggapan ia agak mencabar kerana terdapat beberapa soalan yang agak sensitif ditujukan kepada pembentang daripada KSP, namun begitu atas kebijaksanaan dan nasihat yang diberikan oleh Pak Suyatno para pembentang telah dapat memberikan jawapan tanpa beremosi dan mengeruhkan keadaan. Antara isu yang dibangkitkan ialah berkenaan dengan isu blok Ambalat, Tenaga Kerja Indonesia (TKI), kebudayaan dan beberapa lagi isu.

Selepas sesi pembentangan di Universitas Airlangga tamat pada jam 2.00 petang, rombongan KSP bergerak menuju ke Universitas Surabaya (UNESA). Perjalanan ke Universitas Surabaya agak jauh kerana jalanraya yang sesak dengan kenderaan sama seperti keadaan di Kuala Lumpur dan Georgetown.

Sesi pembentangan kertas kerja di Universitas Surabaya telah disertai oleh Amirah Rafhanah Abdul Wahab dan Muhammad Syukri Sa'adon (saya sendiri) dan seorang daripada UNESA. Amirah membentangkan kertas kerja yang bertajuk "Media dan Politik Perpaduan di Malaysia", manakala saya "Cabaran Gagasan 1Malaysia". Pada saya sesi pembentangan di UNESA agak mencabar kerana disertai hampir 200 orang mahasiswa dan mahasiswi UNESA, berbeza di Universitas Airlangga dan Universitas Paramadina Jakarta. Saya terpaksa mengakui lutut saya agak mengigil dan gemuruh apabila berdepan dengan peserta yang begitu ramai. Alhamdulillah teman-teman di UNESA semuanya mesra dan peramah. Setidak-tidaknya hilang rasa gemuruh dalam hati ini.

(bersama warga Universitas Surabaya)

Di antara soalan yang diajukan oleh mereka kepada saya berkenaan dengan keadilan sosial yang terdapat di dalam gagasan 1Malaysia dan TKI. Jawapan Pak Suyatno yang telah saya guna pakai semula berkenaan dengan media dan TKI ialah "Media ; kalau ada anjing menggigit orang itu bukan berita, tapi kalau ada orang menggigit anjing itu baru berita..", jawapan ini terpaksa saya guna semula kerana seakan-akan sudah kerap berhadapan dengan soalan-soalan atau isu-isu yang menjadi duri dalam daging antara Malaysia dan Indonesia.

Pada 21 Mei 2010 hari Jumaat kami telah mengadakan kuliah bersama-sama dengan pelajar Airlangga. Sebahagian daripada kami telah 'menyebelahi' Indonesia -termasuk saya. Kami telah di minta untuk berdebat mengenai isu yang menyebabkan berlakunya konflik di antara Malaysia dan Indonesia. Alhamdulillah, program itu berjaya dilakukan tanpa emosi yang tidak terkawal. Terima kasih sama teman-teman di Airlangga yang telah memberikan layanan terbaik kepada kami sepanjang kami berada di sana.

24 Mei 2010 hari Isnin, sesi pembentangan di Universitas Paramadina di Jakarta. Program dimulakan dengan majlis menandatangani dokumen di antara Dr. Mohamad Zaini Abu Bakar dengan pihak Universitas Paramadina. Pembentangan dilakukan oleh Nur Rafidah Khairuddin, Jeyaluxmy Rajendran, dan Sharon John Joseph dengan tajuk "Women and their involvement in the democratization process". Walaupun Sharon kurang sihat tetapi beliau telah dapat memberikan pembentangan yang baik di sana.

(sesi pembentangan kertas kerja di Universitas Paramadina, Jakarta)


(di Gunung Bromo)

Di dalam aktiviti akademik itu kami turut mengambil kesempatan untuk mengadakan program di Gunung Bromo. Perjalanan menggunakan bas mini ala-ala van dan sebuah Toyota Avanza ke Gunung Bromo yang mengambil masa hampir 4 jam daripada hotel penginapan kami di Surabaya.

(melihat matahari terbit & gunung berapi)

Di antara pengalaman paling berharga ialah corak pemanduan saudara-saudara kita di sana yang amat dahsyat dan saya yakin jika diamalkan di Malaysia sudah tentu kadar kemalangan akan meningkat 100% atau lebih. Pengalaman melihat gunung berapi, melihat kawasan yang lebih 1,600 hektar ditenggelami lumpur dan menenggelami perkampungan, kediaman, masjid, tanah perkuburan nenek moyang dan sebagainya amat menyayatkan hati. Di Jakarta kami turut pergi ke Monumen Nasional (MONAS) dan terima kasih kepada bekas pelajar USM yang telah memberikan layanan bertaraf VIP kepada kami semua. Terima kasih juga kepada teman sekuliah, Hasween yang bersama-sama semasa di Jakarta.

Seperti mana yang kerap diperkatakan oleh ayahanda saya, "kalau ada peluang pergi tempat orang pergilah..". Pengalaman paling berharga dan sukar untuk dilupakan ialah sifat peramah teman-teman di sana. Pengalaman yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila ialah semasa di Dunia Fantasi (DUFAN) ketika menaiki Tornado. Sumpah saya tak akan cuba naik benda tu lagi.


Kepada penasihat KSP Dr. Mohamad Zaini Abu Bakar, terima kasih dan kami berbangga kerana mempunyai pensyarah yang sentiasa tenang ketika berhadapan dengan karenah kami semua. Kami tidak menyangka seorang pensyarah akan bersama-sama menjelajah pusat membeli belah antara yang terbesar di Jakarta iaitu Mangga Dua. Kami juga tidak menyangka Dr. Zaini akan turut bersama-sama kami menaiki Tornado semasa di DUFAN.

Saya dan KSP mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Universiti Sains Malaysia (USM) yang memberikan kelulusan dan peluang kepada kami mengadakan lawatan akademik ke Indonesia. Terima kasih juga kepada Dekan PPSK Prof. Madya Ismail Baba yang bersama-sama kami semasa di Universitas Airlangga. Terima kasih tidak terhingga kepada pihak Universitas Airlangga dan semua teman di sana, juga kepada pihak Universitas Surabaya dan Universitas Paramadina yang mesra dan memberikan layanan mesra kepada kami. Kami juga tidak perasan sebenarnya kediaman kami semasa di Jakarta itu berdekatan dengan Kedutaan Malaysia. Terima kasih kepada pihak Kedutaan Malaysia di sana yang menghubungi kami walaupun kami ketika itu sedang menuju ke lapangan terbang untuk berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Terima kasih kepada semua yang berpenat-lelah dalam merealisasikan program ke Surabaya dan Jakarta ini. Jasa anda semua jadi kenangan..

3 ulasan:

  1. Kenangan terindah buat kita semua.. Pengalaman berharga sebelum meninggalkan alam universiti..
    Terima kasih wahai teman-teman sekalian.

    BalasPadam
  2. insyaAllah akan ada lagi program yg bakal diadakan..

    BalasPadam
  3. So many years had passed since, but i am glad that the memories stays afresh. Thank you for the in detailed write up

    BalasPadam