Followers

Isnin, Disember 07, 2009

Mari 'MemBUKUkan' diri..

Salam.. Salam Sejahtera..

1 Disember yang lepas rakan saya yang belajar di Sabah mengajak saya keluar ke bandar Batu Pahat. Maklumlah sama-sama sedang bercuti selama sebulan.

Aktiviti empat rakan yang wajib ke Batu Pahat ialah ke Tasik Y. Bukan hendak bersenam di sana tetapi hanya berjalan mengelilingi tasik dan makan di gerai sahaja.

Selepas solat Maghrib di masjid yang tersergam indah di Batu Pahat, kami menuju ke Batu Pahat Mall (BP Mall). Bukannya tidak ada pusat membeli-belah yang lain tetapi di BP Mall lebih mudah untuk meletak kereta dan percuma.

Lokasi wajib dikunjungi oleh rakan saya yang belajar di Sabah itu ialah kedai buku Popular. Tujuannya hanya satu, iaitu mencari novel cinta yang di pesan oleh rakannya di Sabah. Maklumlah harga barang di Sabah lebih mahal berbanding di Semenanjung.

Saya tidak berminat membaca novel kerana memang saya tidak berminat dengannya.

Sambil meneroka rak-rak buku yang lebih serius, saya terpandang satu buku yang memaparkan wajah seorang bekas menteri dari Johor, iaitu Tan Sri Mohamed Rahmat.

Rakan saya membeli novel cinta dan saya membeli buku yang tajuknya sahaja sudah menggambarkan ia berkaitan dengan politik.

Semasa membayar di kaunter, seorang guru yang juga ibu kepada rakan saya menyapa saya dan mengatakan "Syukri, tak habis-habis buku politik..buku masak-memasak, buku-buku agama tak nak ke??". Saya jawab, "Bajet malam ni cuma untuk buku ni je cikgu..buku-buku lain kena tunggu peruntukan tahun 2010..".

(Ulasan di dalam Candu Minda)

Tajuk : UMNO: AKHIR SEBUAH IMPIAN
Penulis : Mohamed Rahmat
Penerbit : The Malaysian Insider Sdn. Bhd.
ISBN : 978-983-44524-2-1
Tahun : 2009
Harga : RM29.90


Buku setebal 170 muka surat ini adalah hasil penulisan Tan Sri Mohamed Rahmat yang juga merupakan mantan Menteri Penerangan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional di era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Pulai Johor. Beliau juga adalah di antara Ahli Parlimen yang memegang rekod paling lama menduduki kerusi di dalam Dewan Rakyat.

Buku hasil tulisan pertama Tan Sri Mohamed Rahmat ini mencatatkan pengalaman politik beliau di dalam pergolakan UMNO yang bermula sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj sehinggalah beliau bersara daripada politik.

Kupasan yang diceritakan di dalam buku ini benar-benar mengejutkan pembaca kerana beliau turut terlibat sama memainkan peranan penting dalam krisis dalaman UMNO.

Beliau juga turut mengaku memainkan peranan penting termasuk di sebalik usaha menjatuhkan Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad serta usaha beliau dalam membantu mereka ini membantu mengatasi krisis berkenaan.

Walaupun tajuk buku ini ialah UMNO : AKHIR SEBUAH IMPIAN, tetapi buku ini menceritakan pengalaman yang berharga daripada Tan Sri Mohamed Rahmat.

Kita sebagai generasi muda perlu membaca buku ini kerana ia bukanlah menceritakan mengenai UMNO yang membosankan tetapi pengalaman yang berharga dan perlu dijadikan tauladan.

Hasil penulisan beliau yang berani ini juga turut menjelaskan beberapa permainan politik tikam belakang serta pengalamannya sendiri di mana beliau turut menjadi mangsa fitnah akibat salah faham dalam pertikaian politik UMNO.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan