Followers

Selasa, September 06, 2011

Mat Sabu : Buta sejarah atau buta hati?

Salam.. Salam sejahtera..

Sejarah adalah peristiwa yang sudah berlalu dan tidak boleh diubah kecuali terdapat penemuan baru yang memungkinkan sesuatu sejarah itu perlu diubah.

Pada sambutan bulan kemerdekaan negara, kita akan dipersembahkan dengan kisah-kisah perjuangan menuntut kemerdekaan oleh tokoh-tokoh seperti Allahyarham Dato’ Onn Ja’afar, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dan sebagainya. Sama ada kita suka atau pun tidak, pejuang-pejuang kemerdekaan yang sering kali muncul didada-dada akhbar mahupun televisyen adalah tokoh-tokoh pejuang daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO. Kesemua ini adalah realiti dan bukanlah rekaan semata-mata oleh pemerintah. Sememangnya diakui bahawa di dalam catatan sesebuah negara akan dikuasai oleh pemerintah itu sendiri demi untuk menunjukkan kekuasaan dan jasa yang pernah dilakukan. Namun begitu sejarah tetap sejarah dan tidak mampu diubah sesuka hati.

Beberapa hari sebelum negara ini menyambut tarikh keramat 31 Ogos, negara ini ‘digegarkan’ dengan pengikhtirafan oleh Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Mohamad Sabu atau Mat Sabu terhadap Parti Komunis Malaysia. Tindakan Mat Sabu mengangkat martabat Muhammad Indera yang juga seorang Komunis Melayu telah mengguris hati pesara-pesara tentera dan polis yang berjuang menentang kekejaman komunis pada zaman darurat.

Peristiwa Bukit Kepong bukanlah rekaan dan tidak sewajarnya dijadikan sebagai bahan untuk dipolitikkan. Peristiwa Bukit Kepong merupakan satu sejarah yang benar-benar berlaku pada tahun 1950. Kekejaman Komunis ketika itu sudah tentu masih segar dalam ingatan mereka yang mempunyai kaitan dengannya terutama sekali ahli keluarga anggota polis yang terbunuh. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa Tan Sri Jins Shamsuddin adalah ahli UMNO dan pernah bertanding merebut kerusi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, dan filem Bukit Kepong adalah arahan beliau. Namun begitu perlu disedari oleh Mat Sabu bahawa filem Bukit Kepong adalah sejarah dan filem yang berkaitan dengan sejarah tidak akan dihasilkan tanpa kajian yang mendalam. Sekiranya Mat Sabu dan mereka yang mempertikai mengenai peristiwa Bukit Kepong, silalah membuat lawatan ke lokasi tragedi tersebut dan berjumpa dengan warga emas yang masih hidup terutamanya mereka yang pernah merasai kesengsaraan tersebut.

Tindakan mempertikai dan mengikhtiraf pengkhianat (Muhammad Indera dan Komunis) sebagai pejuang sebenar adalah satu tindakan yang jahil daripada seorang Timbalan Presiden sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam. Persoalannya, mengapa baru kini perkara ini ditimbulkan? Apabila isu ini hangat dan banyak pihak mendesak beliau memohon maaf maka beliau dengan pantas menyalahkan pihak lain. Sesuatu yang menarik lagi ialah apabila beliau ‘pura-pura’ lupa mengenai apa yang beliau perkatakan semasa berceramah. Malang sungguh Parti Islam Se-Malaysia kerana mempunyai seorang Timbalan Presiden yang pelupa. Tahniah kepada media arus perdana kerana menyiarkan rakaman video ceramah Mat Sabu dan mungkin berjaya mengingatkan beliau.

Hasrat Mat Sabu yang ingin menulis kembali sejarah tanah air sebenarnya amat baik. Namun begitu hasrat itu mungkin tidak akan berlaku kerana mungkin beliau akan terlupa mengenai hasrat tersebut. Saya berpandangan bahawa sejarah tanah air tidak perlu ditulis semula tetapi perlu ditambah supaya pejuang-pejuang kemerdekaan yang lain turut mendapat tempat yang sewajarnya di dalam lipatan sejarah tanah air. Jika sekiranya Mat Sabu ingin menulis kembali sejarah tanah air maka sewajarnya beliau berjumpa dengan Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim sebagai rujukan supaya hasil karya beliau tidak berfokus kepada diri beliau sahaja.

Sejarah menuntut kemerdekaan bukan hanya dilakukan oleh UMNO sahaja. Hal ini adalah realiti sebenar dan tidak boleh diubah kerana ini adalah sejarah. Namun begitu bentuk perjuangan UMNO yang lebih kepada diplomasi telah membuahkan hasil dan melembutkan hati penjajah. Perjuangan disebelah pihak lagi adalah berbentuk kekerasan atau gerakan bawah tanah. Walaupun bentuk perjuangan berbeza namun begitu tujuannya adalah sama iaitu untuk kemerdekaan tanah air. Sebab itulah saya berpandangan bahawa perjuangan seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan pertubuhan-pertubuhan yang lain perlu mendapat pengikhtirafan.

Dari segi sejarah, sememangnya ada peristiwa yang tidak didokumenkan sepenuhnya. Akan tetapi cerita lisan mulut ke mulut tidak mampu dikekang. Benar, Allahyarham Dato’ Onn Ja’afar adalah pegawai British. Hal ini kerana Dato’ Onn Ja’afar ketika itu adalah Pegawai Daerah Batu Pahat. Dengan kelebihan itu jugalah digunakan untuk menuntut kemerdekaan. Pada zaman itu boleh dibilang dengan jari jumlah orang Melayu yang berpendidikan. Bagaimana kita hendak menentang musuh jika tanpa ilmu? Jasa Allahyarham Dato’ Onn Ja’afar, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan lain-lainnya tidak perlu dipertikai. Apa yang perlu dipertikai ialah jasa manusia seperti Mat Sabu yang gemar mempertikai dan selalu terlupa mengenai apa yang diperkatakannya.

Sesuatu yang menarik sebenarnya untuk dibuat andaian mengenai satu persatu isu yang ditimbulkan oleh Timbalan Presiden Pas itu mungkin untuk menutup isu-isu beliau sebelum ini.

Seperti mana yang kita ketahui, sebelum ini beliau hangat dengan isu perhimpunan haram BERSIH. Khabarnya beliau dirempuh oleh kereta peronda polis namun begitu pihak polis telah mendedahkan rakaman video mengenai perkara tersebut dan secara tidak langsung telah membuka pekung Timbalan Presiden tersebut.

Isu yang kedua pula ialah mengenai pendedahan berlakunya penyelewengan dalam pembiayaan bil rawatan Mat Sabu di KPJ Selangor Specialist Hospital yang menelan belanja RM8,434.00 oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA). Mat Sabu ialah merupakan Ahli Lembaga Pengarah PBA dan beliau mendapat rawatan kerana cedera ketika menyertai perhimpunan haram BERSIH. Isu ini menjadi hangat apabila didedahkan oleh Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan kerana kos sebenar rawatan di hospital tersebut ialah RM5,060.54 sahaja. Mungkin beliau terlupa bahawa bekas Ahli Parlimen layak menerima rawatan kelas pertama di hospital kerajaan. Perdana Menteri sendiri menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Daripada dua isu yang ditimbulkan di atas sebenarnya sudah cukup membuatkan imej dan kredibiliti Mat Sabu tercalar. Maka, sudah tentu beliau cuba membuat isu yang baru supaya semua pihak tidak terlalu fokus kepada dua isu di atas. Di dalam dunia politik kuasa ini terlalu banyak pelakon yang hipokrit. Sebab itulah ada beberapa orang tokoh agama berkata bahawa, jika ada orang politik masuk bidang agama sewajarnya diucap Alhamdulillah, tetapi jika ada orang agama masuk bidang politik maka itu akan membawa padah.