Followers

Sabtu, September 25, 2010

'mock' Parlimen Mahasiswa USM berjaya..

Salam.. Salam Sejahtera..

Hari ini 25 September 2010 (Sabtu) telah diadakan percubaan Persidangan Parlimen Mahasiswa atau dikenali sebagai Dewan Perundingan Pelajar (DPP). Persidangan telah berlangsung di Dewan Persidangan Universiti, Universiti Sains Malaysia (USM).

Walaupun persidangan ini hanya sekadar percubaan, tetapi perjalanan persidangan adalah mengikut tertib yang telah termaktub di dalam peraturan.

Persidangan Dewan Perundingan Pelajar ini telah dianggotai seramai 58 ahli yang meliputi 39 orang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan 19 ahli lagi di pilih dalam kalangan pemimpin kelab, persatuan, Majlis Perwakilan Desasiswa (MPD), Anak-anak Negeri dan sebagainya, meliputi Kampus Induk, Kejuruteraan, dan Kesihatan.

Dewan Perundingan Pelajar yang bersidang hari ini telah membahaskan 10 usul yang meliputi perkara-perkara kebajikan khasnya kemudahan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU), laluan pejalan kaki berbumbung, mengetatkan penggunaan kenderaan terhadap pelajar tahun 1, isu-isu berkenaan bas, perkhidmatan internet, dan beberapa perkara lagi.

Seperti mana yang diperkatakan oleh Timbalan Naib Canselor USM, Prof. Dato' Omar Osman, keseluruhan perjalanan persidangan adalah amat baik dan memuaskan. Hal ini mungkin di awal perasmian pada sebelah pagi kami yang bersidang telah diingatkan supaya tidak berlaku insiden 'baling kerusi'.

Sebagai Yang Di-Pertua Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) , saya berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan persidangan. Hal ini bukan kerana 4 usul IKMAR dibahaskan dan diterima, tetapi kerana kepekaan ahli-ahli dewan terhadap isu-isu kebajikan yang selama ini mungkin terlepas pandang khasnya untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Walau apa pun diharapkan segala perbincangan di dalam dewan itu bukan sahaja menjadi rekod tetapi akan di ambil tindakan sewajarnya supaya perbincangan bukan sahaja menjadi perbincangan seperti perbincangan biasa.

Tahniah kepada Universiti Sains Malaysia (USM) kerana berjaya merealisasikan Parlimen Mahasiswa ini yang dikhabarkan bahawa cadangan berkenaan Parlimen Mahasiswa ini telah dikeutarakan oleh Naib Canselor USM sendiri, iaitu Yang Berbahagia Prof. Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak pada tahun 2003.

Sekali lagi tahniah kepada semua khasnya Universiti Sains Malaysia (USM). Terima kasih juga kepada rakan-rakan sejawat dalam kelab, persatuan, sekretariat, Anak-anak Negeri, dan sebagainya kerana memberikan peluang kepada saya wakil Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) untuk menjadi ahli Dewan Perundingan Pelajar bagi sesi percubaan ini.

*Persidangan Dewan Perundingan Pelajar yang sebenar akan berlangsung pada 23 Oktober 2010.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan