Followers

Rabu, April 04, 2012

Jaga tutur kata - YB jangan terlalu yakin

PRU13: Razali tunggu Salahuddin di Muar

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim sedia berhadapan dengan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang dikatakan berminat bertanding di kerusi yang disandang beliau pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Katanya, beliau sama sekali tidak gentar untuk berhadapan dengan Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

“Banyak ura-ura didengar, sekejap di kerusi itu dan kini di Muar. Kalau dia nak bertanding di Muar pun saya alu-alukan, tapi tidak logik sebab kerusi Parlimen Muar untuk pembangkang adalah kerusi PKR.

“Adakah Salahuddin nak masuk PKR. Isu ini banyak membuang masa kita. Mereka tidak mempunyai fokus jelas,” katanya.

Minggu lalu, Salahuddin mengesahkan akan bertanding di Johor pada pilihan raya akan datang dan sedang mempertimbangkan tiga bahagian Parlimen untuk dipilih - sama ada bertanding di peringkat pusat atau negeri.

Razali berkata, pengumuman Salahuddin untuk bertanding di Johor hanyalah untuk meluaskan kuasa pembangkang menawan negeri itu daripada Barisan Nasional (BN).

“Apa yang dikatakan itu lebih kepada kuasa. Pengumuman dibuat mereka semua mengenai kuasa sama ada untuk mengekalkan kuasa atau merampas kuasa daripada rakyat. BN pun mengalu-alukan Salahuddin sebab saya pun tidak tahu siapa calon BN di Muar.

“Tapi saya akan pastikan jika dia (Salahuddin) bertanding di Muar, saya sendiri akan ketuai jentera BN di sana,” katanya.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, tiada halangan untuk Salahuddin bertanding di mana-mana, asalkan beliau mahu berkhidmat untuk rakyat bukannya mahu mendapatkan kuasa.

“Saya tidak boleh menguasai rakyat, mereka buatlah pertimbangan. Tapi kalau Salahuddin datang ke Muar, apa pilihan yang saya boleh buat.

“Perkara asas kepada saya kenapa Salahuddin keluar dari Kelantan. Kenapa dia tidak mempertahankan kerusi di Kelantan?,” katanya.

Difahamkan barisan kepimpinan Pakatan Rakyat telah mengadakan satu perbincangan serius dengan Salahuddin untuk kekal di negerinya yang mempunyai kekurangan calon berwibawa untuk mengisi jawatan menteri besar.

Sumber : Sinar Harian

******************************

Salam dan salam sejahtera.

Jalan jangan selalu dongak ke atas, nanti tersungkur di bumi sendiri. Tunduk-tunduklah selalu, pandang ke bawah dan berpijaklah di bumi yang nyata.

Sejak kebelakangan ini media kerap memaparkan 'drama' cabaran demi cabaran oleh ahli-ahli politik untuk bertanding di sesuatu kawasan.

Salah satu cabaran tersebut adalah seperti di atas.

Tidak salah untuk mencabar, tetapi perlulah sedar akan kedudukan itu.

Rakyat memerhati dan menilai setiap yang diperkatakan oleh bakal-bakal calon.

Rakyat juga melihat dan menilai penyandang yang sedia ada.

Saya tertarik dengan kenyataan seorang pegawai yang mengulas cabaran seorang Timbalan Menteri terhadap seorang Naib Presiden Pas yang dikatakan akan bertanding di Negeri Johor dan seterusnya menjadi calon Menteri Besar sekiranya Pakatan Rakyat menewaskan Barisan Nasional di Johor.

Pegawai itu mengatakan,

"tu si R*z**i tu tak faham-faham lagi ke? Eloklah berhati-hati ketika berucap, dah terkena hari tu pun tak kan tak faham-faham. Nanti malu sendiri. Urusan dengan ANAK JOHOR (Universiti Sains Malaysia) pun tak selesai dah nak buat yang lain. Dibuatnya semua ANAK JOHOR tu pusing....jawab la nanti..."

Ada pihak mengatakan bahawa sekiranya ANAK JOHOR USM hendak beralih arah itu tidak akan menggugat kedudukan mereka. Pada saya, kenyataan TIDAK AKAN MENGGUGAT itu adalah kenyataan yang JAHIL atau BODOH. Itu sebenarnya adalah kenyataan yang keluar daripada mulut insan yang tidak pernah merasai kekalahan.

Saya teringat kata-kata seorang Menteri Kabinet era kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terlalu yakin akan terus mengekalkan kedudukan beliau sebagai Ahli Parlimen dan sudah semestinya akan terus kekal sebagai Menteri Kerja Raya. Akhirnya, keputusan pilihan raya umum tahun 2008 beliau tewas kepada lawannya yang juga sama 'warna kulit' dengan beliau.

Pengerusi Barisan Nasional ketika itu juga melahirkan keyakinan bahawa Barisan Nasional akan terus mengekalkan kuasa dan tidak mempunyai masalah untuk menang majoriti 2/3 kerusi Parlimen. Keputusannya? Barisan Nasional gagal memperoleh majoriti 2/3 tersebut.

Hari ini, di salah sebuah kawasan Parlimen di Negeri Johor, seorang Ahli Parlimen telah 'terlepas cakap'. Beliau khabarnya telah mengatakan bahawa tidak memerlukan undi kaum india untuk menang kembali di kawasan tersebut. Beliau mungkin terlupa bahawa peratusan pengundi di kawasan tersebut tidak memberikan keselesaan kepada beliau kerana peratusan pengundi kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain hampir sama (Melayu + bukan Melayu). Kini, khabarnya penyandang kerusi tersebut sedang berusaha untuk bertukar ke kawasan yang lebih selamat.

Seeloknya tidak perlulah terlalu yakin dan mengamalkan budaya cabar mencabar seperti itu. Jagalah kawasan dan menjaga setiap tutur kata ketika berucap, bergurau juga ada tempatnya. Jangan kerana gurauan itu akan menjadi penyebab kehilangan undi. Majoriti undi yang diperolehi Barisan Nasional di Parlimen MUar bukanlah angka yang boleh dibanggakan.

Jaga tutur kata, elak sengketa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan