Followers

Khamis, Disember 30, 2010

Politik - Orang Muda - Janji? Oh lupa..

Salam.. Salam Sejahtera..

Saya tertarik dengan satu topik perbualan oleh seorang rakan semasa kami sedang makan bersama. Apakah topik itu? Rasanya tidak perlulah saya nyatakan dengan lebih lanjut di sini.

Apa yang dapat saya ringkaskan mengenai perkara tersebut ialah insan-insan dalam kabinet Malaysia yang mana lebih mesra dengan generasi muda khasnya kepada mahasiswa/i? Adakah Menteri atau Timbalan Menteri?

Secara peribadi saya mengakui bahawa saya dilahirkan di dalam keluarga yang berideologi politik United Malays National Organization (UMNO) atau dalam Bahasa Melayu dikenali sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar). Parti politik pertama yang saya kenal ialah Parti Semangat 46 yang merupakan parti serpihan UMNO. Parti Semangat 46 ini kemudiannya telah dibubarkan dan kebanyakkan ahlinya menyertai semula UMNO termasuklah bapa saya.

Segala apa yang saya nyatakan di sini
hanyalah sekadar pandangan peribadi.

Saya agak terkejut (sebenarnya tak terkejut mana pun) apabila membaca satu mesej yang ditunjukkan oleh rakan saya mengenai berita bahawa terdapat 'kuasa' daripada orang muda yang mempengaruhi 'pembuat keputusan' untuk memberikan cuti peristiwa pada 31 Disember 2010 sempena kemenangan pasukan bola sepak Malaysia membawa pulang Piala AFF Suzuki 2010. Jawapan balas daripada rakan saya kepada pengirim mesej tersebut membuatkan saya berfikir sejenak - "mungkin dia bakal jadi menteri tak lama lagi" (lebih kurang begitu jawapannya).

Siapakah orang muda yang dimaksudkan? Rasanya tidak perlu dinyatakan namanya di sini. Yang penting kini beliau bukanlah seorang yang bergelar Menteri apatah lagi Timbalan Menteri.

Pemuda-pemuda yang berada di dalam kabinet negara sama ada Menteri atau Timbalan Menteri sewajarnya merajin-rajinkan diri untuk lebih dekat dengan mahasiswa/i. Perlu diketahui juga bahawa golongan mahasiswa/i juga adalah golongan belia yang memiliki suara dan kuasa dalam menentukan iklim politik tanah air.

Yang Berhormat Dato' Saifuddin Abdullah adalah contoh Timbalan Menteri yang 'rajin' menjenguk mahasiswa/i di universiti, itu mungkin juga disebabkan oleh kedudukan beliau sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia. Saya dan beberapa rakan juga berpendapat bahawa Y.B. Saifuddin Abdullah tidak layak berada di posisi Timbalan Menteri tetapi sebenarnya kedudukan yang paling layak adalah sebagai seorang Menteri. Beliau juga sering mengenepikan protokol sebagai Timbalan Menteri apabila berjumpa dengan mahasiswa/i (ini kata-kata daripada rakan-rakan universiti lain).

Tulisan ini bukanlah untuk membodek kerana saya tidak memperoleh apa-apa pun dengan melakukan sedemikian. Antara pemimpin muda yang ada di dalam kabinet dan mempunyai pemikiran yang sama dengan mahasiswa/i tanah air ialah Y.B. Datuk Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Beliau juga merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang di lantik sebagai Timbalan Menteri atas kewibawaan beliau dan menafikan 'hak' Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang hanya melihat kerusi menteri daripada jauh. Senior-senior dalam persatuan yang saya anggotai amat menyanjung tinggi Y.B. Datuk Razali Ibrahim kerana beliau memberikan sumbangan kewangan bagi membantu mengatasi permasalahan yang wujud. Setidak-tidaknya janji beliau masih boleh 'di pakai' tidak seperti pihak-pihak lain yang hanya berjanji tetapi mungkin lupa disebabkan terlalu banyak kerja hakiki dan mungkin juga sibuk mengumpul kekayaan. Walau apa pun kita kena berfikiran positif.

Saya teringat pada awal tahun 2010 yang lepas ada seorang Setiausaha Politik kepada seorang Menteri telah datang ke universiti tempat saya belajar dan beliau mahu berjumpa dengan jawatankuasa satu persatuan anak negeri bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Kehadiran Setiausaha Politik itu adalah secara tidak rasmi tetapi sepanjang sesi dialog diadakan ada pihak-pihak yang kurang senang dengan tindakan tersebut kerana tidak memaklumkan kehadiran Setiausaha Politik itu kepada pihak terbabit. (Telefon bimbit beberapa orang penting masa itu sentiasa berbunyi untuk mendapatkan alasan mengapa mereka tidak dimaklumkan). Setiausaha Politik itu masih mampu bermain bola sepak bersama mahasiswa-mahasiwa tanpa perlu 'melapor' diri di hadapan pihak-pihak tertentu universiti.

Saya selalu cakap dengan bapa saya "Abah, tolonglah bagi tahu orang politik kalau dah janji dengan mahasiwa/i dia nak bagi itu bagi ini tolonglah tunaikan. Jangan nanti masa pilihanraya baru nak ajak balik kampung naik bas percuma..".

Sampai hari ini masih ada persatuan di universiti yang menanggung 'azab' kerana janji yang belum ditunaikan walaupun sudah sembilan (9) bulan janji itu diluahkan. Sembilan bulan ya, saya ulangi SEMBILAN bulan masih tergantung tidak bertali. Disebabkan itu jugalah spontan saya 'tercakap' di depan bapa saya "Lepas ni tak nak minta apa-apa lagi dengan orang politik! Semua janji kosong, kata ada peruntukan tapi tak bagi-bagi.. Simpanlah peruntukan tu untuk pemilihan parti atau untuk perut dia orang..".

Kepada mereka yang ada jawatan dalam kerajaan atau parti ini adalah teguran saya yang pertama di dalam blog. Saya tidak ada apa-apa kepentingan. Saya hanya rakyat biasa yang masih perlu membayar petrol dengan harga yang ditentukan oleh kerajaan walaupun kerajaan melalui Menteri yang berkenaan berjanji bahawa harga petrol RON95 tidak akan dinaikkan pada tahun 2010. Alhamdulillah harga tetap naik, mungkin disebabkan tidak sabar untuk bertukar ke tahun 2011. Saya tidak pernah mengeluh apabila harga minyak naik kerana bapa saya orang UMNO yang sudah tentu akan selari dengan kerajaan. Apabila harga minyak naik saya akan cakap "Harga minyak naik abah kena tambah elaun la ya..".

Sekarang ini sudah terlalu banyak slogan yang berkaitan dengan SATU (1). 1Malaysia, 1Ummah, 1Belia, 1Hati, 1Jiwa, macam-macam slogan 1 sekarang yang ada. Jadi saya juga ada satu slogan iaitu 1Harapan kepada semua pemuda yang ada di dalam kerajaan supaya rajin-rajin turun ke bawah menjenguk mahasiswa/i. Itu pun jika mahu mahasiswa/i selari dengan aspirasi kerajaan. Apabila sudah turun ke bawah jangan pula menabur janji tapi tidak ditepati.

"Kerbau di pegang pada tali, manusia di pegang pada janji, kalau tak tunai janji maaflah mesti tak ada undi.."

2 ulasan:

  1. Salam Perjuangan....Harap dapat dilink blog KL BOYZ disini.. Terima Kasih...
    http://klboyzwangsa.blogspot.com

    BalasPadam
  2. i suka ayat last tu...hehe :)

    BalasPadam