Followers

Selasa, Mac 30, 2010

Wacana : Generasi Muda & Demokrasi di Malaysia

Salam.. Salam Sejahtera..

PENGUMUMAN :


Forum / Wacana ini adalah anjuran daripada Kelab Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM).

Semua di jemput hadir ke Dewan Kuliah A (DK A) Universiti Sains Malaysia.

InsyaAllah forum berbentuk akademik ini akan bermula seperti mana yang tercatat di atas.

Terima kasih.

Ahad, Mac 28, 2010

Salam IKMAR..

Salam.. Salam Sejahtera.. Salam IKMAR..

Diruangan ini saya mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh ahli Ikatan Mahasiwa Mahasiwi Johor atau IKMAR Universiti Sains Malaysia (USM) kerana memberikan saya satu lagi bebanan yang berupa tanggungjawab.

Kepercayaan yang diberikan akan saya gunakan sebaik mungkin. Saya tidak mampu mengendalikan IKMAR seorang diri tanpa mendapatkan kerjasama dan nasihat daripada barisan mantan Majlis Tertinggi yang lebih berpengalaman.

Penghargaan juga penasihat IKMAR iaitu Profesor Madya Dr. Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim.

Sekiranya saya alpa dan leka tegurlah saya. Janganlah mengkritik secara membabi buta. Tunjukkanlah kita ini adalah sebagai ahli akademik.

Kepada anak-anak Johor di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang ini, marilah kita sama-sama mengorak langkah demi kegemilangan bersama.

Terima kasih.. Salam..

Jawatan Presiden MCA milik Dr. Chua Soi Lek..

Salam.. Salam Sejahtera..

Seperti yang di jangka, ahli politik veteran daripada Johor memenangi pemilihan jawatan Presiden MCA yang diadakan pada hari ini.

Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek memenangi jawatan Presiden MCA dengan mengalahkan penyandang iaitu Datuk Seri Ong Tee Keat dan mantan Presiden, Tan Sri Ong Ka Ting.

Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek memperolehi undi sebanyak 901 undi, manakala pencabar terdekat beliau yang juga mantan Presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting memperoleh 833 undi, dan penyandang Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat mendapat 578 undi.

Bagi saya kemenangan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dengan majoriti tipis sebanyak 68 undi itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Hal ini kerana beliau pernah meletak kesemua jawatan di dalam parti MCA dan meletak jawatan sebagai Menteri Kesihatan kerana penyebaran DVD skandal seks beliau di sebuah hotel yang terkenal di Batu Pahat. Keberanian beliau mengaku terlibat di dalam skandal seks itu amat dikagumi.

Pada saya penyebaran DVD tersebut adalah untuk mematikan nyawa Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek di dalam politik. Akan tetapi sebenarnya saya melihat walaupun beliau telah meletak kesemua jawatan tetapi beliau masih mempunyai pengaruh yang amat besar di dalam MCA. Buktinya beliau tidak kembali bertanding di kerusi Parlimen Labis tetapi mampu meletakkan anaknya iaitu YB. Chua Tee Yong sebagai calon dan memenangi kerusi Parlimen Labis, Johor.

Kini persoalannya sekarang adakah isu moral akan kembali menjadi tajuk utama di media-media yang tidak sehaluan dengan kerajaan? Saya rasa sudah tentu tidak kerana jika mereka boleh menerima perlakuan EXCO Selangor mengapa tidak Dr. Chua Soi Lek?

Persoalannya di sini ialah adakah Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek akan mampu meletakkan MCA kembali kuat seperti dahulu? Adakah seluruh ahli MCA akan kembali bersatu? Kita tunggu dan lihat..

Diharapkan gandingan di antara Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek selaku Presiden MCA bersama-sama Datuk Seri Liow Tiong Lai mampu mengembalikan kestabilan MCA. Walaupun barisan kepimpinan baru yang ada di dalam MCA ini adalah cantuman daripada 'puak-puak' yang bertelagah, tetapi tidak mustahil untuk mereka kembali bersatu jika sekiranya ketua yang menang itu tidak menaruh dendam terhadap mereka yang berada di bawah.

Sabtu, Mac 27, 2010

Earth Hour kembali..

Salam.. Salam Sejahtera..

Terlalu pantas masa berlalu. Rasanya macam baru minggu lepas sama-sama menjayakan program Earth Hour.

Kini kita sama-sama di minta untuk menjayakan program yang direncanakan itu, khasnya di bumi Minden, Pulau Pinang.

Program yang direncanakan ini sewajarnya mendapat kerjasama daripada semua pihak kerana mungkin ia hanya diadakan selama satu jam tetapi impaknya kepada alam sekitar amat besar.

Persoalan yang timbul ialah adakah program Earth Hour ini akan mendapat sokongan daripada setiap pihak khasnya yang berada di bumi Minden? Jawapan yang wajar adalah pokok pangkalnya hati kita sendiri. Jika hati ingin melakukannya maka tidak menjadi masalah untuk merealisasikannya.

Jika selama ini kita kerap lupa (ada yang sengaja lupa) untuk mematikan suis lampu dan kipas maka apalah salahnya jika pada 27 Mac 2010 tepat jam 9.00 malam kita bersama-sama mendidik jiwa kita untuk mematikan suis lampu dan kipas sekiranya hendak keluar daripada bilik atau sebagainya. Amalan berjimat cermat perlu di semai di dalam diri kita.

Mungkin program ini tidak mendatangkan impak yang besar tetapi tidak salah untuk kita sama-sama menjayakan program kelestarian untuk hari esok.

Sukarnya membuat keputusan.. "Kenapa mesti saya?"

Salam.. Salam Sejahtera..

"Orang yang cerdik belum tentu dia pandai, orang yang pandai belum tentu dia bijak, orang yang bijak belum tentu dia bijaksana..". Inilah kata-kata yang kerap diperingatkan kepada saya oleh seorang hamba Allah S.W.T.

Ini bukan kisah politik kotor mainan manusia yang kotor. Ini juga bukan kisah pendedahan konspirasi di dalam konspirasi. Ini juga bukan kisah akuan bersumpah daripada sesumpah. Ini juga sebenarnya tiada kaitan dengan pilihan raya kecil yang bakal diadakan di Parlimen Hulu Selangor, Selangor.

Kenapa saya perkatakan isu ini? Tiba-tiba saja saya teringin menaip. Teringin menekan satu demi satu huruf yang terpapar di papan kekunci laptop acer yang dah berkhidmat kepada saya hampir dua tahun. (banyak jasanya - walaupun ada masalah kerana beli di kedai yang popular satu Malaysia).

Bukan senang hendak membuat keputusan. Suatu ketika saya pernah membuat keputusan yang menimbulkan konflik di antara saya dengan orang lain semasa di tahun akhir sekolah menengah tahun 2007. Walaupun keputusan yang saya buat itu adalah untuk kebaikkan semua tetapi saya terpaksa melupakan seketika prinsip sendiri.

Kini saya berhadapan sekali lagi konflik untuk membuat keputusan. "Kenapa mesti saya?". Persoalan yang kerap saya ajukan apabila saya menjadi pilihan utama dalam sesi mengajukan persoalan sama ada di dalam kelas atau sebagainya.

Kenapa agaknya? Kriteria apa yang digunakan untuk saya berada dikedudukan tersebut? Apakah kayu pengukur yang digunakan untuk meletakkan saya berada di situ? Inilah dilema yang menghantui saya sehingga saat saya menulis ini.

Sememangnya bukan senang untuk membuat keputusan. Kita kena fikir kesan positif dan negatif yang bakal berlaku dengan keputusan yang bakal kita buat itu.

Keputusan yang di buat semasa berada dalam keadaan emosi tidak stabil (marah) lazimnya itu adalah keputusan yang tidak rasional.

Saya harap keputusan yang bakal tercipta malam ini (27 Mac 2010 11 Rabiulakhir 1431 H) adalah keputusan yang tidak membawa ke arah konflik dan perasaan tidak menentu.

Saya tidak takut untuk berdepan dengan cabaran tetapi saya perlu kekuatan untuk menempuh cabaran tersebut.

Jumaat, Mac 26, 2010

Drama bersiri - "Sah... Tidak Sah..."

Salam.. Salam Sejahtera..

Drama "Sah... Tidak sah...". Adakah ini drama semasa pernikahan? Oh sudah tentu tidak...

Suatu ketika kita dipaparkan di dalam akhbar dan televisyen mengenai sah atau tidak sah mengenai suatu isu yang berkaitan dengan tindakan Saidul Bukhari yang bersumpah di dalam masjid bagi membuktikan tuduhan liwat yang dilakukan terhadap seorang individu berstatus pemimpin itu adalah benar. - Datuk Seri Anwar Ibrahim - Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) - Ketua Pembangkang.

Seorang demi seorang mengeluarkan pendapat mengenai sumpah yang dilakukan oleh si Saiful itu. Ada yang mengatakan bahawa sumpah itu adalah benar, ada juga yang mempertikai sumpah yang dilakukan. Pertikaian sumpah yang dilakukan kerana tidak mengikut hukum syarak dan sebagainya. Di sini jugalah bermulanya babak-babak yang memaparkan kepada umum siri "sah dan tidak sah" yang dikeluarkan oleh 'alim ulama'.

Drama "sah dan tidak sah" ini kemudiannya berlarutan di dalam siri rampasan kuasa oleh Barisan Nasional (BN) di negeri Perak. BN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada pakatan kerajaan DAP, PKR, dan Pas yang membentuk Pakatan Rakyat (PR). - PR masih belum didaftarkan secara sah.

BN mengambil alih Perak daripada PR selepas 2 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR keluar daripada parti dan menyokong BN. Seorang ADUN DAP juga keluar parti dan menyatakan sokongan kepada BN.

Drama di Perak ini juga kita dipaparkan jalan cerita yang tidak lekang memperkatakan kerajaan BN yang di bentuk itu "sah dan tidak sah". Selain itu Sidang Dewan Undangan Negeri Perak juga dikatakan sebagai "sah dan tidak sah". Tidak terkecuali 'Persidangan Bawah Pokok' yang diadakan oleh bekas kerajaan - Pakatan Rakyat. - Cerita Laksamana Do Re Mi.

Kini yang terbaru kita dipaparkan juga di dalam akhbar mengenai "sah dan tidak sah" yang berlaku di negeri Kelantan. Hal ini adalah berkenaan dengan kemelut perlantikan dua orang Pemangku Raja. Seperti kita sedia maklum Sultan Kelantan kini sedang gering dan Tengku Mahkota Kelantan di lantik sebagai Pemangku Raja.

Drama "sah dan tidak sah" yang berlaku di Kelantan adalah berkenaan dengan perlantikan Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd Hamzah sebagai Pemangku Raja Kelantan yang baru bagi menggantikan Tengku Mahkota Kelantan yang digugurkan.

Kita semua belajar mata pelajaran sejarah di sekolah. Kita juga mengetahui bahawa Inggeris, Belanda, Siam masuk campur urusan hal-hal negeri-negeri Melayu kerana berlakunya perebutan takhta kerajaan.

Di Johor, selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail peralihan kuasa kepada Tunku Mahkota Johor ketika itu berjalan lancar, Alhamdulillah. Tidak ada kisah perebutan takhta kerajaan seperti mana yang tercatat di dalam lipatan sejarah.

Walau apa pun, kita berada di dalam negara yang demokrasi walau pun ada yang mengatakan negara ini tidak demokrasi tetapi pada saya Malaysia tetap demokrasi. Dengan demokrasi yang ada itulah maka pada saya setiap orang berhak untuk berkonflik di antara satu sama lain. Kerana apa? Kerana itu adalah hak mereka.

Berfikirlah secara waras sebelum dikenakan tindakan tegas.

Khamis, Mac 25, 2010

Ahli Parlimen Hulu Selangor meninggal dunia..

Salam.. Salam Sejahtera..

Ahli Parlimen Hulu Selangor, Yang Berhormat Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia di rumahnya Batu 91/2 , Jalan Cheras, Kajang malam ini (25 Mac 2010).

Allahyarham merupakan Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T.

Al-Fatehah..

Ahli Parlimen Bebas mengaum di Parlimen..

Salam.. Salam Sejahtera..

Sebagai rakyat biasa kita hanya mampu memerhati segala perkara yang berlaku. Segala apa yang berlaku hanya di perhati dari jauh dengan penuh tanda tanya.

Saya melihat dan mendengar video ucapan perbahasan Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim di dalam Parlimen baru-baru ini. Banyak unsur kejutan yang dilakukan oleh YB. Zahrain semasa sesi perbahsan tersebut. Saya juga kadangkala berasa sangsi sama ada perkara yang dinyatakan itu benar atau sebaliknya.

Pembongkaran yang dilakukan oleh YB. Zahrain itu pada saya sebenarnya tidaklah mengejutkan sama sekali kerana kita semua sedia maklum mengenai perancangan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ingin mengambil alih kuasa daripada Barisan Nasional (BN) pada 16 Semptember 2008. Kita juga dimaklumkan ketika itu bahawa terdapat lebih kurang 30 orang Ahli Parlimen BN akan melompat kepada pembangkang dan memberi peluang kepada Pakatan Rakyat (PR) membentuk kerajaan Persekutuan.

Pada saya kejutan yang sebenar-benarnya adalah kejutan ialah 'pencanang' kepada agenda 16 September itu dikatakan mendapat perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Selain itu turut dikatakan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga menyatakan sokongan. - ATM menafikan perkara ini.

Sungguh dahsyat perkara ini. Pendedahan yang dilakukan oleh YB. Zahrain ini pada saya memerlukan keberanian yang utuh. Bukan semua orang berani mendedahkan perkara-perkara seperti ini kerana jika tersalah langkah nyawa akan menjadi pertaruhannya.

Saya tertarik ketika mendengar ucapan YB. Zahrain kerana ucapan beliau itu telah membuatkan Ahli Parlimen Permatang Pauh keluar dewan. - Mungkin kerana YB. Permatang Pauh sudah tahu apa yang bakal dikatakan oleh YB. Zahrain.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu iaitu YB. Zulkifli Noordin juga bertindak sama seperti YB. Zahrain mendedahkan perkara yang sewajarnya didedahkan kepada umum. Untuk makluman semua YB. Zahrain keluar daripada PKR atas kerelaan hatinya sendiri manakala YB. Zulkifli pula keluar dengan cara di paksa. - Di pecat.

Pendedahan yang dilakukan oleh YB. Zul ialah berkenaan dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Beliau mengatakan bahawa pernah ditawarkan dengan tawaran yang cukup lumayan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan wanita Mongolia itu. YB. Zul juga mengatakan bahawa beliau telah di minta untuk membuat surat akuan bersumpah dengan menyatakan bahawa Datuk Seri Najib dan isterinya terlibat di dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Ganjaran yang lumayan itu dikatakan mampu menggoyahkan iman, kata YB. Zul. Saya sebenarnya tidak percaya dengan akuan bersumpah yang di buat oleh beberapa mengenai perkara-perkara yang sedia 'hangat dan hangit' ini. Sebenarnya akuan bersumpah itu hanya sekadar akuan dan belum tentu sahih. Sesiapa sahaja boleh membuat akuan bersumpah.

Mereka berceramah di sana sini mengatakan bahawa tuduhan liwat itu adalah konspirasi yang dilakukan oleh BN terhadap individu tertentu tetapi kini kita dimaklumkan sendiri oleh individu yang berprinsip iaitu YB. Zul mengenai konspirasi mereka terhadap PM dan isteri. Siapa yang berkonspirasi terhadap siapa sekarang ini?

*Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak semasa pilihanraya kecil di Permatang Pauh telah bersumpah di dalam masjid mengatakan bahawa beliau tidak terlibat dan tidak mengenali wanita Mongolia itu. Saiful juga sudah bersumpah. Dia bila lagi? Asyik kata sumpah tidak mengikut hukum syarak, ulama' tak benarkan dan bla bla bla bla, lebih elok dia bersumpah ikut syarak kita nak tengok cara yang sebenarnya bersumpah. Jangan bagi alasan..

YB. Zulkifli Noordin meminta kepada pihak-pihak tertentu supaya tidak meletakannya berada di dalam keadaan memaksanya untuk mendedahkan perlakuan mungkar yang berlaku.

"Kalau saya berbuat demikian, letupan besar yang di buat oleh YB. Zahrain sekadar 'kentut yang sepi'. Begitulah kotornya mainan politik negara masa ini". (Utusan Malaysia).

Daripada kata-kata YB. Zulkifli itu saya berpendapat bahawa sebenarnya ada perkara yang lebih besar yang dilakukan oleh pihak tersebut. Adakah YB. Zul akan mendedahkannya? Saya harap akan ada pihak di sebelah sana yang akan memaksa beliau untuk mendedahkannya.

Selepas ini kita nantikan pula sesi ucapan perbahasan daripada Ahli Parlimen Nibong Tebal YB. Tan Tee Beng. Manalah tahu masih ada lagi perkara-perkara kontroversi yang bakal ditimbulkan.

Rabu, Mac 17, 2010

Apabila darah terlalu murah..

Salam.. Salam Sejahtera..

Negara kita seringkali mengalami kekurangan bekalan darah. Bagi mengatasi masalah ini maka diadakan aktiviti menderma darah.

Namun begitu, di negara jiran kita iaitu Thailand suasana begitu berbeza kerana di sana mereka 'menderma darah' untuk melakukan demonstrasi dan melontarkan darah mereka kepada Rumah Kerajaan. Sungguh pelik.

Kumpulan Baju Merah di Thailand bertindak sedemikian bagi memaksa kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva membubarkan parlimen.

Akhbar juga melaporkan bahawa penunjuk perasaan telah membaling bungkusan yang dipercayai mengandungi darah ke arah kediaman rasmi Perdana Menteri Thailand. Mereka bukan sahaja membaling bungkusan yang mengandungi darah tetapi turut mencurahkan darah ke atas jalan di hadapan kediaman rasmi Perdana Menteri.

Seperti yang dikatakan oleh rakan-rakan saya, itu adalah demokrasi. Ya sememangnya itu adalah demokrasi tetapi demokrasi yang mendatangkan masalah besar kepada ekonomi negara.

Pada saya tindakan 'menderma darah' dan membuang darah itu adalah tindakan yang sia-sia dan merugikan, akan tetapi atas nama demokrasi saya menghormati hak mutlak mereka melakukan sedemikian.

Nuri oh Nuri.. Carilah pengganti Nuri..

Salam.. Salam Sejahtera..

Helikopter Nuri yang menjadi kebanggaan negara sehingga menarik perhatian wakil rakyat pembangkang yang tidak mahu ditukar baru kerana ianya masih berfungsi dengan baik, hari ini kembali menarik perhatian kita semua.

Hari ini 17 Mac 2010, BERNAMA baru sahaja melaporkan berita mengenai pesawat Nuri Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) telah mendarat cemas di sebuah sekolah di Tampin kerana mengalami masalah teknikal. Tiada kecederaan dilaporkan.

Kisah helikopter Nuri yang reda seketika selepas kerajaan membatalkan pembelian helikopter baru bagi menggantikan Nuri kini kembali menagih perhatian umum. Kali ini Nuri tidak menarik perhatian kita dengan tragedi ia terhempas tetapi hanya mendarat cemas.

Sekali lagi saya sebagai rakyat Malaysia merayu kepada kerajaan supaya mengeluarkan peruntukan segera untuk menggantikan helikopter Nuri dengan pesawat yang baru. Kebajikan tentera udara juga perlu di jaga. Jangan hanya bersungguh-sungguh hendak menggantikannya dengan yang baru apabila berlaku sekali lagi tragedi yang meragut nyawa anggota TUDM.

Kementerian Pertahanan di bawah teraju Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu memainkan peranan segera supaya tragedi yang boleh dielakkan ini tidak kembali melakar sejarah hitam kepada negara dan TUDM.

Saya rasa Kementerian Pertahanan boleh menggunakan dana yang diperuntukan untuk menggantikan pesawat pejuang MiG-29N yang suatu ketika ingin digantikan dengan pesawat lain yang lebih murah penyelenggaraannya, sedangkan negara Vietnam memiliki lebih banyak MiG-29N berbanding kita Malaysia. Dana tersebut boleh digunakan untuk menggantikan Nuri dengan pesawat yang baru. Sekiranya peruntukkan itu masih ada.

Ini hanyalah harapan dan coretan daripada rakyat biasa. Saya tidak mahu suatu hari nanti helikopter Nuri terhempas di atas bumbung rumah saya.

Ahad, Mac 14, 2010

Kisah orang tak sedar diri..

Salam.. Salam Sejahtera..

Ini kisah seorang manusia yang tak sedar diri..
dulu terlibat dalam reformasi..
kerap sangat berdemonstrasi..
sampai ganggu perjalanan ekonomi..

Gemar mengkritik segala yang diberi..
asyik maki pemerintah ikut suka hati..
semua pemimpin di maki-maki..
memberi gelaran ikut amarah dan iri hati..

Tidak ada perasaan terima kasih kepada pengampunan yang di beri..
dulu dia pernah di buang negeri..
ketawa berdekah-dekah tidak mencermin usia diri..
memberi contoh hina kepada generasi muda negara ini..

Gaya penulisan tidak mencerminkan kematangan..
usia dah lanjut asyik dengan khayalan..
semua usaha kerajaan jadi bahan kritikan..
usaha yang murni jadi sindiran..

Hanya mengkritik kerajaan gerombolan..
tapi tidak kerajaan pakatan..
jelas dia seorang yang tidak siuman..
mungkin tercari-cari pedoman..

Bukan menghina, bukan mencaci..
hanya sekadar berkongsi pendapat di sini..
jika tujuan baik dan hasrat kerajaan itu murni..
mengapa tidak kita dihargai?

Jadilah seorang yang berfikiran rasional..
ketepikan dahulu perasaan emosional..

Hubungan Dingin : Salah siapa???

Salam.. Salam Sejahtera..

Petang tadi ada perjumpaan atau sesi dialog di antara anak-anak negeri Johor bersama dengan Setiausaha Politik Menteri Pelajaran Malaysia iaitu Ustaz Syahrin Md. Jamaludin.

Alhamdulillah sesi yang berlangsung itu cukup ceria dan bebas melontarkan persoalan dan saranan.

Perkara yang cukup menarik dilontarkan ialah hubungan anak negeri Johor dengan kerajaan negeri cukup dingin. Ya memang dingin. Kenapa? Entahlah..

Kedinginan itu mungkin akan berubah seiring dengan perubahan pucuk pimpinan di negeri Johor itu sendiri. InsyaAllah hubungan mesra akan terjalin kembali di antara anak-anak Johor dengan kerajaan negeri Johor.

Mungkin anak-anak Johor diperantauan boleh mengundang baginda Sultan Johor yang baru untuk mencemar duli di dalam program-program yang bakal dilakukan pada sidang hadapan. Dan saya yakin dengan kehadiran baginda Sultan ini sudah tentu akan turut membawa rombongan kerajaan negeri yang begitu besar.

Siapakah yang dingin sebenarnya? Mungkin dalam perhubungan salah satu pihak perlu memanaskan keadaan supaya hubungan tidak menjadi dingin. Tapi itu umpama bertepuk sebelah tangan pula.

Sabtu, Mac 13, 2010

Jangan nafi hak Melayu bersatu..

Salam.. Salam Sejahtera..

Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan atau Non-Governmental Organization (NGO) yang bersifat perkauman seharusnya tidak dibenarkan wujud kerana tidak seiring dengan gagasan 1 Malaysia Perdana Menteri YAB. Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Inilah di antara kata-kata daripada beberapa pihak sama ada daripada rakan saya mahupun pihak-pihak yang tidak suka melihat orang Melayu bersatu di bawah sebuah pertubuhan.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia atau Perkasa adalah merupakan sebuah NGO yang cukup popular dan mendapat sambutan hangat daripada banyak pihak khasnya golongan muda hari ini. Perkasa sebuah NGO yang berjuang demi agama, bangsa dan tanah air. Perkasa diterajui oleh YB. Ibrahim Ali yang juga Ahli Parlimen (Bebas) Pasir Mas, Kelantan.

Kita pernah mendengar beberapa pihak berasa tidak senang dengan bersatunya orang Melayu di dalam sesebuah pertubuhan. Kita abaikan dahulu UMNO dan Pas kerana kedua-dua pertubuhan ini berideologikan perjuangan politik yang telah termaktub di dalam perjuangan hakiki mereka.

Rakan saya mengutarakan beberapa pandangan yang mengatakan bahawa NGO Melayu seperti Perkasa itu berbau perkauman. Saya hanya menjawab bahawa selama ini orang Melayu tidak pernah mempertikai NGO-NGO yang berasaskan kepada kaum-kaum tertentu di negara ini, jadi mengapa mereka perlu gentar dengan kewujudan NGO-NGO Melayu?

Dimanakah untuk kita melihat bahawa adanya orang Melayu yang berjuang untuk membela nasih kaum-kaum lain? Ada tapi agak sukar kerana mungkin ada kepentingan tertentu.

UMNO parti yang berjuang demi orang Melayu-Islam, MCA berjuang untuk orang Cina, MIC berjuang untuk orang India, PBB untuk bumiputera Sarawak, dan terdapat beberapa lagi parti komponen Barisan Nasional. Inilah contoh terbaik yang saya hujahkan kepada rakan saya itu.

Sememangnya UMNO berjuang untuk Melayu dan begitu juga dengan MCA, MIC dan sebagainya untuk kaum masing-masing. Tetapi harus di ingat bahawa mereka ini bergabung di bawah satu bumbung iaitu Barisan Nasional bagi memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing.

Jika wujud satu parti yang berbilang kaum sudah tentu ia akan turut mewujudkan beberapa biro untuk bertanggungjawab terhadap kaum-kaum tertentu. Barisan Nasional wujud sebagai satu wadah memperjuangkan nasib kesemua kaum di negara ini. Kesemua parti komponen berhak bersuara di dalam Barisan Nasional.

Apa yang diamalkan oleh Barisan Nasional inilah yang telah berjaya menjadikan ia sebagai sebuah parti pemerintah yang berjaya mentadbir negara dengan begitu lama. Parti-parti pembangkang suatu ketika pernah cuba meniru konsep Barisan Nasional ini dengan menubuhkan Barisan Alternatif, akan tetapi cubaan itu gagal. Kini mereka kembali dengan sebuah pakatan iaitu Pakatan Rakyat. Nampaknya pakatan ini mendapat sambutan daripada rakyat Malaysia. - kini sokongan semakin terhakis.

Wajar atau tidak NGO-NGO Melayu diwujudkan? Jawapannya sudah tentulah wajar. Sebuah pertubuhan bukan Melayu boleh menyuarakan bantahan kepada kerajaan apabila kerajaan ingin mewujudkan Sekolah Wawasan suatu ketika dahulu dan pertubuhan bukan Melayu itu berjuang demi mempertahankan bahasa ibunda mereka.

Mengapa kini apabila orang Melayu bercakap sesuatu mengenai bangsanya sendiri maka itu akan di label sebagai perkauman? Keris di hunus seumpama melancarkan perang kepada bukan Melayu dan dengan tidak bijak ada pula pihak yang menjadi batu api dalam perkara tersebut dan telah menyebabkan si penghunus keris itu terpaksa memohon maaf kerana salah faham yang jelas menunjukkan kejatuhan maruah yang cukup memalukan.

Saya agak gentar untuk menulis mengenai Melayu kerana tidak mahu di gelar sebagai memiliki sikap perkauman yang menebal. Biarlah mereka yang bukan Melayu bercakap mengenai bangsa mereka kerana itu bukanlah sesuatu yang berkaitan dengan perkauman. Biarlah mereka menghina Melayu kerana mereka adalah minoriti yang memang boleh diberikan hak untuk menghina majoriti. Adakah ini benar??? Tepuk dada tanyalah hati...

Isnin, Mac 08, 2010

Ulama Politik = Sekular? Cakap tak serupa bikin..

Salam.. Salam Sejahtera..

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam, menyifatkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, kini lebih layak digelar sebagai ejen Umno, bukannya seorang mufti.

Beliau berkata, kemuliaan Harussani sebagai mufti kini sudah hilang, apabila didapati terus terbabit dengan politik dengan berjubahkan seorang mufti.

"Jika mufti (Harussani) sendiri sanggup turun melaksanakan urusan berkaitan politik, ertinya beliau beranggapan tugasnya sebagai mufti juga meliputi tugas politik. Adakah bagi beliau, politik dan agama mesti selari, tidak boleh berpisah?

"Dalam kes ini, beliau (Harussani) sudah menjadi ejen Umno dan hilang kemuliaan seorang mufti kalau merelakan diri menjadi ejen, apatah lagi menjadi ejen sebuah parti politik sekular," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi akhbar dalam talian pembangkang itu. - Berita Harian (klik)

Secara peribadi saya berpendapat apa yang dilakukan oleh Mufti Perak iaitu Tan Sri Harussani Zakaria itu adalah tepat seperti mana yang dilaung-laungkan oleh pihak yang mengatakan bahawa agama Islam dan politik itu tidak boleh dipisahkan.

Tan Sri Harussani adalah merupakan seorang Mufti yang paling lama berkhidmat. Jangan hanya sesuatu yang tidak menyebelahi kita maka kita mengambil keputusan menghina beliau.

Secara peribadi juga saya melihat tindakan yang dilakukan oleh Tan Sri Harussani itu bukanlah sebagai satu campur tangan tetapi sebagai nasihat dan cadangan daripada seorang ulama. Adakah dengan hanya memberikan nasihat dan pandangan maka itu boleh dikatakan sebagai menjadi agen kepada UMNO? Sungguh tidak bijak pendapat yang dikeluarkan itu.

Saya sendiri sudah mendengar kisah mengenai cadangan penubuhan kerajaan negeri Perak di antara BN/UMNO dengan Pas selepas pilihanraya umum ke-12 lalu. Cuma cerita tersebut tidak diceritakan sendiri oleh 'tuan badan' itu sendiri kepada umum.

Nampaknya kebenaran itu sesuatu yang pahit untuk di terima oleh ulama di sebelah sana. Pekung semakin terbuka luas di pihak mereka yang mempermain-mainkan agama.

Bilionair vs Sengkek...

Salam.. Salam Sejahtera..

Bulan lepas, majalah Malaysian Business telah mengeluarkan senarai 40 Manusia Terkaya di Malaysia.

Di bawah ini pula adalah senarai mereka yang menduduki kedudukan 10 teratas dalam kalangan 40 Manusia Terkaya di Malaysia.
  1. Tan Sri Robert Kuok Huok Nien
  2. Tan Sri T. Ananda Krishnan
  3. Tan Sri Lee Shin Cheng
  4. Tan Sri Teh Hong Piow
  5. Tan Sri Lim Kok Thay
  6. Tan Sri Quek Leng Chan
  7. Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
  8. Puan Sri Lee Kim Hua
  9. Tan Sri Tiong Hiew King
  10. Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun
Untuk tahun 2010 ini sahaja, jumlah keseluruhan kekayaan 40 individu di Malaysia adalah berjumlah sebanyak RM156.7 bilion. Jumlah kekayaan itu termasuklah jumlah aset dan saham di dalam syarikat-syarikat.

Sebagai rakyat Malaysia kita perlu berbangga kerana di dalam kegawatan ekonomi yang melanda dunia, mereka masih mampu mengumpul kekayaan di samping melonjakkan kedudukkan di tempat yang lebih baik. Tahniah kepada mereka.

Kita mungkin berbangga dengan kedudukan seorang Melayu-Arab dan Islam yang berada pada kedudukan ketujuh itu. Tetapi adalah lebih membanggakan jika sekiranya lebih ramai seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary berada di dalam kedudukan 10 teratas.

Dominasi oleh mereka yang bukan Melayu secara tidak langsung telah membuktikan bahawa mereka tidak di tindas atau di halang untuk mengumpul kekayaan oleh penduduk majoriti di dalam negara ini.

Sama ada kita sedar ataupun tidak, kita hanya berbangga dengan kekayaan mereka yang berjumlah begitu besar sehingga kita sendiri hanya mampu bermimpi untuk berada pada kedudukan mereka yang berstatus bilionair itu.

Adakah kita sedar bahawa masih ada dalam kalangan rakyat negara ini yang merempat di jalanan kerana tiada rumah? Sedarkah kita kerana masih ada rakyat negara ini sedang kelaparan?

Pihak-pihak tertentu hanya berbangga dengan kedudukan untuk mereka menambah kekayaan sahaja, tetapi mengabaikan tanggungjawab sosial. Jawapan yang kerap diberikan ialah itu semua tanggungjawab pihak kerajaan.

Semalam saya berbual dengan seorang kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bersama-sama dengan saya di dalam "Bengkel Penggubalan Parlimen Mahasiswa" di Pulau Pinang. Beliau mengatakan bahawa tugas-tugas yang saya nyatakan itu sememangnya tugas JKM. Nama jabatan pun "Kebajikan", mestilah membantu masyarakat.

Saya mengusulkan satu idea kepada rakan saya daripada JKM itu mengenai bantuan kewangan yang sepatutnya digunakan oleh mereka yang tidak berkemampuan untuk memulakan hidup baru bagi keluar daripada kemiskinan. Beliau mengatakan dengan penuh hampa kerana ada bantuan kewangan yang diberikan oleh JKM kepada penerima untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan telah digunakan oleh penerima untuk membeli motosikal baru.

Ada juga penerima bantuan JKM yang menerima bantuan setiap bulan sebanyak RM300 tidak mahu bekerja kerana menunggu bantuan bulanan daripada JKM setiap bulan. Sekiranya yang menerima RM300 sebulan itu adalah mereka yang sudah tidak berkemampuan untuk bekerja itu sememangnya adalah rasional, tetapi jika kudrat masih ada dan si penerima pula malas untuk bekerja dan hanya mengharapkan bantuan, pada saya ia perlu dihentikan.

Di tempat saya sendiri ada juga beberapa individu yang mengisi borang bantuan JKM dan tidak jujur dalam meminta bantuan tersebut. Saya mengetahui perkara ini daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai. Sebagai contoh ada dalam kalangan mereka yang mengisi borang bantuan tersebut dan menggunakan status "JANDA" untuk mendapatkan bantuan, sedangkan suaminya masih sihat dan tinggal serumah. Dahsyat sungguh penanggan 'duit' ini kerana telah mengaburkan pandangan manusia untuk menjadi jujur.

Peranan membasmi kemiskinan sememangnya menjadi tugas kerajaan, akan tetapi pihak-pihak korporat dan manusia-manusia terkaya ini juga perlu memainkan peranan yang lebih untuk memastikan mereka yang tidak berkemampuan akan turut mampu mengecapi kebahagiaan.

Pihak-pihak yang diberikan amanah oleh kerajaan juga perlu amanah supaya mereka yang sewajarnya mendapat bantuan akan menerima bantuan yang sewajarnya.

Saya berpegang kepada prinsip bahawa ideologi politik perlu diketepikan dalam membasmi kemiskinan, kerana kemiskinan tidak pernah mengenali ideologi politik.

Ahad, Mac 07, 2010

Bengkel Penggubalan Parlimen Mahasiswa

Salam.. Salam Sejahtera..

Badan kini terlalu letih, kepala semakin pening, mata semakin layu, tekak semakin perit, suara semakin kurang rajinnya untuk keluar. Mengapa? Adakah sebab cuaca yang panas? Adakah sebab badan yang tidak kuat menempuh dugaan? Mungkin letih jawapan yang tepat, atau tugasan ada yang belum siap?

Sabtu dan Ahad (6-7 Mac 2010), telah diadakan Bengkel Penggubalan Parlimen Mahasiswa di Hotel Hydro Majestic, Batu Ferringhi, Pulau Pinang.

Program yang bermula pada hari Sabtu jam 9.00 pagi itu telah dimulakan dengan sesi taklimat daripada Timbalan Naib Canselor (HEPP). Seterusnya pada jam 10.30 pagi adalah pembentangan mengenai "Parlimen Malaysia Sebagai Satu Model" daripada bekas Setiausaha Parlimen Malaysia. Akhir sekali ialah pembentangan mengenai perkara "Kebebasan Pelajar" yang disampaikan oleh Pakar Perlembagaan iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi.

Pada mulanya saya berasa amat 'menyesal' kerana terlibat dengan program tersebut, kerana saya tidak berapa menggemari aktiviti seperti di dalam program-program motivasi dan sebagainya. Akan tetapi kesemuanya itu meleset apabila setiap peserta yang terdiri daripada Yang Di Pertua (YDP) atau wakil-wakil Kelab, Persatuan, Anak-Anak Negeri, dan sebagainya telah dibahagi-bahagikan kepada lapan kumpulan yang berbeza.

Tujuan pembahagian kumpulan itu adalah untuk memberikan setiap kumpulan tugas yang berbeza untuk merangka draf cadangan Parlimen Mahasiswa. Setiap kumpulan berhak sepenuhnya merangka atau menggubal perkara tersebut berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Dengan jadual yang agak padat, setiap kumpulan diberikan lima slot untuk melaksanakan tugasan yang di beri. Pada hari pertama (hari Sabtu), slot pertama bermula pada jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 5.30 petang. Kemudian perbincangan bersambung pada slot kedua yang bermula pada jam 9.00 malam dan berakhir jam 12.00 malam.

Slot ketiga, keempat, dan kelima bermula pada jam 9.00 pagi sehingga 12.30 tengahari, hari Ahad. Pada jam 2.30 petang sehingga jam 5.00 petang pula adalah sesi pembentangan daripada kesemua kumpulan.

Sesuatu yang menarik di sini ialah saya satu kumpulan dengan Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), dan kumpulan kami yang mempunyai ahli seramai sembilan orang ini (sepatutnya 10 orang, Aziz mana?) diberi tanggungjawab untuk menyatakan urusan perlantikan Speaker, Timbalan Speaker, bidang kuasa Speaker dan Timbalan Speaker, bidang kuasa Setiausaha Dewan, dan sebagainya. Oleh sebab Setiausaha Agung MPP satu kumpulan dengan kami maka tiada masalah untuk beliau menyenaraikan bidang kuasa yang diperuntukan kepadanya.

Di antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai Parlimen Mahasiswa itu sendiri, perjalanan Parlimen, perkara-perkara berkaitan dengan usul yang ingin dibincangkan di dalam dewan, peraturan-peraturan dewan Parlimen, tingkahlaku ahli dewan, dan banyak lagi.

Seperti yang diperkatakan oleh rakan saya, bengkel tersebut adalah medan terbaik untuk mendengar pendapat dan idea daripada para mahasiswa dan mahasiswi itu sendiri. Hal ini bermakna keputusan yang di buat pada bengkel tersebut adalah untuk kepentingan mahasiswa dan mahasiswi dalam menyuarakan pendapat dan saranan.

Sama ada idea, pendapat, saranan, atau buah fikiran yang dilontarkan itu akan di terima ataupun tidak itu bukanlah perkara utama di sini, tetapi yang penting ialah pihak tertinggi universiti sudah mendengar pendapat dan idea daripada peserta bengkel tersebut.

Timbalan Naib Canselor sendiri berasa gembira dengan apa yang dilontarkan oleh peserta bengkel yang memerah otak mencari idea dan membaca buku undang-undang Peraturan Dewan Rakyat. Nampaknya suara mahasiswa dan mahasiswi akan semakin didengari oleh pihak atasan universiti dengan adanya Parlimen Mahasiswa.

Terima kasih dan tahniah kepada ahli-ahli kumpulan yang sama-sama memerah otak mendapatkan idea-idea bernas.

Terima kasih juga kepada YDP Ikatan Mahasiswa/i Johor, saudara Mohd Fithri Jemari kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk mewakili IKMAR di dalam bengkel tersebut, walaupun saya hanya insan kerdil di dalam IKMAR.

*Parlimen Mahasiswa = Dewan Perundingan Pelajar.

**Terasa seperti Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan..

Sabtu, Mac 06, 2010

YB. Zulkifli Noordin 'keluar' PKR...

Salam.. Salam Sejahtera..

Akhirnya Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Yang Berhormat Zulkifli Noordin telah 'terkeluar' daripada Parti Keadilan Rakyat.

Nampaknya beliau tidak sempat untuk membuat pengumuman keluar secara sukarela daripada PKR.

Saya tertarik dengan laporan media yang melaporkan bahawa YB. Zulkifli Noordin di pecat dan beliau perlu meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen.

Pada saya beliau tidak perlu meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen kerana rakyat atau pengundi yang memilih beliau dan bukannya parti untuk berada di Parlimen.

Perlu di ingat di sini bahawa 'arahan' yang dikeluarkan untuk YB. Zulkifli meletak jawatan itu tidak akan berlaku seperti mana yang terjadi kepada Ahli Dewan Undangan Kawasan Penanti sebelum ini.

Selamat menjadi Ahli Parlimen Bebas YB. Zul...

Jumaat, Mac 05, 2010

Ooohhh Pendidik.. Cikgu.. Guru..

Salam.. Salam Sejahtera..

Dahulu status seorang guru yang kadangkala di gelar cikgu agak tinggi di pandang masyarakat. Dahulu seorang cikgu amat dihormati oleh anak-anak muridnya. Dahulu juga seorang cikgu itu akan dihormati bukan sahaja muridnya malahan ibu bapa murid tersebut, tidak terkecuali masyarakat.

Kini kesemua itu seakan-akan layu dan lesu. Kini juga kesemua itu semakin jauh mungkin di bawa arus peredaran zaman. Dimanakah silapnya?

Saya tidak mahu menspesifikasikan apa yang bakal saya coretkan di sini, tetapi saya berasa terpanggil apabila seorang pelajar perempuan dan seorang pelajar lelaki yang saya tidak kenali apatah lagi saya tidak pasti sama ada pernah bersua muka dengannya atau tidak telah mengadu masalah kepada saya melalui Facebook mengenai masalah di sekolah tempat mereka mencari ilmu. Apakah masalah itu?

Soalan pertama yang diajukan kepada saya oleh pelajar tersebut ialah, "macam mana abang boleh tahan belajar di tingkatan ___ sekolah tu........?". Maaf saya tidak boleh menyatakan nama sekolah tersebut kerana ia akan menyebabkan saya menerima email berunsur tidak puas hati daripada mereka yang 'makan cili' dan 'makan belacan'.

Pada mulanya saya beranggapan soalan itu mungkin hanya sebagai 'perangkap' sahaja. Tetapi pada saya jika soalan yang bersifat perangkap itu hanya untuk mengetahui sama saya telah 'insaf' daripada 'berkonflik' dengan pihak-pihak tertentu, maka jawapan saya adalah TIDAK. Konflik tetap konflik selagi tiada proses untuk keluar daripada konflik tersebut.

Jawapan saya terhadap dua orang pelajar itu ialah, "ambillah ilmu di tempat itu dan abaikan segala yang tidak disukai. Tumpukan perhatian terhadap apa yang diniatkan di hati iaitu ke sekolah untuk mendapatkan ilmu. Sekiranya mereka mengatakan bahawa tidak akan menghalalkan ilmu yang di beri, jawablah itu bermakna gaji yang mereka perolehi juga tidak halal...". Inilah jawapan yang saya berikan. Saya tidak pasti sama ada jawapan saya ini adalah jawapan yang rasional atau pun emosional. Saya yakin masih ada lagi jawapan yang lebih rasional daripada ini.

Saya kerap mendapatkan pandangan dan nasihat daripada seorang Profesor di Batu Pahat. Beliau mengatakan bahawa kita kena menghormati cikgu kerana kita tidak tahu dalam kalangan cikgu itu siapakah yang berstatus guru.

Saya akui bahawa dahulu saya juga kerap 'berkonfrontasi' dengan segelintir pengajar di sekolah. Saya menggunakan status "pengajar" kerana tidak sesuai untuk saya mencemarkan status mulia seorang "cikgu" apatah lagi "guru" di sini. Setiap konfrontasi mahupun konflik yang berlaku pasti ada sebab. Dimanakah akar kepada konflik tersebut?

Akarnya adalah kedua-dua pihak yang bertelagah iaitu seorang yang berstatus pelajar dan sebelah pihak lagi yang berstatus pengajar berasa terhina dengan tindakan yang dilakukan di antara satu sama lain.

Saya teringat kata-kata daripada seorang guru di sekolah saya dahulu. Hari ini semakin ramai orang yang hendak menjadi cikgu, sehinggakan mereka tidak tahu apatah yang sewajarnya mereka perlu ketahui untuk menjadi warga pendidik itu. Sebab itulah hari ini terdapat segelintir golongan itu yang berlumba-lumba menukar kereta baru. Saya menulis berdasarkan apa yang diperkatakan oleh beberapa warga pendidik.

Wajarkah seorang yang berstatus pendidik ini menggelar anak didiknya sebagai "SAMPAH"? Pada saya jika pelajar itu di gelar sebagai sampah, maka sekolah tempat mereka menuntut ilmu itu adalah "tong sampah", dan warga pendidik yang mendidik 'sampah-sampah' ini pula sama juga seperti pekerja yang mengangkut sampah. Maaflah jika ada yang terasa.

Masih segar dalam ingatan saya semasa saya berada di dalam tingkatan enam, ada seorang hamba Allah yang saya tidak berminat menggelar beliau sebagai guru telah menggelar kami semua pelajar tingkatan enam sebagai 'HAMPAS' yang tidak dapat belajar di universiti. HAMPAS tu lebih kurang macam serpihan-serpihan, saki-baki, dan apa-apa yang patutlah. Saya melenting apabila mendengar kata-kata tersebut dan telah mengadu kepada pihak tertinggi di sekolah tersebut. Wajarkah penghinaan tersebut dilakukan?

Saya sebenarnya telah melupakan konflik yang pernah saya alami di sekolah itu. Tetapi nampaknya kisah itu muncul kembali di dalam fikiran saya selepas dua orang pelajar mengadu masalah yang sama seperti yang saya dan rakan-rakan alami dahulu.

Mengikut teori yang pernah diperkatakan oleh rakan saya, jika sesetengah produk itu dikeluarkan dengan terlalu banyak maka sudah tentu produk itu tidak mempunyai kualiti yang baik.

Keluar parti..tak pelik ke???

Salam.. Salam Sejahtera..

Sejak kebelakangan ini saya cukup tertarik dengan sindrom keluar parti oleh wakil-wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Satu persatu Ahli Parlimen PKR keluar daripada parti bermula dengan Ahli Parlimen Bayan Baru, kemudian Nibong Tebal dan yang terkini pula Bagan Serai.

Terdapat juga khabar yang mungkin itu saya boleh label sebagai khabar angin yang mengatakan bahawa Ahli Parlimen Batu iaitu YB. Tian Chua juga akan keluar daripada PKR dan menjadi wakil rakyat bebas. Khabar ini cukup menarik pada saya kerana YB. Tian Chua adalah 'orang kuat' yang menyokong Ketua Umum atau Penasihat PKR. Sungguh pelik jika beliau pula yang keluar daripada PKR.

Desas desus yang sama turut kedengaran terhadap Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, iaitu YB. Zulkifli Noordin. Pada saya YB. Zul ini sewajarnya keluar daripada PKR. Saya menghormati pendirian dan keberanian YB. Zul kerana beliau bertindak rasional dalam setiap apa yang berlaku dan pandangan-pandangan serta kritikan beliau juga boleh di terima.

Jika semakin ramai Ahli Parlimen atau wakil-wakil rakyat PKR keluar daripada parti, saya beranggapan seperti ada yang tidak kena di dalam senario politik negara khasnya dan senario politik PKR amnya.

Adakah tidak pelik apabila seorang demi seorang wakil rakyat PKR keluar parti? Apakah helah mereka sebenarnya? Adakah ini hanya sekadar sandiwara?

Alasan yang diberikan, pada saya sebenarnya tidak berapa kukuh. Walau apa pun itu adalah hak mereka.

Alasan PKR adalah mereka tersalah pilih calon. Alasan yang paling sesuai pada saya pula ialah wakil-wakil rakyat yang menang semasa pilihanraya umum lalu sebenarnya telah tersalah pilih parti yang sewajarnya mereka wakili. Pengundi juga tersalah pilih calon dan parti sebenarnya.

*Menantikan keputusan rasional daripada YB. Zulkifli Noordin.

Selasa, Mac 02, 2010

peMUDA tegur peTUA..

Salam.. Salam Sejahtera..

Saya sebenarnya tertarik dengan kenyataan daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai perkara yang dituturkannya berkenaan 'Jakun'.

Saya akui saya bukanlah insan yang paling sesuai mengulas mengenainya di sini. Oleh itu saya serahkan kepada sahabat saya untuk menasihatkan pemimpin tersebut.

Di dalam perkara ini anggaplah penulis itu 'sama taraf' dengan tuan guru atau ulama itu. 'Sama taraf' sebagai manusia. Klik di sini.

Isnin, Mac 01, 2010

Keluarlah dari situ.. Jadilah Bebas berpendirian..

Salam.. Salam Sejahtera..

Sindrom keluar parti yang dialami oleh Parti Keadilan Rakyat semakin menular dan nampaknya semakin sukar di kekang oleh pemimpin atasan parti.

Jika sebelum ini kita dapat melihat beberapa pemimpin PKR yang berstatus Yang Berhormat (YB) seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering dan Behrang keluar daripada PKR serta menjadi wakil rakyat Bebas dan 'mesra' kepada Barisan Nasional.

Kemudian kita disajikan dengan berita yang berkenaan dengan keluarnya beberapa 'orang kuat' PKR. 'Orang kuat' itu boleh jadi orang yang pernah suatu ketika rapat dengan pemimpin PKR itu sendiri. Contohnya Saudara Ezam Mohd Noor dan beberapa orang lagi.

Semalam 28 Februari 2010, Saudara Fairus Khairuddin yang juga mantan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang mengumumkan keluar daripada PKR dan menyertai UMNO dan Barisan Nasional. Fairus juga merupakan bekas ADUN Penanti yang 'terpaksa' berkorban demi PKR atas arahan pucuk pimpinan parti. Menariknya di sini ialah pengumuman keluar PKR itu dilakukan di dalam majlis perjumpaan kepimpinan tertinggi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM).

Sebelum itu juga kita turut melihat seorang pemimpin yang berpengalaman iaitu Ahli Parlimen Bayan Lepas YB. Datuk Seri Zahrain Mohamaed Hashim turut keluar PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Hari ini 1 Mac 2010, seorang lagi pemimpin PKR iaitu YB. Tan Tee Beng yang juga merupakan Ahli Parlimen Nibong Tebal mengumumkan keluar PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas. Nampaknya jangkaan awal yang di buat oleh ayahanda saya ketika berbincang mengenai perkara ini sudah menjadi kenyataan.

Mungkin selepas ini akan ada lagi wakil rakyat yang berstatus Ahli Parlimen daripada PKR akan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas. Nampaknya 'kelab' Wakil Rakyat Bebas yang diperkatakan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Paduka Ibrahim Ali mungkin boleh menjadi kenyataan. Biarlah orang melabel yang Bebas ini sebagai 'Katak', asalkan mempunyai pendirian dan asas perjuangan yang kental tidak seperti lalang.

Tiada keBebasan mutlak..

Fairuz tak sambung belajar, masuk UMNO pula..

Salam.. Salam Sejahtera..

Dalam suasana yang sedang panas kerana perlu menyiapkan tugasan, saya perlu menjengah seketika ke dalam blog ini di samping mencatat beberapa isu yang terkini dan terkejut jika perlu.

Lebih kurang pukul 11 malam tadi saya mendapat berita melalui mesej pesanan ringkas yang mengatakan bahawa bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang iaitu Fairuz Khairuddin telah keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO.

Fairuz Khairuddin sebelum ini juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Penanti meletak jawatan sebagai ADUN bagi memberi peluang kepada Mansor Othman untuk bertanding kerusi DUN Penanti dan seterusnya menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Alasan Fairuz meletak jawatan sebagai TKM dan ADUN sebelum ini dikatakan untuk menyambung pelajaran. Alasan yang diberikan pada saya cukup 'rasional' kerana disebabkan inginkan ilmu maka perlu meletakkan jawatan sebagai TKM dan ADUN serta diadakan pilihanraya kecil yang menyebabkan perbelanjaan yang banyak. Alasan yang di reka oleh pihak-pihak tertentu sebenarnya.

Di dalam beberapa blog ada menyatakan bahawa hubungan YAB. Ketua Menteri dengan Fairuz sebelum ini tidak mesra dan sukar untuk mengemudi kerajaan negeri. Walau apa pun itu hanya Tuhan dan mereka sahaja yang tahu.

Mungkin disebabkan itulah maka Fairuz telah di minta oleh 'Bos Besarnya' di dalam parti untuk berundur dan disediakan alasan yang 'ilmiah' iaitu berhenti untuk sambung belajar. Fairuz mungkin telah di 'kunci' mulutnya daripada berkata benar.

Mungkin selepas ini Fairuz akan bercakap benar mengenai apa yang berlaku. Sebab sebelum ini saya melihat beliau kerap 'sorong dan tarik' mengenai apa yang beliau ingin katakan. Mungkin kerana di beri amaran oleh pihak-pihak tertentu.

Pada saya Fairuz seorang yang taat kepada pemimpin. Taat kerana beliau patuh kepada arahan pemimpinnya sendiri. Jika tidak taat sudah tentu beliau tidak akan meletak jawatan sebagai ADUN.

Secara peribadi saya melihat kemasukan Fairuz ke dalam UMNO sebenarnya tidak mendatangkan faedah yang besar kepada UMNO kerana beliau bukanlah seorang ADUN. Beliau masuk ke dalam UMNO hanya sebagai orang biasa sama seperti mereka yang masuk UMNO dan masuk ke dalam akhbar utama. Tetapi jangan di lupa akan pengaruh beliau yang pernah menjadi TKM Pulau Pinang.

Bayangkanlah jika beliau kini masih seorang ADUN dan masuk ke dalam UMNO, sudah tentu akan ada suara-suara yang melaungkan 'demokrasi itu kemenangan untuk kita sahaja' akan berdemonstrasi dan meminta beliau meletak jawatan sebagai ADUN. Seterusnya di label sebagai mengkhianati amanah pengundi pula.

Nampaknya politik itu sukar untuk di duga. Kadangkala tidak sukar untuk di duga.

Hak semakin menenggelamkan kebathilan. Kebenaran pasti akan muncul.

Kepimpinan Melalui Tauladan.

Contohilah kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz yang sebenar dan bukan hanya sekadar retorik.

Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah di gelar sebagai MahaFiraun, kini dalam kelompok di sebelah sana ada juga Firaun. Firaun Kecil dan Firaun Besar.