Salam Aspirasi dan Salam Perjuangan semua.. Di bawah ini adalah sebahagian petikan daripada Utusan Malaysia. Kepada mereka yang "kadang-kadang" baca surat khabar tu inilah berita yang agak menarik perhatian saya.. Jangan baca hiburan je.
Pensyarah IPT diberi amaran tidak bersikap perkauman
BANGI 11 Okt. - Pensyarah-pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) diberi amaran supaya tidak bersikap perkauman ketika mengajar.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sikap perkauman perlu dielak kerana ia akan merosakkan mentaliti pelajar dan mengguris hati kaum- kaum tertentu.
''Saya tidak nafikan, individu bersikap perkauman memang wujud di banyak tempat, jadi saya berharap mereka ini berubah dan menanam rasa hormat yang tinggi kepada kaum lain supaya perpaduan dapat selalu dibentuk serta dipupuk.
''Pensyarah adalah individu penting kepada penuntut, jadi mereka perlu menjaga pertuturan supaya tidak memberi contoh buruk,'' katanya.
Mohamed Khaled mengulas aduan yang diterima Utusan Malaysia daripada seorang pelajar sebuah IPTS berhubung sikap perkauman beberapa pensyarah di situ.
Pelajar itu mendakwa, pada setiap sesi kuliah bagi subjek tertentu, pensyarah berkenaan seringkali mengaitkan isu yang diajar dengan sesuatu kaum secara negatif.
Sikap pensyarah berkenaan didakwa memberi tekanan kepada pelajar daripada kaum yang diburukkan itu kerana mereka adalah golongan minoriti di dalam kuliah.
Ujar Mohamed Khaled, mana-mana pelajar yang berdepan masalah sedemikian perlu tampil mengemukakannya secara terus kepada kementerian.
Katanya, kementerian memandang serius jika benar dakwaan itu kerana ia memberi kesan buruk kepada pelajar, IPT dan negara.
''Setiap dakwaan akan dipantau dan jika benar, kementerian akan mengambil tindakan susulan termasuk menasihatkan IPT dan pensyarah ini.
''Namun saya tidak boleh kata adakah kementerian akan pertimbangkan untuk menarik semula lesen IPT ini kerana kami belum tahu sejauh mana kebenaran dakwaan ini,'' katanya.
(Utusan Malaysia, 12 Oktober 2009)
*********************************
Dah baca petikan di atas? Anda faham apa yang saya cuba sampaikan? Isu pokok mengenai pensyarah yang bersikap perkauman ini sudah diperkatakan oleh rakan saya di blognya yang beliau sentuh mengenai pensyarah di salah sebuah IPTA utara semenanjung Malaysia. Tidak perlulah dinyatakan tempat IPTA tersebut kerana setahun yang lalu telah memperoleh status yang hebat daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Dengar cerita daripada senior tindakan pensyarah itu telah diadukan kepada pihak atasan IPTA tetapi tidak cukup bukti untuk diambil tindakan.
Secara peribadi saya sendiri pernah diperlekehkan oleh pensyarah tersebut kerana status saya sebagai orang Melayu yang ingin bermajorkan Sains Politik. Dalam hati saya berkata, "apa dia ingat orang Melayu ni tak boleh nak belajar Sains Politik ke? Ingat orang Cina je yang boleh?".
Sebagai pelajar kita perlu berfikir secara positif perkara ini. Kali pertama saya diperlekehkan seperti itu memanglah rasa seperti nak melenting tetapi adalah lebih wajar jika sekiranya kita bertindak mendiamkan diri terlebih dahulu. Memang pensyarah itu bersikap perkauman tetapi tiada bukti untuk dikemukakan kepada pihak atasan.
Semester ini saya tidak mengambil kursus pensyarah tersebut kerana belum bersedia untuk mendengar 'syarahan perkauman' beliau. Insya-Allah jika ditakdirkan mungkin kami akan berjumpa di semester ke-5 nanti. Harap-haraplah dia dah pencen masa tu..
*Yang penting adalah ilmunya.. Macam makan buah, yang elok kita makan la tapi kalau ada yang busuk kita jangan makan.. Untuk elak pembaziran yang busuk tu bagi mereka yang macam pensyarah tu..
**Tiada kena mengena dengan pensyarah Sains Politik yang mengajar Muhammad Syukri Sa'adon, tahun 2.
***Siapa makan cili dia terasa pedas..siapa makan belacan hidung dia gatal, macam....