Followers

Instructions

Jumaat, Februari 17, 2012

ASPIRASI - Tahniah - Jelajah Aman Kampus - Dana?

Salam dan salam sejahtera.

Kini sedang berlangsung program Jelajah Aman Kampus yang dikelolakan oleh Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (ASPIRASI) dengan kerjasama Institusi Pengajian Tinggi dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Seperti mana yang dilaporkan oleh junior-junior saya (ketika saya menaip program tersebut berada di Johor Bahru). Kini khabarnya berada di Perlis.


Beberapa junior Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) atas nama Gabungan Anak Johor (GAJ) terlibat sama dalam program Aman Kampus di Johor Bahru

Pada awalnya saya melihat dan beranggapan bahawa Program Jelajah Aman Kampus ini diwujudkan kerana pilihan raya sudah semakin hampir dan bakal dilaksanakan pada bila-bila masa. Tetapi itu hanya sekadar tanggapan saya sahaja.



Saya yakin bukan saya seorang sahaja yang beranggapan sedemikian. Apabila mandat kerajaan sudah menghampiri tempoh penamat maka tidak peliklah apabila banyak program khususnya yang ditonjolkan secara meluas di media-media lebih khusus terutamanya hal berkaitan kebajikan mahupun pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat.

Sebelum ini saya dan rakan-rakan di kampus termasuklah yang sudah menamatkan zaman mahasiswa/i selalu bertanya mengenai program-program yang dilakukan oleh ASPIRASI. Saya akui diri ini bersama-sama ASPIRASI secara tidak langsung ketika pilihan raya kampus dan terlibat sama membantu kempen. Namun begitu penglibatan tersebut tidak memerlukan balasan.

Walaupun suatu ketika saya meletakkan diri dan persatuan yang saya pimpin sebagai BEBAS, tetapi BEBAS yang saya bawa lebih condong kepada ASPIRASI. Terima kasih kepada dua orang Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia yang saya tidak kenali secara peribadi tetapi telah mengenepikan 'protokol' untuk duduk bersama saya sambil meminum teh tarik bagi meminta pandangan serta idea untuk melaksanakan pembaharuan, isu berkaitan Parlimen Mahasiswa, infrastruktur dan sebagainya. Saya menghormati dan mengagumi ketokohan dua orang YDP MPP USM iaitu Mohamad Shafiq Abdul Aziz dan Ahmad Wafi Sahedan yang beberapa kali menemui seorang manusia kerdil seperti saya. Mereka berdua adalah pemimpin-pemimpin ASPIRASI yang tulen.

Sdr. Ahmad Wafi Sahedan

Sdr. Mohamad Shafiq Abdul Aziz

Walaupun saya BEBAS yang condong ke arah ASPIRASI, tetapi saya bebas mengeluarkan pandangan tanpa terikat dengan mana-mana ideologi. Saya cukup terharu apabila dua orang YDP MPP tersebut secara peribadi menemui saya apabila mereka membaca status facebook saya yang seakan-akan cuba menegur kepimpinan mereka. Mereka berjumpa saya secara peribadi untuk mengetahui perkara tersebut dan akhirnya menerima teguran yang dibuat. Secara peribadi saya mengagumi kedua-dua YDP MPP saya itu. Mereka tidak bermasam muka apabila ditegur kerana masing-masing berbincang sebagai seorang yang telah matang. Yang menegur juga perlu bersedia untuk ditegur.

Beberapa bulan yang lalu saya telah mengadakan pertemuan (terakhir) dengan salah seorang YDP MPP tersebut dan saya meluahkan kekecewaan mengenai ASPIRASI. Saya mengatakan bahawa kronisme, mendengar cakap sebelah pihak, mengabaikan tanggungjawab, meletakkan diri sebagai golongan elit, bergaduh sesama sendiri, akan menyebabkan ASPIRASI jatuh tersungkur di dalam kampus. Saya tidak akan pergi menegur kerana saya percaya bahawa bukan orang bawah yang perlu naik ke atas untuk mengeluarkan kata-kata teguran tetapi orang atas perlu turun ke bawah untuk mendengar apa yang ingin diperkatakan.

Saya juga masih ingat, kali terakhir saya membuat teguran kepada ASPIRASI ialah apabila mereka mengadakan demontrasi di hadapan Kementerian Pengajian Tinggi bagi mendesak Timbalan Menteri Pengajian Tinggi iaitu Datuk Saifuddin Abdullah meletak jawatan. Saya ulangi kenyataan saya sebelum ini, bahawa saya tidak bersetuju dengan tindakan ASPIRASI itu, dan saya yakin kerana beberapa rakan di dalam ASPIRASI juga tidak menyokong tindakan 'kurang bijak' (berdemontrasi) yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin ASPIRASI mereka. Sudah lumrah kehidupan, yang berbeza pendapat akan 'dibuang'. Saya tidak terkesan dengan perkara itu.

Alhamdulillah, ada juga program bernas dan bermanfaat dilakukan oleh ASPIRASI iaitu Aman Kampus. Walaupun saya tidak mengetahui isi kandungan program tersebut tapi insyaAllah saya pasti modulnya sudah pasti lain daripada yang lain dan bermanfaat bukan sahaja kepada para peserta malahan kepada masyarakat dan kerajaan yang memerintah.

Sehingga ke saat ini saya masih berselisih pendapat dengan beberapa pihak yang menganjurkan program-program untuk jati diri atau motivasi. Kerana apa? kerana mereka hanya mementingkan malam kebudayaan, ceramah kenegaraan, kerja dalam kumpulan dan sebagainya tetapi tidak mementingkan pengisian kerohanian untuk menerapkan ciri-ciri keIslaman di dalam diri bagi mereka (para peserta) yang sudah jauh 'meninggalkan' ciri-ciri seorang Islam. Saya tidak tujukan kepada ASPIRASI kerana saya tidak mengetahui modul Aman Kampus. (hanya tahu sedikit sahaja daripada junior yang senyum tapi belum tentu suka).


Akhir sekali saya ingin mengajukan beberapa soalan yang telah diajukan kepada saya oleh seseorang yang saya akui bahawa saya tidak mampu menjawab soalan-soalan berkenaan.

  1. Berapa ratus ribu duit digunakan untuk program Aman Kampus?
  2. Siapakah yang memberi dana tersebut?
  3. Adakah orang politik (parti politik) terlibat di dalam program secara langsung ataupun tidak?
  4. Pastikah modul yang ada itu tidak mempunyai unsur-unsur politik kepartian?
  5. Apakah halatuju mahasiswa/i hari ini?
  6. Adakah mahasiswa/i hari ini menyokong kerana mendapat dana yang banyak?
Maaf, saya tiada jawapan dan saya tidak mengetahuinya. Saya juga tertanya-tanya.

Komen dari salah seorang peserta (peserta Institusi Pengajian Tinggi Swasta) yang mengikuti program tersebut ialah, "terdapat unsur politik kepartian khususnya menyokong kerajaan dan menghentam Anwar Ibrahim termasuklah pembangkang". Apa yang pasti penginapan, makan, minum, baju, tuntutan-tuntutan perjalanan (tol dan minyak kenderaan) ditanggung bersih khabarnya, ini berdasarkan penceritaan pihak yang terlibat.

Walau apa pun, tahniah kepada ASPIRASI. Saya berharap ASPIRASI akan lebih matang dan bertindak dengan bijaksana tanpa emosi yang tidak stabil dalam melakukan tindakan-tindakan yang berani. Semoga usaha murni ini dapat diteruskan dan bukannya bermusim untuk kepentingan pihak-pihak tertentu sahaja.

Isnin, Februari 13, 2012

Sindiran tajam Mufti Perak.

Salam dan salam sejahtera.

Saya mengagumi Mufti paling lama di negara ini iaitu Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Kata-kata beliau cukup tajam dan amat mendalam maksudnya.

Kepada yang berkenaan, harap memahaminya.




Sumber : GAP

Sabtu, Februari 11, 2012

Pelanggan sentiasa betul walaupun GILA macam ...............

Salam dan salam sejahtera.

Isu pekerja KFC kaum Melayu dengan seorang pelanggan kaum Cina.

Saya tak sanggup untuk beratur begitu lama demi makanan segera seperti KFC.

Saya juga akan marah sekiranya lebih 1 jam beratur dan akhirnya mendapat tahu makanan sudah habis.

Paling lama saya beratur pun 15 minit saja, kalau terlalu lama saya akan pergi mencari alternatif lain. (Baru nampak bijak, macam bodoh sangat beratur terlalu lama)

Isunya mudah saja, ayam KFC dan "Cibai punya Melayu!".

Saya akui ini adalah isu perkauman.

Kerana apa?

Ayat yang digunakan oleh pelanggan KFC berbangsa Cina iaitu "Cibai punya MELAYU!"

Seperti biasa parti DAP melalui seorang Ahli Parlimennya telah mengadakan sidang media bersama pelanggan kaum Cina itu.

Seperti biasa juga, MELAYU dipersalahkan!

Ya! MELAYU yang salah!

Saya juga terpaksa setuju kerana MELAYU itu memang salah.

Kerana apa?

Dalam berniaga dan berurusan dengan pelanggan, etikanya mudah iaitu pelanggan sentiasa betul!

(Saya pun tak tahu siapa yang buat etika tu - pada saya pelanggan yang gila perlu juga berurusan dengan jurujual yang gila).

Pelanggan sentiasa betul walaupun pelanggan tersebut GILA!

Saya sedang cuba berfikir dan memikirkan keadaan sebaliknya.

Bagaimana sekiranya pelanggan tersebut adalah kaum MELAYU dan pekerja KFC itu pula adalah kaum Cina........

Bayangkan sajalah....

MELAYU menjerit dengan kuat, "PUK*MAK punya CINA!!!"

dan pekerja KFC kaum Cina itu pula terus menerajang si MELAYU...

Persoalannya, adalah DAP akan membuat sidang media dan Malaysiakini akan melaporkan berita tersebut secara meluas?

Gambar Hiasan
(Tiada kena mengena dengan ayam KFC di tempat saya)

Saya yakin, MELAYU tetap salah kerana MELAYU adalah majoriti.

Ya, majoriti.

Kaum minoriti kini sudah lupa diri (tidak kesemuanya).

Orang MELAYU sudah tidak berani berkata mengenai MELAYU dan KETUANAN MELAYU.

Kerana apa? Tepuk dada tanya hati, fikir-fikirkanlah sendiri...

Mana Pemuda UMNO? Mana Pemuda Barisan Nasional? Mana PERKASA? Mana pertubuhan-pertubuhan Belia? Mana? Mana? Mana? Di mana mereka?
Di mana pihak-pihak yang cuba mendamaikan si budak MELAYU dengan si budak Cina ini?

Membuat sidang media bukanlah untuk mendamaikan tetapi akan mengkucar-kacirkan keadaan.

Tindakan membuat sidang media bukanlah tindakan yang bodoh tapi sebenarnya tindakan yang tidak bijak.

Di bawah adalah gambar yang saya ambil daripada Facebook, (pemiliknya tidak diketahui)





Sepatutnya, dia juga perlu dibuang 'PADANG'! 
*lain kali kalau nak maki terus je guna ".......budak Melayu tu!", bukannya "Cibai punya Melayu!" - itu terus merujuk keseluruhan orang MELAYU.

Rabu, Februari 08, 2012

Johor bakal terima Menteri Besar baru!

Salam dan salam sejahtera.

Benar, Johor Darul Ta'zim bakal menerima Menteri Besar yang baru.

Percayalah! Perkhabaran ini adalah sesuatu yang benar!

Perkhabaran ini akan menjadi perkhabaran yang benar sekiranya Pakatan Rakyat (bukan gabungan berdaftar) memenangi secara majoriti kerusi-kerusi di dalam Dewan Negeri atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Negeri Johor.

Siapakah bakal Menteri Besar dari Pakatan Rakyat itu?

Khabar angin (seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian) mengatakan bahawa Naib Presiden Pas iaitu Salahuddin Ayub bakal menjadi Menteri Besar Johor sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan tiang seri UMNO dan Barisan Nasional itu.


Pada saya atas nama demokrasi beliau bebas untuk bertanding di mana jua kawasan Parlimen mahupun DUN.

Dua penggal bertanding di Parlimen Kubang Kerian dan sudah pasti beliau mahu bertanding di negeri kelahiran beliau sendiri.

Apabila bertanding di dalam pilihan raya, cuma dua sahaja keputusannya iaitu menang ataupun kalah.

Sekiranya beliau menang dan Pakatan Rakyat menguasai Negeri Johor, bersediakan beliau menjadi Menteri Besar yang lebih bagus berbanding Menteri Besar sekarang? Atau adakah beliau mampu menjadikan Negeri Johor lebih Islamik tanpa terikat dengan Buku Jingga? Atau mungkin beliau mampu mentadbir Negeri Johor tanpa terikat dengan desakan-desakan sekutu di dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP? Persoalan ini sekiranya Pakatan Rakyat menang dan menguasai Negeri Johor.

Bagaimana pula sekiranya Salahuddin Ayub tewas apabila bertanding di Johor? Bersediakah beliau menerima kekalahan? Akan wujudkah kisah-kisah pengundi hantu yang menjadi penyebab kekalahan beliau? Bersediakah Pas meletakkan Naib Presidennya untuk bertarung di dalam kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional?

Walau apa pun kita tunggu dan lihat. Pilihan raya sudah semakin hampir. Khabarnya Dato' Sri Mohd Najib sudah memperolehi ilham untuk memohon perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat.

Transformasi sudah kelihatan jelas di Negeri Johor. Para pemimpin sudah mula menerima cadangan orang-orang muda. Hanya segelintir yang sukar menerima dan itu bukanlah halangan dan bukanlah alasan untuk menyalahkan UMNO.

Untuk makluman para pembaca, Parlimen Bakri, DUN Senai, DUN Skudai, DUN Bentayan dan DUN Mengkibol telah dimenangi oleh DAP pada pilihan raya umum tahun 2008, manakala DUN Sungai Abong dan DUN Maharani pula dimenangi oleh Pas.

Walaupun penguasaan DAP dan Pas agak kecil tetapi itu tidak boleh diperlekehkan. Saya yakin Pakatan Rakyat akan menambah beberapa kerusi DUN lagi pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan kepada beberapa kerusi DUN yang majoriti undinya amat tipis dimenangi oleh Barisan Nasional seperti di DUN Penggaram (dalam kawasan Parlimen Batu Pahat).

Namun begitu, usaha keras perlu dilakukan supaya UMNO dan Barisan Nasional berjaya mengekalkan kekuasaan di Negeri Johor Darul Ta'zim serta menguasai kerajaan Persekutuan.

Ahad, Februari 05, 2012

Menilai kedudukan calon veteran

Salam dan salam sejahtera.

Saya tertarik dengan penulisan Zulkiflee Bakar dalam ruangan rencana di dalam akhbar Utusan Malaysia yang disiarkan pada 30 Januari 2012.

Nampaknya ada juga wartawan yang 'sekepala' dengan saya dalam memperkatakan mengenai wakil rakyat veteran yang masih mahu kekal menjadi wakil rakyat.

Sikap mahu terus berjuang (kononnya) untuk membela rakyat bukan sahaja berlaku di dalam UMNO tetapi turut berlaku di dalam Pas dan DAP.

Pas perlu berbangga dengan adanya pemimpin veteran yang sehingga kini tidak memperlihatkan tanda-tanda untuk berundur (Mungkin ini merujuk kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat). Tahniah kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sudi berundur dan tidak mahu bertanding pada pilihan raya akan datang.

DAP juga wajar berbangga kerana memiliki wakil rakyat veteran mempunyai dinasti di dalam parti tersebut. Tidak perlu rasanya saya menyatakan nama Lim Kit Siang (anaknya Lim Guan Eng) dan Karpal Singh (anaknya Gobind Singh Deo dan seorang lagi saya tidak ingat).

PKR juga memiliki wakil rakyat veteran, siapakah? Saya beranggapan wakil rakyat itu veteran dari segi moralnya. 'Veteran' juga dari segi impian untuk menjadi Perdana Menteri.

Di bawah adalah penulisan saudara Zulkiflee Bakar yang menarik untuk kita nilai dan renungkan.

Kepada anda wakil-wakil rakyat veteran, berundurlah. Ahli-ahli parti tidak akan meminta anda berundur secara berdepan, tetapi anda perlu ingat untuk berundur bagi memberi laluan kepada orang muda. Jasa anda membangunkan kawasan-kawasan yang diwakili tetap akan dikenang.


*Penulisan kali ini tiada kaitan dengan kawasan Parlimen di dalam Daerah Batu Pahat, Johor. Sekiranya kebetulan mungkin ini tidak dirancang. Sekian.

**************************************

Menilai kedudukan calon veteran

DALAM satu taklimat pilihan raya, seorang ahli politik veteran bertaraf YB 'mengamuk' apabila mendapati namanya digugurkan dan digantikan dengan calon lebih muda untuk pilihan raya umum akan datang.

YB ini tidak mahu mendengar penjelasan pihak yang membuat laporan tersebut dengan menganggap ia 'mengarut' dan mahu berjumpa dengan pemimpin atasan untuk mengadu.

Apa yang dipaparkan ini hanyalah contoh kecil bagaimana ada pemimpin veteran yang sudah lagi tidak mampu membawa kemenangan kepada parti masih mahu bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Biar pun pengguguran itu berlandaskan kepada fakta yang dibentangkan hasil kajian yang dibuat namun ramai pemimpin veteran tidak akan mudah menerima kenyataan tersebut.

Semua ini hakikatnya bukanlah satu sikap politik yang matang, sepatutnya ahli politik veteran yang merasakan masanya sudah tiba untuk berundur akan rela berbuat demikian tanpa paksaan.

Masalahnya, di dalam UMNO ramai pemimpin-pemimpin veteran merasakan hanya mereka sahaja yang layak dan tiada siapa yang boleh menggantikan mereka.

Atas sebab itulah sudah tiba masanya, pucuk pimpinan parti bertegas dalam soal ini, pemilihan calon untuk pilihan raya umum akan datang perlu dibuat dengan teliti tanpa harus tunduk kepada sebarang tekanan atau ugutan.

Ia kerana pilihan raya umum akan datang cukup penting untuk survival politik Barisan Nasional (BN) dan UMNO, ia dianggap 'ibu' kepada semua pilihan raya yang pernah diadakan.

Oleh itu sudah tentulah UMNO tidak harus menghabiskan masa melayan kerenah sesetengah pemimpin veteran yang masih mahu bertanding biar pun menyedari dia akan ditolak oleh rakyat.

Tumpuan utama perlu diberikan kepada negeri-negeri yang dianggap kritikal seperti Kedah, Kelantan, Perak dan Selangor.

Di negeri-negeri berkenaan, UMNO tidak boleh melakukan kesilapan dalam memilih calon kerana misi UMNO adalah menawan semula Kedah, Kelantan dan Selangor serta mempertahankan kekuasaan di Perak.

Begitu juga di Johor, Pahang dan Negeri Sembilan yang dikatakan menjadi sasaran utama pembangkang untuk menambah kerusi.

Jika UMNO masih leka dengan melayan kerenah pemimpin-pemimpin tertentu yang merasakan diri mereka sahaja yang layak, maka UMNO perlu bersedia berhadapan dengan kekalahan.

Hakikatnya, fenomena ingin menjadi calon dan merasakan dirinya layak menjadi calon bukanlah perkara baru, apatah lagi apabila seseorang individu itu memegang jawatan di peringkat bahagian.

Pandangan kuno bahawa jawatan di peringkat bahagian adalah tiket untuk terpilih sebagai calon masih melumuri sebahagian besar pemimpin-pemimpin UMNO.

Apa yang mengecewakan ada antara mereka awal-awal lagi sudah membuat kenyataan berbentuk ugutan, kalau dirinya tidak terpilih dia akan memastikan partinya juga akan kalah.

Individu seumpama ini tidak diperlukan oleh parti kerana perjuangan politiknya hanya semata-mata untuk dirinya bukan parti.

Kalau ahli politik itu ikhlas sudah pasti dia akan menyerahkan kepada parti untuk menentukan kedudukannya, jika terpilih bertanding Alhamdulillah, kalau tidak terpilih, dia akan bersungguh-sungguh membantu calon penggantinya untuk menang.

Tetapi senario ini acap kali sukar berlaku kerana sindrom merasakan dirinya sahaja layak dan berada dalam kategori 'calon boleh menang'.

Justeru sudah tiba masanya, pucuk pimpinan parti bertegas dalam soal ini dan tidak melayan kerenah politikus yang hanya mementingkan diri sendiri.

Tidak kiralah sehebat mana pun politikus berkenaan tetapi kalau di kawasan sendiri rakyat sudah tidak menerimanya maka dia perlu bersedia untuk digugurkan.

Sebab itulah penyenaraian semula calon atau pemimpin yang bertaraf veteran dalam pilihan raya umum akan datang perlu dilakukan dengan teliti.

Jika pemimpin veteran itu masih berpengaruh dan diterima oleh rakyat tidak mengapa tetapi kalau sebaliknya maka parti perlu memiliki keberanian menggugurkannya.

Tidak perlu ada simpati atau rasa bimbang terhadap tindak balas yang akan dilakukan oleh mana-mana pemimpin veteran yang tidak dipilih bertanding.

Ia kerana selagi rakyat di sesuatu kawasan itu mahukan perubahan, maka mereka sudah pasti akan memberi sokongan kepada mana-mana calon yang dipilih bagi menggantikan pemimpin yang mereka tolak.

Masalahnya, acap kali juga berlaku, parti tunduk kepada desakan sesetengah pemimpin veteran ini tetapi kesudahannya parti yang rugi. Berdasarkan hakikat itu adalah wajar semua pemimpin UMNO berpegang kepada akujanji yang mereka lafazkan ketika perhimpunan agung UMNO lalu.

Dalam situasi politik yang dianggap genting sekarang terutamanya dalam berhadapan pilihan raya umum, kepentingan parti harus mengatasi segala-galanya.

Perkara utama yang perlu diberi pertimbangan ialah meletakkan lebih ramai calon muka baru tanpa mengorbankan calon veteran yang menjadi aset kepada parti.

Kita perlu ingat, dalam pilihan raya umum akan datang, pengundi muda akan menjadi pengundi teramai, mereka mempunyai cita rasa dan pandangan politik yang berbeza.

Oleh itu, jika UMNO dan BN meletakkan calon bertaraf veteran yang tidak mampu membawa apa-apa faedah kepada parti adalah lebih baik mereka ini digantikan dengan calon lebih muda.

Bagaimanapun calon muda berkenaan biarlah yang popular di kalangan rakyat dan mempunyai karisma. Pada masa ini sama ada hendak diakui atau tidak, kebanyakan pemimpin muda di peringkat bahagian tidak begitu menonjol atau dihalang daripada menonjol.

Di bahagian-bahagian tertentu ada pemimpin-pemimpin muda yang mengetuai sayap parti bersikap seperti 'hidup segan mati tak mahu'.

Mereka tidak aktif melaksanakan agenda parti tetapi apabila datang musim pilihan raya barulah hendak tunjuk muka. Keadaan ini sudah tentulah tidak menguntungkan parti kerana apa yang lebih penting adalah penerimaan rakyat terhadap kehadiran mereka.

Seperkara lagi yang harus diberi pertimbangan serius oleh UMNO ialah menggugurkan mana-mana pemimpin yang sudah bertanding berkali-kali tetapi tetap kalah.

Tidak kiralah sama ada pemimpin itu berada di kubu kuat pembangkang atau tidak tetapi jika parti merasakan orang lain lebih layak bertanding maka pilihlah orang itu.

Apa pun adalah diharapkan akan ada sikap berkorban di kalangan sesetengah pemimpin veteran yang sudah tidak lagi diterima oleh rakyat. Mereka perlu bersedia memberi laluan kepada calon lain dan bukannya mengatur gerakan untuk memastikan pengganti mereka tewas dalam pilihan raya umum akan datang.

Janganlah merasakan kita sahaja hebat sedangkan yang sepatutnya membuat penilaian itu ialah rakyat. Merekalah yang akan menentukan hidup mati perjuangan sesebuah parti melalui pilihan raya yang bakal diadakan.

UMNO memerlukan barisan pemimpin dan ahli yang ikhlas, sedia berkorban dan melakukan pengorbanan demi perjuangan parti, bukannya peribadi.

Syabas Nik Aziz


Salam dan salam sejahtera.

Saya ingin menjadi salah seorang yang mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Kelantan yang juga Musyidul Am Pas kerana telah mengumumkan untuk bertanding lagi pada pilhan raya umum akan datang.

Memandangkan usia Musyidul Am Pas itu sudah terlalu lanjut, maka saya bersama-sama sebahagian rakyat Malaysia termasuklah ahli-ahli Pas yang bersuara di 'belakang' Menteri Besar Kelantan itu meminta supaya beliau berfikir dengan bijaksana. Berehatlah Tuan Guru.

Saya juga tidak mahu ketinggalan untuk bersama-sama sebahagian besar rakyat Malaysia untuk mengingatkan kepada Mursyidul Am Pas itu untuk berundur kerana sudah terlalu lama berada di kedudukan tersebut. Saya hanya mampu berkata "Tuan Guru, lihatlah cermin dan luahkan kembali kata-kata Tuan Guru terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu terhadap manusia yang ada di dalam cermin itu".


Y.A.B. Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Menteri Besar Kelantan
1990 - ????
"Ambo nok so penggei lagi"
(Mungkin ini yang diperkatakan olehnya)

Saya bersetuju dengan penulisan di dalam Mingguan Malaysia mengenai Musyidul Am Pas itu.

***********************************

Syabas Nik Aziz



AWANG mahu menjadi orang pertama mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat kerana telah mengisytiharkan diri untuk bertanding lagi pada PRU13.

Pengumuman mengenai perkara itu dinyatakan kelmarin dalam ceramah beliau di pejabat parti negeri. Nampaknya tempoh 45 tahun belum cukup.

Jika tidak silap, Nik Aziz, 81, adalah wakil rakyat paling lama dalam sejarah tanah air. Beliau mula menjadi calon pilihan raya pada tahun 1967. Jawatan Menteri Besar pula sudah empat penggal iaitu melebihi 21 tahun. Pun tidak cukup lagi.

Tidak sangka dalam keadaan yang agak uzur, Nik Aziz masih mahukan jawatan tersebut. Khabarnya, hendak menyampaikan taklimat kepada beliau juga sukar atas masalah pendengaran dan fikirannya yang tidak lagi tajam. Kenyataannya juga selalu mencelarukan, yang tidak mencerminkan beliau seorang Menteri Besar dan Mursyidul Am Pas.

Itu belum menyentuh soal prestasi pentadbiran beliau yang dianggap lemah. Misalnya, isu air bersih, yang merupakan keperluan asas untuk rakyat Kelantan sehingga hari ini belum dapat diselesaikan.

Tetapi Nik Aziz ada kuasa untuk mewajarkan kedudukannya sampai bila-bila yang beliau mahukan.

Awang masih ingat tidak lama dahulu bagaimana beliau memburuk-burukkan Dr. Mahathir Mohamad kerana dikatakan begitu lama menjadi Perdana Menteri.

Malah Nik Aziz pernah menyatakan tidak sedikitpun akan mengikut jejak langkah mantan Perdana Menteri itu. Paku dulang, paku serpih mengata orang, dia yang lebih.

Keputusan terbaru itu menyerlah hakikat siapa sebenarnya Nik Aziz. Dakwaan beliau kononnya Pas masih mahukan khidmat beliau, sekadar alasan.

Mahathir berundur ketika majoriti rakyat masih memerlukan kepimpinannya dan ketika popularitinya berada di kemuncak. Biarpun setelah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, dunia termasuk negara-negara Islam mengagumi ketokohan beliau.

Beliau tetap dengan pendiriannya walaupun ramai yang menghalang beliau untuk bersara. Jika Dr. Mahathir yang tidak dikaitkan dengan imej ulama mempunyai keyakinan untuk berundur dan tidak selamanya mahu bergayut pada jawatan, mengapa Nik Aziz tidak boleh berbuat demikian?

Apakah beliau tidak yakin kepada pemimpin pelapis Pas Kelantan. Buruk dan dungu sangatkah mereka? Atau mereka dikaitkan dengan isu korup yang serius (sebagaimana menjadi buah mulut) sehingga tidak layak diberi kepercayaan? Nik Aziz juga ada isu integriti berkaitan menantunya, yang semua orang tahu.

Difahamkan, reaksi di kalangan pemimpin dan ahli Pas bercampur-campur. Ada yang suka dan ada yang menyambutnya secara sinikal. Makin ramai ahli dan penyokong Pas sesungguhnya kecewa dengan Nik Aziz kerana tunduk kepada agenda DAP dan PKR sehingga parti itu tergelincir daripada landasan perjuangan Islam sebenar.

Sesungguhnya Awang kasihankan Nik Aziz, beliau sudah hilang keyakinan untuk mencermin diri dan memahami realiti. Apa pun, kuasa sememangnya mudah melekakan manusia. Kalau Tok Guru sudah sedap - peduli apa - teruskan sahaja.

Sabtu, Februari 04, 2012

Salam Maulidur Rasul





Rasulullah dalam mengenangmu
Kami susuli lembaran sirahmu
Pahit getir pengorbananmu
Membawa cahaya kebenaran

Engkau taburkan pengorbananmu
Untuk umatmu yang tercinta
Biar terpaksa tempuh derita
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

Tak terjangkau tinggi pekertimu
Tidak tergambar indahnya akhlakmu
Tidak terbalas segala jasamu
Sesungguhnya engkau rasul mulia
Tabahnya hatimu menempuh dugaan
Mengajar erti kesabaran
Menjulang panji kemenangan
Terukir namamu di dalam Al-Quran

Rasulullah kami umatmu
Walau tak pernah melihat wajahmu
Kami cuba mengingatimu
Dan kami cuba mengamal sunnahmu

Kami sambung perjuanganmu
Walau kita tak pernah bersua
Tapi kami tak pernah kecewa
Allah dan rasul sebagai pembela

.:Hijjaz:.

Jumaat, Februari 03, 2012

Politik itu kotor. Kotorkah politik?

Salam dan salam sejahtera.

Politik itu kotor. Kotorkah politik?

Politik itu tidak kotor tetapi manusia-manusia yang bersikap lebih buruk berbanding haiwanlah yang telah mengotorkan politik itu.

Sekiranya hendak lama dalam politik (politik kuasa), kita perlu berpura-pura. Seandainya orang atasan melakukan kesilapan adalah seeloknya kita diam tanpa bicara demi untuk menjaga periuk nasi.

Saya ulangi di sini bahawa setiap kritikan di dalam blog ini adalah untuk kebaikan dan bukannya berniat untuk mengaibkan sesiapa.

Setelah teguran dilakukan dan tiada tindakan susulan dibuat maka blog adalah pilihan terakhir.

Saya mengucapkan tahniah kepada seorang manusia yang pernah menjadi pemimpin pelajar di Universiti dan kini bergerak 'aktif' di dalam alumni kerana 'tidak boleh ditegur'. Semuanya gara-gara saya menegur tindakan 'jahil' pihak tertentu yang berdemonstrasi untuk mendesak Timbalan Menteri Pengajian Tinggi meletak jawatan. Hubungan yang baik sebelum ini telah menjadi keruh. Tidak mengapa, kerana hanya mereka yang satu ideologi sahaja diperlukan dalam mentadbir negara ini. Kerana apa? Kerana 1Malaysia!

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang suatu ketika berada dalam satu jawatan yang sama memimpin persatuan. Mungkin disebabkan saya terlalu vokal atau lantang atau mungkin terlalu jujur menegur, pihak tertentu telah memungkiri janji untuk 'mengundang' saya berada di dalam satu mesyuarat bersama gabungan badan-badan tertentu di Johor Bahru. Khabarnya mesyuarat itu diadakan secara bersama dengan jambatan yang menghubungkan Kerajaan Negeri Johor di bawah Barisan Nasional dengan organisasi pelajar di IPTA.

Walau apa pun saya dikhabarkan bahawa mesyuarat tersebut 'GAGAL' kerana hanya mendengar kata-kata orang tua yang terlalu berbangga dengan sejarah lampau. Sejarah lampau tidak perlu dikisahkan semula, sepatutnya mesyuarat tersebut mencari kata putus atau berbincang mengenai masa depan gabungan. Perjumpaan yang sia-sia dek kerana masih wujud insan tua yang 'mengongkongnya'.

Saya bersyukur kerana tidak dijemput. Sekiranya dijemput mungkin keadaan akan menjadi bertambah keruh. MAAF, kerana saya bukan seorang munafik yang perlu berpura-pura. Sekiranya saya tidak mampu menegur dengan kata-kata maka  saya akan beredar pergi dari tempat itu. Tidak perlu bertekak dengan manusia yang terlalu mengagungkan masa lalunya. Lebih elok saya mendengar kisah Hang Tuah pergi ke Gunung Ledang.

Akhir sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang-orang politik di dalam Daerah Batu Pahat kerana telah cuba menSABOTAJ program baktisiswa anak Johor USM. Pada asalnya dirancang di KAMPUNG BARU, MUKIM 7, PARIT YAANI tetapi telah DIBATALKAN kerana tidak mendapat RESTU (kononnya) daripada AHLI PARLIMEN. Jawapan saya mudah, program itu bersama orang kampung dan bukannya bersama Ahli Parlimen!

Walaupun pembatalan dilakukan, Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya masih ada ruang dan peluang untuk mengadakan di kawasan lain iaitu di KAMPUNG KAWASAN SERI MENDAPAT, MUKIM 7, PARIT RAJA, BATU PAHAT. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seluruh penduduk kampung dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Semarang yang juga Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam yang membantu dalam menjayakan program ini. Untuk rekod, hanya 10 (SEPULUH HARI) sahaja diperlukan untuk melaksanakan program di Kampung Kawasan Seri Mendapat bersama Majlis Belia Malaysia dan IKMAR USM. Berjaya kerana Allah S.W.T. tahu niat ikhlas itu.

Namun politik itu tetap kotor kerana masih ada insan yang mengotorkannya. Walaupun program baktisiswa atau Jalinan Kasih IKMAR 2012 berjaya dilaksanakan, tetapi unsur-unsur sabotaj masih berlaku. Saya dimaklumkan oleh seorang yang telah 'disindir' bahawa terdapat seorang wanita (perempuan rasanya) di Pejabat UMNO Ayer Hitam dengan kata-kata yang menyakitkan hati. (Luahan hati seorang mak cik yang terasa dengan kata-kata perempuan berstatus Puteri berkaitan kehadiran Timbalan Menteri Kesihatan sebagai perasmi penutup program berkenaan).

Saya tahu ada pihak di dalam UMNO Bahagian yang telah mengetahui lebih awal mengenai ketidakhadiran Timbalan Menteri tetapi ianya tidak dimaklumkan kepada urusetia. Tidak mengapalah kerana nama Ketua Puteri UMNO Malaysia itu masih tetap berada di dalam banner majlis penutup.

Walaupun saya mengambil bidang Sains Politik tetapi Alhamdulillah saya sudah mengenali serba sedikit mengenai kekotoran politik yang disebabkan oleh manusia tidak bertanggungjawab apabila terlibat sama berurusan dengan orang-orang politik bagi menjayakan program.

Sesungguhnya saya amat kecewa dengan permainan politik pemimpin-pemimpin tertentu yang menjadikan mahasiswa/i sebagai mangsa politik sempit mereka.

Saya teringat kata-kata di antara insan yang paling saya hormat di dunia ini, "Pemimpin-pemimpin ni ramai penasihat tapi ramai yang cuma nak penuhkan tembolok je. Ada penasihat tu tak bawa hasil langsung, akhirnya bapak mertua sendiri pun kena berundur selepas di desak letak jawatan berkali-kali oleh golongan pendesak".

Kesimpulannya adakah politik di negara kita terlalu kotor? Jawapannya ada pada anda. Saya hanya memberikan sedikit contoh sahaja.

Kepada pihak-pihak tertentu yang selama ini berurusan dengan saya khasnya di dalam Parlimen Sri Gading dan Parlimen Ayer Hitam, saya ingin memaklumkan kepada anda semua bahawa saya sudah mengetahui bahawa keris pusaka mana yang perlu dijaga dan keris yang mana pula perlu dibuang ke laut.

Akhir kata, biarlah orang muda merencana sesuatu untuk mendapat masa depan yang lebih gemilang dan orang tua hanya perlu menjadi penegur atau penasihat supaya sesuatu itu dapat dilaksanakan tanpa kesilapan yang berulang.


Selasa, Januari 31, 2012

BB1M - Antara yang bersyukur dan salahguna

Salam dan salam sejahtera.

Akhbar Utusan Malaysia melaporkan bahawa pihak polis akan bertindak sekiranya terdapat penerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang menyalahguna baucar tersebut untuk tujuan lain.

Mana-mana pelajar Universiti yang layak menerima BB1M sewajarnya tidak menyalahguna pemberian pihak kerajaan untuk perkara-perkara yang tidak perlu.

Matlamat dan niat murni kerajaan memberi baucar buku sebanyak RM200 itu amatlah baik dan sewajarnya digunakan dengan sebaik mungkin oleh mahasiswa/i.

Apabila pihak kerajaan mengumumkan pemberian baucar buku kepada mahasiswa/i, beberapa andaian sudah terlintas di fikiran saya mengenai kemungkinan akan ada yang menyalahgunakannya. Subsidi baja, petrol, diesel, minyak masak, dan pelbagai lagi bantuan juga disalahgunakan (termasuklah diseludup), inikan pula sumbangan berupa baucar buku.

Terdapat juga suara-suara yang kedengaran yang mencadangkan supaya kerajaan memberikan wang tunai RM200 kepada mahasiswa/i supaya mereka lebih bebas dan tidak dikongkong untuk membuat pilihan. Mungkinkah kesemua penerima bantuan RM200 (sekiranya diberi tunai) akan menggunakan wang tunai tersebut untuk membeli buku atau alat-alat tulis sahaja?

Langkah kerajaan memberikan mahasiswa/i baucar buku secara tidak langsung akan 'memeriahkan' kembali kedai-kedai buku yang sunyi dengan kunjungan mahasiswa/i berserta baucar-baucar buku mereka.


Bantuan sebanyak RM200 berupa baucar buku itu amat bermakna kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Walaupun kebanyakkan mahasiswa/i hari ini menerima pinjaman daripada Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan sebagainya, tetapi ada juga yang terpaksa menggunakan lebih separuh pinjaman dan biasiswa pada setiap semester untuk menyiapkan pelbagai tugasan yang memerlukan perbelanjaan agak besar.

Saya yakin dan percaya, tindakan mahasiswa/i yang menyalahgunakan BB1M ini adalah terlalu sedikit. Mahasiswa/i yang mempunyai niat untuk melelong BB1M kepada pihak lain mungkin akan membatalkan niat tersebut selepas pihak polis memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas. Mungkin masih ada yang berdegil dan akan berpegang kepada prinsip kebebasan.


Adalah sesuatu yang merugikan kepada mahsiswa/i sekiranya penyalahgunaan baucar buku sebanyak RM200 itu akan menyebabkan mereka bermalam di dalam lokap. Sekiranya mereka tidak mahu menerima baucar itu, seeloknya mereka mengembalikannya semula kepada pihak yang berkenaan.

Saya agak tertarik apabila membaca status rakan-rakan di Facebook yang sedang buntu kerana mereka tidak tahu hendak membeli buku disebabkan mereka tidak minat membaca dan juga tidak berminat hendak masuk ke dalam kedai-kedai buku kecuali kedai-kedai telefon bimbit. Inilah generasi 'laman muka buku - Facebook'.

Saya ingin mencadangkan kepada mereka yang tidak tahu hendak membeli buku dengan menggunakan BB1M itu, adalah lebih molek sekiranya mereka menggunakan BB1M untuk membeli al-Quran, buku-buku agama dan sebagainya kemudian disumbangkan kepada masjid-masjid dan surau-surau.

Kepada mahasiswa/i yang menyalahgunakan pemberian kerajaan ini, sedarlah bahawa pemberian ini adalah untuk anda. Pemberian ini untuk anda membeli buku supaya anda memperolehi ilmu. Carilah ilmu seberapa banyak yang anda mampu. Baucar ini adalah wang rakyat. Janganlah kalian mengkhianati pemberian ini.

Kematangan dan kebijaksanaan itu perlu dalam membuat keputusan. Inginkan keuntungan yang pantas pasti akan merana kelak.

Khamis, Januari 26, 2012

Jalinan Mesra IKMAR 2012 di Kampung Seri Mendapat : Seri Mendapat juga yang MENDAPAT..

Salam dan salam sejahtera.

Tajuk kali ini tiada kaitan dengan isu politik kuasa. Namun begitu politik kuasa tetap wujud kerana penulisnya juga terlibat sama.
 
Pada 20 hingga 23 Januari 2012 yang lalu, Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) Universiti Sains Malaysia telah mengadakan program Jalinan Mesra IKMAR 2012 bersama penduduk Kampung Kawasan Seri Mendapat, Mukim 7 Tanjong Semberong, Parit Raja, Batu Pahat, Johor Darul Ta'zim.


Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Kampung Kawasan Seri Mendapat, ayahanda Sa'adon Hj. Ibrahim, barisan JKKK kampung, seluruh warga Kampung Seri Mendapat dan Parit Shukor, Majlis Belia Malaysia, UMNO Bahagian Ayer Hitam, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Semarang, Majlis Daerah Yong Peng, Majlis Belia Daerah Batu Pahat, Klinik Kesihatan Ayer Hitam, Hospital Kluang, Suruhanjaya Pilihan Raya, dan semua pihak yang telah menjayakan program ini.


Masih segar dalam ingatan ini apabila melihat wajah-wajah ceria penduduk-penduduk kampung yang menerima kehadiran rombongan kami dengan dua buah bas rasmi Universiti Sains Malaysia ke kampung Seri Mendapat. Walaupun kami tiba pada jam 1.30 pagi, tetapi keikhlasan mereka menerima kehadiran kami dapat dilihat dengan lawak jenaka, senyuman, dan keceriaan yang terukir di raut wajah mereka.

Ketua Kampung Seri Mendapat, En. Sa'adon Hj. Ibrahim bersama Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), En. Mohamed Maliki mohamed Rapiee


 Derma darah

Kehadiran mahasiswa/i anak Johor khasnya dan anak-anak negeri lain amnya di Kampung Kawasan Seri Mendapat itu dikatakan sebagai membawa rezeki kepada kampung berkenaan. Alhamdulillah, jalan kampung berkenaan baru sahaja menerima peruntukan untuk dilebarkan dan kerja-kerja berkenaan masih belum selesai.

Kenduri sekampung - tahlil - berzanji & marhaban
Ada juga yang berkata kunjungan kami ke kampung tersebut turut membawa tuah kepada kampung kerana pihak kampung telah menerima sumbangan pokok-pokok bunga daripada Ahli Parlimen Ayer Hitam, Ahli Dewan Undangan Negeri Semarang, dan Majlis Daerah Yong Peng. IKMAR telah bergotong-royong bersama penduduk kampung menanam pokok-pokok bunga berkenaan.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Semarang yang juga Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Y.B. Datuk Samsolbari Hj. Jamali semasa berucap di dalam majlis penutupan rasmi program berkenaan telah menyatakan mengenai cadangan untuk memasang kemudahan wifi atau internet jalur lebar di kawasan kampung berkenaan. Saya sendiri telah bertanya kepada Setiausaha UMNO Bahagian Ayer Hitam mengenai perkara tersebut dan beliau mengesahkannya tetapi pihak kampung perlu menyusul perkara tersebut dengan membuat permohonan rasmi selepas mendapat lampu hijau daripada Y.B. Datuk Samsolbari Hj. Jamali semasa berucap.

Sa'adon Hj. Ibrahim, Prof. Madya Dr. Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim &
Nabilah Khanafi

Syukur Alhamdulillah sekiranya pembangunan berterusan wujud di kampung berkenaan.

Di samping itu saya tidak mahu ketinggalan untuk mengucapkan terima kasih kepada barisan jawatankuasa program Jalinan Mesra IKMAR 2012 yang telah bertungkus lumus membuat program ini dalam tempoh 10 hari di Kampung Seri Mendapat. Ya 10 hari. 10 hari dan bukannya 10 minggu mahupun 10 bulan. Tahniah IKMAR.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Majlis Belia Malaysia terutamanya kepada tuan Presiden, En. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee yang telah membantu dari segenap aspek untuk IKMAR merealisasikan program Jalinan Mesra bersama masyarakat ini.

***************************

Baiklah, sudah cukup rasanya untuk saya membuka penulisan ini dengan ayat-ayat di atas. Kini tiba masanya untuk saya membuka cerita sebenar disebalik program yang dianjurkan di Kampung Kawasan Seri Mendapat.

Pada 31 Disember 2011, saya telah menghantar 2 orang rakan untuk ke Batu Pahat bagi menghadiri mesyuarat bersama JKKK kampung yang terletak di dalam kawasan Parit Yaani. Pada 1 Januari, sebelum mesyuarat bermula saya telah dihubungi oleh Yang Di-Pertua (YDP) IKMAR yang menyatakan bahawa program baktisiswa tidak dapat diadakan di kampung berkenaan atas sebab-sebab yang tidak jelas. Secara spontan saya telah tertinggi suara dan mendesak supaya YDP IKMAR meminta penjelasan ketua kampung berkenaan mengenai sebab utama program baktisiswa tidak boleh diadakan di kampung berkenaan. Saya sendiri telah 'mengugut' YDP IKMAR untuk meminta penjelasan ketua kampung berkenaan dan sekiranya tidak mendapat alasan yang munasabah saya akan menulisnya di dalam blog ini.

Akhirnya, kami telah menerima alasan pihak ketua kampung, ketua pemuda UMNO cawangan, yang telah menolak untuk membuat program di kampung berkenaan. Alasan yang diberikan amat tidak munasabah dan kolot. Saya sendiri tergelak apabila mendengar perkhabaran tersebut melalui telefon. Anda bayangkan sajalah, pada awalnya ketua kampung dan semua pihak di kampung berkenaan mengalu-alukan program baktisiswa berkenaan untuk diadakan di kampung tersebut, tetapi dek kerana hal-hal yang kolot, bodoh dan tidak masuk akal akhirnya telah dibatalkan.

Saya telah mendengar alasan tersebut daripada mulut pengarah projek program berkenaan yang juga anak jati kelahiran kampung tersebut. Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada JKKK dan penduduk kampung tersebut yang tidak bersetuju dengan ketua kampung dan ketua pemuda UMNO cawangan yang menolak untuk menganjurkan program berkenaan di kampung tersebut.

Apakah alasan tersebut?

Alasan yang sampai ke telinga saya ialah IKMAR mengundang Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai tetamu kehormat dan dicatatkan di dalam kertas kerja mengenai kedudukan En. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee di dalam kertas kerja berkenaan. Sepatutnya IKMAR mengundang Ahli Parlimen kawasan berkenaan sebagai tetamu kehormat dan bukannya Presiden MBM. Saya sendiri tergelak apabila mendengar alasan yang keluar daripada mulut ketua kampung dan ketua pemudanya. Bersyukur jugalah kerana pengarah projek dan YDP IKMAR pandai 'bercakap'. Sekiranya Ahli Parlimen berkenaan ingin menjadi tetamu kehormat maka beliau perlu menghulurkan sumbangan lebih banyak berbanding Presiden MBM. Cadangan ini telah ditolak.

Satu lagi kata-kata yang telah membuatkan saya tergelak besar ialah kata-kata ketua kampung dan ketua pemuda yang menyatakan bahawa mereka bekerja dengan Ahli Parlimen berkenaan dan gaji mereka dibayar oleh Ahli Parlimen tersebut. Oleh sebab itulah mereka tidak berani mengingkari arahan Ahli Parlimen berkenaan.

Saya hendak membetulkan persepsi di sini bahawa elaun (bukannya gaji) ketua kampung dibayar oleh kerajaan negeri dan bukannya Ahli Parlimen hatta Ahli Parlimen itu sudah terlalu lama berada di kerusi tersebut. Wahai tok ketua kampung, jangan tipu anak muda!

Siapa pula bayar gaji ketua pemuda? Ooohhh mungkin 'gaji' itu boleh diterjemahkan sebagai kontrak-kontrak atau projek-projek bekalan barang bagi mereka yang memiliki Lesen Kelas F. Politik jaga periuk nasi.

Saya teringat kata-kata seorang hamba Allah S.W.T. mengenai ketua pemuda kampung berkenaan, "sebelum ni dia tak ada duit nak beli susu anak, aku bagi dia RM300, tapi sekarang ini yang dibuat dekat aku".

Sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Ketua Kampung di dalam kawasan Parit Yaani dan Ahli Parlimen yang di dalam kawasannya terdapat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kerana tidak merestui program baktisiswa mahasiswa/i bersama masyarakat.

Wahai pemimpin-pemimpin masyarakat kampung khasnya! Wahai Ahli Parlimen yang tidak memberi restu kepada kami! Kami datang dengan niat untuk berbakti kepada masyarakat dan bukannya hendak membuat demonstrasi seperti mana mahasiswa/i di UPSI. Kami datang dengan niat yang baik dan bukannya hendak terlibat dengan agenda-agenda politik yang kotor. Hendak harap kamu datang ke Pulau Pinang memang HARAM la, surat pun tidak berbalas.

Saya sendiri pelik apabila program yang pada awalnya mendapat respon positif telah bertukar sekelip mata selepas tidak direstui Ahli Parlimen berkenaan. Saya tidak pasti sama ada benar Ahli Parlimen berkenaan takut dengan kehadiran orang muda atau ketua kampung dan ketua pemuda tersebut hendak mencemarkan nama baik Ahli Parlimen berkenaan.

Pihak IKMAR sendiri telah meminta untuk bertemu dengan Ahli Parlimen berkenaan bagi menjelaskan tujuan utama program tersebut dianjurkan di kampung berkenaan tetapi malangnya tiada usaha yang dilakukan oleh pihak kampung untuk mempertemukan wakil IKMAR dengan Ahli Parlimen berkenaan.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen berkenaan kerana tidak merestui program di kampung berkenaan. Saya mengucapkan takziah kepada ketua kampung berkenaan kerana telah menerima kutukan dan caci maki penduduk kampung.

Alhamdulillah, disebabkan itulah maka Kampung Kawasan Seri Mendapat telah mendapat peluang untuk menerima kunjungan IKMAR. Walaupun tempoh masa yang diberikan untuk membentuk jawatankuasa di peringkat kampung kurang 10 hari tetapi niat yang ikhlas telah mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T.

 Keluarga kami

Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Y.B. Datuk Samsolbari Hj. Jamali, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Semarang yang juga Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam merangkap Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor kerana telah memberi 'RESTU' program ini diadakan di Kampung Kawasan Seri Mendapat yang terletak di dalam DUN Semarang dan Parlimen Ayer Hitam. Terima kasih juga kepada Penghulu Mukim 7 Tanjong Semberong yang hadir memberikan sokongan.

Kepada Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) En. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, saya tidak akan mencatatkan keseluruhan perkara yang diketahui di sini. Biarlah hanya pihak tertentu sahaja yang mengetahuinya. Saya menghormati tuan.

Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin kerana sudi memberikan 'keizinan' kepada kami untuk meletakkan nama anda di atas banner penutupan rasmi program tersebut. Ayahanda saya spontan berkata, "abah tak pernah buat surat untuk jemput timbalan menteri datang rasmi mesyuarat PIBG atau program apa pun, yang penting kita tempah jadual dia dengan pembantu dia cukup. Telefon pun jadilah". Terima kasih Datuk kerana 'membatalkan' kehadiran pada saat-saat akhir. Semoga anda tidak terpilih sebagai anggota kabinet pada masa akan datang. Oh ya Datuk Rosnah, Pembantu Datuk mengatakan bahawa Datuk berada di Sabah pada 22 Januari tersebut tapi status twitter dan Facebook Datuk menyatakan bahawa Datuk berada di Johor. Terima kasih kerana menipu kami.



Tidak mengapa, kerana IKMAR sudah biasa berhadapan dengan kes-kes pembatalan pada saat-saat akhir. Janji politik memang begitu.

Saya suka dengan kata-kata Datuk Samsolbari Hj. Jamali, "Buat tajuk Kampung Seri Mendapat juga yang MENDAPAT". Alhamdulillah, ada juga Bahagian yang sudi menerima IKMAR dengan ikhlas.

Bak kata ayahanda saya, "Kehadiran orang muda perlu dihormati dan dihargai, bukannya dihalang demi untuk mengekalkan kuasa diri dan ahli keluarga".

Belakang dari kiri :
Nabilah Khanafi (Pengarah Projek), En. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee (Presiden MBM), En. Sa'adon Hj. Ibrahim (Ketua Kampung), Mohamad Safiq Suhaimi (YDP IKMAR).

Depan dari kiri :
Cikgu Kasmat (AJK Bahagian), En. Kamal Harun (Timb. Ketua UMNO Bahagian), Y.B. Datuk Samsolbari Hj. Jamali (ADUN Semarang), En. Abd. Halid Saad (Setiausaha UMNO Bahagian Ayer Hitam)