Followers

Selasa, Mei 22, 2012

Oohhh Pemuda UMNO Johor...

Salam dan salam sejahtera.

Di bawah ini saya sertakan laporan berita daripada Malaysiakini (KLIK)

Pemuda UMNO Johor bergolak?

Naib Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Fuad Tukirin menafikan cuba menjatuhkan bosnya Mohd Fadil Muskon dengan melobi Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Mohd Fuad mengakui beliau dan rombongan 17 Pemuda Umno bahagian di Johor berjumpa Khairy pada 8 Mei lalu tetapi ia tidak berkaitan dengan khabar angin untuk menjatuhkan Mohd Fadil yang dilantik sebagai ketua Pemuda negeri.

"Saya menafikan perkara tersebut. Tidak ada (buat) desakan apa-apa. Kenapa disalahtafsirkan. Kita mengunjungi beliau kerana mahu mengucap tahniah sebab dilantik menjadi pengerusi PUNB (Perbadanan Usahawan Nasional Bhd )," katanya Mohd Fuad sambil ketawa.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam, Mohd Fuad berkata pertemuan beliau bersama rombongannya dengan Khairy berlangsung di ketua Pemuda Umno di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Mohd Fuad berkata kunjungan mereka itu tidak disertai Mohd Fadil yang juga ketua Pemuda Umno bahagian Ayer Hitam dan beliau "tidak pasti" sebab ketidakhadirannya.

"Saya pergi bukan atas kapasiti naib ketua pemuda Johor, tapi sebagai ketua pemuda bahagian ... Kita maklumkan (kepada semua) siapa nak pergi, pergilah," katanya yang juga ketua Pemuda Umno Bakri.

'Tidak salah manja-manja dengan bos'


Beliau diminta mengulas dakwaan berlaku pergolakan dalam pergerakan Pemuda Umno Johor yang diedarkan melalui e-mel sejak 15 Mei lalu dan dikatakan tersebar luas di negeri kubu kuat Umno itu.

Kumpulan itu juga didakwa memberi kata dua kepada Khairy untuk mengikut keputusan mereka atau mereka akan mendesak menteri besar Johor campur tangan untuk menukar ketua Pemuda Umno negeri.

Diminta mengulas dakwaan tindakan kumpulan mereka itu didalangi Naib Ketua Pemuda Datuk Razali Ibrahim, Mohd Fuad sekali lagi mengulangi dengan berkata:

"Tak ada desakan apa-apa. Kenapa buat tuduhan melulu. Yang lain-lain saya no comment (tiada komen)," katanya.

Selain mengucap tahniah kepada Khairy, Mohd Fuad berkata rombongannya turut membangkitkan rungutan terhadap kepada ahli parlimen Rembau itu supaya "tengok-tengok" Pemuda akar umbi di negeri itu.

"Beliau jarang turun. Jangan berada di Kuala Lumpur sahaja. Tidak salah nak manja-manja dengan ketua Pemuda, bos kami," katanya sambil ketawa.

"Kami tak ada baling batu, cakap belakang... Mesti ada pihak yang menangguk di air keruh," Katanya lagi.


***********************************

Semasa saya berada di Kementerian Belia dan Sukan, saya telah berjumpa dengan seorang Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian di Negeri Johor. Seperti yang pernah saya nyatakan pada penulisan sebelum ini, berlaku perdebatan antara saya dengan Ketua Pemuda UMNO berkenaan.

Perdebatan seperti abang dengan adik sahaja.

Di dalam pertemuan tidak rasmi dan tidak sengaja itu saya telah bertanya mengenai Pemuda UMNO Negeri Johor. Secara spontan juga saya bertanya mengenai pendapat, pandangan beliau mengenai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor  iaitu Saudara Mohd Fadil Muskon.


Secara jujurnya saya menyatakan bahawa Saudara Mohd Fadil Muskon adalah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ayer Hitam dan beliau adalah Ketua Pemuda saya sendiri. Rumah bonda beliau tidak jauh dengan rumah saya.

Persoalan yang saya ajukan mengenai Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor itu di jawab dalam keadaan 'lesu'. Ketika perdebatan/perbincangan sedang hangat, tiba-tiba 'disejukkan' dengan soalan spontan daripada saya sendiri.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian yang mempunyai pejabat di Kementerian Belia dan Sukan itu dengan nada yang rendah mengatakan bahawa "Fadil tu bagus cuma dia tak boleh jadi ketua untuk berperang. Dia boleh jadi pemikir atau di sebalik tabir tapi kalau nak jadi ketua perang dia memang tak boleh. Dia pun tak boleh lasak sangat...."

Soalan saya yang kedua dan tidak mempunyai jawapan ialah apakah yang dilakukan oleh Pemuda UMNO Johor untuk menarik sokongan pengundi muda kepada UMNO dan Barisan Nasional?

Soalan ini saya sendiri akan patahkan kerana saya sebagai Pemuda UMNO tidak mempunyai apa-apa tindakan untuk menarik sokongan rakan-rakan yang berstatus pengundi atas pagar. Kerana apa? Kepimpinan melalui tauladan. Cuba untuk menjadi proaktif.

Disebabkan itu jugalah, saya yakin bahawa Pemuda UMNO Johor sememangnya bergolak. Berdasarkan jawapan Naib Ketua Pemuda UMNO Johor iaitu Mohd Fuad Tukirin itu sudah dapat memberikan tanggapan dan pengesahan mengenai pergolakan tersebut.

Pemuda UMNO perlu diterapkan semangat sayang, kasih kepada Negara dan parti bukannya mengejar pangkat dan tender-tender projek.

Walaupun ada dalam kalangan Pemuda UMNO Johor berstatus Datuk (gelaran beli barangkali) tetapi itu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan kerana kerja perlu dilakukan dan bukan sekadar mengeluarkan arahan.

Saya tidak mahu menyokong membabi buta. Saya berpegang kepada prinsip, buatlah apa jua untuk kebaikan parti UMNO dan Barisan Nasional. Jangan gadai Negara ini.

1 ulasan:

  1. Terbaca entri ni. Dan tiba2 terfikir sesuatu. Saya bukan pemuda, err.. maksud saya pemudi UMNO atau puteri UMNO. Bukan juga pemudi/puteri parti politik lain. Lagilah rasa kegolakkannya.

    Apa yang saya tahu kawasan saya ini BN sangat kuat, sangat berpengaruh. Dan apa yang saya risaukan, kepimpinan BN tidak seperti tokoh BN yang mula-mula menerajui BN. Jadi, akan semakin tenggelam BN di bumi Darul Takzim ini.

    Saya sayang UMNO kerana jasanya banyak pada tanah air. Jangan kerana pergolakkan kepimpinan yang saya sendiri semakin tidak faham ini membuatkan saya tidak suka kepada UMNO.

    Sekadar pandang insan jahil dalam politik. Harap boleh beri tunjuk ajar dalam bidang ini. Terima kasih. v(^^,)

    BalasPadam