Followers

Isnin, Disember 28, 2009

Tidak peka atau buat-buat pekak???

Salam.. Salam Sejahtera.. Salam Perpaduan.. Salam 1 Malaysia..

Tidak peka atau buat-buat pekak? Kenapa?

Lazimnya apabila tiba sahaja tarikh ulang tahun kelahiran seseorang maka kita akan mengucapkan selamat hari lahir kepada mereka. Inilah yang kerap dilakukan oleh ramai orang di sekeliling kita.

Saya juga tidak terkecuali melakukannya. Tetapi tahun ini saya mengubah sedikit caranya. Khas untuk rakan-rakan sebaya, saya tidak mengucapkan "Selamat Hari Lahir", tetapi "Esok jangan lupa pergi pejabat pos untuk daftar sebagai pemilih, dah cukup umur 21 tahun tu..".

Malangnya masih ramai dalam kalangan kita yang sudah cukup umur agak liat untuk mendaftar sebagai pemilih atau pengundi.

Awal bulan ini (Disember), Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof mengumumkan bahawa kira-kira 3.7 juta orang rakyat Malaysia yang melepasi umur 21 tahun masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Mengikut apa yang dinyatakan oleh Pengerusi SPR itu, kaum Melayu merupakan peratusan terbesar yang masih belum mendaftar sebagai pengundi, diikuti oleh kaum India dan kaum Cina.

Secara peribadi saya juga mengakui saya di antara mereka yang liat hendak mendaftar sebagai pengundi.

Umur saya genap 21 tahun pada 21 Mac 2009 tetapi saya hanya mendaftar sebagai pengundi di pejabat pos pada bulan Julai 2009.

Kenapa lewat sangat? Alasannya, saya memang kurang peka pada masa itu dan buat-buat pekak apabila bapa saya menyuruh saya mendaftar sebagai pengundi. "Malas betul la nak beratur kat pejabat pos...".

Rakan-rakan saya juga masih ramai yang belum mendaftar sebagai pengundi. Alasan mereka juga sama seperti saya.

Alhamdulillah, selepas saya menerangkan serba sedikit kepentingan mendaftar sebagai pengundi, mereka sudah mendaftar. Itu pun selepas seorang rakan saya yang bekerja di stesen minyak di soal oleh pegawai SPR sama ada beliau sudah mendaftar sebagai pengundi. Nak kena hentak baru tersedar rupanya.

Sebagai orang Melayu saya agak terkilan kerana masih ramai orang Melayu yang belum mendaftar sebagai pengundi. Sedangkan kini orang Cina semakin ramai yang mendaftar sebagai pengundi.

Janganlah pula nanti orang Melayu yang merupakan majoriti di Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk memilih pemimpin negara.

Tolak ke tepi dahulu perasaan tidak puas hati terhadap pihak-pihak tertentu, yang penting kini ialah mendaftar sebagai pengundi.

Jika tidak puas hati dengan kerajaan maka gunakanlah kuasa anda sebagai pengundi dan bukan hanya berdemonstrasi.

Jangan bercerita soal pengundi hantu jika kita masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Hanya 'hantu' yang boleh nampak hantu..

Ahad, Disember 27, 2009

Tahun baru, Semester baru, Nahas baru, Cerita lama?

Salam.. Salam Sejahtera.. Salam Tahun Baru.. Salam Hari Assyura..

Hari ini 27 Disember 2009 bersamaan 10 Muharam 1431 Hijrah.

Selamat pengantin baru kepada mereka yang melangsungkan perkahwinan pada hari ini. Khasnya kepada kulaan (saudara) di Kampung Seri Mendapat, Parit Raja Johor.

Tepat jam 1 pagi waktu Yong Peng saya bergerak balik ke Pulau Pinang, dan tepat jam 7.05 pagi waktu Pulau Pinang bas yang saya naiki memasuki jambatan Pulau Pinang.

Alhamdulillah bas yang saya naiki tidak mengalami nasib yang sama seperti bas Sani Express.

Terima kasihlah kepada pemandu bas KBES yang memandu secara berhemah walaupun agak laju. Hanya perlahan jika ternampak kelibat kereta peronda PDRM.

Kepada semua rakan yang berstatus pelajar, selamat kembali selepas bercuti lebih sebulan ini.

Kepada seluruh keluarga mangsa kemalangan bas Sani Express, saya ucapkan takziah di atas kehilangan orang yang tersayang. Semoga roh-roh mereka dicucuri rahmat oleh-Nya.

Kepada pihak berkenaan, jalankanlah tugas anda dengan sebaik mungkin. Jangan kerana sebuah bas yang baru digunakan 3 bulan menghadapi kemalangan maka seluruh operasi syarikat berkenaan hendak digantung.

Fikirkanlah sesuatu yang lebih munasabah.

Adakah wajar bas ekspres di larang beroperasi pada waktu malam? Adakah pada waktu siang tidak berlaku kemalangan? Inilah yang perlu difikirkan bersama.

Kesemua ini adalah cerita yang diulang-ulang apabila berlakunya tragedi nahas bas ekspres.

Khamis, Disember 17, 2009

Salam Maal Hijrah..

Salam.. Salam Sejahtera.. Salam Maal Hijrah..

Hari ini adalah hari terakhir kita berada dalam tahun 1430 Hijrah.

Malam ini (Maghrib) insyaAllah kita akan bersama-sama melayari kehidupan di tahun baru 1431 Hijrah.

Sambutan tahun baru Hijrah ini diraikan bersama dengan perlawanan akhir di antara pasukan bola sepak Malaysia yang menentang Vietnam bagi menentukan pingat emas sukan SEA.

Siaran langsung yang bakal disiarkan oleh RTM dan TV3 bakal menjadikan masjid hanya di monopoli oleh generasi veteran dan generasi muda pula bakal berada di depan TV. *Ini adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh 'orang-orang masjid'.

Walau apa pun kita menyambut kemunculan tahun baru Hijrah ini dalam keadaan yang sederhana.

Selamat tahun baru Hijrah kepada anda semua..

*Jangan lupa baca Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun..

SALAM MAAL HIJRAH

Gejala ponteng di Dewan Rakyat..

Salam.. Salam Sejahtera..

Ponteng dan ponteng lagi. Nampaknya gejala ponteng ini bukan sahaja masalah kepada pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru tetapi masalah ini telah menular ke Dewan Rakyat.

Siapakah yang telah mempengaruhi antara satu sama lain? Adakah Ahli-Ahli Yang Berhormat terpengaruh dengan pelajar-pelajar sekolah? Atau adakah pelajar sekolah yang terpengaruh dengan YB? Entahlah..

Akhbar melaporkan kerajaan Barisan Nasional yang memerintah negara lebih 50 tahun hampir-hampir kehilangan kuasa pada 15 Disember 2009 kerana ramai Ahli Parlimen Barisan Nasional tidak hadir di Dewan Rakyat semasa pengundian untuk meluluskan Bajet 2010.

Peristiwa yang agak bersejarah ini sememangnya perlu direkodkan supaya selepas ini tidak akan ada lagi Ahli-Ahli Yang Berhormat ponteng Persidangan Dewan Rakyat.

Undian Bajet 2010 bagi negara diluluskan dengan undian 66 menyokong dan 63 menentang.

Bajet 2010 ini hampir-hampir tidak diluluskan kerana perbezaan undi yang amat tipis.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengatakan bahawa berdasarkan konvensyen sebuah negara berparlimen jika bajet tidak diluluskan maka kerajaan terpaksa dibubarkan dan pilihanraya terpaksa diadakan.

Selain itu kerajaan juga tidak akan mendapat perbelanjaan yang dibentangkan oleh YAB. Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak buat kali pertama sebagai Perdana Menteri kerana tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Akhbar melaporkan undian yang meluluskan Bajet 2010 hanya 66 undi dan menentang ialah sebanyak 63.

Undian yang sepatutnya diterima bagi meluluskan Bajet 2010 ialah sebanyak 139 undi. Hal ini kerana seramai 139 orang Ahli Parlimen yang mendapat kerusi empuk di dalam Dewan Rakyat ialah melalui tiket atau lambang Barisan Nasional.

Perdana Menteri dan Timbalannya sendiri turut hadir di dalam pengundian tersebut. Persoalannya ialah di mana 73 orang Ahli Parlimen yang mewakili BN? Ponteng atau bersikap sambil lewa? Mana tanggungjawab mereka? Ada program yang lebih penting daripada Bajet Negara? Berhenti sahajalah..

Alhamdulillah, kerana 19 Ahli Parlimen pembangkang tidak hadir semasa pengundian tersebut. Cuba bayangkan jika semua 82 Ahli Parlimen pembangkang hadir sudah tentu Malaysia akan mengadakan pilihanraya umum dalam masa terdekat ini.

Kepada Ahli-Ahli Parlimen (BN) yang ponteng semasa pengundian Bajet 2010, jangan terkejut jika penggal ini adalah penggal terakhir YB sebagai Yang Berhormat.

Nampaknya gejala ponteng ini bukan sahaja berlaku di dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti, malahan turut berlaku dalam kalangan mereka yang dipilih bagi mewakili rakyat.

Malangnya...

*Alhamdulillah tak ada pilihanraya.. Daftar bulan Julai tapi nama tak keluar lagi dalam senarai SPR.. Bengang betul..


Selasa, Disember 08, 2009

3 Abdul versi Malaya..

Salam.. Salam Sejahtera.. Salam Perjuangan..

Di sini saya ingin melahirkan rasa kagum terhadap 3 abdul yang benar-benar berani melakukan sesuatu yang sudah tentu tidak semua berani melakukannya.

Mari kita lihat yang mana satu 3 Abdul Malaya..

Inilah pelajar Universiti Malaya (UM) yang menggelar isteri perdana menteri iaitu Datin Seri Rosmah Mansor sebagai puaka dan pembunuh altantuya.

Satu sahaja yang menjadi persoalan dalam fikiran saya ialah dari mana mereka mendapat maklumat yang mengatakan bahawa Datin Seri Rosmah adalah pembunuh altantuya? Hebat sungguh 'agensi risikan' mereka ini.

Saya tidak mahu menuduh siapakah yang menghasut mereka bertiga untuk bertindak sedemikian, tetapi tidakkah kita terfikir bahawa mungkin mereka ini menjadi alat oleh pihak-pihak tertentu untuk menghasut pelajar-pelajar UM.

Kini mereka sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah. Nampaknya tujuan mereka ke universiti bukanlah untuk belajar tetapi lebih kepada menjadi agen propaganda pihak-pihak tertentu.

Sungguh malang apabila menjadi pelajar universiti tetapi mensia-siakan peluang yang diberikan. Sungguh malang juga apabila mereka menyebabkan ibu bapa yang bersusah-payah mencari rezeki terpaksa membayar wang ikat jamin mereka yang di tahan pihak berkuasa.

Jika mereka ini golongan yang berfikir menggunakan akal yang waras, sudah tentulah mereka tidak tergamak melakukan hal-hal yang sedemikian.

Isnin, Disember 07, 2009

Mari 'MemBUKUkan' diri..

Salam.. Salam Sejahtera..

1 Disember yang lepas rakan saya yang belajar di Sabah mengajak saya keluar ke bandar Batu Pahat. Maklumlah sama-sama sedang bercuti selama sebulan.

Aktiviti empat rakan yang wajib ke Batu Pahat ialah ke Tasik Y. Bukan hendak bersenam di sana tetapi hanya berjalan mengelilingi tasik dan makan di gerai sahaja.

Selepas solat Maghrib di masjid yang tersergam indah di Batu Pahat, kami menuju ke Batu Pahat Mall (BP Mall). Bukannya tidak ada pusat membeli-belah yang lain tetapi di BP Mall lebih mudah untuk meletak kereta dan percuma.

Lokasi wajib dikunjungi oleh rakan saya yang belajar di Sabah itu ialah kedai buku Popular. Tujuannya hanya satu, iaitu mencari novel cinta yang di pesan oleh rakannya di Sabah. Maklumlah harga barang di Sabah lebih mahal berbanding di Semenanjung.

Saya tidak berminat membaca novel kerana memang saya tidak berminat dengannya.

Sambil meneroka rak-rak buku yang lebih serius, saya terpandang satu buku yang memaparkan wajah seorang bekas menteri dari Johor, iaitu Tan Sri Mohamed Rahmat.

Rakan saya membeli novel cinta dan saya membeli buku yang tajuknya sahaja sudah menggambarkan ia berkaitan dengan politik.

Semasa membayar di kaunter, seorang guru yang juga ibu kepada rakan saya menyapa saya dan mengatakan "Syukri, tak habis-habis buku politik..buku masak-memasak, buku-buku agama tak nak ke??". Saya jawab, "Bajet malam ni cuma untuk buku ni je cikgu..buku-buku lain kena tunggu peruntukan tahun 2010..".

(Ulasan di dalam Candu Minda)

Tajuk : UMNO: AKHIR SEBUAH IMPIAN
Penulis : Mohamed Rahmat
Penerbit : The Malaysian Insider Sdn. Bhd.
ISBN : 978-983-44524-2-1
Tahun : 2009
Harga : RM29.90


Buku setebal 170 muka surat ini adalah hasil penulisan Tan Sri Mohamed Rahmat yang juga merupakan mantan Menteri Penerangan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional di era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Pulai Johor. Beliau juga adalah di antara Ahli Parlimen yang memegang rekod paling lama menduduki kerusi di dalam Dewan Rakyat.

Buku hasil tulisan pertama Tan Sri Mohamed Rahmat ini mencatatkan pengalaman politik beliau di dalam pergolakan UMNO yang bermula sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj sehinggalah beliau bersara daripada politik.

Kupasan yang diceritakan di dalam buku ini benar-benar mengejutkan pembaca kerana beliau turut terlibat sama memainkan peranan penting dalam krisis dalaman UMNO.

Beliau juga turut mengaku memainkan peranan penting termasuk di sebalik usaha menjatuhkan Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad serta usaha beliau dalam membantu mereka ini membantu mengatasi krisis berkenaan.

Walaupun tajuk buku ini ialah UMNO : AKHIR SEBUAH IMPIAN, tetapi buku ini menceritakan pengalaman yang berharga daripada Tan Sri Mohamed Rahmat.

Kita sebagai generasi muda perlu membaca buku ini kerana ia bukanlah menceritakan mengenai UMNO yang membosankan tetapi pengalaman yang berharga dan perlu dijadikan tauladan.

Hasil penulisan beliau yang berani ini juga turut menjelaskan beberapa permainan politik tikam belakang serta pengalamannya sendiri di mana beliau turut menjadi mangsa fitnah akibat salah faham dalam pertikaian politik UMNO.

Sabtu, Disember 05, 2009

Dilema Melayu - Islam

Salam.. Salam Sejahtera..

Ketika berjalan-jalan sambil membuang masa di Batu Pahat Mall saya singgah seketika di kedai buku Popular yang agak perasan popular.

Kawan-kawan yang lain membelek-belek novel-novel cinta, saya pula lebih gemar meneroka bahagian buku yang lebih serius dan memeningkan kepala.

Ketika sedang mencari sesuatu yang saya sendiri tidak ketahui apakah yang perlu saya cari, tiba-tiba saya ternampak kelibat sebuah buku yang hanya tinggal satu sahaja di rak buku. Buku itu ialah “DILEMA MELAYU – ISLAM”.


Saya tertarik dengan tajuk buku ini kerana hampir sama dengan tajuk buku Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pernah menjadi kontroversi suatu ketika dahulu iaitu “DILEMA MELAYU”.

Buku “DILEMA MELAYU – ISLAM” ini mencungkil banyak perkara dari sudut di 'luar kotak'.

Buku ini mempunyai 39 bab, dan setiap bab menerangkan banyak perkara yang amat penting.

Saya berpuas hati dengan hasil tulisan Pahrol Mohamad Juoi kerana penulisan beliau tidak dipengaruhi sentimen politik.

Banyak kata hikmah yang boleh direnung bersama. Harganya cuma RM30 sahaja.

Amalkan budaya membaca..

MiG-29N nak pencen..

Salam.. Salam Sejahtera..

Mengikut laporan di dalam akhbar, Kementerian Pertahanan mengumumkan akan menamatkan perkhidmatan pesawat pejuang MiG – 29N buatan Russia penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

Mengikut laporan akhbar juga pesawat pejuang MiG-29N ini baru digunakan selama 10 tahun.

Turut dinyatakan kos untuk menyelenggara pesawat itu ialah sebanyak RM260 juta setahun.

Oleh sebab kos penyelenggaraan yang mahal itu maka kerajaan bercadang untuk menamatkan perkhidmatannya dan menggantikannya dengan pesawat yang lebih murah kos penyelenggaraannya.

Kos penyelenggaraan yang mahal menjadi punca 16 buah pesawat MiG-29N akan ditamatkan perkhidmatan walaupun baru 10 tahun digunakan.

Di sini saya berbangga kerana pihak berkenaan agak prihatin dalam perkara mengenai kewangan.

Satu sahaja persoalan yang ingin saya lontarkan, dari mana pihak kerajaan akan mendapatkan sumber kewangan bagi menggantikan pesawat pejuang MiG-29N?

Sedangkan sebelum ini pihak kerajaan mengatakan bahawa kekangan peruntukan kewangan menyebabkan adalah faktor bagi menangguhkan pembelian helikopter baru bagi menggantikan helikopter Nuri.

Entahlah...

Rabu, Disember 02, 2009

MAKLUMAN


Salam dan Salam Sejahtera...

Beberapa penulisan saya telah mengundang rasa tidak puas hati beberapa pihak. Oleh itu saya memohon maaf kerana saya akan terus menulis mengikut pengalaman dan apa jua yang terlintas di depan mata saya.

Yang buruk tetap buruk.. Fitnah tetap fitnah..

Segala yang di tulis adalah berkaitan dengan pengalaman saya sendiri. Jika ada yang berasa kurang senang dengan tulisan saya di blog ini, saya mengalu-alukan anda atas prinsip demokrasi untuk tidak membaca blog ini.

Hari ini saya MUHAMMAD SYUKRI BIN SA'ADON telah membuktikan bahawa 'ANDA' adalah pihak yang tidak boleh di kritik.

Apa guna bercakap manis di depan tetapi mengutuk di belakang

*JANGAN MAIN BELAKANG*

Fitnah - Tak Mengenal Siapa..

Allah S.W.T berfirman di dalam al-Quran surah al-Baqarah, "...dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh...".

Salam.. Salam Sejahtera.. Salam 1 Malaysia..

Saya tidak mahu mengupas panjang lebar mengenai fitnah. InsyaAllah kita semua mengetahui apa yang dimaksudkan dengan fitnah.

Walaupun tanpa merujuk Kamus Dewan, kita mengetahui bahawa fitnah adalah sesuatu tuduhan tidak benar yang ditujukan kepada pihak lain.

Fitnah - Tak Mengenal Siapa. Tajuk ini sebenarnya merujuk kepada pengalaman saya sendiri semasa mewakili bapa saya di Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Ketika itu bapa saya baru selesai menjalani pembedahan di kaki dan tidak mampu pergi ke mesyuarat tersebut. Kehadiran saya telah dimaklumkan sendiri oleh bapa saya kepada pihak-pihak berkenaan.

Semasa di dalam mesyuarat tersebut, terdapat seorang lelaki bergelar bapa dan berstatus pendidik di sekolah lain telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap bekas pelajar tingkatan enam sekolah tersebut. Lelaki tersebut bercakap dengan penuh yakin dan berkobar-kobar dan mungkin beliau tidak mengetahui kehadiran saya di mesyuarat tersebut bukan sahaja sebagai wakil bapa saya tetapi juga sebagai bekas pelajar sekolah tersebut.

Apabila saya mendengar kata-kata berunsur fitnah terhadap rakan-rakan seangkatan dengan saya, saya lantas bangun dan minta untuk bercakap. Alhamdulillah, Yang Di-Pertua PIBG telah membenarkan saya untuk bercakap ketika itu.

Ketika itu saya perlu mempertahankan maruah rakan-rakan seangkatan kerana kami di fitnah di depan khalayak ibu bapa dan guru-guru. Apa guna mempertikai kami jika kami tidak ada ketika itu untuk mempertahankan diri.

Sebagai menghormati beliau yang juga seorang pendidik (bukan sekolah saya) saya tidak terus menghentam beliau. Tetapi saya bersyukur kerana usul beliau di dalam mesyuarat tersebut telah di tolak. Jika hendak menuduh pun eloklah disertakan dengan bukti.

Walaupun begitu saya rasa terkilan kerana budaya fitnah ini sebenar turut berada dalam lingkungan generasi pendidik. Sebelum ini saya juga pernah di fitnah dengan perkara yang lebih teruk tetapi itu semua berlaku di belakang saya sahaja. Maklumlah mereka semua memang suka main belakang. Tetapi semasa di mesyuarat PIBG itu saya mendengar dengan telinga sendiri.

Kita biasa mendengar cinta itu buta, rupa-rupanya fitnah juga buta. Fitnah tak kenal siapa..

Jika saya tahu perkara tersebut adalah fitnah, saya akan terus membetulkannya hatta yang berada di depan saya adalah mereka yang berstatus pendidik.