Followers

Jumaat, September 04, 2009

Pemergian ADUN Bagan Pinang.. Al-Fatehah


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N31 Bagan Pinang, Negeri Sembilan iaitu YB. Azman Mohd Noor meninggal dunia hari ini 4 September 2009 bersamaan 14 Ramadhan 1430 Hijrah. Beliau meninggal dunia kerana serangan sakit jantung pada jam 2.30 petang di Pusat Pakar Seremban.

Di dalam pilihanraya umum yang lepas Allahyarham memenangi kerusi DUN Bagan Pinang dengan majoriti sebanyak 2,333 undi. Allahyarham memperolehi undi sebanyak 6,430 undi manakala lawannya calon PAS, Ramli Ismail mendapat 4,097 undi.

DUN Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi berdaftar dengan pecahan Melayu 66%, Cina 10.5%, India 19.9% dan lain-lain 3.5%.

Sejak pilihanraya umum yang ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008, sebanyak 8 pilihanraya kecil telah diadakan. DUN Bagan Pinang pula akan menjadi pilihanraya kecil yang ke-9.

Daripada 8 PRK yang telah diadakan, kesemuanya dimenangi oleh Pakatan Rakyat kecuali DUN Batang Ai di Sarawak. Kalau diikutkan BN hanya tewas 1 kerusi sahaja kerana gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu, manakala Pakatan Rakyat pula berjaya mengekalkan kerusi-kerusi yang dimenangi dalam pilihanraya umum yang lalu.

Justeru, pilihanraya kecil Bagan Pinang ini cukup menarik untuk kita perhatikan kerana kerusi ini merupakan milik BN dan BN bakal bersaing dengan lawannya yang sudah tentulah daripada PAS.

Persoalannya di sini ialah adakah DUN Bagan Pinang akan menjadi seperti Parlimen Kuala Terengganu yang terlepas ke tangan pembangkang atau adakah DUN Bagan Pinang akan menjadi seperti DUN Batang Ai yang memperlihatkan BN berjaya mengekalkan kerusi tersebut?

Dalam pilihanraya kecil di DUN Bagan Pinang ini sudah tentulah BN akan bertanding kerana kekosongan kerusi ini bukanlah disebabkan oleh permainan politik yang hanya ingin berpolitik tetapi kurang bekerja. Kekosongannya adalah disebabkan kematian penyandangnya dan bukannya disebabkan perletakkan jawatan untuk menyambung belajar.

Salam takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Azman Mohd Noor, semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman..

Al-Fatehah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan