Followers

Isnin, November 08, 2010

Musim bas 'mengada-ngada' - kunci je!!

Salam.. Salam Sejahtera..

Setelah sekian lama menyepi akhirnya jari jemari ini dirajinkan untuk menaip di ruangan ini. Bukanlah tiada idea cuma menyepi seketika untuk urusan yang lebih penting.

Sebenarnya banyak isu yang menjadi kupasan para penulis blog, antaranya ialah kemenangan Barisan Nasional merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan dan kejayaan mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah. Selain itu isu banjir besar yang melanda negeri Perlis dan Kedah turut disensasikan kerana isu pemberian bantuan dan yang seerti dengannya. Tidak terkecuali Belanjawan atau Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri di Parlimen, jumlah peruntukan perbelanjaan, hasrat membina bangunan 100 tingkat, isu festival fesyen Islam dan pelbagai lagi isu yang menarik.

Namun begitu saya lebih tertarik dengan isu yang dilaporkan di Utusan Malaysia pada 8 November 2010. Presiden Persatuan Pemandu Bas Melayu Semenanjung (PPBMS) mengatakan "Tidak semua pemandu bas membaca akhbar, menonton televisyen, atau mendengar radio. Jadi kebanyakkan mereka tidak mengetahui mengenai kemalangan ngeri yang berlaku".


Saya suka kenyataan di atas. Tidak perlulah saya nyatakan kronologi penuh kemalangan bas ekspres yang berlaku baru-baru ini. Dalam tempoh 24 jam, berlaku dua kemalangan yang melibatkan bas ekspres di Pahang baru-baru ini. Sebelum ini juga telah berlaku kemalangan maut di lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Alor Gajah, Melaka yang melibatkan bas ekspres Delima dan menyebabkan ramai yang maut. Termasuk jugalah kemalangan yang melibatkan bas 2 tingkat milik bekas pelakon dan penyanyi.


Pertanyaan demi pertanyaan diajukan oleh ramai orang kerana kemalangan yang melibatkan bas ekspres ini dilihat seakan bermusim sama seperti kes buang bayi. Persoalan itu sebenarnya perlu diajukan kepada pihak media yang melaporkan. Sebenarnya saya yakin setiap hari ada kemalangan yang melibatkan bas cuma tahap keseriusannya sahaja yang tidak memungkinkannya untuk mendapat publisiti di media-media massa.

Kenapa masih berlaku kemalangan yang melibatkan bas ekspres? Ya sememangnya malang itu tidak berbau kecuali kebakaran. Ya, malang sudah tentu akan menerpa kita walaupun kita sentiasa berhati-hati kerana itu adalah kehendak-Nya. Tetapi adakah kita mengetahui apa yang telah direncanakan oleh-Nya kepada kita? Jadi adalah lebih elok kita merancang untuk menuju ke arah kebaikkan kerana keputusan sama ada berjaya ataupun tidak sesuatu perancangan itu adalah kekuasaan-Nya.

Bila berlaku kemalangan maut yang melibatkan bas ekspres maka satu demi satu cadangan akan dikeluarkan oleh individu-individu tidak terkecuali para pemimpin. Masalahnya sekarang ini kesemua cadangan itu telah lama dikumandangkan sejak beberapa tahun sebelum ini. Mengapa masih tiada tindakan supaya kemalangan bas dapat dielakkan?

Faktor utama yang perlu diberi keutamaan supaya tidak berlaku kemalangan ialah memastikan setiap bas ekspres dipandu tidak melebihi 90 km/jam. Berdasarkan kepada pengalaman menggunakan perkhidmatan bas ekspres daripada Sungai Nibong Pulau Pinang ke Yong Peng Johor, pemandu bas biasanya akan memandu dengan sopan semasa di waktu siang. Namun begitu apabila di waktu malam, kesemua kesopanan itu hilang serta merta kerana 'khabarnya' waktu malam tiada pengawasan kamera had laju.

KKKL - Kenderaan rasmi daripada Batu Pahat - Sg. Nibong Pulau Pinang (siang)
(sekadar hiasan - tiada royalti diterima)

KBES - Kenderaan rasmi dari Sg. Nibong - Yong Peng (malam)
Pemandunya yang akan kejutkan saya daripada tidur apabila sampai hentian Yong Peng
(sekadar hiasan - tiada royalti diterima)


Saya tidak mahu menyalahkan jalanraya negara ini. Pada saya, sepanjang memandu di lebuhraya daripada Johor ke Pulau Pinang, keadaan jalan di lebuhraya PLUS adalah amat baik cuma kadar tol agak mahal. Jadi tiada sebab untuk terlibat dengan kemalangan kecuali atas kecuaian diri sendiri. Mungkin juga disebabkan jalanraya yang baik maka semua kenderaan di pandu laju dan mudah terlibat dengan kemalangan jika cuai seketika.

Sebenarnya amat ngeri jika menaikki bas ekspres pada waktu malam. Salah satu lokasi paling ngeri berdasarkan pengalaman saya ialah ketika bas berada berdekatan plaza tol Jelapang. Di situlah kebanyakkan bas ekspres akan di pandu laju seakan-akan tiada brek. Saya tidak salahkan bas kerana bas adalah kenderaan yang dibuat oleh manusia, tetapi manusia yang diamanahkan untuk mengendalikan bas itu sewajarnya menyedari bahawa stering yang tergenggam ditangannya itu sebenarnya turut menggenggam banyak nyawa yang perlu sampai ke lokasi-lokasi yang tertentu.

Cadangan yang paling bernas (pada sayalah) ialah mengunci kelajuan bas ekspres supaya tidak melebihi 90 km/jam. Biarlah lambat asalkan selamat. Jika bas boleh di pandu melebihi 90 km/jam pada saya tiada gunalah pelekat had laju yang ada di belakang setiap bas ekspres. Hanya sekadar hiasan. Mungkin disebabkan pelekat itu dibelakang maka pemandu bas terlepas pandang untuk mematuhi had laju.

Kepada pihak Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Jabatan Keselamatan Jalanraya (JKJR) dan semua yang berkaitan silalah ambil tindakan supaya masalah ini tidak berulang.

Hanya sekadar berharap..

2 ulasan: