Followers

Selasa, Mei 22, 2012

"..calon hampeh"

Salam dan salam sejahtera.

Akbar Utusan Malaysia pada 18 Mei 2012, jam 5.28 petang melaporkan bahawa Naib Presiden Pas, Y.B. Salahuddin Ayub akan bertanding di Negeri Johor pada pilihan raya umum yang akan datang.

Sebagai anak kelahiran Negeri Johor, saya mengalu-alukan 'kepulangan' beliau ke Negeri Johor setelah dua penggal 'menumpang kasih' di Negeri Kelantan.

Walau apa pun, beliau layak untuk bertanding di mana-mana sahaja, terpulang kepada beliau untuk memutuskannya.

Apabila Naib Presiden Pas itu memutuskan untuk bertanding di Johor, saya beranggapan bahawa UMNO dan Barisan Nasional sudah tidak boleh terlalu leka dibuai kejayaan lampau.

Suka untuk saya tekankan mengenai calon-calon berstatus 'calon mampu menang' yang diperkatakan oleh kepimpinan UMNO/BN. Saya tidak mahu menyenaraikan aspek-aspek mengenai perkara tersebut kerana anda para pembaca pasti sudah mengetahuinya melalui pembacaan di sumber yang lain.


Saya pernah bertanya satu soalan mengenai prestasi dan calon-calon yang dilihat mampu menjadi wakil rakyat di dalam Negeri Johor terhadap seorang insan yang 'wajib' membuat laporan mengenai prestasi-prestasi wakil rakyat dan individu-individu tertentu. Persoalan tersebut bukanlah secara formal tetapi secara santai dan tidak berprotokol.


Jawapan insan tersebut amat menarik untuk saya kongsikan di sini. Jawapannya ialah, "ramai yang layak untuk bertanding, ramai juga yang melobi untuk kita tulis laporan mereka yang baik-baik je, dan secara jujurnya ramai juga yang boleh dikatakan hampeh".


Kata-kata di atas membuatkan saya berfikir dan terus berfikir.


Sebenarnya saya baru sahaja mengetahui (tahu tahun ini) bahawa setiap wakil rakyat akan dinilai bukan sahaja oleh rakyat tetapi turut dinilai oleh pihak tertentu dan laporannya akan diserahkan kepada kepimpinan tertinggi (parti).

Saya juga baru juga mengetahui bahawa bukan sahaja wakil rakyat yang akan dinilai tetapi kepimpinan parti di peringkat Bahagian/Parlimen turut akan dinilai kerana mungkin mereka berpotensi menjadi calon pilihan raya.


Pada hari raya haji yang lepas, saya mendengar sendiri kenyataan (berdasarkan perbualan yang saya dengar sendiri) daripada seorang insan yang mempunyai jawatan untuk membuat laporan prestasi wakil-wakil rakyat dan menilai juga prestasi beberapa pemimpin di peringkat Bahagian untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi (negara atau mungkin juga parti).


Insan tersebut dengan penuh yakin mengatakan bahawa calon-calon Barisan Nasional di kawasan Parlimen Batu Pahat, Parit Sulong, Sri Gading, Ayer Hitam, Dewan Undangan Negeri Semarang, Yong Peng, Seri Medan, Semerah, Parit Yaani, Parit Raja, Penggaram, Senggarang, dan Rengit adalah 'sekian-sekian'. Pada mulanya saya agak terkejut kerana seorang yang bertanggungjawab membuat laporan prestasi boleh mengeluarkan sesuatu yang boleh dikategorikan sebagai sulit kepada orang awam.


Berdasarkan pengamatan saya, insan berkenaan sebenarnya lebih berat sebelah kerana insan berkenaan secara terang-terangan menyatakan bahawa penyandang kerusi-kerusi parlimen di dalam Daerah Batu Pahat akan kekal. Beliau sendiri melahirkan 'sokongan' terhadap Ahli Parlimen (Batu Pahat, Parit Sulong, Sri Gading) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Seri Medan, Semarang, Parit Raja). Tidak perlu saya nyatakan sebab mengapa insan berkenaan menyokong penyandang-penyandang tersebut kerana saya sudah mendengar sendiri daripada mulut orang-orang politik di peringkat bahagian di mana kata kuncinya ialah "DIBELA".

Laporan yang baru diterima daripada pihak tertentu, insan yang bertanggungjawab membuat laporan penilaian prestasi wakil rakyat dan kepimpinan utama di peringkat Bahagian berkenaan telah dipindahkan kerana laporannya boleh dipertikai. Dalam erti kata yang sebenar, laporan insan berkenaan dikatakan berdasarkan kepada wang yang diterima.

Walaupun ada pihak mengatakan bahawa saya adalah orang kepada pihak tertentu, tetapi ingin saya nyatakan di sini bahawa saya adalah orang parti UMNO/Barisan Nasional. Saya tidak terikat dengan mana-mana peraturan individu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan