Followers

Rabu, Disember 14, 2011

Setiausaha Politik lagi teruk dari Menteri

"...tuan-tuan yang jadi Setiausaha Politik ni janganlah jadi lebih teruk daripada Menteri..." - Datuk Ishak Ismail, Ketua UMNO Bahagian Seremban.

Salam dan salam sejahtera.

Sebaris ayat di atas adalah merupakan kata-kata Yang Berbahagia Datuk Ishak Ismail, Ketua UMNO Bahagian Seremban ketika berucap mewakili UMNO Negeri Sembilan di dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun 2010.

Sememangnya di dalam ucapan Datuk Ishak itu sering membuatkan para perwakilan dan kesemua insan yang berada di dalam dewan PWTC itu tidak kering gusi. Namun begitu, adakah mesej yang disampaikan sampai kepada golongan sasar? Saya biarkan persoalan ini tanpa jawapan.

Di dalam penulisan ini, saya tidak berniat hendak membuka aib pihak-pihak tertentu. Maafkan saya sekiranya terdapat beberapa perkara yang terpaksa diselindungkan demi menghormati hak-hak pihak tertentu.

Secara peribadi saya bersetuju dengan 'nasihat' yang dilontarkan oleh Datuk Ishak ketika berucap di hadapan pemimpin-pemimpin, para perwakilan dan pemerhati UMNO. Akan tetapi nasihat tersebut tidak seharusnya hanya menjadi nasihat yang dipandang sepi atau hanya sekadar hiburan di dalam Dewan PWTC itu sahaja. Perhimpunan Agung UMNO bukanlah medan untuk mendengar lawak jenaka mahupun medan untuk melontarkan propaganda kejayaan parti, tetapi lebih dari itu.

Saya terpaksa mencatatkan di sini perkara yang dialami sendiri selepas berurusan dengan seorang insan yang berstatus Setiausaha Politik. Selepas 21 bulan segala urusan 'diselesaikan', saya dikhabarkan bahawa urusan tersebut masih belum selesai. Penulisan ini bukanlah berunsurkan 'dendam', tetapi dikhususkan kepada semua Setiausaha Politik supaya dijadikan ikhtibar dan tidak membuat perkara yang sama.

Semasa saya menjadi Timbalan Pengarah untuk projek makan malam anak Johor di USM, kami telah meminta tajaan daripada seorang Setiausaha Politik yang 'kebetulan' membuat lawatan ke USM. Selepas sesi ramah mesra bersama Setiausaha Politik tersebut, kami jawatankuasa pengelola telah berjumpa secara peribadi untuk meminta sumbangan kewangan. Setiausaha Politik tersebut secara 'murah hatinya' telah menyebut "saya bagi RM5,000.00 (lima ribu) cukup?" Kami ketika itu umpama sudah mengantuk dan tiba-tiba mendapat bantal terus menerima dengan syarat beliau akan membawa ahli-ahli rombongan daripada pergerakan Pemuda UMNO.

Sekadar Gambar Hiasan

Dipendekkan cerita, pada 27 Mac 2010, saya secara rasmi menerima perlantikan sebagai Yang Di-Pertua Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR), Universiti Sains Malaysia (USM). Secara rasminya juga pada 29 Mac diadakan satu program makan malam untuk Malam Penghargaan khas untuk ahli-ahli IKMAR (tajaan penuh daripada Setiausaha Politik tersebut). Beliau turut membawa bersama beberapa pemimpin Pemuda UMNO Bahagian di Johor ke majlis tersebut. Pada malam itu kami telah dijanjikan sumbangan kewangan sebanyak RM1,000.00 (satu ribu) sebulan untuk melancarkan aktiviti persatuan anak negeri Johor. Hal ini kerana kami sememangnya tidak mempunyai kewangan yang kukuh. Kami berbangga kerana dapat beramah mesra dengan seorang Setiausaha Politik yang begitu rapat dengan pemimpin nombor dua negara ketika itu.

Tidak disangka-sangka, keceriaan dan senyuman kami khususnya saya sebagai YDP tidak lama. Semasa cuti semester tahun 2010, saya telah dihubungi oleh pihak Universiti (Bahagian Hal Ehwal & Pembangunan Pelajar) yang menyatakan bahawa bayaran makan malam sebanyak RM5,000.00 belum dijelaskan. Saya menghubungi sendiri **fiz Catering untuk bertanya mengenai perkara tersebut, dan pemilik **fiz Catering mengesahkan beliau belum mendapat sebarang bayaran. Bayangkanlah, cuti semester tahun 2010 itu saya sendiri terpaksa menjawab panggilan telefon pihak Universiti yang bertanya mengenai bayaran tertunggak sedangkan bayaran itu sudah menjadi tanggungjawab pihak Setiausaha Politik tersebut.

Cuti semester tidak bermakna apabila hampir setiap hari dihubungi oleh pihak Universiti yang bertanya mengenai bayaran tersebut. Apabila sesi baru semester bermula, hampir setiap minggu saya 'mengadap' pegawai Universiti untuk menyelesaikan perkara ini. Saya sendiri diminta oleh pegawai Universiti untuk menghubungi Setiausaha Politik tersebut tetapi gagal. Saya menghubungi pejabatnya, staf yang menjawab hanya mengatakan "tuan sedang bermesyuarat".

Program makan malam IKMAR diadakan pada 29 Mac 2010. Syukur Alhamdulillah, pada bulan Mac 2011 kami anak-anak Johor (IKMAR) USM ditemukan semula dengan Setiausaha Politik tersebut di dalam program Karnival Sukan Anak Johor (KSAJ) yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ramai rakan saya di dalam IKMAR dapat melihat dengan jelas reaksi 'kurang senang' Setiausaha Politik tersebut ketika bersalaman dengan saya selaku YDP ketika itu. Almaklumlah orang ada hutang memang begitulah rasanya.

Sekadar Gambar Hiasan

Selepas sesi perasmian KSAJ, telah diadakan sesi ramah mesra antara Setiausaha Politik tersebut bersama pemimpin-pemimpin persatuan anak Johor di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Saya tidak bertanya soalan kerana 'mengawal' diri daripada bertanyakan soalan yang tidak sepatutnya ditanya. Saya hampir tergelak apabila Setiausaha Politik tersebut menasihatkan kami supaya mengundang pemimpin-pemimpin Johor datang ke Universiti kami untuk beramah mesra. Pokok pangkalnya tuan, pemimpin-pemimpin Johor memang 'MALAS' nak jenguk mahasiswa/i anak Johor di USM kecuali tiba musim pilihan raya.

Selepas sesi ramah mesra tersebut, saya telah berjumpa secara peribadi dengan Setiausaha Politik tersebut dan beliau mengatakan pembayaran tersebut sudah sampai ke proses akhir. Pada mulanya beliau menjelaskan tiada pembayaran dilakukan pada tahun 2010 kerana 'tiada bajet'. Kini, tahun 2011 sudah hampir sampai ke penghujungnya, bajet tahun ke berapa lagi hendak ditunggu? Kena tunggu bajet kerajaan berkebajikanlah nampaknya.

RM5,000.00 bukanlah satu jumlah yang sedikit. Sekiranya tidak mampu ditunaikan janganlah berikan kami harapan. IKMAR turut dijanjikan peruntukkan kewangan sebanyak RM1,000.00 sebulan dan nombor akaun telah diberikan, tetapi sehingga saat saya menaip ini masih belum ada sebarang kemasukan aliran wang tunai ke dalam akaun persatuan. Dimanakah janji-janji itu? Akan tertunai atau akan terkubur?

Suara mahasiswa/i bukanlah sehebat suara golongan yang berteriak di jalanan seperti BERSIH. Suara mahasiswa/i hanya didengari sekiranya mandat pilihan raya sudah hampir ke penghujung. Saya menaip hanya sebagai bekas mahasiswa.

Disebabkan perkara ini masih belum selesai, seseorang telah membantu saya dengan menghubungi pihak di Kementerian. Pegawai yang bertanggungjawab mengatakan bahawa Tan Sri telah menandatangani borang yang berkaitan pembayaran tersebut dan langkah akhir adalah di peringkat kewangan. Namun begitu, sehingga kini bayaran masih belum diselesaikan. Saya berpendapat ada pihak khususnya yang berada di dalam Kementerian tersebut telah menyekat pembayaran demi untuk mencemarkan nama Setiausaha Politik tersebut.

Mungkin disebabkan 'sumpah seranah' kami terhadap Setiausaha Politik tersebut, beliau telah berundur kerana 'tekanan' yang diterima daripada pihak-pihak tertentu. Walaupun beliau bukan lagi Setiausaha Politik, tetapi beliau masih lagi pemimpin belia di negeri Johor dan salah seorang anggota Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Saya tidak mahu menyalahkan sepenuhnya kepada Setiausaha Politik tersebut. Saya hanya ingin menasihatkan kesemua pemimpin UMNO khususnya dan kesemua ahli UMNO yang bercita-cita hendak menjadi Setiausaha Politik atau sebagainya, janganlah menipu mahasiswa/i.

Walaupun yang membuat onar itu adalah Setiausaha Politik, walaupun yang 'menyekat' pembayaran itu adalah orang di dalam Kementerian terbabit, tetapi yang akan mendapat nama buruk adalah Tan Sri. Mahasiswa/i sudah tentu tidak akan menerima pembohongan seperti ini berterusan. Mahasiswa/i khususnya IKMAR hari ini sudah tidak mempercayai janji-janji orang politik.

Walau apa pun, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Universiti kerana membantu IKMAR menyelesaikan bayaran tertunggak sebanyak RM5,000.00 itu. Bayaran tetap perlu dilunaskan. Janji tetap janji wahai Setiausaha Politik.

Hendak mengharapkan sumbangan kerajaan Negeri seperti yang dicanang-canangkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO Johor, sememangnya akan bergegarlah jambatan Pulau Pinang sekiranya benar sumbangan itu diterima oleh IKMAR.

Dua perkara sahaja yang sekali lagi ingin saya tekankan di sini iaitu sumbangan dana yang dijanjikan oleh Setiausaha Politik itu kepada IKMAR sebanyak RM1,000.00 sebulan (termasuk bayaran RM5,000.00) kepada IKMAR perlu ditunaikan, dan UMNO perlu 'membimbing' pemimpin-pemimpin seperti bekas Setiausaha Politik itu untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab dan tidak menjadi lebih teruk daripada Menteri.

Saya berharap Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Mohd Yassin membawa mesej yang saya sampaikan di sini kerana hal ini berkaitan dengan kementerian beliau.

"Saya terima teguran awak mengenai (bekas) Setiausaha Politik itu Syukri.. Masalah ini akan diatasi segera. Terima kasih."

Mungkin inilah ayat yang mungkin terkeluar daripada mulut Tan Sri. Sekadar andaian sahaja. Itulah Syukri, tolak tawaran kerja 'dekat' dengan Tan Sri.


Saya suka dengan ayat seorang pegawai Universiti yang secara spontan berkata mengenai orang agama masuk politik,

"...kalau ada orang politik masuk agama, itu alhamdulillah...tapi bila ada orang agama masuk politik, itu nauzubillah...Syukri, kamu nampak buktinya..."

Sekian.

6 ulasan:

  1. next time... kena ada black and white... dah selalu dah kena mcm ni... tp bkn dgn S/U politik or mana2 YB.. tp isu mcm ni r....

    BalasPadam
  2. ya, lepas ni kena ada ada hitam putih untuk tunjuk pada mereka yg mungkin sengaja terlupa.

    BalasPadam
  3. Cukupletih mendengar janji kosong..cukup derita nak selesaikan masalah ini. Janji tinggal janji..

    BalasPadam
  4. bagus ni bro.. kena ketengahkan kepada pemimpin tertinggi UMNO.. diharap orang2 UMNO yang mengaku nak berjuang demi agama, bangsa dan negara, berjuanglah tanpa kepentingan jawatan.. bertanding untuk jawatan tu, memang adat dalam demokrasi.. tapi, bila dah kalah, jangan la sabotaj orang yang menang.. kalau dah kalah, bekerjasama la dengan orang yang menang.. sama-sama kuatkan parti.. kuatkan bangsa.. kukuhkan agama.. bila tiba musim bertanding tahun2 kehadapan, bertanding la balik secara sihat.. baru la orang hormat kita, orang hormat parti.. orang hormat bangsa kita.. dan yang paling penting, orang hormat agama kita.. kalau ada ahli politik yang baca ni, alhamdulillah, ambik la iktibar..

    p/s: saya adalah seorang ahli UMNO Shah Alam..

    BalasPadam
  5. Alhamdulillah, terima kasih saudara Kamarul. jika semua tahu peranan masing2 berlandaskan ajaran agama, sudah tentu perkara negatif seperti yg dinyatakan tidak akan berlaku.

    BalasPadam