Followers

Khamis, Februari 25, 2010

Salam Maulidur Rasul..

Salam.. Salam Sejahtera..

video

Saya bukanlah insan yang paling layak untuk bercerita mengenai kisah Rasulullah S.A.W. di sini.

Sempena ulang tahun kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. kita perlu muhasabah diri dengan perjuangan Rasulullah S.A.W. (setiap masa perlu muhasabah diri).

Seorang yang arif mengenai agama berkata kepada saya, "Syukri.. Rasulullah dulu tak sambut ulang tahun kelahiran baginda dengan berarak beramai-ramai bagi menyambut ulang tahun kelahiran baginda sendiri, apatah lagi meniup lilin di atas kek..".

Kini ramai dalam kalangan kita mengingati 12 Rabiulawal sebagai tarikh cuti umum. Seperti kata rakan saya, "Ramai orang akan menyambut Maulud Nabi di dalam pusat-pusat membeli-belah, panggung wayang, dan tepi pantai sebab cuti umum...disitulah mereka akan berarak beramai-ramai..". Pada saya itu adalah hak mereka.

Pokok pangkalnya adalah hati kita sendiri. Apa guna berarak beramai-ramai jika perjuangan Rasulullah S.A.W tidak dihayati. Apa guna jika hanya mahu menunjuk-nunjuk? Apa-apa pun kembali kepada niat sebenar. Hanya Allah S.W.T yang layak menilai keikhlasan seseorang.

Rasulullah dalam mengenangmu
Kami susuli lembaran sirahmu
Pahit getir pengorbananmu
Membawa cahaya kebenaran

Engkau taburkan pengorbananmu
Untuk umatmu yang tercinta
Biar terpaksa tempuh derita
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

Tak tergambar tinggi pekertimu
Tidak terbalas indahnya akhlakmu
Tidak terbalas segala jasamu
Sesungguhnya engkau Rasul mulia

Tabahnya hatimu menempuh dugaan
Mengajar erti kesabaran
Menjulang panji kemenangan
Terukir namamu di dalam Al-Quran

Rasulullah kami umatmu
Walau tak pernah melihat wajahmu
Kami cuba mengingatimu
Dan kami cuba mengamal sunnahmu

Kami sambung perjuanganmu
Walau kita tak pernah bersua
Tapi kami tak pernah bersua
Allah dan Rasul sebagai pembela

Selasa, Februari 23, 2010

Jawatan PM bukan untuk Melayu sahaja..

Salam.. Salam Sejahtera..

Pada tahun 2000 dan ketika itu saya berada di Tahun 6 sekolah rendah, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan Perdana Menteri telah melakukan lawatan ke Daerah Batu Pahat.

Di dalam lawatan itu beliau ada mengeluarkan kenyataan bahawa tidak ada peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa jawatan Perdana Menteri hanya dikhaskan kepada orang Melayu sahaja. Hal ini bermakna orang bukan Melayu atau Bumiputera juga boleh menjawat jawatan Perdana Menteri.

Secara peribadi saya bersetuju dengan kenyataan Prof. Datuk Shad Saleem Faruqi yang merupakan seorang pakar Perlembagaan dan pensyarah kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengenai perkara ini.

Prof. Datuk Shad Saleem Faruqi turut mengatakan bahawa untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan negara maka orang Melayu perlu dikekalkan pada kedudukan tersebut.

Saya tertarik dengan kenyataan daripada Prof. Dr. Aziz Bari yang terkenal dengan kelantangan beliau dalam membicarakan sesuatu isu. Saya memetik perkara ini di dalam MalaysiaKini yang membawa maksud selepas enam orang Perdana Menteri Melayu di negara ini kepentingan Islam dan Melayu tidak juga terjaga. Saya tidak tahu di bahagian mana kepentingan Islam dan Melayu itu tidak terjaga.

Walau apa pun saya tidak mempunyai masalah jika Perdana Menteri bukan orang Melayu. Saya sebenarnya tidak boleh menentang perkara ini kerana jika saya menentang orang bukan Melayu daripada menjadi Perdana Menteri maka saya akan di gelar sebagai bersikap perkauman. Mereka yang bukan Melayu biasanya akan terlepas daripada gelaran itu jika memainkan isu perkauman.

Thaksin Shinawatra adalah orang Cina dan beliau mampu menjadi Perdana Menteri Thailand. Kerana apa? Kerana Thaksin walaupun berketurunan Cina tetapi beliau di lihat lebih Siam daripada orang Siam.

Secara peribadi saya melihat belum tiba masanya untuk orang bukan Melayu menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia. Masanya akan tiba juga suatu ketika nanti.

Isnin, Februari 22, 2010

USM Kampus India

Salam.. Salam Sejahtera..

Pada bulan September 2008, Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta sejarah sebagai universiti awam pertama di pilih sebagai universiti Apex.

Tidak terkecuali juga dengan kemunculan pasukan USM FC dalam arena bola sepak.

Hari ini media melaporkan USM sekali lagi mencipta sejarah sebagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) negara pertama yang bakal membuka kampus di India.

Menurut laporan media, kampus cawangan USM tersebut di buka di Jawaharlal Nehru Medical University di Belgaum yang menawarkan pengajian perubatan.

Jika hari ini kita bangga apabila adanya universiti luar yang membuka cawangan di Malaysia, tetapi kini kita berbangga kerana ada juga universiti tempatan yang mampu membuka cawangan di negara luar.

Semoga USM mampu mencapai matlamat yang disasarkan. InsyaAllah..

*Pembetulan - Naib Canselor USM menjelaskan bahawa USM tidak bercadang membuka kampus di India tetapi hanya menawarkan kursus perubatan di Jawaharlal Nehru Medical University.

Ahad, Februari 21, 2010

Sultan Johor di Kampung Parit Amil (1961)

Salam.. Salam Sejahtera..

Semakin lama semakin malas hendak menulis di sini. Tapi bila difikir-fikirkan sebenarnya bukannya menulis tapi cuma perlu menaip saja. Ala tekan je.. Rajin-rajinlah menaip..

Semasa di rumah ketika sedang menikmati cuti seminggu sempena cuti pertengahan semester dan Tahun Baru Cina, mata saya tertumpu ke arah dinding yang tergantung dua gambar hitam putih.

Gambar hitam putih itu di apit oleh gambar rasmi Almarhum Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar dan Sultanah Johor, Sultanah Hajah Zanariah.

Saya salah seorang manusia yang gemar dengan sejarah dan kisah-kisah lama. Saya bukanlah seperti segelintir manusia yang lebih gemar mencampakkan barang-barang lama ke dalam sungai dan membakar barang-barang antik atau buku-buku lama.

Tanpa yang lama maka tiadalah yang baru. Sejarah akan berulang jika kita tidak belajar mengenainya. Jika yang berulang itu adalah sejarah yang indah, Alhamdulillah. Tetapi jika yang berulang itu sejarah yang hitam bermakna kita tidak belajar daripada kesilapan yang pernah dilakukan.

Apabila memandang gambar ini saya teringat arwah datuk saya. Seorang datuk yang sabar melayan karenah cucunya (saya la tu) yang nakal dan gemar mengusiknya yang selalu termenung sambil berdiri di pintu. Kenangan semasa kecil dulu, kalau tak silap tahun 1992..

Di bawah ini adalah gambar pada tahun 1961. Pada tahun ini saya masih belum lahir dan emak saya dilahirkan pada tahun ini. Bapa saya pula baru masuk darjah satu (1) pada tahun 1961 ini.

Gambar ini di rakam pada tahun 1961 di Kampung Parit Amil, Yong Peng Johor. Di sebelah kiri ialah Almarhum Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail. Ketika itu Almarhum Baginda merupakan Tunku Mahkota Johor. Kehadiran Tunku Mahkota Johor mencemar duli ini adalah untuk merasmikan jalan kampung.

Di sebelah kanan yang memakai baju Melayu itu pula ialah arwah datuk saya, Mokri bin Salleh (ayahanda kepada bonda saya) yang juga merupakan Ketua Kampung Parit Amil ketika itu.


Inilah rumah arwah datuk dan nenek saya di Kampung Parit Amil, Yong Peng. Tak susah untuk mencari rumah ini kerana berada berdekatan simpang tiga Kampung Parit Amil dan Klinik Desa Parit Amil.

Tapi hari ini kalau nak cari rumah ni memang tak jumpalah sebab dah tak ada rumah tinggi ini lagi, yang ada cuma rumah yang rendah sedikit berbanding yang ini. Disinilah kediaman rasmi saya apabila pulang ke Johor.

Saya gagal mendapatkan gambar Sultan Johor yang baru DYMM Sultan Ibrahim ketika baginda sama-sama ayahanda baginda melawat kampung ini.

Khamis, Februari 18, 2010

Komen kepada komen-komen

Salam.. Salam Sejahtera..

Merujuk kepada post saya yang bertajuk "Blog hina Almarhum Sultan Johor" yang bertarik 23 Januari 2010.

Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang memberi komen khasnya kepada mereka yang berbeza pendapat. Berbeza pendapat adalah rakan berfikir yang baik.

Merujuk kepada persoalan yang saya timbulkan di dalam post itu yang berbunyi, "Adakah air jampi tok guru itu ada di dalam Islam?, Adakah wujud jampi serapah di dalam Islam?".

Sebelum itu saya akui bahawa saya bukanlah pelajar sekolah pondok agama dan tidak memiliki ilmu agama yang tinggi melangit sehingga mampu menjanjikan syurga kepada mereka yang berbuat baik terhadap diri saya.

Saya juga tidak mampu mendoakan diri seseorang itu untuk jauh daripada api neraka kerana saya sendiri tidak tahu akan nasib diri sendiri. Apatah lagi mengkafirkan saudara seagama sendiri.

Kenyataan saya di dalam post itu cukup jelas dan terang serta tidak perlu disuluh-suluh lagi.

Wujudkah JAMPI di dalam ISLAM? Saya mempersoalkan perkara tersebut sebagai seorang ISLAM dan bukan sebagai MELAYU.

Jika saya hendak menulis sebagai MELAYU maka saya perlu sertakan beberapa lagi contoh, umpamanya bersumpah demi bumi, langit, api, air, jin, jembalang dan sebagainya. *Cuba ingat baik-baik, siapakah yang pernah mengeluarkan kenyataan seumpama ini dulu...

Saya seorang Islam dan Islam yang ada di dalam diri saya bukan hanya tercatat di dalam kad pengenalan sahaja. Tuduhan yang mengatakan saya merendah-rendahkan ayat-ayat suci Al-Quran adalah tuduhan yang tidak berasas dan tidak bijaksana.

Adakah membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan meniup ke dalam air itu JAMPI? Saya ulang sekali lagi bahawa di dalam ISLAM tiada JAMPI. Saya tidak menulis memBABI buta.

Kalau hendak dikatakan syirik, sebenarnya banyak lagi kata-kata kita yang tanpa kita sedari membawa kepada syirik. Contohnya apabila demam kita akan mencari panadol, apabila demam sudah reda kita akan berkata dengan spontan "panadol ni bagus sebab tu demam aku baik cepat..". Adakah kata-kata ini tidak membawa kepada syirik?

Sebelum menulis berkaitan ini saya sudah merujuk dengan golongan yang arif mengenainya.

Betullah apa yang diperkatakan oleh seorang Profesor di Batu Pahat, "Orang kita sekarang ni susah nak bezakan mana yang hak dan mana yang bathil..".

*Ini baru saya bangkitkan mengenai jampi, belum lagi mengenai tangkal, azimat, ayat Seribu Dinar yang dijadikan syarat 'wajib' di kedai-kedai, dan sebagainya.

**Nak tahu macam mana cara bersumpah yang sebenarnya di dalam Islam.

Raya Cina?

Salam.. Salam Sejahtera..

Dengan keadaan fikiran yang kusut dan hati yang tidak tenang, kelmarin saya berjumpa dengan guru saya di Batu Pahat.

Semasa berbincang meminta pandangan dan nasihat, tiba-tiba saya diajukan satu persoalan yang mungkin boleh di anggap sebagai remeh tetapi sebenarnya tidak.

"Siapa yang bagi raya kepada orang Cina dan India?"

Saya terdiam seketika kerana saya perlu 'bijaksana' menjawab persoalan yang diajukan oleh guru yang berstatus Profesor itu. "Aduuhhh.. soalan remeh yang susah untuk di jawab..", kata-kata yang muncul dari lubuk hati saya.

Kenapa persoalan ini diajukan? Kita kerap mendengar ramai orang yang merujuk Tahun Baru Cina sebagai Raya Cina. Kenapa? Entahlah mungkin sudah menjadi kebiasaan.

Semasa sesi perbincangan itu barulah saya tahu bahawa Hari Raya hanya ada dua (2), iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Siapa yang beri Hari Raya ini? Jawapannya adalah Allah S.W.T.

Pernah beberapa rakan saya merujuk Tahun Baru Cina sebagai Raya Cina, dan dengan spontan saya menyampuk "Raya cuma ada dalam Islam...".

Walau apa pun, jika anda keliru mengenai perkara ini silalah rujuk kepada mereka yang mahir.

*Ini kenyataan daripada orang yang memiliki ilmu agama dan bukannya ulama' agama politik.

Jumaat, Februari 12, 2010

Hari-hari hari kekasih... Selamat Tahun Baru Cina

Salam.. Salam Sejahtera..

Setiap kali menjelang tarikh 14 Februari maka kita akan membaca di dada-dada akhbar mengenai Hari Kekasih.

Selain akhbar, ustaz-ustaz juga turut menyelitkan di dalam siri ceramah mereka mengenai Hari Kekasih.

Tidak ketinggalan juga semasa di dalam khutbah Jumaat juga turut diselitkan mengenai Hari Kekasih.

Saya tidak akan mengulas mengenai Hari Kekasih di dalam ruangan ini. Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Hari Kekasih maka carilah di ruangan yang lain.

Saya ingin mengingatkan kepada semua mengenai pesanan mimbar di dalam masjid tadi. Hukum menyambut Hari Kekasih adalah HARAM.

Ingatlah, bahawa di dalam Islam tidak ada hari yang dikhususkan untuk berkasih-kasihan. Kerana apa? Kerana mengikut Islam, setiap hari adalah hari berkasih-kasihan.

Hayatilah sejarah sambutan Hari Kekasih yang di sambut oleh anda semua. Jangan hanya menyambut membabi buta.

Apa-apa pun terpulanglah kepada anda kerana itu hak anda sepenuhnya.

Oh ya sebelum terlupa Selamat Tahun Baru Cina kepada anda yang menyambutnya..

Selasa, Februari 09, 2010

Keputusan & reaksi yang telah di jangka..

Salam.. Salam Sejahtera..

Kita sudah sedia maklum bahawa Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Suka atau pun tidak, saya mengakui bahawa rakyat Perak sebenarnya mempunyai hak untuk menentukan sama ada Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat yang layak mentadbir Perak.

Sama ada langkah BN mengambil alih Perak itu di lihat sebagai tidak bermoral pada saya itu juga sama dengan rancangan Ketua Pembangkang yang cuba menarik seramai 30 Ahli Parlimen BN untuk melompat kepada PR bagi membentuk kerajaan yang dicanang-canang akan berlaku pada 16 September 2008.

Disebabkan sistem yang diamalkan itu adalah sistem demokrasi maka sesiapa jua bebas untuk melompat parti atau mengalih sokongan kepada sesiapa yang diingininya. Saya yakin jika PR berjaya menarik seramai 30 Ahli Parlimen BN mereka juga akan mengatakan hal yang sama.

Sebelum ini saya sudah menjangkakan kesan keputusan oleh Mahkamah Persekutuan jika memihak kepada BN. Kini sudah jelas ketika saya membaca berita di dalam MalaysiaKini ada melaporkan bahawa bekas MB Perak iaitu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengatakan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan itu akan mengakibatkan berlakunya monarki mutlak di Malaysia.

MB Perak yang disingkirkan itu turut mengatakan bahawa tidak perlu diadakan pilihanraya kerana Raja-Raja boleh menentukan siapa yang akan mengetuai kerajaan negeri mahupun persekutuan. Secara peribadi saya melihat kenyataan beliau ini seakan-akan menyindir Sultan Perak dan mempunyai unsur-unsur kekecewaan yang mendalam.

Satu lagi kenyataan yang saya sudah jangka akan keluar daripada mereka yang kecewa ialah, "Ini adalah hari yang paling sedih bagi Malaysia kerana ia membuktikan sistem penghakiman negara adalah tidak bebas..." (MalaysiaKini).

Saya tersenyum apabila membawa kenyataan di atas ini. Sebenarnya saya teringat demonstrasi yang berlaku di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang berlaku kerana disebabkan keputusan Pilihanraya Kampus (PRK) tidak memihak kepada mereka. Nampaknya tidak perlulah saya ulas mengenai persamaannya di sini kerana anda sememangnya tahu.

Saya ingin mengulas mengenai kenyataan mantan MB itu yang mengatakan selepas ini tidak perlu diadakan pilihanraya kerana Raja-Raja boleh menentukan siapa yang akan mengetui kerajaan.

Yang saya tahu apabila sesebuah parti memenangi majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri maka parti itu akan membentuk kerajaan. Ketua parti tidak semestinya akan menjadi MB jika partinya memperoleh majoriti di dalam DUN. Hal ini kerana Sultan atau Raja yang berhak memilih sesiapa jua yang layak untuk menjadi MB asalkan mendapat sokongan majoriti Ahli DUN. Hal ini merujuk kepada Perak. (Ikut Undang-Undang Tubuh Negeri)

Contoh terbaik adalah seperti di Perak. Selepas Pilihanraya Umum (PRU12) sebenarnya Baginda Sultan boleh memilih MB daripada BN/UMNO kerana BN mendapat 28 kerusi DUN tetapi Sultan memilih Pakatan Rakyat kerana gabungan DAP, PKR dan Pas mempunyai kerusi melebihi BN.

Walaupun DAP lebih dominan di dalam DUN Perak tetapi Undang-Undang Negeri menghalang DAP untuk meletakkan MB Perak daripada wakilnya yang kesemuanya adalah orang Cina.

Disebabkan Undang-undang yang sedia ada itulah maka Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mempunyai kesempatan untuk menduduki kerusi empuk MB selepas Baginda Sultan membuat keputusan memilih beliau. Walaupun mengikut perkiraan saya Pas sendiri tidak layak menduduki kerusi MB kerana bilangan kerusi yang paling sedikit di dalam DUN dan di dalam rakan Pakatan Rakyat.

Sesungguhnya itulah salah satu peranan Raja-Raja di Malaysia ini.

Sekadar selingan :

*Sebenarnya DYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong juga boleh memilih untuk tidak menandatangani pembubaran Parlimen jika baginda ingin berbuat demikian sekiranya belum cukup tempoh 5 tahun.

**DYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong juga boleh memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin atau sesiapa jua yang menjadi Ahli Dewan Rakyat jika Baginda tidak berkenan kepada Dato' Seri Najib Razak. Asalkan Ahli Dewan Rakyat itu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan maka ia layak menjadi Perdana Menteri selepas diperkenan oleh DYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong.

Dr. Zambry kekal MB Perak

Salam.. Salam Sejahtera..

Hari ini Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Menteri Besar Perak yang sebenar adalah Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Keputusan Mahkamah Persekutuan itu memperlihatkan bahawa tindakan Baginda Sultan Perak yang melantik Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar sebelum ini adalah tepat dan sah selepas berjumpa dengan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri yang menyokong Barisan Nasional.

Kini masanya adalah untuk bekerja dan bukannya berpolitik sahaja.

Isnin, Februari 08, 2010

"Mana tong sampah ni??"

Salam.. Salam Sejahtera..

Berjalan pada waktu petang sambil menikmati kesegaran udara yang nyaman di universiti dalam taman ini cukup indah dan menyegarkan.

Mengapa berjalan? Sebab jika berlari kita tidak dapat melihat dengan jelas panorama yang ada di sekeliling kita. Udara yang nyaman, laluan yang redup dan teduh, bunyi burung-burung yang bersahutan-sahutan cukup membuatkan jiwa yang runsing dan fikiran yang kusut mendapat ketenangan. Eloklah berjalan daripada merangkak..

Sedang berjalan menghampiri Desasiswa Fajar Harapan, berhenti seketika membeli minuman. Berjalan dan terus berjalan dengan hasrat untuk menuju ke bukit berhadapan Rumah Pemimpin dan kediaman rasmi Naib Canselor.

Dalam perjalanan daripada cafe Fajar Harapan agak sukar untuk bertemu dengan tong sampah. Air di dalam tin minuman juga sudah habis di minum selancar pengeluaran peluh di badan. Kekusutan terpancar di wajah kerana sukar untuk melihat tong sampah.

"Aduuuhhhh mana tong sampah ni???", soalan yang tiba-tiba keluar daripada mulut saya kepada dua orang teman yang sama-sama berjalan.

Apabila kaki yang berjalan menghampiri tadika yang berdekatan Desasiswa Cahaya Gemilang, mata ternampak kelibat tong sampah yang berdiri dengan megah di tempat yang tidak ramai orang lalu. "Ooohhhhhh tong sampah... Susahnya nak cari kau ni...". Alhamdulillah berkat kesabaran memegang bekas minuman itu, kami akhirnya berjumpa dengan tong sampah yang sukar untuk ditemui.

Mengenai tong sampah yang sukar untuk ditemui, akhirnya diri ini teringat mengenai tajuk Berita Kampus keluaran 2 Feb. 2010 yang bertajuk "Kekurangan tong sampah bertujuan didik pelajar kurang hasilkan sampah".

Di sini saya tidak mahu mengulas mengenai tajuk Berita Kampus itu tetapi sepanjang perjalanan hampir setiap petang, saya dapat melihat agak banyak sampah yang di buang merata-rata. Maaflah jika saya tersilap, tetapi saya menulis berdasarkan pemerhatian.

Hari ini saja saya mengutip satu kotak tisu yang mungkin sengaja atau tidak sengaja telah di buang di tepi jalan berdekatan selekoh menuju ke Dewan Persidangan. Bukanlah hendak mempromosi diri yang rajin mengutip sampah. Memandangkan kotak tisu itu agak jelas di pandang mata maka 'terpaksalah' untuk menukar posisinya ke tempat yang sewajarnya.

Mungkin juga orang yang membuang sampah merata-rata itu tercari-cari dimanakah tong sampah yang berperanan untuk dijadikan tempat membuang sampah. Oleh sebab sukar mencarinya maka mereka menoleh kiri dan kanan lalu membuang sampah itu di tempat yang tidak sepatutnya. Mungkin ada juga dalam kalangan mereka tidak perlu menoleh kiri dan kanan untuk melakukannya.

Seperti di gambar ini sudah jelas tong sampah disediakan tetapi sampah masih tetap di buang merata-rata. Inilah sikap namanya.. Atau adakah mungkin juga sampah-sampah ini di tiup angin? Hai entahlah..

Kes liwat yang lewat : Siapa MB Perak???

Salam.. Salam Sejahtera..

Meminjam kata-kata yang acap kali dituturkan oleh rakan saya iaitu "sorry to say la...", sebenarnya saya malas hendak menulis mengenai kes liwat yang sengaja dilewatkan perbicaraannya ini.

Bukanlah saya hendak membela sesiapa dalam kes ini sama ada si peliwat mahupun yang diliwat.

Hari ini seperti biasa sepatutnya perbicaraan kes liwat berlangsung dengan soal balas daripada pihak pembela terhadap pihak yang diliwat, akan tetapi perbicaraan kes itu telah ditangguhkan.

Perbicaraan kes ini telah ditangguhkan sehingga esok pagi bagi mendengar permohonan pihak yang di tuduh sebagai peliwat supaya Hakim Mahkamah Tinggi menarik diri daripada mendengar kes itu kerana dianggap sebagai berat sebelah.

Peguam yang mewakili pihak tertuduh membuat permohonan itu kerana keputusan hakim sebelum ini berkaitan dua artikel Utusan Malaysia yang dikatakan sebagai mempunyai elemen berat sebelah.

Secara peribadi saya melihat sudah menjadi peranan akhbar untuk memberi laporan kepada umum mengenai kes yang sedang dibicarakan itu.

Alasannya berkaitan dengan Utusan Malaysia. Utusan Malaysia yang berstatus surat khabar UMNO ada kaitan ke dalam perbicaraan?

Saya bukan hendak menyokong sesiapa dalam 'cerita' ini tapi saya naik muak dengan tindakan pihak yang cuba melengah-lengahkan perbicaraan.

Jangan kerana disebabkan keputusan itu tidak memihak kepada kita maka kita hendak mengatakan bahawa keputusan itu tidak adil. Jangan hendak melabel bahawa institusi kehakiman telah diliwat oleh mereka yang berkuasa.

Saya sedang menunggu keputusan daripada Mahkamah Persekutuan mengenai siapa yang sepatutnya menjadi Menteri Besar Perak, sama ada Dr. Zambry mahupun Nizar. InsyaAllah kalau tak silap mungkin esok (9.2.2010) keputusan akan diketahui.

Walau apa pun keputusan yang bakal diumumkan oleh Mahkamah Persekutuan saya sudah menjangka apakah reaksi yang bakal dilakukan oleh kedua-dua pihak.

Diharapkan jangan ada pihak yang mempertikai keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut jika sekiranya keputusan itu tidak memihak kepada puak-puak mereka sendiri.

Ahad, Februari 07, 2010

Sikap..

Salam.. Salam Sejahtera..

Sekali lagi saya menulis mengenai sikap atau tabiat..

Saya sendiri tak tahu nak mengkategorikan perkara ini sebagai sikap atau tabiat.

Semalam (6.2.2010) kalau tak silap saya masa tu lebih kurang pukul 3.33 petang semasa berhenti di lampu trafik berdekatan Butterworth, saya ternampak sebuah botol minuman kalau tak silap saya botol Vitagen di lontar keluar daripada sebuah kereta Perodua Kancil. Wah.. kereta nasional tu.. Anda sendiri nampak botol air di sebelah kanan kereta yang berada di atas jalan. Saya pun tak tahulah kenapa semalam saya cukup rajin menangkap gambar mereka yang agak tidak sopan di jalanraya.

Disebabkan botol air itu keluar daripada kereta Perodua Kancil, jadi saya beranggapan mungkin Sang Kancil yang menendang botol air Vitagen itu keluar seperti mana yang terjadi di dalam catatan sejarah pembukaan negeri Melaka. Malangnya saya tersilap.

Agak-agaknyalah siapa yang nak tolong kutip botol Vitagen tu? Nak harapkan Sang Kancil pun belum tentu Sang Kancil nak buat..

Yang ini pula adalah gambar yang saya rakam semasa sedang beratur untuk memasuki feri di jeti. Dengan penuh bangga pemandu kereta buatan Mitsubishi yang di solek semula menjadi kereta nasional pertama negara iaitu Proton Saga memotong barisan. Tak patut betullah.. Dia sepatutnya tahu yang semua orang pun nak cepat, bukan dia saja yang nak cepat..

Gambar ini saya rakam lebih kurang pukul 3 petang. Semua orang boleh berbaris tapi dia dengan senang hati boleh potong barisan. Saya tahulah sekarang ini popular dengan iklan "POTONG" tapi janganlah potong barisan.

Biasanya jika saya memandu dan ada pemandu lain yang memandu secara melulu dan melebihi had laju atau sebagainya saya dengan tenang akan cakap "A'aah tak apalah mungkin dia dah tak tahan nak terbuang kot.. Harap-harap dia sempat sampai dan tak terburai dalam kereta tu..". A'aah tak apalah tu semua dunia semata-mata..

Maaflah saya tidak berniat untuk memaparkan nombor kenderaan di atas tapi disebabkan Adobe Photoshop saya bermasalah maka saya terpaksa memaparkan nombor kenderaan tersebut.

Maklumlah sebagai pengajaran kepada semua supaya tidak berlaku biadab di jalanraya.

Ini baru dua contoh yang saya masukkan di sini, sebenarnya banyak lagi yang saya nak masukkan tapi tiada bukti bergambar.

Itu belum lagi mereka yang memandu kereta dan masuk simpang tanpa beri isyarat dan ada juga yang bijak beri isyarat apabila dah berhenti untuk masuk simpang, haaa yang ini memang bijak sangat..

Walau apa pun kita sewajarnya berbangga dengan pengguna kereta nasional di atas sebab mereka guna kereta nasional. Tetapi tidak perlu berbangga dengan sikap mereka yang kuno itu.

Jumaat, Februari 05, 2010

Mampukah bersatu Melayu - Islam???

Salam.. Salam Sejahtera..

Saya tertarik dengan tajuk sebuah akhbar arus perdana iaitu "Nik Aziz mahu Pas, UMNO berbincang".

Lazimnya apabila ada kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas ini akan mendapat perhatian banyak pihak. Mungkin disebabkan oleh perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang maka kenyataan beliau tenggelam sedikit.

Secara peribadi saya melihat mungkin YAB. Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah menukar fikiran dan pendiriannya yang sebelum ini berkeras untuk tidak mengadakan rundingan mahupun perbincangan dengan UMNO.

Saya tertarik dengan kenyataan Tuan Guru yang mengatakan bahawa selama lebih 50 tahun Pas dan UMNO bertengkar sesama sendiri dan banyak masa telah dibuang begitu sahaja untuk bertengkar.

Tuan Guru sendiri mengakui sejarah mengenai kewujudan Pas yang berasal daripada alim ulama UMNO kerana alim ulama UMNO keluar daripada UMNO dan menubuhkan Pas.

"Jadi apa pentingnya UMNO bertengkar dengan Pas, sedangkan Pas bawa Islam. Selepas kita mati, Melayu tidak ada guna, Cina tak ada guna, Arab tak ada guna..., yang guna Islam dan bertakwa kepada Allah".

"Jika isu pembangunan yang menjadi punca UMNO memusuhi Pas, ia tidak sepatutnya berlaku kerana Pas juga membawa pembangunan kepada negeri yang di perintah".

Saya setuju dengan kenyataan YAB. Menteri Besar Kelantan ini. Tiada guna Pas dan UMNO bertengkar kerana Pas berjuang untuk Islam dan UMNO di lihat lebih kepada berjuang untuk Melayu. Tetapi kita sewajarnya sedar bahawa perjuangan UMNO untuk bangsa Melayu juga adalah untuk Islam kerana insyaAllah Melayu di Malaysia adalah Islam.

Pas dan UMNO tidak pernah bersalah. Jangan sesekali mempersalahkan kedua-dua parti ini. Hal ini kerana jika Pas dan UMNO di tuduh mengkhianat perjuangan asal penubuhannya, itu adalah kesalahan pemimpin parti itu sendiri.

Budaya Demonstrasi, Budaya Mereka...

Salam.. Salam Sejahtera..

Hari ini Jumaat, 5 Februari 2010 bersamaan 2o Safar 1431 Hijrah.

Nampaknya semakin hari rakyat Malaysia semakin mencintai demonstrasi. Disebabkan negara ini merupakan negara demokrasi dan banyak pihak mahu negara ini lebih demokrasi maka elok jugalah lebih banyak demonstrasi dilakukan. (saya tak menghasut ok..)

Saya tidak mahu ulas lagi mengenai demonstrasi yang berlaku di Universiti Malaya kerana mereka yang berdemonstrasi itu hebat-hebat belaka. Sedangkan mahasiswa dan mahasiswi di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang lain sedang sibuk menyiapkan tugasan dan terlibat dengan pelbagai program, mereka pula mempunyai masa untuk berdemonstrasi. A'aah tak apalah sebab itu hak mereka. Jangan nafikan hak mereka untuk melakukannya.

Hari ini juga terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa satu demonstrasi akan dilakukan di ibu negara. A'aah tak tahulah betul atau tidak. Maklum sajalah kini sedang berlangsung perbicaraan kes paling hangat yang di tangguh beberapa kali perbicaraannya. Nak ulas ke?? Malas dan tidak berminat dengan kes-kes liwat ni. Kalau nak tahu bacalah surat khabar. Tak kiralah surat khabar tu UMNO punya atau Pakatan Rakyat punya. Yang penting kena baca, fikir, lihat dan jangan liwat...

Saya mendapat satu mesej daripada seseorang yang meminta supaya mahasiswa dan mahasiswi bangkit menentang penindasan yang dilakukan oleh kerajaan. Tidak kiralah sama ada kerajaan Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. Saya hanya memandang mesej itu sebagai 'gurauan' sahaja. Alasan yang digunakan supaya mahasiswa/i bangkit menentang kerana nama "MAHASISWA".

Jawapan saya mudah sahaja, jika BN yang melakukan penindasan maka PR adalah pengimbang atau penegur kepada BN. Begitu jugalah jika sebaliknya yang berlaku. Jika BN dan PR sama-sama melakukan penindasan maka Badan Bukan Kerajaan (NGO) adalah badan yang layak untuk melakukan aktiviti 'peneguran' itu. Tugas itu bukanlah tugas mahasiswa/i. Kecuali terdesak seperti mana di Indonesia pada tahun 1998.

Mengenai demonstrasi di Pulau Pinang hari ini yang dilakukan oleh gabungan 50 NGO, pada saya itu adalah hak mereka. Hak mereka untuk membantah penindasan yang dilakukan terhadap kaum minoriti di Pulau Pinang, hak mereka untuk membela peniaga-peniaga kecil yang di tindas, hak mereka yang membela peniaga-peniaga yang tidak menyokong kerajaan negeri, dan sebagainya.

Saya mengatakan hak mereka untuk melakukan demonstrasi kerana mereka mendapat permit polis untuk melakukannya. Yang penting demonstrasi itu tidak mengambil masa yang begitu lama.

MalaysiaKini melaporkan seramai kira-kira 300 orang menyertai demonstrasi yang dilakukan di luar bangunan KOMTAR. Tetapi daripada gambar yang saya lihat bukan 300 orang tetapi mungkin juga hampir 3000 orang.

Ada pula manusia yang mengatakan NGO-NGO ini di taja oleh UMNO dan BN. Aaah pening, tak habis-habis menuduh.. Isu gereja dan penggunaan nama Allah S.W.T pun nak salahkan UMNO.. Hei hello...tolak ketepi dulu bab-bab politik ok..

Secara peribadi saya tidak menyokong budaya demonstrasi ini kerana menyusahkan banyak pihak. Demonstrasi yang dilakukan akan menyebabkan kesesakan lalu lintas. Kita sedia maklum jalan di situ sememangnya banyak dengan kenderaan dan urusan jual beli di premis-premis jualan sudah tentu akan terganggu.

Di universiti ada demonstrasi, di jalanraya ada demonstarsi, di mahkamah pun ada demonstrasi kecil-kecilan. Nampaknya generasi yang cinta akan demonstrasi ini akan bertambah dan negara kita akan bergelumang dengan demonstrasi jalanan tidak lama lagi. *Kerajaan perlu sediakan tempat khas untuk berdemonstrasi la nampaknya...

Tak apalah... Sebab inilah demokrasi yang dilaung-laungkan oleh mereka yang mengimpikan demokrasi yang sebenar.

Tidak dapat dibayangkan macam mana negara ini jika tiada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, dan Akta Mesin Cetak... Undang-undang yang sedia ada pun mereka berani langgar apatah lagi jika tiada undang-undang..