Salam.. Salam sejahtera..
Sekarang sudah sampai musim pilihan raya. Walaupun cuma musim pilihan raya kecil, tapi rasanya semakin menjadi kebiasaan sejak pilihan raya umum tahun 2008.
Sejak pilihan raya umum ke-12 pada tahun 2008, beberapa siri pilihan raya kecil sudah diadakan. Pilihan raya kecil diadakan untuk memilih wakil rakyat yang baru setelah wakil yang sedia ada meninggal dunia dan ada juga yang 'suka-suka' letak jawatan untuk beri laluan kepada 'abang' tersayang.
Kini sedang hangat pilihan raya kecil di negeri kesayangan saya nun jauh di selatan semenanjung Malaysia, Johor Darul Ta'zim. Pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri kawasan Tenang dalam Parlimen Labis. Kalau saya tidak silap, pilihan raya kecil DUN Tenang ini adalah pilihan raya kecil yang ke-14 sejak pilihan raya umum 2008. Kerusi DUN Tenang terpaksa diadakan pilihan raya kerana penyandang kerusi tersebut iaitu Allahyarham Datuk Sulaiman Taha meninggal dunia pada 17 Disember 2010.
Seperkara yang perlu diketahui lagi, satu lagi siri pilihan raya kecil yang ke-15 akan diadakan Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan
selepas ini, iaitu di DUN Merlimau negeri Melaka. Kerusi DUN Merlimau mengalami kekosongan selepas penyandangnya iaitu Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan kembali ke rahmatullah pada21 Januari 2011.Siri pilihan raya kecil yang ke-16 mungkin juga akan menyusul selepas ini selepas kerusi DUN Pelabuhan Klang diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN Selangor selepas penyandang kerusi tersebut iaitu Y.B. Badrul Hisham bin Abdullah dikatakan tidak menghadiri sidang DUN lebih 6 bulan. Namun begitu perkara ini khabarnya akan melibatkan bidang kuasa mahkamah.
Seronok pula bila bercakap berkenaan pilihan raya bersama rakan-rakan yang sekepala. Pensyarah yang berfikiran terbuka pun boleh turut serta. Masing-masing cuba untuk menjangkakan pilihan raya umum negara. Bilakah agaknya rakyat akan dikembalikan hak untuk memilih parti pemerintah untuk menerima mandat memerintah negara. Adakah yang sedia ada wajar dikekalkan atau perlu bertukar kepada yang baru? Persoalan yang kerap diajukan oleh pihak-pihak tertentu, "Mengapa kita tidak mencuba untuk bertukar kepada parti pemerintah yang baru? Kalau parti yang baru itu tidak sebaik dengan yang lama, kita boleh bertukar kembali kepada parti yang lama..". Jawapan yang agak sesuai rasanya, "Kita kena tunggu 4 atau 5 tahun untuk menukarnya, dalam tempoh masa itu macam-macam boleh berlaku..". Tapi terpulanglah kepada pengundi semasa mengundi, sebab undi itu adalah rahsia. Kepada yang belum mendaftar untuk jadi pengundi, silalah mendaftar.
Seorang pensyarah yang pakar bab-bab kimia bersembang dengan saya dan beliau mengatakan mungkin pilihan raya umum akan diadakan pada tahun ini. Kemungkinan diadakan pada bulan Jun. Alasan yang digunakan ialah kerana faktor ekonomi negara yang baik dan beberapa faktor lain. Namun begitu saya tidak beranggapan pilihan raya umum akan diadakan seawal itu. Mungkin juga awal tahun depan, atau mungkin hujung tahun ini. Mungkin hujung tahun ini mengambil sempena cuti sekolah tetapi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak bercuti ya. Apa-apa pun kuasa membubarkan Dewan Rakyat adalah berada di tangan Perdana Menteri selepas diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
Satu lagi pilihan raya yang semakin terasa bahangnya ialah pilihan raya kampus. Di sini sahaja sudah mula wujud manusia-manusia yang bertopengkan berbagai wajah di facebook. Di IPTA lain turut merasai bahangnya. Menurut rakan saya di salah sebuah IPTA salah sebuah negeri di pantai timur bahang pilihan raya kampus sudah mula dirasai dengan propaganda-propaganda yang seakan-akan mencetuskan provokasi.
Saya bukanlah seorang yang berminat dengan pilihan raya kampus. Namun begitu ia tidak bermakna saya tidak mengikutinya. Seperkara yang membuatkan saya menyampah dengan pilihan raya kampus ialah wujud pihak yang bersembunyi dan apa yang boleh saya gambarkan seperti "BALING BATU SEMBUNYI TANGAN". Maksudnya mengedar poster-poster dan risalah-risalah tanpa menampilkan 'wajah' mereka. Itu belum lagi kes-kes koyak poster, turunkan kain rentang, koyak kain rentang, fitnah, memburukkan pihak-pihak lawan dan berbagai lagi taktik yang digunakan.
Dalam satu sudut, pilihan raya kampus adalah platform terbaik menonjolkan diri dan mengasah bakat sebagai pemimpin apabila keluar kelak. Namun begitu elok rasanya budaya politik luar seperti maki hamun, mengganggu calon-calon semasa menyampaikan ucapan dan sebagainya itu tidak dilakukan. Bolehkah pilihan raya kampus diadakan dengan penuh 'tertib'?? Nak seribu daya, tak nak seribu dalih.
Selamat berkempen kepada semua sama ada di dalam atau di luar kampus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan