Followers

Sabtu, September 12, 2009

Perbalahan kunci kelemahan..

Salam Ramadhan, Salam Sejahtera, Salam Perpaduan, Salam Aspirasi, Salam Mahasiswa, Salam Sosialis, Salam Ceria, Salam Ukhwah dan Salam Aidilfitri kepada semua yang sengaja mahupun tidak sengaja telah tersinggah di blog hamba Allah yang kerdil ini.. Kembali kita semula ke segmen politik di dalam blog ini. Rasa tak lengkap sebab tak ada segmen politik.

Sejak kebelakangan ini saya cukup tertarik dengan beberapa pendapat yang dilontarkan di dalam blog rakan-rakan saya dan blog-blog yang saya ikuti. Oleh sebab itu maka saya rasa terpanggil untuk menulis perkara ini. Masing-masing menyatakan rasa cukup terkilan dengan tindakan yang dilakukan oleh mereka yang bukan Islam terhadap orang Islam. Sikap hormat-menghormati sudah semakin hilang dari dalam diri. Sikap tolak ansur kita semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama, budaya dan sebagainya sudah semakin menghilang.

Setelah lebih 50 tahun kita berkongsi bumi bertuah bernama MALAYSIA ini dengan kaum-kaum lain, mengapa hari ini jurang antara kaum semakin ketara? Mengapa masih ada yang tidak menghormati agama-agama lain? Mengapa wujud prasangka buruk terhadap kaum-kaum lain?

Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan peristiwa yang akan diingati sampai bila-bila. Rusuhan kaum berlaku, pembunuhan berlaku tanpa belas kasihan..dimanakah erti kemanusiaan?

Pilihanraya Umum ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008 yang mencatat sejarah apabila Barisan Nasional gagal mendapat majoriti 2/3 dalam Dewan Rakyat. Inilah kali kedua BN gagal mendapat majoriti 2/3 di dalam Dewan Rakyat selepas pilihanraya umum 1969. Selepas PRU ke-12 kita didendangkan dengan pelbagai drama politik yang dimainkan oleh mereka yang hanya berpolitik sehingga mengabaikan peranan sebagai pemimpin yang telah dipilih oleh para pengundi.

Pelbagai isu telah dibangkitkan oleh pihak-pihak yang berkenaan. Selama ini tiada yang mempertikai Islam sebagai agama rasmi. Tiada yang berani mempertikai laungan azan. Tiada siapa berani mempertikai mengenai wang kutipan zakat. Tiada siapa yang berani mencabar hak-hak keistimewaan Melayu. Tiada siapa berani menganggu-gugat kepentingan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang dikhaskan terhadap Bumiputera. Tiada siapa yang berani mencabar hak-hak Raja-Raja Melayu. Tiada siapa juga berani mempertikai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan tiada siapa juga berani mempertikai itu dan ini semasa kerajaan UMNO dan BN mempunyai kekuatan di dalam tampuk pemerintahan. (termasuklah tiada siapa yang berani memijak kepala lembu semasa BN kuat).

Selepas kegagalan BN mengekalkan majoriti 2/3 kerusi di Dewan Rakyat maka terdengarlah suara-suara sumbang yang mempertikai perkara itu dan perkara ini. Sekarang kerusi BN di Dewan Rakyat hanya 139 kerusi (148 majoriti 2/3), PAS 23 kerusi, DAP 28 kerusi, PKR 31 kerusi, Bebas 1 kerusi. UMNO sebuah parti yang dominan di dalam BN dan Dewan Rakyat. Kini UMNO menguasai 78 kerusi di Dewan Rakyat.

Persoalannya mengapakah wujud suara-suara sumbang mempertikai hak-hak yang telah termaktub di dalam Perlembagaan? Saya teringat satu perkara..renungkanlah perkara di bawah ini..

'Amir bin Said dari bapanya berkata bahawa; "Satu hari Rasulullah S.A.W telah datang dari daerah berbukit. Apabila Rasulullah S.A.W sampai di masjid Bani Mu'awiyah lalu baginda masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat dua rakaat. Maka kami pun turut bersolat bersama dengan Rasulullah S.A.W. Kemudian Rasulullah S.A.W berdoa dengan doa yang agak panjang kepada Allah S.W.T. Setelah selesai baginda berdoa, maka Rasulullah S.A.W pun berpaling kepada kami lalu baginda bersabda yang bermaksud : "Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T tiga perkara, dalam tiga perkara itu Allah cuma memperkenankan dua sahaja dan satu lagi ditolak.
  1. Aku telah memohon kepada Allah S.W.T supaya tidak membinasakan umatku dengan musim susah yang berpanjangan. Permohonanku ini telah diperkenankan oleh Allah S.W.T
  2. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku ini jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang telah melanda umat Nabi Nuh a.s). Permohonanku ini telah diperkenankan oleh Allah S.W.T.
  3. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku tidak dibinasakan kerana pergaduhan sesama mereka (peperangan, pergaduhan antara sesama Islam). Tetapi permohonanku ini tidak diperkenankan (telah ditolak).

Tidak dapat dinafikan bahawa orang Islam menguasai majoriti kerusi di dalam Dewan Rakyat. UMNO menguasai 78 kerusi, PAS pula sebanyak 23 kerusi, PKR menguasai 20 kerusi, Bebas 1 kerusi, manakala komponen BN (PBB) di Sarawak sebanyak 9 kerusi. Hal ini bererti kerusi parlimen orang-orang Islam di dalam Dewan Rakyat ialah sebanyak 131 kerusi daripada 222 kerusi. 91 kerusi lagi adalah milik bukan Melayu dan Islam.

Walaupun memiliki sebanyak 131 kerusi tetapi gagal menentang mereka yang mempertikai hak-hak dan menghina Islam. Akibat berbalah kerana berlainan ideologi politik maka agama Islam yang suci ini telah menjadi mangsa. Cuba kita fikir apakah yang akan berlaku jika semakin banyak kerusi-kerusi orang Melayu Islam hilang dan dikuasai oleh mereka yang memusuhi Islam?

Secara jelas dapat dilihat bahawa akibat pergaduhan sesama kita sendiri merupakan penyebab utama mengapa orang lain berani mempertikai hak-hak kita. Kelemahan yang kita reka sendiri merupakan penyebab utama. Apa yang kita lihat hari ini ialah negara-negara Islam sendiri bergaduh antara satu sama lain. Hari ini juga orang Islam bergaduh sesama sendiri. Orang-orang bukan Islam yang memusuhi Islam tertawa sambil menepuk tangan dari belakang. Apakah perkara ini merupakan sesuatu yang indah untuk kita perhatikan?

Jangan kerana tamakkan kuasa dan ingin mengejar cita-cita politik maka Islam dicemari dengan pelbagai kotoran. Sebagai orang Islam kita wajib mempertahankan kesucian Islam itu sendiri. Janganlah menggunakan Islam hanya untuk mencapai cita-cita politik sehingga mencemarinya.

Perbalahan negara-negara Islam telah menyebabkan Amerika Syarikat dan sekutunya berani menyerang Afghanistan dan Iraq. Tiada bantuan dihulurkan supaya serangan tersebut dihentikan, kerana masing-masing hanya menjaga kepentingan ekonomi dan mempunyai masalah dengan kepimpinan negara yang telah diserang oleh pihak bersekutu.

Di Malaysia saya lihat sudah wujud bibit-bibit kehilangan kuasa oleh pihak Islam. UMNO dan PAS sukar untuk bekerjasama selagi kisah silam tidak dilupakan. UMNO hanya bercakap mengenai Melayu Islam manakala PAS pula bercakap mengenai Islam. Islam itu adalah agama manakala Melayu itu adalah bangsa. Islam itu untuk semua dan bukannya untuk sesetengah pihak sahaja. Mengapa UMNO dan PAS sukar untuk bekerjasama? Dato' Sri Najib Razak bersedia untuk bekerjasama dengan PAS. Presiden PAS iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri telah menghulurkan salam untuk bekerjasama tetapi terpaksa menarik semula salam tersebut setelah tidak dipersetujui oleh Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Apalah salahnya jika UMNO dan PAS bekerjasama supaya Islam dan Melayu akan dihormati..

Memang benar hari ini kita bercakap mengenai 1 Malaysia dan Bangsa Malaysia. Saya berpendapat adalah menjadi suatu masalah yang cukup besar untuk kita mencapai status negara Bangsa Malaysia selagi wujudnya sistem pendidikan yang berasaskan kaum. Apa-apa pun saya tidak mahu bercakap sistem pendidikan negara.

Saya hanya mampu berdoa dan berharap supaya Islam dan bahasa Melayu kekal sebagai agama dan bahasa rasmi negara ini. Saya juga berharap raja-raja Melayu kekal sebagai pengimbang kepada perbezaan politik tanah air. Ini hanya harapan, walaupun sukar untuk diungkapkan tetapi bibit-bibit kehilangan kuasa oleh Islam di negara ini sudah kelihatan.

Kepada siapa lagi yang kita hendak harapkan? UMNO yang menguasai BN tidak sekuat dahulu setelah parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan mengalami kekalahan teruk di dalam PRU ke-12. Walaupun UMNO menguasai 78 kerusi di Dewan Rakyat tetapi jumlah ini bukanlah boleh dibanggakan.

PAS yang suatu ketika melaung-laungkan slogan "Negara Islam" kini terpaksa menyepi kerana berkongsi kuasa dengan PKR dan DAP di dalam PR. PAS dahulu cukup dihormati kerana mengamalkan dasar yang konsisten semasa di bawah kepimpinan Allahyarham Tan Sri Asri Muda dan Allahyarham Datuk Ustaz Fadzil Noor. Mengapa PAS cukup berlainan pada hari ini? Adakah kerana dikongkong oleh DAP? Jawapannya tiada pada saya, hanya mereka boleh menjawabnya.

Islam akan dihormati jika perselisihan faham dapat dielakkan. UMNO dan PAS merupakan parti yang mengamalkan ajaran Islam perlu menjaga kesucian agama ini. Perpaduan umat Islam perlu dimulakan dengan perpaduan parti-parti politik Islam itu sendiri. Jika Islam kuat maka tiada siapa akan mempersenda Islam. Tiada siapa yang akan menghina solat lima waktu sehari semalam dan tiada siapa juga yang akan menghina dengan makan dan minum semasa majlis berbuka puasa sebelum tiba waktu berbuka puasa jika kita benar-benar bersatu.

*UMNO = Perpaduan Melayu , PAS = Perpaduan Islam
**Apa yang susah sangat? Ikut Perlembagaan, Melayu itu mesti Islam barulah ia akan dapat hak-hak istimewa sebagai Bumiputera dan Melayu. Islam kat Malaysia ni pun ramai orang Melayu.. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih.

2 ulasan:

  1. Saya bersetuju dengan apa yang anda tulis. Perpecahan yang berlaku sangat meruncingkan dan masing-masing tidak mahu mengalah. UMNO, seperti kata anda memperjuang kaum Melayu dan PAS pula Islam. Mana satu yang perlu kita dahulukan? Secara signifikan, tiada jawapan yang tepat.

    Rakyat menyokong Barisan Alternatif kerana mahukan kerajaan kita yang ada sekarang berubah ke arah yang lebih baik. Namun, lihatlah adakah pihak UMNO khususnya membersihkan nanah yang kian membusuk dalam kerajaan seperti tumbuk rusuk, skandal itu ini. Harga barang pula naik, begitu juga minyak. Rakyat semakin tertanya-tanya, BN ini tuli atau buta kerana perubahan yang mereka harapkan hanya khalayan semata.

    Pemimpin kita masih begitu, tidak mahu berubah, masih tidak mahu menghargai rakyat. Agaknya bila BN sudah jatuh seperti parti LDP di Jepun barulah mereka akan sedar. Ramaln PRU 13, Pakatan Rakyat akan menang. Pilihan raya kecil semuanya disapu bersih oleh Pakatan.

    Saya secara peribadi mahukan Melayu dan Islam itu disatukan supaya perpaduan dalam kalangan Melayu-Islam kukuh kembali. Adakah retak ini akan bercantum kembali? Benar, politik sudah cukup membinasakan segalanya!


    ~ Peipanlization

    BalasPadam
  2. terima kasih kerana setuju utk bersetuju..

    kita hanya mampu melihat dan menjangka apa yg akan berlaku..selebihnya hanya menanti sesuatu yg mungkin pasti atau tidak pasti berlaku..

    perpaduan kaum hanya sekadar retorik oleh mereka yg berkepentingan..

    BalasPadam