Followers

Selasa, Mac 20, 2012

Isu Timb. Menteri : Mohon Hentikan & KEMAAFAN

Salam dan salam sejahtera.

Jika blog-blog lain memberikan tumpuan mengenai isu Anwar dan Yahudi, Lynas, NFC dan sebagainya, penulisan di blog ini akan diteruskan kepada satu isu yang dihangatkan melalui blog ini.

Pada 11 Mac 2012 yang lalu (kira-kira jam 2 petang), saya telah dihubungi oleh seorang pembantu peribadi (PA) kepada pemimpin pertubuhan belia. Pokok perbualan adalah berkisar mengenai seorang Timbalan Menteri.

Pada mulanya saya sudah mengetahui bahawa saya akan dihubungi oleh PA berkenaan untuk bercakap mengenai perkara tersebut. Hal ini kerana pada jam 10.40 pagi, perkara yang sama telah sampai ke telinga pihak lain dan pihak tersebut telah memaklumkan perkara berkenaan kepada saya terlebih dahulu.

Perbualan telefon berkisar kepada PERMINTAAN kepada saya untuk MENGHENTIKAN SEMENTARA tindakan 'MEMBUKA KISAH' atau TINDAKAN seorang TIMBALAN MENTERI yang TERLEPAS CAKAP semasa berucap di hadapan para mahasiswa/i ANAK JOHOR Universiti Sains Malaysia.

Permintaan itu bukan sahaja ditujukan kepada penulis blog MUHAMMAD SYUKRI SA'ADON, tetapi turut ditujukan kepada Yang Di-Pertua Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR), Universiti Sains Malaysia dan juga kepada Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia yang juga merupakan anak Johor.

Pasti para pembaca tertanya-tanya mengapa budak hingusan bernama MUHAMMAD SYUKRI SA'ADON itu sudah mengetahui dirinya akan dihubungi oleh PA tersebut?

Jawapannya mudah, PA berkenaan telah diminta oleh majikannya untuk memaklumkan kepada saya berkenaan informasi yang diterima olehnya (pemimpin belia) daripada Timbalan Menteri. Sudah pasti pihak di sebelah sana (Timbalan Menteri) meminta kerjasama pemimpin belia berkenaan untuk MENYEJUKKAN HATI KAMI yang sedang hangat ketika itu.

Bersyukur jugalah kerana bantahan hanya dilakukan melalui facebook dan blog. Surat bantahan tidak dihantar kerana tidak mahu melalui karenah BIROKRASI. Bersyukur sekali lagi kerana anak-anak Johor USM mempunyai saluran untuk menyuarakan perkara ini sehingga kepada Presiden Parti/Perdana Menteri dan tidak sampai kepada peringkat mengadakan DEMONSTRASI di hadapan bangunan Kementerian Belia & Sukan bagi mendesak Timbalan Menteri berkenaan meletak jawatan.

Sebenarnya saya yakin, pihak di sebelah sana tidak akan menghubungi atau menggunakan orang tengah untuk meminta kami 'BERTENANG' sekiranya tidak mendapat ARAHAN daripada pihak tertentu.

Bayangkan sajalah, saya telah dihubungi selang sehari selepas tempoh lawatan kerja Perdana Menteri ke Johor ketika itu.

Di sini saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan JUTAAN TERIMA KASIH kepada pegawai yang telah menyampaikan perkara berkaitan ketidakpuasan hati kami di PULAU MUTIARA ini terus kepada Perdana Menteri. Terima kasih juga kerana blog ini menjadi perhatian untuk dijadikan rujukan.

Pada minggu lepas pula, saya telah dihubungi oleh seorang pemimpin belia dan beliau telah cuba untuk mengaturkan pertemuan kami bersama Timbalan Menteri berkenaan. Dalam cadangan yang diberikan, kami telah diminta untuk pergi ke Parlimen kerana ketika ini sidang Parlimen sedang berlangsung dan semua Ahli Parlimen Kerajaan tidak digalakkan keluar daripada Kuala Lumpur (katanyalah - mungkin takut ada undian mengejut).

Pada perancangan awal, kami diberitahu bahawa Timbalan Menteri berkenaan akan ke Pulau Pinang untuk bertemu kami. Alhamdulillah, kerana nampaknya akan ada juga PEMIMPIN JOHOR yang akan menjejakkan kaki ke USM untuk bertemu anak-anak Johor. Nampak jugalah keikhlasan untuk meminta kemaafan sekiranya datang ke Pulau Pinang. Sekiranya pertemuan diadakan di Parlimen itu juga adalah untuk kebaikan semua cuma namanya juga mahasiswa/i, sudah tentulah bajetnya tidak sebanyak elaun Timbalan Menteri untuk ke sana.

Sebelum ini saya telah menetapkan tempoh masa untuk Timbalan Menteri berkenaan MEMOHON MAAF secara terbuka kepada anak-anak Johor USM, dan tempoh berkenaan sudah semakin hampir ke penghujungnya. Nampaknya permohonan maaf masih belum dikemukakan dan permintaan untuk kami BERTENANG hanya dipesan kepada orang tengah yang sudah melalui beberapa lapisan untuk sampai kepada kami.

Setelah menerima nasihat daripada GURU saya. Setelah melihat sendiri kebesaran tanda kekuasaan-Nya. Setelah GURU saya menerima nasihat daripada para GURUNYA untuk mengawal amarah, dengan penuh rasa rendah diri, setelah hampir empat (4) minggu perkara ini berlaku, saya, insan kerdil rakyat marhaen dengan ini secara peribadi MEMAAFKAN tindakan TERLEPAS CAKAP Timbalan Menteri berkenaan.

Demi kepentingan parti (bukannya individu), saya MEMAAFKAN Timbalan Menteri berkenaan. Namun begitu, KEMAAFAN ini hanya daripada MUHAMMAD SYUKRI SA'ADON secara peribadi dan bukannya daripada anak-anak Johor USM.

Sekiranya terdapat permintaan untuk menulis mengenai perkara ini bagi mengingatkan Timbalan Menteri supaya berjumpa anak-anak Johor USM, saya akan menulis kembali perkara ini di sini.

Perlu diingat bahawa bukan sahaja golongan BELIA perlu menjirus amarah dengan maaf tetapi barisan pemimpin yang masih BELIA juga perlu tahu tunduk untuk meminta kemaafan. Jangan hanya menunggu simpati untuk diberikan kemaafan.

Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan