Followers

Rabu, September 30, 2009

Tan Sri Isa Samad...

Salam semua...

Barisan Nasional telah memilih Tan Sri Isa Samad sebagai calon pilihanraya kecil di DUN Bagan Pinang. Pengumuman yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin itu mendapat sorakan yang gemuruh daripada para tetamu yang hadir.

Banyak pihak mengatakan bahawa Tan Sri Isa bukanlah calon yang sesuai untuk BN kerana penglibatannya dalam politik wang semasa pemilihan UMNO 2004, tetapi (UMNO) akar umbi di Bagan Pinang tetap inginkan beliau menjadi calon BN di sana. Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri menyatakan bahawa jika beliau menjadi Tan Sri Isa maka beliau akan menolak untuk dicalonkan di dalam PRK tersebut.

Beliau dikenakan tindakan oleh UMNO kerana terlibat dengan politik wang semasa pemilihan jawatan naib presiden UMNO tahun 2004. Atas sebab itu maka beliau telah di gantung keahlian selama 3 tahun dan hilang jawatan sebagai menteri wilayah persekutuan. Beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Jempol sehingga tahun 2008 dan tidak dicalonkan semasa pilihanraya umum ke-12.

Banyak pihak yang mempertikai pemilihan Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN di Bagan Pinang. Apa salahnya? Biarlah dia jadi calon.. Alasan yang kerap kedengaran ialah beliau bekas banduan yang dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Disiplin Parti UMNO.

Memang kita sedia maklum bahawa di dalam UMNO wujud politik wang, tetapi adakah hanya Tan Sri Isa Samad dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam sahaja yang telibat? Apakah tiada lagi yang terlibat? Saya agak hairan kerana setiap kali pemilihan UMNO akan wujud politik wang dan hanya beberapa orang sahaja yang dikenakan tindakan. Di dalam padang bola mana ada pemain yang tak sepak bola..

Saya tetap dengan pendirian bahawa Tan Sri Isa dan Datuk Ali hanya sebagai kambing hitam yang dijadikan mangsa oleh mereka yang mempunyai agenda tersendiri.

Tan Sri Isa Samad hanya banduan kepada Lembaga Disiplin UMNO dan bukannya banduan penjara.

Bekas banduan yang pernah menghuni penjara Sungai Buloh atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan disahkan melakukan perkara diluar tabiee pun boleh bertanding dalam PRK dan menang pulak tu serta berhasrat ingin menjadi perdana menteri, jadi apakah salahnya Tan Sri Isa Samad bertanding dalam PRK Bagan Pinang?

Mungkin BN akan menang.. sama ada majoriti bertambah ataupun berkurangan..

*lawan BN ialah PAS yang meletakkan calonnya iaitu Pesuruhajaya PAS Negeri Zulkefly Mohamad Omar

Isnin, September 28, 2009

Taksub..

Salam Syawal, Salam Aspirasi, Salam Mahasiswa, Salam Perpaduan dan Salam Sejahtera..

Apa itu TAKSUB???

Taksub bermaksud perlakuan atau perihal seseorang yang tidak menghiraukan pandangan orang lain dan menganggap pegangannya sahaja yang betul.

Pada zaman sebelum dan awal kemerdekaan budaya taksub ini kerap berlaku. Ketaksuban seseorang individu terhadap seseorang tokoh khasnya guru agama cukup kerap berlaku. Sebagai contoh dahulu sebelum merdeka terdapat guru agama yang mengeluarkan fatwa sendiri bahawa radio itu adalah suara syaitan. Sehinggakan apabila laporan berita mengenai awal Ramadhan dan sambutan hari raya melalui radio pun mereka tak percayai. Apa yang mereka percaya pada zaman itu hanyalah polis yang akan membuat pengumuman tentang sesuatu perkara. Oleh sebab ketokohan dan ilmu agama yang dimiliki oleh guru agama itulah maka ramai pengikut yang mengikutnya. Hari ini segalanya telah berubah.

Dahulu kita dikejutkan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh seorang ahli politik. Beliau mengatakan bahawa UMNO kafir kerana bekerjasama dengan MCA dan MIC. Binatang sembelihan orang-orang UMNO haram dimakan. Tidak sah solat berimamkan orang UMNO dan pelbagai lagi fatwa dikeluarkan. Fatwa yang dikeluarkan itu telah menyebabkan orang Islam berpecah. Berada di dalam satu masjid tetapi solat berasingan. Suami isteri ada yang tidak bersefahaman, dan pelbagai lagi. Kesemua ini adalah berpunca daripada ketaksuban terhadap seseorang individu yang berpengaruh.

Sikap taksub terhadap individu kini semakin ketara. Contoh paling jelas adalah di dalam kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saiful melafazkan sumpah di dalam masjid bagi memberitahu bahawa dirinya telah diliwat oleh bekas majikannya iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Memang agak sukar untuk membuktikan kesahihannya. Oleh sebab ketaksuban penyokong-penyokong DSAI maka Saiful telah dipersalahkan. Mengapa kita perlu menjadi hakim? Biarlah kes ini dibicarakan terlebih dahulu. Jangan kita pertikai sumpah Saiful tetapi kita perlu memuji beliau kerana berani bersumpah atas nama Allah S.W.T bagi membuktikan tuduhan beliau. Sumpah bukanlah boleh di bawa main-main. Saya kerap mendengar banyak pihak yang mengatakan bahawa sumpah Saiful itu tidak sah dan tidak mengikut Islam. Saya rasa lebih elok DSAI melakukan sumpah yang benar-benar mengikut Islam bagi menafikan sumpah Saiful itu. Saya tidak mahu menyokong Saiful mahupun DSAI, tetapi lebih elok kita memberikan peluang kes ini dibicarakan terlebih dahulu di mahkamah. Kepada penyokong-penyokong tak kiralah yang sokong Saiful mahupun DSAI, janganlah terlalu taksub..

Bagi mahasiswa dan mahasiswi saya berharap kita semua tidak terlalu taksub dengan budaya politik nasional. Kita memang dilarang untuk terlibat dengan politik nasional tetapi kita masih boleh berpolitik di dalam kampus. Jangan sesekali membawa budaya politik di luar sana yang boleh dilabel sebagai 'politik samseng' ke dalam kampus.

Budaya memburuk-burukkan calon yang bertanding di dalam kampus dilihat semakin menjadi-jadi. Tak kiralah sama ada mereka ini dari kelompok Pro-Aspirasi mahupun Pro-Mahasiswa.

Bukan mudah untuk mencari pemimpin yang benar-benar mampu memimpin, dan bukan mudah untuk memimpin sekelompok manusia yang mempunyai pelbagai ragam.

Ambil contoh di kampus wujud kelompok yang mempromosi diri mereka untuk menjadi pemimpin. Mereka menggelar diri mereka sebagai kelompok yang selalu ke masjid. InsyaAllah solat lima waktu mereka ada di masjid. Sememangnya kelompok inilah yang wajar dipilih untuk menjadi pemimpin di universiti kerana kerap ke masjid untuk berjemaah. Sekarang ini berapa ramai yang ke masjid pada waktu subuh untuk berjemaah? Kelompok inilah yang rajin melakukannya. Pada saya mereka ini memang sesuai untuk dipilih sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di kampus.

Persoalannya di sini adakah mereka benar-benar sesuai dipilih sebagai MPP? Jika sebagai sindiran mereka memang layak sebab awal-awal lagi mereka mengatakan mereka inilah yang kerap ke masjid. Tetapi sebagai realiti saya ingin menyatakan di sini bahawa calon inilah yang akan saya tolak ke tepi kerana mereka menjadikan amalan yang mereka sepatutnya buat dengan ikhlas tetapi dijadikan sebagai umpan untuk mendapatkan undi semasa piliharaya kampus. Maaf jika ada yang terasa.

Apa-apa pun kepada mereka yang berminat untuk menganggotai MPP saya sarankan anda menghayati sikap dan cara Khalifah Umar Abdul Aziz. Beliau berdoa kepada Allah S.W.T supaya dijauhkan daripada segala jawatan. Tetapi dengan izin Allah S.W.T maka beliau telah menjadi khalifah yang amat berjaya. Jangan sesekali meminta-minta jawatan kerana jawatan itu bukanlah untuk dibangga-banggakan tetapi jawatan itu adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul demi kesejahteraan semua.

Politik itu kotor??? Yang mengotorkan politik adalah mereka yang sedia kotor. Jangan kotorkan politik kita khasnya politik kampus di USM ini.

Ahad, September 27, 2009

Zakat Fitrah..

Dari sudut bahasa zakat bermaksud keberkatan, kesucian, perkembangan dan kebaikkan. Ia disebut zakat kerana dapat mengembangkan harta yang sudah dikeluarkan zakat dan menjauhkannya daripada segala kerosakkan.

Dari sudut syarak pula zakat didefinisikan sebagai sebahagian daripada harta tertentu yang diwajibkan oleh Allah S.W.T untuk diberikan kepada orang yang berhak menerimanya.

Zakat adalah Rukun Islam yang ketiga. Sebahagian kecil harta kekayaan diambil daripada orang kaya dan diberikan kepada orang miskin dalam kalangan mereka. Jumlah zakat tidak ditentukan tetapi diserahkan kepada tahap keimanan, kemurahan hati dan perasaan tanggungjawab sesama orang beriman dan kebanyakkannya tertakluk kepada keperluan semasa.

Disebut di dalam Al-Quran surah Al-Muddathir disebut bahawa ahli syurga bertanya kepada ahli neraka mengapa mereka dihumban ke neraka? Lalu mereka menjelaskan bahawa itu berlaku kerana mereka bukan dari golongan yang bersolat dan memberi makan kepada orang miskin.

Kegemilangan pengurusan zakat dapat dilihat ketika pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Ketika itu negara Islam amat makmur walaupun reformasi kewangan yang dilakukan oleh beliau mengurangkan pendapatan negara. Pelbagai cukai yang diharamkan oleh Islam telah dihapuskan tetapi tidak menimbulkan sebarang masalah kepada perbendaharaan negara. Malahan rakyat menjadi begitu makmur sehingga sukar untuk bertemu dengan pengemis dan fakir miskin yang berhak menerima zakat.

Diceritakan bahawa Yahya Ibn Sa'id telah dilantik oleh Khalifah Umar Abdul Aziz untuk memungut zakat di Afrika. Apabila zakat sudah dipungut, beliau mencari orang yang berhajat kepada zakat tersebut tetapi gagal menemui walau seorang pun yang layak menerima zakat. Beliau tiada pilihan lain kecuali membeli beberapa hamba dan memerdekakan mereka.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, penerima zakat tidak merasakan perlu menerimanya walaupun terbukti wujudnya golongan yang berhak menerima zakat pada waktu itu. Mereka tidak begitu berhajat kepada harta kekayaan sebaliknya mereka amat beryukur dengan apa yang mereka miliki.

Apa yang menjadi persoalan di sini ialah, mengapa institusi zakat di Malaysia ini tidak menjadikan pengurusan zakat era Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai contoh terbaik? Mengapa tidak ada perancangan seperti zaman beliau?

Saban tahun kita akan dikhabarkan mengenai sasaran kutipan zakat di setiap negeri. Ada yang mencapai puluhan juta ringgit. Pokok persoalannya disini ialah mengapa masih ramai yang memerlukan bantuan zakat? Tidak makmurkah ekonomi negara kita?

Kemanakah perginya wang-wang zakat yang dikutip? Benarkah wang tersebut diagih dengan telus?

Saya ingin mencadangkan kepada institusi zakat di negara ini supaya bantuan zakat itu disalurkan dengan cara memberi modal perniagaan kepada mereka yang memerlukan. Adakah masih relevan agihan wang zakat yang disalurkan dalam hanya beberapa ratus ringgit sahaja?

Sudah tiba masanya pengurusan zakat di negara ini mencontohi dengan agresif cara Khalifah Umar Abdul Aziz dalam menguruskan zakat. Jangan kita hanya berbangga mengumumkan kutipan zakat yang berpuluh-puluh dan ratusan juta setiap tahun tetapi kadar kemiskinan masih tinggi.

Ops Sikap.. Oooopppp!!!

KUALA LUMPUR, 26 Sept. - Sebanyak 12 lagi kematian dicatatkan pada hari ke-13 Ops Sikap ke-20 semalam, menjadikan jumlah korban akibat kemalangan jalan raya meningkat kepada 222 orang.

Statistik terbaru itu merekodkan lima kematian melibatkan pengguna motosikal, kereta (tiga) dan pejalan kaki (empat).

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Supritendan Rasdi Ramli berkata, sebanyak 1,003 kes kemalangan dilaporkan dalam tempoh tersebut.

Katanya, jalan bandaran mencatatkan kemalangan paling tinggi sebanyak 414 kes, diikuti jalan Persekutuan (277 kes), jalan negeri (173 kes), lebuh raya (77 kes) dan jalan-jalan lain (62 kes).

Menurutnya, sehingga semalam, sebanyak 11,783 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan trafik.

Ops Sikap ke-20 yang berakhir Ahad ini bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

(Mingguan Malaysia)

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengatakan bahawa kadar kemalangan di Malaysia lebih tinggi berbanding di negara-negara Eropah. Tun juga mencadangkan supaya lesen mereka yang terlibat dalam kemalangan digantung selama 3 tahun.

Ketua Polis Negara pula dengan tegas menyatakan bahawa jika hukuman mati dijatuhkan terhadap pesalah jalan raya dilaksanakan belum tentu berjaya mengurangkan kadar kemalangan.

Persoalannya ialah mengapakah kadar kemalangan di negara kita ini begitu tinggi?

Jawapan yang acap kali kita dengar ialah "SIKAP" pemandu itu sendiri. SIKAP memang sukar untuk diubah apatah lagi jika melibatkan seseorang yang keras hati.

Apakah faktor lain? Ada yang mengatakan jalan raya yang tidak sempurna, berlubang sana sini, jalan tidak rata, selekoh tajam dan seribu satu alasan lagi diberikan.

Kelajuan juga menyumbang kepada terjadinya kemalangan. Kenderaan yang dipandu laju agak sukar untuk dikawal jika terjadinya perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

Setiap kali musim perayaan maka pihak berwajib akan melancarkan "Ops Sikap" bagi mendidik sikap pemandu supaya berhati-hati ketika memandu. Ada juga yang mengatakan bahawa Ops Sikap ini sebagai 'Tukang Kira' kadar kemalangan semasa musim perayaan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kemalangan sentiasa berlaku di negara ini tetapi Ops Sikap hanya tertumpu semasa musim perayaan sahaja. Mengapa tidak diperluaskan pada hari-hari lain?

Kelmarin saya mendapat idea daripada seseorang bahawa salah satu cara untuk mengecilkan kadar kemalangan di negara ini adalah dengan cara menghapuskan insurans semua kenderaan bermotor. Beliau mengatakan bahawa di Indonesia agak sukar untuk kita melihat kemalangan berlaku berbanding di Malaysia walaupun penduduk Indonesia lebih ramai berbanding Malaysia. Menurut sepupu saya yang berada di Banjarmasin, di Indonesia tiada insurans kenderaan bermotor maka apabila berlaku kemalangan mereka perlu menanggung kos baik pulih dengan menggunakan wang sendiri. Rundingan perlu dilakukan oleh pihak yang terlibat dalam kemalangan tanpa melibatkan pihak polis. Jika pihak polis terlibat maka keadaan akan bertambah rumit.

Persoalannya adakah wajar insurans kenderaan bermotor di Malaysia ini dihapuskan? Cuba bayangkan sekarang ni banyak pemandu memandu dengan laju tanpa menghiraukan keselamatan pemandu lain. Mereka beranggapan bahawa jika berlaku kemalangan mereka tidak perlu membayarnya kerana telah dilindungi insurans. Jika insurans kenderaan dihapuskan maka kita hanya perlu membayar cukai jalan sahaja, ni lagi jimat. Selain itu mungkin juga kadar kemalangan akan dapat dikurangkan kerana pemandu-pemandu semua akan berhati-hati supaya tidak terlibat dengan kemalangan. Sekarang ini insurans menjadi penyelamat kepada mereka, tetapi bukan penyelamat untuk kemalangan maut.

Perlukah pihak kerajaan mencari penawar kepada penyakit? Yang perlu diatasi adalah punca penyakit itu sendiri.. Adakah wajar insurans kenderaan dimansuhkan?

Rabu, September 16, 2009

Salam Aidilfitri 1430H..


aku cari bukan lampu suluh untuk menyuluh
aku cari hanya cahaya pelita
untuk menyinari tatkala senja menjelma
kini cahaya pelita telah ku jumpa
menandakan Aidilfitri hampir tiba


Salam Aidilfitri saya ucapkan kepada semua yang bertandang ke blog ini. Salam ini ditujukan kepada mereka yang menggelarkan diri sebagai Aspirasi, Mahasiswa dan tidak lupa kepada kelompok-kelompok Sosialis.. Salam Aidilfitri ditujukan juga kepada mereka yang gemar berpakat tak kiralah sama ada berpakat untuk mengumpat atau pun menyakat.. Juga ditujukan kepada mereka yang gemar berbaris menanti arahan pihak atasan (jangan memotong barisan..). Salam juga kepada mereka yang tidak memihak kepada mana-mana pihak.. Selamat Hari Raya Aidilfitri.

InsyaAllah ini merupakan penulisan saya yang terakhir di bulan Ramadhan ini dan akan bercuti selama seminggu.. Maklumlah nak beraya. Jangan risau sebab ini bukannya penulisan mengenai politik. Saya akan cuba tolak ke tepi bab-bab politik demi politik itu sendiri.

Tajuk blog saya ini ialah "Mencari Cahaya Pelita".. Kini saya sudah temui cahaya tersebut sebab banyak pelita dah dipasang sempena menyambut hari raya.. lepas ni bolehlah saya menyuluh dalam terang pulak.

Ramadhan sudah hampir ke penghujungnya, ini bererti Syawal akan menjelma. Masa inilah kita akan berasa seronoknya dapat habiskan puasa selama sebulan ni, maklumlah tak dapat makan siang..

Bila tiba hari raya masa inilah tiba-tiba kenangan lalu tiba-tiba menjelma kat kepala otak ni.. Masih ingat lagi kali pertama kita berpuasa? Ingat lagi berapa banyak 'rasuah' yang diberikan untuk mengajar kita berpuasa? Ingat lagi berapa banyak duit raya kita dapat? Ingat lagi berapa banyak atok dan nenek bagi kita duit raya? Masih ingat lagi kemeriahan hari raya semasa kita kanak-kanak dulu?

Semua itu hanya tinggal kenangan.. (tajuk lagu ni Dalam Kenangan) Kini kita tak dapat rasuah lagi sebab kita tahu puasa kita itu hanya untuk Allah S.W.T, duit raya pun tak dapat banyak macam dulu. Atok dan nenek pun dah tak ada untuk bagi duit raya.. Kemeriahan ketika berkumpul bersama saudara-mara di rumah atok dan nenek pun hanya tinggal kenangan kerana atok dan nenek dah pergi buat selama-lamanya..

Rasa macam nak mengalir air mata, tapi takut batal pulak puasa ni.. Banyak lagi kenangan yang akan muncul dalam fikiran kita bila tiba sesuatu peristiwa. Jika dulu kita berkumpul di rumah atok dan nenek tetapi kini hanya pusara mereka menjadi tempat kunjungan kita. Kepada mereka yang masih ada atok dan nenek, hargailah mereka..

Sebagai manusia biasa saya tidak terlepas daripada melakukan sebarang kesilapan semasa menulis di blog ini. Dengan rasa rendah diri saya dengan ini merendahkan diri saya yang sedia rendah ini memohon ampun dan maaf kepada anda semua yang sudi bertandang di blog ini. Sebarang kritikan dan kutukan adalah sebagai panduan kita semua, terutama sekali kepada saya sendiri.


Kepada anda semua, terutamanya kawan-kawan saya khasnya The Street Ruffian, Terjunkelangit dan LangkahKiri, nurcahaya, My new World, tak lupa kepada golongan BPA aziz-azmi dan ks30069 serta yang lain-lain termasuklah golongan Mahasiswa dan yang tiada arah, kepada cikgu-cikgu Sk. Sri Pasir Puteh, warga pendidik SMK. Dato' Seth Yong Peng, kepada semua ahli Persatuan Tingkatan Enam (PERTINA) 2006/2007, kepada sahabat-sahabat saya yang sentiasa di samping saya ketika senang dan susah Salam Aidilfitri diucapkan.

Kepada seluruh warga Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, kepada pelajar-pelajar Sains Politik PPSK USM, ahli-ahli dan barisan MT Kelab Sains Politik, kepada semua ahli dan MT Ikatan Mahasiswa Johor (IKMAR), dan semua warga USM Salam Aidilfitri saya ucapkan semoga ceria di hari raya..

Tak lupa juga kepada saudara-mara khasnya KULAAN BANJAR yang berada di selatan, timur, barat, tengah, utara seluruh negara, saudara-mara di Banjarmasin Kalimantan Indonesia, Abang Azam sekeluarga yang berada di Seoul Korea Selatan. Turut tidak dilupakan kepada Guru dan kaunselar serta penasihat saya Profesor Datuk Dr. Zainal Anuar Hashim dan isteri yang berada di Batu Pahat - baru dapat puteri..j uga kepada ibu bapa dan adik-beradik saya yang berada di Johor.. Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan..

Semoga Aidilfitri kali ini membuatkan suasana suram menjadi ceria..

Ingatlah bahawa budaya bermaafan bukan hanya dilakukan pada bulan Syawal sahaja tetapi perlu dilakukan pada setiap masa..

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin..

'Rasul Melayu' ditahan JAIS

Abdul Kahar Ahmad Jalal
atau dikenali sebagai
Rasul Melayu

SHAH ALAM: Selepas lebih tiga tahun melarikan diri daripada dibicarakan atas tuduhan mengaku sebagai Rasul Melayu, menyebarkan doktrin palsu, menghina Islam, dan menghina pihak berkuasa Islam, akhirnya Abdul Kahar Ahmad ditahan, pagi tadi.

Tertuduh ditahan sepasukan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selepas melarikan diri ke rumah barunya di Sungai Long, Kajang.

(Mutakhir - Berita Harian - 16 September 2009)

Persoalannya apakah tindakan yang akan dikenakan terhadap Rasul Melayu ini? Setahu saya peruntukan undang-undang syariah negara ini tidak mampu mengatasi masalah ini.. Saya yakin Rasul Melayu ini akan dikenakan denda kalau tidak silap saya mungkin tak lebih RM3000.00 dan penjara serta sebatan..

Saya tidak berapa mahir mengenai peruntukan undang-undang mahkamah syariah oleh sebab itu saya tidak akan memperkatakan berlandaskan undang-undang syariah.

Sebenarnya di luar sana bukan hanya si Kahar ni sahaja yang mengaku Rasul Melayu, mungkin ramai lagi.. Ada juga yang mengaku sebagai Imam Mahadi dan sebagainya.. Ada juga yang hanya melakukan amalan zikir tanpa solat, nikah batin dan sebagainya..

Persoalannya mengapakah perkara ini berlaku? Adakah kelemahan dari segi pemantauan atau kelemahan iman seseorang itu sendiri?

Rasanya Malaysia perlu mengamalkan undang-undang Hudud untuk memastikan tiada sesiapa berani melakukan perkara-perkara sedemikian.. Undang-undang Hudud yang saya maksudkan adalah undang-undang Hudud versi Al-Quran dan bukannya versi sesebuah institusi politik..

Fikirkanlah wahai generasi muda..

Sabtu, September 12, 2009

Perbalahan kunci kelemahan..

Salam Ramadhan, Salam Sejahtera, Salam Perpaduan, Salam Aspirasi, Salam Mahasiswa, Salam Sosialis, Salam Ceria, Salam Ukhwah dan Salam Aidilfitri kepada semua yang sengaja mahupun tidak sengaja telah tersinggah di blog hamba Allah yang kerdil ini.. Kembali kita semula ke segmen politik di dalam blog ini. Rasa tak lengkap sebab tak ada segmen politik.

Sejak kebelakangan ini saya cukup tertarik dengan beberapa pendapat yang dilontarkan di dalam blog rakan-rakan saya dan blog-blog yang saya ikuti. Oleh sebab itu maka saya rasa terpanggil untuk menulis perkara ini. Masing-masing menyatakan rasa cukup terkilan dengan tindakan yang dilakukan oleh mereka yang bukan Islam terhadap orang Islam. Sikap hormat-menghormati sudah semakin hilang dari dalam diri. Sikap tolak ansur kita semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama, budaya dan sebagainya sudah semakin menghilang.

Setelah lebih 50 tahun kita berkongsi bumi bertuah bernama MALAYSIA ini dengan kaum-kaum lain, mengapa hari ini jurang antara kaum semakin ketara? Mengapa masih ada yang tidak menghormati agama-agama lain? Mengapa wujud prasangka buruk terhadap kaum-kaum lain?

Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan peristiwa yang akan diingati sampai bila-bila. Rusuhan kaum berlaku, pembunuhan berlaku tanpa belas kasihan..dimanakah erti kemanusiaan?

Pilihanraya Umum ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008 yang mencatat sejarah apabila Barisan Nasional gagal mendapat majoriti 2/3 dalam Dewan Rakyat. Inilah kali kedua BN gagal mendapat majoriti 2/3 di dalam Dewan Rakyat selepas pilihanraya umum 1969. Selepas PRU ke-12 kita didendangkan dengan pelbagai drama politik yang dimainkan oleh mereka yang hanya berpolitik sehingga mengabaikan peranan sebagai pemimpin yang telah dipilih oleh para pengundi.

Pelbagai isu telah dibangkitkan oleh pihak-pihak yang berkenaan. Selama ini tiada yang mempertikai Islam sebagai agama rasmi. Tiada yang berani mempertikai laungan azan. Tiada siapa berani mempertikai mengenai wang kutipan zakat. Tiada siapa yang berani mencabar hak-hak keistimewaan Melayu. Tiada siapa berani menganggu-gugat kepentingan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang dikhaskan terhadap Bumiputera. Tiada siapa yang berani mencabar hak-hak Raja-Raja Melayu. Tiada siapa juga berani mempertikai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan tiada siapa juga berani mempertikai itu dan ini semasa kerajaan UMNO dan BN mempunyai kekuatan di dalam tampuk pemerintahan. (termasuklah tiada siapa yang berani memijak kepala lembu semasa BN kuat).

Selepas kegagalan BN mengekalkan majoriti 2/3 kerusi di Dewan Rakyat maka terdengarlah suara-suara sumbang yang mempertikai perkara itu dan perkara ini. Sekarang kerusi BN di Dewan Rakyat hanya 139 kerusi (148 majoriti 2/3), PAS 23 kerusi, DAP 28 kerusi, PKR 31 kerusi, Bebas 1 kerusi. UMNO sebuah parti yang dominan di dalam BN dan Dewan Rakyat. Kini UMNO menguasai 78 kerusi di Dewan Rakyat.

Persoalannya mengapakah wujud suara-suara sumbang mempertikai hak-hak yang telah termaktub di dalam Perlembagaan? Saya teringat satu perkara..renungkanlah perkara di bawah ini..

'Amir bin Said dari bapanya berkata bahawa; "Satu hari Rasulullah S.A.W telah datang dari daerah berbukit. Apabila Rasulullah S.A.W sampai di masjid Bani Mu'awiyah lalu baginda masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat dua rakaat. Maka kami pun turut bersolat bersama dengan Rasulullah S.A.W. Kemudian Rasulullah S.A.W berdoa dengan doa yang agak panjang kepada Allah S.W.T. Setelah selesai baginda berdoa, maka Rasulullah S.A.W pun berpaling kepada kami lalu baginda bersabda yang bermaksud : "Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T tiga perkara, dalam tiga perkara itu Allah cuma memperkenankan dua sahaja dan satu lagi ditolak.
  1. Aku telah memohon kepada Allah S.W.T supaya tidak membinasakan umatku dengan musim susah yang berpanjangan. Permohonanku ini telah diperkenankan oleh Allah S.W.T
  2. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku ini jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang telah melanda umat Nabi Nuh a.s). Permohonanku ini telah diperkenankan oleh Allah S.W.T.
  3. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku tidak dibinasakan kerana pergaduhan sesama mereka (peperangan, pergaduhan antara sesama Islam). Tetapi permohonanku ini tidak diperkenankan (telah ditolak).

Tidak dapat dinafikan bahawa orang Islam menguasai majoriti kerusi di dalam Dewan Rakyat. UMNO menguasai 78 kerusi, PAS pula sebanyak 23 kerusi, PKR menguasai 20 kerusi, Bebas 1 kerusi, manakala komponen BN (PBB) di Sarawak sebanyak 9 kerusi. Hal ini bererti kerusi parlimen orang-orang Islam di dalam Dewan Rakyat ialah sebanyak 131 kerusi daripada 222 kerusi. 91 kerusi lagi adalah milik bukan Melayu dan Islam.

Walaupun memiliki sebanyak 131 kerusi tetapi gagal menentang mereka yang mempertikai hak-hak dan menghina Islam. Akibat berbalah kerana berlainan ideologi politik maka agama Islam yang suci ini telah menjadi mangsa. Cuba kita fikir apakah yang akan berlaku jika semakin banyak kerusi-kerusi orang Melayu Islam hilang dan dikuasai oleh mereka yang memusuhi Islam?

Secara jelas dapat dilihat bahawa akibat pergaduhan sesama kita sendiri merupakan penyebab utama mengapa orang lain berani mempertikai hak-hak kita. Kelemahan yang kita reka sendiri merupakan penyebab utama. Apa yang kita lihat hari ini ialah negara-negara Islam sendiri bergaduh antara satu sama lain. Hari ini juga orang Islam bergaduh sesama sendiri. Orang-orang bukan Islam yang memusuhi Islam tertawa sambil menepuk tangan dari belakang. Apakah perkara ini merupakan sesuatu yang indah untuk kita perhatikan?

Jangan kerana tamakkan kuasa dan ingin mengejar cita-cita politik maka Islam dicemari dengan pelbagai kotoran. Sebagai orang Islam kita wajib mempertahankan kesucian Islam itu sendiri. Janganlah menggunakan Islam hanya untuk mencapai cita-cita politik sehingga mencemarinya.

Perbalahan negara-negara Islam telah menyebabkan Amerika Syarikat dan sekutunya berani menyerang Afghanistan dan Iraq. Tiada bantuan dihulurkan supaya serangan tersebut dihentikan, kerana masing-masing hanya menjaga kepentingan ekonomi dan mempunyai masalah dengan kepimpinan negara yang telah diserang oleh pihak bersekutu.

Di Malaysia saya lihat sudah wujud bibit-bibit kehilangan kuasa oleh pihak Islam. UMNO dan PAS sukar untuk bekerjasama selagi kisah silam tidak dilupakan. UMNO hanya bercakap mengenai Melayu Islam manakala PAS pula bercakap mengenai Islam. Islam itu adalah agama manakala Melayu itu adalah bangsa. Islam itu untuk semua dan bukannya untuk sesetengah pihak sahaja. Mengapa UMNO dan PAS sukar untuk bekerjasama? Dato' Sri Najib Razak bersedia untuk bekerjasama dengan PAS. Presiden PAS iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri telah menghulurkan salam untuk bekerjasama tetapi terpaksa menarik semula salam tersebut setelah tidak dipersetujui oleh Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Apalah salahnya jika UMNO dan PAS bekerjasama supaya Islam dan Melayu akan dihormati..

Memang benar hari ini kita bercakap mengenai 1 Malaysia dan Bangsa Malaysia. Saya berpendapat adalah menjadi suatu masalah yang cukup besar untuk kita mencapai status negara Bangsa Malaysia selagi wujudnya sistem pendidikan yang berasaskan kaum. Apa-apa pun saya tidak mahu bercakap sistem pendidikan negara.

Saya hanya mampu berdoa dan berharap supaya Islam dan bahasa Melayu kekal sebagai agama dan bahasa rasmi negara ini. Saya juga berharap raja-raja Melayu kekal sebagai pengimbang kepada perbezaan politik tanah air. Ini hanya harapan, walaupun sukar untuk diungkapkan tetapi bibit-bibit kehilangan kuasa oleh Islam di negara ini sudah kelihatan.

Kepada siapa lagi yang kita hendak harapkan? UMNO yang menguasai BN tidak sekuat dahulu setelah parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan mengalami kekalahan teruk di dalam PRU ke-12. Walaupun UMNO menguasai 78 kerusi di Dewan Rakyat tetapi jumlah ini bukanlah boleh dibanggakan.

PAS yang suatu ketika melaung-laungkan slogan "Negara Islam" kini terpaksa menyepi kerana berkongsi kuasa dengan PKR dan DAP di dalam PR. PAS dahulu cukup dihormati kerana mengamalkan dasar yang konsisten semasa di bawah kepimpinan Allahyarham Tan Sri Asri Muda dan Allahyarham Datuk Ustaz Fadzil Noor. Mengapa PAS cukup berlainan pada hari ini? Adakah kerana dikongkong oleh DAP? Jawapannya tiada pada saya, hanya mereka boleh menjawabnya.

Islam akan dihormati jika perselisihan faham dapat dielakkan. UMNO dan PAS merupakan parti yang mengamalkan ajaran Islam perlu menjaga kesucian agama ini. Perpaduan umat Islam perlu dimulakan dengan perpaduan parti-parti politik Islam itu sendiri. Jika Islam kuat maka tiada siapa akan mempersenda Islam. Tiada siapa yang akan menghina solat lima waktu sehari semalam dan tiada siapa juga yang akan menghina dengan makan dan minum semasa majlis berbuka puasa sebelum tiba waktu berbuka puasa jika kita benar-benar bersatu.

*UMNO = Perpaduan Melayu , PAS = Perpaduan Islam
**Apa yang susah sangat? Ikut Perlembagaan, Melayu itu mesti Islam barulah ia akan dapat hak-hak istimewa sebagai Bumiputera dan Melayu. Islam kat Malaysia ni pun ramai orang Melayu.. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih.

Renungkanlah bersama..

Salam Ramadhan, Salam Sejahtera, Salam Aspirasi, Salam Mahasiswa, Salam Sosialis, Salam Ukhwah dan Salam Aidilfitri kepada semua yang sengaja mahupun tidak sengaja telah tersinggah di blog hamba Allah yang kerdil ini..

Pada mulanya saya agak keberatan nak memasukkan topik baru dalam blog ni tetapi di atas rasa tanggungjawab sebagai seorang Islam dan peranan sebagai penuntut ilmu di USM kita kena merajin-rajinkan diri dalam melontarkan pandangan dan idea. Bab ini saya tujukan kepada diri saya sendiri, kepada mereka yang berkenaan dan tidak ada kena mengena dengan yang tidak berkenaan.. Sama-samalah kita merebut kelebihan di malam 10 terakhir Ramadhan ini.

Hari ini 22 Ramadhan 1430 Hijrah bersamaan 12 Sepetember 2009 dan bermakna sudah 22 hari umat Islam seluruh dunia menjalankan ibadah puasa. Sebagai umat Islam pernahkan kita bertanya kepada diri sendiri adakah puasa yang kita lakukan ini benar-benar diterima oleh Allah S.W.T? Adakah ibadah puasa kita ini hanya dilakukan sebab nak sambut hari raya? Apakah erti puasa jika kita hanya berpuasa tetapi meninggalkan ibadah-ibadah yang diwajibkan? Kita sedia maklum bahawa ibadah puasa yang kita jalani ini adalah untuk Allah S.W.T..

Apakah ertinya berpuasa jika ibadah-ibadah wajib yang lain tidak dilakukan. Letih berpuasa seharian tetapi solat ditinggalkan, bercerita mengenai keburukan orang lain, menghina dan memfitnah serta membuka aib saudara seagama sendiri.. Apakah yang diperolehi oleh mereka ini? Memang benar bahawa dosa dan pahala itu hak Allah S.W.T, memang benar juga bahawa syurga dan neraka itu hak milik mutlak Allah S.W.T, tetapi sebagai umat Islam tidak pernahkah mereka ini berfikir bahawa puasa itu bukanlah budaya tetapi satu kewajipan ke atas umat Islam. Ibadah-ibadah sunat janganlah di tanya sebab yang wajib pun ditinggalkan.. Apa-apa pun jangan pertikai tetapi sebagai saudara seagama kita merasakan perlu untuk menegur mereka ini.

Apabila kita berpuasa bererti kita mengajar diri kita erti kesabaran atas nama Allah S.W.T, dan bukan kerana hal-hal lain.. Jika kesabaran dapat dilatih selama sebulan ini, InsyaAllah ia akan dapat melatih jiwa untuk bersabar dalam menanggung kesusahan kerana Allah S.W.T. Apabila kita berdepan dengan kemalangan mahupun kesusahan, duka, kecewa, hampa ataupun kegagalan, jiwa kita akan tunduk dan sabar dengan ujian Allah S.W.T. Kita perlu bersabar dengan segala ujian-Nya. Janganlah kita menunjukkan kemarahan dengan memberontak. Sebaliknya kesabaran menghadapi ujian semakin meningkatkan rasa kehambaan dalam diri kita kerana merasakan lemahnya diri untuk menolak takdir ketentuan Allah S.W.T. Didiklah diri kita untuk mencapai tahap jiwa yang tenang.

Seseorang yang merasakan puasanya selama ini tidak dapat membuatkan jiwanya bersabar terhadap kesusahan, kegagalan mengawal nafsu amarah maka ia sama jugalah seperti orang yang tidak berpuasa. Jika puasanya tidak membuahkan akhlak yang mulia dengan Allah S.W.T dan sesama manusia tak kiralah Islam mahupun terhadap bukan Islam, maka jadilah puasanya itu seperti mana sabda Baginda Rasulullah S.A.W; "Tidak diperolehi apa-apa dari puasa itu melainkan hanya lapar dan dahaga".

Kita berlindung dengan ALLAH S.W.T daripada kerugian demikian.

Jumaat, September 04, 2009

Pemergian ADUN Bagan Pinang.. Al-Fatehah


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N31 Bagan Pinang, Negeri Sembilan iaitu YB. Azman Mohd Noor meninggal dunia hari ini 4 September 2009 bersamaan 14 Ramadhan 1430 Hijrah. Beliau meninggal dunia kerana serangan sakit jantung pada jam 2.30 petang di Pusat Pakar Seremban.

Di dalam pilihanraya umum yang lepas Allahyarham memenangi kerusi DUN Bagan Pinang dengan majoriti sebanyak 2,333 undi. Allahyarham memperolehi undi sebanyak 6,430 undi manakala lawannya calon PAS, Ramli Ismail mendapat 4,097 undi.

DUN Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi berdaftar dengan pecahan Melayu 66%, Cina 10.5%, India 19.9% dan lain-lain 3.5%.

Sejak pilihanraya umum yang ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008, sebanyak 8 pilihanraya kecil telah diadakan. DUN Bagan Pinang pula akan menjadi pilihanraya kecil yang ke-9.

Daripada 8 PRK yang telah diadakan, kesemuanya dimenangi oleh Pakatan Rakyat kecuali DUN Batang Ai di Sarawak. Kalau diikutkan BN hanya tewas 1 kerusi sahaja kerana gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu, manakala Pakatan Rakyat pula berjaya mengekalkan kerusi-kerusi yang dimenangi dalam pilihanraya umum yang lalu.

Justeru, pilihanraya kecil Bagan Pinang ini cukup menarik untuk kita perhatikan kerana kerusi ini merupakan milik BN dan BN bakal bersaing dengan lawannya yang sudah tentulah daripada PAS.

Persoalannya di sini ialah adakah DUN Bagan Pinang akan menjadi seperti Parlimen Kuala Terengganu yang terlepas ke tangan pembangkang atau adakah DUN Bagan Pinang akan menjadi seperti DUN Batang Ai yang memperlihatkan BN berjaya mengekalkan kerusi tersebut?

Dalam pilihanraya kecil di DUN Bagan Pinang ini sudah tentulah BN akan bertanding kerana kekosongan kerusi ini bukanlah disebabkan oleh permainan politik yang hanya ingin berpolitik tetapi kurang bekerja. Kekosongannya adalah disebabkan kematian penyandangnya dan bukannya disebabkan perletakkan jawatan untuk menyambung belajar.

Salam takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Azman Mohd Noor, semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman..

Al-Fatehah..

Adakah nasib BN sama seperti LDP di Jepun??


Agenda rakyat bawa kemenangan DPJ


AKHIRNYA, Parti Liberal Demokratik (LDP), yang telah memerintah Jepun secara terus-menerus selama 54 tahun dan banyak berjasa membawa negara Matahari Terbit itu menjadi kuasa besar ekonomi dunia, kecundang di tangan parti pembangkang baru - Parti Demokratik Jepun (DPJ), sebuah parti berhaluan tengah-kiri.

Kekalahan dramatik LDP itu, sekali gus mencatat sejarah dalam politik Jepun, apabila sebuah parti paling kuat dan berpengaruh tumbang di tangan parti baru, yang tidak pernah mempunyai pengalaman memerintah.

Kekalahan itu turut menamatkan krisis dalaman LDP, yang menjadi antara punca utama kekalahan parti itu, apabila Perdana Menteri Jepun Taro Aso yang memimpin LDP dan beberapa pemimpin kanan parti itu mengumumkan akan meletakkan jawatan bagi memikul tanggungjawab atas kekalahan teruk LDP pada pilihan raya Jepun, Ahad lalu.

Kejatuhan LDP adalah akibat kemarahan rakyat dan kekecewaan rakyat yang meluap-luap setelah parti itu mengabaikan kepentingan rakyat dan lebih memberi tumpuan kepada golongan korporat dan birokrat.

Kelemahan kepimpinan Aso serta pelbagai skandal yang melingkari Kabinetnya, sejak dia mengambil alih teraju parti dan kerajaan tidak sampai setahun lalu, turut menyumbang kepada kekalahan LDP.

Tanda-tanda kekalahan LDP telah bermula sejak 2006, selepas Perdana Menteri Jepun yang berpengaruh, Junichiro Koizumi meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, bayang-bayang kekalahan LDP sebenarnya telah bermula lebih awal sejak 1990-an lagi, apabila dasar pasaran bebas yang diperkenalkan oleh parti pemerintah itu memakan diri apabila dasar itu mewujudkan jurang ketara antara golongan miskin dan kaya di Jepun.

Kesilapan LDP ialah apabila dasar itu yang telah mewujudkan kebencian di kalangan rakyat terhadap parti pemerintah itu, diteruskan oleh Aso melalui kempen 'mesra perniagaan' yang diperjuangkannya pada pilihan raya Ahad lalu, yang akhirnya membawa padah.

Sejak Koizumi meletakkan jawatan pada 2006, LDP telah melantik tiga Perdana Menteri termasuk yang terakhir Taro Aso.

Segala dasar mengenai ekonomi yang dirancang LDP menemui jalan buntu kerana kedudukan LDP yang lemah di Dewan Tinggi yang dikuasai DPJ.

Ketika inilah DPJ yang ditubuhkan pada 1998, memperluaskan pengaruhnya. Rakyat mula melihat DPJ yang dipimpin Yukio Hatoyama, sebagai pilihan untuk membawa Jepun keluar daripada kemelut ekonomi.

Kemenangan DPJ pula banyak dipengaruhi oleh janji-janji Yukio Hatoyama yang mendokong agenda rakyat dan lebih memandang kepada Asia berbanding kempen 'mesra perniagaan' yang dibawa LDP.

Hatoyama antara lain berjanji untuk mengurangkan pergantungan Jepun kepada Amerika Syarikat (AS), sebaliknya mahu berkerja rapat ke arah pembentukan Komuniti Asia Timur berdasarkan model Kesatuan Eropah, yang turut diperjuangkan oleh ASEAN.

Agenda rakyat yang dibawa oleh Hatoyama itu berjaya menarik sokongan rakyat terhadap DPJ, terutama langkah parti itu mahu menghapuskan penyelewengan dan mengatasi pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan.

Secara umum, Hatoyama dilihat tidak menghadapi masalah untuk melaksanakan semua perubahan dan janji yang telah dibuat, memandangkan partinya kini menguasai majoriti bukan sahaja di Dewan Rendah tetapi juga di Dewan Tinggi, di Diet (Parlimen) Jepun.

(Utusan Malaysia 1 September 2009)

Nampaknya satu sejarah telah tercipta dalam pilihanraya Jepun. Kemenangan Parti Demokratik Jepun dalam pilihanraya telah menumbangkan Parti Liberal Demokratik Jepun yang memerintah selama selama 54 tahun secara berkongsi kuasa dengan parti-parti kecil. Peristiwa ini menjadi sejarah kerana LDP sebuah parti yang kuat dan mempunyai asas yang kukuh mampu ditumbangkan dalam sekelip mata oleh parti yang baru ditubuhkan pada tahun 1998. Hal ini menunjukkan bahawa sesebuah institusi itu akan tumbang jika dipimpin oleh mereka yang lemah dan tidak berwibawa. (Gambar PM Jepun yang kalah, Taro Aso)

Persoalannya sekarang ialah adakah UMNO dan BN sudah mengambil ikhtibar dalam kes kekalahan LDP di Jepun? Jika UMNO hanya terus mementingkan golongan tertentu sahaja maka tidak mustahil nasib UMNO dan BN juga akan senasib dengan LDP. Rasanya tinggal 2 tahun sahaja lagi untuk diadakan pilihanraya umum yang ke-13. Masa itu BN telah memerintah Malaysia selama 54 tahun. Persoalannya di sini adakah BN akan terus memerintah atau adakah BN akan senasib dengan LDP di Jepun?

Tidak mustahil UMNO dan BN akan menjadi seperti LDP di Jepun. Tanda-tandanya pun telah kelihatan. Dengan hanya sekali kejatuhan sahaja, segala jasa-jasa UMNO dan BN serta pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu akan hanya menjadi habuk dalam sekelip mata, dan habuk itu akan dibuang begitu saja.

Ingatlah..tidak mustahil untuk UMNO dan BN menerima nasib seperti LDP di Jepun. LDP pernah tewas seketika tetapi kemudian menjadi kerajaan semula. Adakah UMNO dan BN akan menerima nasib yang sama? Kita hanya memerhati dan membuat andaian sahaja. Tunggu dan lihat..

Khamis, September 03, 2009

Adik-beradik gaduh lagi..

Hari ini akhbar melaporkan bahawa sekumpulan pelajar Indonesia telah menyerang kedutaan Malaysia dengan telur busuk. Mereka telah menyerbu masuk ke kedutaan dan melemparkan telur busuk serta pelajar-pelajar tersebut telah memasang bendera Indonesia di pagar kedutaan Malaysia di Indonesia. Hal ini berlaku kerana membantah kontroversi yang membabitkan penggunaan tarian tradisi Bali dalam promosi pelancongan Malaysia. Walaupun telah diberikan penjelasan mengenai perkara itu, namun pihak disebelah sana terus memanipulasi perkara tersebut.

Malaysia dan Indonesia adalah negara serumpun yang mempunyai banyak persamaan. Pernah suatu ketika ingin disatukan menjadi sebuah negara. Bak kata orang adik-beradik ni lazimnya kerap berselisih pendapat.

Kalau ikut sejarah, Malaysia dan Indonesia ni memang selalu jugak la bergaduh. Gagasan Malaysia telah mencetuskan rasa tidak puas hati pihak Indonesia yang ketika itu berada di bawah Sukarno. Maka berlakulah konfrontasi antara Indonesia dan Malaysia. Sukarno menganggap gagasan Malaysia yang mengabungkan Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak sebagai penjajahan bentuk baru oleh pihak British. Maka pada 27 Julai 1963 Indonesia telah melancarkan Gerakan Ganyang Malaysia.

Selain itu pertikaian hak milik terhadap Kepulauan Sipadan dan Lingitan (betul kot ejaan ni) juga turut menjadi duri dalam daging hubungan Malaysia - Indonesia. Kemuncak kepada penghinaan terhadap Malaysia ialah apabila segelintir rakyat Indonesia yang berdemonstrasi telah membakar bendera Malaysia Jalur Gemilang. Perkara ini telah mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia. Walaupun begitu Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil sikap yang rasional dengan tidak membalas apa yang telah dilakukan oleh penunjuk perasaan itu. Dr. Mahathir berkata bahawa tindakan membakar bendera Malaysia itu hanya dilakukan oleh segelintir pihak sahaja dan tidak mewakili seluruh rakyat Indonesia. Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah memutuskan bahawa kedua-dua pulau itu sah milik Malaysia.

Baru-baru ini juga kecoh hal mengenai Manohara. Siapa dia ni? Perempuan ni pun boleh jadi isu dalam mengeruhkan hubungan Malaysia dan Indonesia. Manohara adalah Cik Puan Temenggong Kelantan. Malas nak cerita hal ni.. sensitif sangat, hal rumah tangga tak nak campur.

Kes penderaan pembantu rumah oleh majikan yang tak bertanggungjawab pun boleh jadi isu.. Ini cuma kes yang melibatkan individu tapi kenapa mengeruhkan hubungan antara negara? Entahlah.. Sampai nak sekat penghantaran pembantu rumah ke Malaysia. Tak nak hantar tak apalah, apa nak buat..terpaksalah cari pembantu rumah daripada Filipina atau Thailand.. Tak lama lepas tu arahan untuk menghentikan penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia telah ditarik semula.

Kat tempat saya ada sorang mamat Indonesia ni cukup bangga bila bercerita sebab dia kata pusat pentadbiran Johor yang baru iaitu Nusajaya tu dia yang buat..memang la dia yang buat sebab dia tenaga buruh dari Indonesia. Tak dapat dinafikan banyak bangunan kat Malaysia ni adalah hasil kerja tangan daripada tenaga buruh Indonesia. Sekarang ni kita fikir rasional je la, Malaysia buka peluang pekerjaan untuk rakyat Indonesia dan rakyat Indonesia pula bantu kita untuk memakmurkan ekonomi negara. Inilah konsep tolong-menolong. Kita ni serumpun..

Malaysia ni memang tak ada kebudayaan sendiri.. Berapa kerat sangatlah rakyat Malaysia yang betul-betul original Melayu. Yang ramai kat Malaysia ni orang Jawa, Banjar, Bugis, Minang, Malabari, keturunan-keturunan Arab, Serani, Madura, aahh banyak lagilah..saya sendiri tak ingat.. Siapa mereka ni? Mereka ni bangsa pendatang yang kebanyakannya datang daripada Kepulauan Nusantara. Datang dari Pulau Jawa, Pulau Sumatera, Pulau Borneo Kalimantan, Pulau Sulawesi dan sebagainya. Jadi tak peliklah kalau banyak kebudayaan macam tarian dan nyanyian yang sama dengan kebudayaan Indonesia.

Kenapa Indonesia terlalu sensitif mengenai perkara ini? Pernahkah kita dengar negara India pertikai kebudayaan orang India Malaysia? Pernahkah kita dengar orang Cina di China pertikai kebudayaan masyarakat Cina di Malaysia? Pernahkah? Macam tak pernahkan? Rasanyalah..

Cukup sedih bila mengenangkan perkara ni.. Kita satu rumpun, empayar kita bukan besar mana pun tapi kerap berlaku perselisihan faham. Baca dan kajilah bahan-bahan sejarah..