Followers

Sabtu, Mac 24, 2012

"...orang tak gila yang buat kerja gila..."

Salam dan salam sejahtera.

video

"Jangan sangka saya ni orang gila. Orang gila macam saya ni tak kacau orang. saya tak pernah menculik membunuh merompak, tak pernah!...........Orang tak gila yang buat kerja gila ni.......tak ke gila tu"

Maksud tersirat dan teguran khusus kepada kita semua.

Selasa, Mac 20, 2012

Isu Timb. Menteri : Mohon Hentikan & KEMAAFAN

Salam dan salam sejahtera.

Jika blog-blog lain memberikan tumpuan mengenai isu Anwar dan Yahudi, Lynas, NFC dan sebagainya, penulisan di blog ini akan diteruskan kepada satu isu yang dihangatkan melalui blog ini.

Pada 11 Mac 2012 yang lalu (kira-kira jam 2 petang), saya telah dihubungi oleh seorang pembantu peribadi (PA) kepada pemimpin pertubuhan belia. Pokok perbualan adalah berkisar mengenai seorang Timbalan Menteri.

Pada mulanya saya sudah mengetahui bahawa saya akan dihubungi oleh PA berkenaan untuk bercakap mengenai perkara tersebut. Hal ini kerana pada jam 10.40 pagi, perkara yang sama telah sampai ke telinga pihak lain dan pihak tersebut telah memaklumkan perkara berkenaan kepada saya terlebih dahulu.

Perbualan telefon berkisar kepada PERMINTAAN kepada saya untuk MENGHENTIKAN SEMENTARA tindakan 'MEMBUKA KISAH' atau TINDAKAN seorang TIMBALAN MENTERI yang TERLEPAS CAKAP semasa berucap di hadapan para mahasiswa/i ANAK JOHOR Universiti Sains Malaysia.

Permintaan itu bukan sahaja ditujukan kepada penulis blog MUHAMMAD SYUKRI SA'ADON, tetapi turut ditujukan kepada Yang Di-Pertua Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR), Universiti Sains Malaysia dan juga kepada Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia yang juga merupakan anak Johor.

Pasti para pembaca tertanya-tanya mengapa budak hingusan bernama MUHAMMAD SYUKRI SA'ADON itu sudah mengetahui dirinya akan dihubungi oleh PA tersebut?

Jawapannya mudah, PA berkenaan telah diminta oleh majikannya untuk memaklumkan kepada saya berkenaan informasi yang diterima olehnya (pemimpin belia) daripada Timbalan Menteri. Sudah pasti pihak di sebelah sana (Timbalan Menteri) meminta kerjasama pemimpin belia berkenaan untuk MENYEJUKKAN HATI KAMI yang sedang hangat ketika itu.

Bersyukur jugalah kerana bantahan hanya dilakukan melalui facebook dan blog. Surat bantahan tidak dihantar kerana tidak mahu melalui karenah BIROKRASI. Bersyukur sekali lagi kerana anak-anak Johor USM mempunyai saluran untuk menyuarakan perkara ini sehingga kepada Presiden Parti/Perdana Menteri dan tidak sampai kepada peringkat mengadakan DEMONSTRASI di hadapan bangunan Kementerian Belia & Sukan bagi mendesak Timbalan Menteri berkenaan meletak jawatan.

Sebenarnya saya yakin, pihak di sebelah sana tidak akan menghubungi atau menggunakan orang tengah untuk meminta kami 'BERTENANG' sekiranya tidak mendapat ARAHAN daripada pihak tertentu.

Bayangkan sajalah, saya telah dihubungi selang sehari selepas tempoh lawatan kerja Perdana Menteri ke Johor ketika itu.

Di sini saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan JUTAAN TERIMA KASIH kepada pegawai yang telah menyampaikan perkara berkaitan ketidakpuasan hati kami di PULAU MUTIARA ini terus kepada Perdana Menteri. Terima kasih juga kerana blog ini menjadi perhatian untuk dijadikan rujukan.

Pada minggu lepas pula, saya telah dihubungi oleh seorang pemimpin belia dan beliau telah cuba untuk mengaturkan pertemuan kami bersama Timbalan Menteri berkenaan. Dalam cadangan yang diberikan, kami telah diminta untuk pergi ke Parlimen kerana ketika ini sidang Parlimen sedang berlangsung dan semua Ahli Parlimen Kerajaan tidak digalakkan keluar daripada Kuala Lumpur (katanyalah - mungkin takut ada undian mengejut).

Pada perancangan awal, kami diberitahu bahawa Timbalan Menteri berkenaan akan ke Pulau Pinang untuk bertemu kami. Alhamdulillah, kerana nampaknya akan ada juga PEMIMPIN JOHOR yang akan menjejakkan kaki ke USM untuk bertemu anak-anak Johor. Nampak jugalah keikhlasan untuk meminta kemaafan sekiranya datang ke Pulau Pinang. Sekiranya pertemuan diadakan di Parlimen itu juga adalah untuk kebaikan semua cuma namanya juga mahasiswa/i, sudah tentulah bajetnya tidak sebanyak elaun Timbalan Menteri untuk ke sana.

Sebelum ini saya telah menetapkan tempoh masa untuk Timbalan Menteri berkenaan MEMOHON MAAF secara terbuka kepada anak-anak Johor USM, dan tempoh berkenaan sudah semakin hampir ke penghujungnya. Nampaknya permohonan maaf masih belum dikemukakan dan permintaan untuk kami BERTENANG hanya dipesan kepada orang tengah yang sudah melalui beberapa lapisan untuk sampai kepada kami.

Setelah menerima nasihat daripada GURU saya. Setelah melihat sendiri kebesaran tanda kekuasaan-Nya. Setelah GURU saya menerima nasihat daripada para GURUNYA untuk mengawal amarah, dengan penuh rasa rendah diri, setelah hampir empat (4) minggu perkara ini berlaku, saya, insan kerdil rakyat marhaen dengan ini secara peribadi MEMAAFKAN tindakan TERLEPAS CAKAP Timbalan Menteri berkenaan.

Demi kepentingan parti (bukannya individu), saya MEMAAFKAN Timbalan Menteri berkenaan. Namun begitu, KEMAAFAN ini hanya daripada MUHAMMAD SYUKRI SA'ADON secara peribadi dan bukannya daripada anak-anak Johor USM.

Sekiranya terdapat permintaan untuk menulis mengenai perkara ini bagi mengingatkan Timbalan Menteri supaya berjumpa anak-anak Johor USM, saya akan menulis kembali perkara ini di sini.

Perlu diingat bahawa bukan sahaja golongan BELIA perlu menjirus amarah dengan maaf tetapi barisan pemimpin yang masih BELIA juga perlu tahu tunduk untuk meminta kemaafan. Jangan hanya menunggu simpati untuk diberikan kemaafan.

Sekian.

Ahad, Mac 11, 2012

"...terlepas cakap..." - Minta henti sementara...

Salam dan salam sejahtera.

Perdana Menteri seorang pemimpin yang berani dan layak menjadi pemimpin kerana mengaku kesilapan yang telah dilakukan oleh Barisan Nasional semasa beliau mengadakan lawatan di Kedah pada awal bulan Mac yang lalu.


Rasa bangga apabila seorang pemimpin utama negara memohon maaf walaupun  kesilapan Barisan Nasional di Negeri Kedah bukanlah dilakukan semasa pentadbiran beliau. Namun begitu, sebagai pemimpin yang memimpin parti dan negara pada hari ini beliau berani mengakui kesilapan parti pimpinannya dan memohon maaf secara terbuka.

Jika seorang pemimpin utama mampu dan berani memohon maf secara terbuka, mengapa orang bawahan beliau (jawatan selain Perdana Menteri) tidak berani mengungkapkan permohonan maaf selepas terlepas cakap semasa berucap?

Saya sendiri telah dinasihatkan untuk menghentikan sementara isu mengenai "...terlepas cakap..." oleh orang berjawatan yang mengakibatkan rasa tidak puas hati pihak yang mendengar.

Saya sendiri tidak faham mengapa perlu saya menghentikan isu berkenaan. Rasanya mungkin disebabkan pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa maka isu tersebut perlu dihentikan demi untuk menjaga nama baik parti.

Baiklah, isu ini akan dihentikan buat sementara sekiranya mendapat keizinan daripada pihak-pihak tertentu khususnya pihak yang terasa hati dengan kata-kata tersebut.

Untuk makluman, saya tidak suka berurusan dengan orang tengah.

Selagi pihak berkenaan tidak memohon maaf atau bersemuka dengan hasrat ikhlas untuk memohon maaf, maka isu ini akan dibiarkan berterusan.

Saya juga telah dikhabarkan oleh pegawai tertentu bahawa isu ini telah selamat sampai ke telinga pemimpin atasan yang berani memohon maaf kepada rakyat Negeri Kedah.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan pegawai yang telah menyuarakan suara anak-anak Johor di Pulau Pinang ini. Alhamdulillah kerana kami ada saluran khusus untuk digunakan. Saluran terbaik ini adalah pilihan utama kerana saluran berdemonstrasi di jalanan adalah pilihan terakhir yang tidak kurang baiknya.

Sabtu, Mac 10, 2012

Terima kasih Perdana Menteri.

Salam dan salam sejahtera.

Sebagai anak kelahiran Negeri Johor saya tidak mahu ketinggalan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak kerana melakukan lawatan kerja dua hari ke Johor Bahru, Johor.

(Foto : Cikgu Amir Hamzah Mohamad)

Kehadiran Perdana Menteri itu sudah tentulah bukan dengan tangan kosong. Semalam, Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta  bagi pembinaan sebuah pasar baru di Kampung Melayu Majidee yang berusia lebih 20 tahun.

(Foto : Sinar Harian)

Pada hari ini pula, Perdana Menteri telah memberikan khabar gembira kepada rakyat Johor khususnya pengguna lebuhraya Pasir Gudang apabila beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk menaiktaraf lebuhraya Pasir Gudang daripada empat lorong kepada enam lorong.

Terima kasih juga kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan kerana telah mengumumkan pelaksanaan sebanyak 59 projek di bawah Program Transformasi Koridor dan Bandaraya Iskandar Malaysia yang dijangka mampu menarik pelaburan sebanyak RM139.3 bilion serta turut dijangka mampu menyediakan 68,000 peluang pekerjaan di sana.

(Foto : Utusan Malaysia)

Alhamdulillah, semoga dengan pengumuman peruntukan dan projek-projek tersebut mampu membangunkan Negeri Johor ke arah yang lebih gemilang. Apa yang penting ialah peluang pekerjaan kepada setiap rakyat Negeri Johor khususnya dan tidak diberikan kepada pekerja-pekerja asing.

Terima kasih Perdana Menteri. Terima kasih Kerajaan Barisan Nasional.

Khamis, Mac 08, 2012

Timbalan Menteri terlepas cakap : Anak Johor tidak mengundi.

Salam dan salam sejahtera

Dalam lingkungan jam 8 malam (7 Mac 2012), saya telah menerima satu panggilan telefon daripada seorang pegawai di Johor. Beliau memberitahu mengenai program Perdana Menteri di Johor selama dua hari.

Saya agak terdiam seketika apabila pegawai berkenaan memberitahu bahawa beliau akan menyampaikan laporan mengenai isi kandungan ucapan Timbalan Menteri Belia & Sukan yang telah mengguris hati kontinjen Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) Universiti Sains Malaysia (USM) semasa merasmikan program Interaksi Belia Siswa Johor di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus kepada Perdana Menteri semasa beliau mengadakan mesyuarat bersama pemimpin tersebut.


Secara peribadi saya melihat kenyataan Timbalan Menteri Belia & Sukan yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu bukanlah isu yang besar, akan tetapi isu itu akan menjadi duri dalam daging atau penghalang untuk terus mengekalkan Negeri Johor sebagai tiang seri UMNO dan Barisan Nasional.

Mengapa? Para pembaca sila hayati kata-kata ini, 

"...kepada anak-anak Johor USM bolehlah dapatkan dana daripada Ketua Menteri Pulau Pinang.........(Timbalan Menteri terdiam seketika apabila saya menunjukkan isyarat ibu jari sebagai tanda 'BAGUS' kepada beliau, bukan isyarat kacang ngan yin).........tapi adik-adik jangan risau, kami di sini akan tetap bersama anda semua..."

Cuba anda renungkan kata-kata tersebut. Saya tidak memandang berat perkara tersebut tetapi apabila adik-adik saya di USM khususnya yang berada di dalam majlis perasmian itu secara spontan berkata, "Kenapa Datuk cakap macam tu?" Kami datang dari jauh, penat, tayar bas meletup, tapi ini yang ditujukan kat kami".

Kata-kata spontan yang keluar daripada mulut adik-adik saya itu pada saya mungkin kata-kata daripada insan yang belum mengenal dunia politik seperti mana para belia yang berada di dalam majlis tersebut. Akan tetapi, saya terdiam apabila salah seorang adik-adik saya itu berkata, "Memang betul kita belajar kat negeri yang pembangkang, tapi janganlah label anak Johor USM ni pembangkang jugak".

Satu lagi ayat yang perlu didengari dan dihayati oleh semua pemimpin UMNO dan Barisan Nasional Negeri Johor ialah,

"Razali cabar kita mintak dana dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, ok kita sahut cabaran tu. Kita hantar dua surat, satu kepada Ketua Menteri Penang dan satu lagi kita hantar kepada Menteri Besar Johor. Kita tengok siapa yang jawab dulu. Kalau Guan Eng yang jawab dulu dan dia bagi sumbangan dana lebih besar daripada MB Johor, kita jangan balik mengundi kat Johor nanti. Itu pun kalau MB nak bagi sumbangan la.."

Status facebook saya dan komen
Yang Di-Pertua Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR),
Universiti Sains Malaysia

Saya cuba untuk tidak melihat perkara ini secara serius. Malangnya, kata-kata Timbalan Menteri tersebut telah membuka mulut adik-adik saya yang bakal mengundi buat kali pertama pada pilihan raya umum yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja mengikut ilham Perdana Menteri.

Bayangkanlah, itu yang diungkapkan oleh remaja-remaja yang tidak mengenal erti politik dan kuasa, bagaimana pula sekiranya yang hadir itu kesemuanya adalah pengundi di sesuatu kawasan, sudah tentulah pengundi akan beralih arah.

Saya telah diberitahu oleh Penolong Pegawai Politik Timbalan Menteri berkenaan bahawa bos beliau tidak sengaja dan ucapan itu adalah spontan kerana mendengar ucapan daripada Pengerusi Belia 4B Negeri Johor yang khabarnya 'menyindir' anak Johor USM. Saya tidak mahu mengulas lanjut berkenaan Pengerusi Belia 4B Negeri Johor kerana sekiranya saya mengulas secara terperinci pasti akan terkeluar kesemua janji-janji manis beliau yang pernah diungkapkan semasa beliau menjadi Setiausaha Politik suatu ketika dahulu. Janji kepada Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) USM khususnya yang tidak ditunaikan sejak Mac 2010 sehingga kini.

Secara keseluruhannya saya terkilan dan kecewa dengan ucapan Timbalan Menteri Belia & Sukan yang tidak sensitif dengan keadaan peserta kontinjen yang kepenatan kerana ketidakcekapan para sekretariat menguruskan peserta yang tiba dari jauh.

Ketidakcekapan para sekretariat (khususnya penganjur) telah menyebabkan sedikit kemarahan. Namun begitu amarah itu dapat dibendung sehinggalah mendengar ucapan Timbalan Menteri Belia & Sukan itu. Selesai sahaja majlis perasmian, kontinjen IKMAR telah bangun dan beredar daripada stadium tanpa menyaksikan perlawanan bola sepak di antara pasukan Timbalan Menteri dengan UTM.


Kami telah dilabel sebagai memboikot program kerana tidak menonton perlawanan bola sepak tersebut. Pada saya, adalah sesuatu yang sia-sia menonton perlawanan bola sepak di antara dua pasukan berkenaan kerana mereka telah berunding mengenai jumlah jaringan gol semasa sesi ucapan majlis perasmian tersebut.

Sebagai hukuman, kontinjen IKMAR telah di 'denda' dan tidak boleh mengambil makanan.  Hukuman ini agak lawak. Sepatutnya hukuman ini dikekalkan sehingga habis program kerana makanan yang disediakan seperti tidak 'ikhlas'. Kerana apa? Mee hoon yang disediakan umpama direndam di dalam air panas dan dihiris sedikit lobak, tiada rasa. Alhamdulillah ada juga makanan, syukurlah.

Perkara yang amat terkilan ialah kontinjen IKMAR tidak diberitahu mengenai pembatalan majlis makan malam bersama Menteri Besar Johor. Peserta telah menyediakan pakaian yang sewajarnya untuk program tersebut, akan tetapi semuanya hampa. Nampaknya MB Johor memang tidak sudi bersama-sama anak-anak Johor yang berkumpul di UTM. Anak Johor di IPTA yang jauh-jauh ini datang dari jauh dengan semangat yang kuat tetapi hancur apabila mengetahui majlis makan malam dibatalkan. Tidak mengapalah kerana MB ada program di Muar. Khabarnya Timbalan Perdana Menteri berada di Muar ketika itu. Tapi program di Muar siang sajakan?

Saya terdengar kata-kata yang enak untuk dikongsi bersama mengenai pembatalan makan malam bersama MB Johor,

"..bajet besar tapi tak ada makan malam, mana pergi bajet tu? Kita dah datang sini tapi MB tak ada, sia-sia je datang. Nak harap MB datang tempat kita memang harapan je la kan.."

Komen YDP Anak Johor USM yang mampu
menggoyahkan kedudukan mereka di atas sana.
(MOHON MAAF SECARA TERBUKA SAJALAH DATUK)

Saya turut dikhabarkan oleh Pengerusi Gabungan Anak Johor (GAJ) yang juga merupakan pegawai kepada Timbalan Menteri bahawa program yang dianjurkan di UTM itu melibatkan dana sebanyak RM280 ribu. Semasa berucap di dalam majlis perasmian, Timbalan Menteri Belia & Sukan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 ribu lagi.

Terima kasih kepada penyumbang-penyumbang yang berkenaan.

Rentetan daripada ucapan Timbalan Menteri dan penganjuran program yang melibatkan kos sebesar itu, saya berpendapat bahawa usaha murni yang dilakukan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri selama ini hampir sia-sia. Kerana apa?

(Gambar Hiasan)

Perdana Menteri dan Timbalannya bertungkus lumus menjelajah ke seluruh negara untuk bertemu rakyat sehingga Perdana Menteri memohon maaf di atas kesilapan yang pernah dilakukan oleh Barisan Nasional sebelum ini tetapi telah disia-siakna oleh orang-orang kepercayaannya yang bergurau tidak kena pada tempatnya.

(Gambar Hiasan)

Ayahanda saya ada mengatakan bahawa ramai pemimpin hari ini lebih suka mengiringi pemimpin tertinggi daripada berjumpa rakyat. Saya setuju dengan perkara tersebut.

Mengapa pemimpin atau wakil rakyat perlu berjumpa rakyat? Rakyat sebenarnya tidak penting kerana bukan rakyat yang memilih seseorang itu untuk menjadi calon di dalam pilihan raya, Perdana Menteri (untuk Barisan Nasional) sahaja yang berkuasa menentukan seseorang itu dicalonkan mahupun tidak dengan izin Allah S.W.T. Rakyat hanya memiliki satu undi sahaja  untuk seorang individu dan satu undi itu tidak bermakna kepada mereka (pemimpin).

Saya mohon maaf kepada semua pihak sekiranya penulisan kali ini terlalu berterus terang.

Bukanlah untuk mengaibkan tetapi sebagai teguran kepada pihak-pihak yang terlalu leka dan selesa dengan status TIANG SERI UMNO/BARISAN NASIONAL.

Kepada rakan-rakan di UTM khususnya dan adik-adik yang lain amnya, jadikanlah pengalaman sebagai pengajaran yang terbaik untuk hidup ini. Jangan sesekali menyerahkan diri anda untuk dipergunakan untuk kepentingan pihak lain.

********************************

8 Mac 2012, jam 9.20 malam - Saya mendengar luahan rasa tidak puas hati adik-adik Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) mengenai ucapan Timbalan Menteri berkenaan. Salah seorang daripada mereka mengatakan,

"Kita berusaha keras dapatkan bas untuk pergi program di UTM tapi kecewa bila Timbalan Menteri kata macam tu. Kalau kita nak boikot, tak perlulah susah-susah kita usaha dapatkan dua buah bas. Bajet RM280 ribu tapi tak ada makan malam macam di UKM tahun lepas. Program di UKM tahun lepas lebih baik"

"Anak Johor ramai jugak kat USM ni, wakil BTN Johor ada kata nak sediakan bas untuk kita semua balik Johor masa mengundi nanti. Kalau Datuk Razali tak mintak maaf, kita akan abaikan semua bas yang dihantar ke USM untuk bawak anak-anak Johor balik Johor nanti"

dan,

"Dia tak fikir ke masa berucap tu? Bayangkanlah, kalau kita yang sakit hati ni balik rumah dan sampaikan kat keluarga, jiran-jiran, orang kampung pasal kata-kata dia tu, mesti kurang undi nanti. Silap-silap boleh kalah"

*********************************

Kepada para pembaca, anda nilailah sama ada saya cuba menjatuhkan populariti seseorang atau cuba membantu agar apa yang ada pada hari ini terus kekal dan diperbaiki.

Perdana Menteri semasa lawatan kerja di Negeri Kedah telah merendah diri memohon maaf kepada rakyat Negeri Kedah di atas kesilapan yang pernah dilakukan oleh Barisan Nasional, mengapa seorang Timbalan Menteri tidak boleh melakukannya?

Tepuk dada, tanya hati, fikir mengenai diri atau pengundi.

Isnin, Mac 05, 2012

Rumah siap, pahat patah..

Salam dan salam sejahtera.

Rumah siap, pahat patah.

Pada 2 hingga 4 Mac 2012 telah diadakan program Interaksi Belia-Siswa Johor (IBSJ) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai.



Tahun lalu program yang sama diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dengan nama Karnival Sukan Anak Johor.

Tahniah kepada UTM khususnya sekretariat anak Johor yang bertungkus lumus dalam menjayakan program tersebut.

Untuk makluman semua, program IBSJ yang diadakan di UTM itu adalah dianjurkan secara bersama Pertubuhan Belia 4B Negeri Johor.

Di dalam ucapan penutup Pengerusi Belia 4B Negeri Johor telah menyatakan bahawa program berkenaan adalah anjuran mereka dan dibantu melalui tenaga para sekretariat di UTM.

Saya turut dimaklumkan oleh Pengerusi Gabungan Anak Johor (GAJ) bahawa program tersebut menerima dana sebanyak RM280 ribu.

Penyumbang-penyumbang yang diberitahu kepada saya adalah daripada Timbalan Perdana Menteri, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Menteri Pengajian Tinggi, dan Menteri Besar Johor. Saya tidak pasti sama ada terdapat pihak-pihak korporat yang menyumbangkan dana untuk program tersebut.

Program IBSJ telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim di Stadium UTM. Ucapan beliau bukanlah kosong tetapi disertakan dengan dana.

Saya akan mencatatkan kenyataan Pengerusi Belia 4B Negeri Johor dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan semasa berucap di dalam majlis pembukaan.

Mungkin kenyataan itu adalah sekadar gurauan tetapi gurauan itu adalah tidak kena dengan tempatnya.

Saya hanya boleh mencatatkan di sini bahawa Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) Universiti Sains Malaysia terguris hati dengan kenyataan Pengerusi Belia 4B Negeri Johor dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia.



Kami menanti permohonan MAAF daripada dua orang pemimpin yang masih bertaraf BELIA. Jangan kerana kenyataan bodoh mereka itu, kami generasi muda mengubah arah untuk tidak menyokong dan mengundi Barisan Nasional pada pilihan raya umum yang akan datang.

InsyaAllah, saya akan catatkan kenyataan dua orang pemimpin tersebut pada penulisan yang akan datang.

Terima kasih kepada Menteri Besar Johor yang bersama-sama mahasiswa/i seluruh IPTA di UTM. Terima kasih kerana menyumbangkan sebanyak RM40 ribu untuk makanan yang sangat enak di makan dan kami semua tidak akan lupa akan makanan tersebut.

Terima kasih kepada para sekretariat yang sangat ceria dan berbudi bahasa terhadap para peserta. Terima kasih kepada penganjur yang sudi mendengar kritikan dan saranan serta teguran bagi memperbaiki kesilapan pada hari pertama dan akhirnya tidak berulang pada hari kedua dan ketiga.

Terima kasih tidak terhingga kepada pihak-pihak yang sentiasa memastikan kami semua tidak kelaparan sepanjang berada di sana. Terima kasih juga kepada urusetia yang menepati masa dalam memberikan kunci bilik penginapan kepada para peserta.



Kepada adik-adik saya di Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR), pergilah berjumpa dengan Ketua Menteri Pulau Pinang yang berjiwa rakyat itu. Beliau sentiasa merendah diri dan pemurah. Mungkin hendak berjumpa Ketua Menteri Pulau Pinang lebih mudah berbanding hendak berjumpa dengan Menteri Besar Johor.

*Ini hanya kisah mitos.