Salam dan salam sejahtera.
Kini sedang berlangsung program Jelajah Aman Kampus yang dikelolakan oleh Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (ASPIRASI) dengan kerjasama Institusi Pengajian Tinggi dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).
Seperti mana yang dilaporkan oleh junior-junior saya (ketika saya menaip program tersebut berada di Johor Bahru). Kini khabarnya berada di Perlis.
Beberapa junior Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) atas nama Gabungan Anak Johor (GAJ) terlibat sama dalam program Aman Kampus di Johor Bahru
Pada awalnya saya melihat dan beranggapan bahawa Program Jelajah Aman Kampus ini diwujudkan kerana pilihan raya sudah semakin hampir dan bakal dilaksanakan pada bila-bila masa. Tetapi itu hanya sekadar tanggapan saya sahaja.
Saya yakin bukan saya seorang sahaja yang beranggapan sedemikian. Apabila mandat kerajaan sudah menghampiri tempoh penamat maka tidak peliklah apabila banyak program khususnya yang ditonjolkan secara meluas di media-media lebih khusus terutamanya hal berkaitan kebajikan mahupun pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat.
Sebelum ini saya dan rakan-rakan di kampus termasuklah yang sudah menamatkan zaman mahasiswa/i selalu bertanya mengenai program-program yang dilakukan oleh ASPIRASI. Saya akui diri ini bersama-sama ASPIRASI secara tidak langsung ketika pilihan raya kampus dan terlibat sama membantu kempen. Namun begitu penglibatan tersebut tidak memerlukan balasan.
Walaupun suatu ketika saya meletakkan diri dan persatuan yang saya pimpin sebagai BEBAS, tetapi BEBAS yang saya bawa lebih condong kepada ASPIRASI. Terima kasih kepada dua orang Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia yang saya tidak kenali secara peribadi tetapi telah mengenepikan 'protokol' untuk duduk bersama saya sambil meminum teh tarik bagi meminta pandangan serta idea untuk melaksanakan pembaharuan, isu berkaitan Parlimen Mahasiswa, infrastruktur dan sebagainya. Saya menghormati dan mengagumi ketokohan dua orang YDP MPP USM iaitu Mohamad Shafiq Abdul Aziz dan Ahmad Wafi Sahedan yang beberapa kali menemui seorang manusia kerdil seperti saya. Mereka berdua adalah pemimpin-pemimpin ASPIRASI yang tulen.
Walaupun saya BEBAS yang condong ke arah ASPIRASI, tetapi saya bebas mengeluarkan pandangan tanpa terikat dengan mana-mana ideologi. Saya cukup terharu apabila dua orang YDP MPP tersebut secara peribadi menemui saya apabila mereka membaca status facebook saya yang seakan-akan cuba menegur kepimpinan mereka. Mereka berjumpa saya secara peribadi untuk mengetahui perkara tersebut dan akhirnya menerima teguran yang dibuat. Secara peribadi saya mengagumi kedua-dua YDP MPP saya itu. Mereka tidak bermasam muka apabila ditegur kerana masing-masing berbincang sebagai seorang yang telah matang. Yang menegur juga perlu bersedia untuk ditegur.
Beberapa bulan yang lalu saya telah mengadakan pertemuan (terakhir) dengan salah seorang YDP MPP tersebut dan saya meluahkan kekecewaan mengenai ASPIRASI. Saya mengatakan bahawa kronisme, mendengar cakap sebelah pihak, mengabaikan tanggungjawab, meletakkan diri sebagai golongan elit, bergaduh sesama sendiri, akan menyebabkan ASPIRASI jatuh tersungkur di dalam kampus. Saya tidak akan pergi menegur kerana saya percaya bahawa bukan orang bawah yang perlu naik ke atas untuk mengeluarkan kata-kata teguran tetapi orang atas perlu turun ke bawah untuk mendengar apa yang ingin diperkatakan.
Saya juga masih ingat, kali terakhir saya membuat teguran kepada ASPIRASI ialah apabila mereka mengadakan demontrasi di hadapan Kementerian Pengajian Tinggi bagi mendesak Timbalan Menteri Pengajian Tinggi iaitu Datuk Saifuddin Abdullah meletak jawatan. Saya ulangi kenyataan saya sebelum ini, bahawa saya tidak bersetuju dengan tindakan ASPIRASI itu, dan saya yakin kerana beberapa rakan di dalam ASPIRASI juga tidak menyokong tindakan 'kurang bijak' (berdemontrasi) yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin ASPIRASI mereka. Sudah lumrah kehidupan, yang berbeza pendapat akan 'dibuang'. Saya tidak terkesan dengan perkara itu.
Alhamdulillah, ada juga program bernas dan bermanfaat dilakukan oleh ASPIRASI iaitu Aman Kampus. Walaupun saya tidak mengetahui isi kandungan program tersebut tapi insyaAllah saya pasti modulnya sudah pasti lain daripada yang lain dan bermanfaat bukan sahaja kepada para peserta malahan kepada masyarakat dan kerajaan yang memerintah.
Sehingga ke saat ini saya masih berselisih pendapat dengan beberapa pihak yang menganjurkan program-program untuk jati diri atau motivasi. Kerana apa? kerana mereka hanya mementingkan malam kebudayaan, ceramah kenegaraan, kerja dalam kumpulan dan sebagainya tetapi tidak mementingkan pengisian kerohanian untuk menerapkan ciri-ciri keIslaman di dalam diri bagi mereka (para peserta) yang sudah jauh 'meninggalkan' ciri-ciri seorang Islam. Saya tidak tujukan kepada ASPIRASI kerana saya tidak mengetahui modul Aman Kampus. (hanya tahu sedikit sahaja daripada junior yang senyum tapi belum tentu suka).
Akhir sekali saya ingin mengajukan beberapa soalan yang telah diajukan kepada saya oleh seseorang yang saya akui bahawa saya tidak mampu menjawab soalan-soalan berkenaan.
- Berapa ratus ribu duit digunakan untuk program Aman Kampus?
- Siapakah yang memberi dana tersebut?
- Adakah orang politik (parti politik) terlibat di dalam program secara langsung ataupun tidak?
- Pastikah modul yang ada itu tidak mempunyai unsur-unsur politik kepartian?
- Apakah halatuju mahasiswa/i hari ini?
- Adakah mahasiswa/i hari ini menyokong kerana mendapat dana yang banyak?
Maaf, saya tiada jawapan dan saya tidak mengetahuinya. Saya juga tertanya-tanya.
Komen dari salah seorang peserta (peserta Institusi Pengajian Tinggi Swasta) yang mengikuti program tersebut ialah, "terdapat unsur politik kepartian khususnya menyokong kerajaan dan menghentam Anwar Ibrahim termasuklah pembangkang". Apa yang pasti penginapan, makan, minum, baju, tuntutan-tuntutan perjalanan (tol dan minyak kenderaan) ditanggung bersih khabarnya, ini berdasarkan penceritaan pihak yang terlibat.
Walau apa pun, tahniah kepada ASPIRASI. Saya berharap ASPIRASI akan lebih matang dan bertindak dengan bijaksana tanpa emosi yang tidak stabil dalam melakukan tindakan-tindakan yang berani. Semoga usaha murni ini dapat diteruskan dan bukannya bermusim untuk kepentingan pihak-pihak tertentu sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan