Followers

Jumaat, Februari 03, 2012

Politik itu kotor. Kotorkah politik?

Salam dan salam sejahtera.

Politik itu kotor. Kotorkah politik?

Politik itu tidak kotor tetapi manusia-manusia yang bersikap lebih buruk berbanding haiwanlah yang telah mengotorkan politik itu.

Sekiranya hendak lama dalam politik (politik kuasa), kita perlu berpura-pura. Seandainya orang atasan melakukan kesilapan adalah seeloknya kita diam tanpa bicara demi untuk menjaga periuk nasi.

Saya ulangi di sini bahawa setiap kritikan di dalam blog ini adalah untuk kebaikan dan bukannya berniat untuk mengaibkan sesiapa.

Setelah teguran dilakukan dan tiada tindakan susulan dibuat maka blog adalah pilihan terakhir.

Saya mengucapkan tahniah kepada seorang manusia yang pernah menjadi pemimpin pelajar di Universiti dan kini bergerak 'aktif' di dalam alumni kerana 'tidak boleh ditegur'. Semuanya gara-gara saya menegur tindakan 'jahil' pihak tertentu yang berdemonstrasi untuk mendesak Timbalan Menteri Pengajian Tinggi meletak jawatan. Hubungan yang baik sebelum ini telah menjadi keruh. Tidak mengapa, kerana hanya mereka yang satu ideologi sahaja diperlukan dalam mentadbir negara ini. Kerana apa? Kerana 1Malaysia!

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang suatu ketika berada dalam satu jawatan yang sama memimpin persatuan. Mungkin disebabkan saya terlalu vokal atau lantang atau mungkin terlalu jujur menegur, pihak tertentu telah memungkiri janji untuk 'mengundang' saya berada di dalam satu mesyuarat bersama gabungan badan-badan tertentu di Johor Bahru. Khabarnya mesyuarat itu diadakan secara bersama dengan jambatan yang menghubungkan Kerajaan Negeri Johor di bawah Barisan Nasional dengan organisasi pelajar di IPTA.

Walau apa pun saya dikhabarkan bahawa mesyuarat tersebut 'GAGAL' kerana hanya mendengar kata-kata orang tua yang terlalu berbangga dengan sejarah lampau. Sejarah lampau tidak perlu dikisahkan semula, sepatutnya mesyuarat tersebut mencari kata putus atau berbincang mengenai masa depan gabungan. Perjumpaan yang sia-sia dek kerana masih wujud insan tua yang 'mengongkongnya'.

Saya bersyukur kerana tidak dijemput. Sekiranya dijemput mungkin keadaan akan menjadi bertambah keruh. MAAF, kerana saya bukan seorang munafik yang perlu berpura-pura. Sekiranya saya tidak mampu menegur dengan kata-kata maka  saya akan beredar pergi dari tempat itu. Tidak perlu bertekak dengan manusia yang terlalu mengagungkan masa lalunya. Lebih elok saya mendengar kisah Hang Tuah pergi ke Gunung Ledang.

Akhir sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang-orang politik di dalam Daerah Batu Pahat kerana telah cuba menSABOTAJ program baktisiswa anak Johor USM. Pada asalnya dirancang di KAMPUNG BARU, MUKIM 7, PARIT YAANI tetapi telah DIBATALKAN kerana tidak mendapat RESTU (kononnya) daripada AHLI PARLIMEN. Jawapan saya mudah, program itu bersama orang kampung dan bukannya bersama Ahli Parlimen!

Walaupun pembatalan dilakukan, Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya masih ada ruang dan peluang untuk mengadakan di kawasan lain iaitu di KAMPUNG KAWASAN SERI MENDAPAT, MUKIM 7, PARIT RAJA, BATU PAHAT. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seluruh penduduk kampung dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Semarang yang juga Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam yang membantu dalam menjayakan program ini. Untuk rekod, hanya 10 (SEPULUH HARI) sahaja diperlukan untuk melaksanakan program di Kampung Kawasan Seri Mendapat bersama Majlis Belia Malaysia dan IKMAR USM. Berjaya kerana Allah S.W.T. tahu niat ikhlas itu.

Namun politik itu tetap kotor kerana masih ada insan yang mengotorkannya. Walaupun program baktisiswa atau Jalinan Kasih IKMAR 2012 berjaya dilaksanakan, tetapi unsur-unsur sabotaj masih berlaku. Saya dimaklumkan oleh seorang yang telah 'disindir' bahawa terdapat seorang wanita (perempuan rasanya) di Pejabat UMNO Ayer Hitam dengan kata-kata yang menyakitkan hati. (Luahan hati seorang mak cik yang terasa dengan kata-kata perempuan berstatus Puteri berkaitan kehadiran Timbalan Menteri Kesihatan sebagai perasmi penutup program berkenaan).

Saya tahu ada pihak di dalam UMNO Bahagian yang telah mengetahui lebih awal mengenai ketidakhadiran Timbalan Menteri tetapi ianya tidak dimaklumkan kepada urusetia. Tidak mengapalah kerana nama Ketua Puteri UMNO Malaysia itu masih tetap berada di dalam banner majlis penutup.

Walaupun saya mengambil bidang Sains Politik tetapi Alhamdulillah saya sudah mengenali serba sedikit mengenai kekotoran politik yang disebabkan oleh manusia tidak bertanggungjawab apabila terlibat sama berurusan dengan orang-orang politik bagi menjayakan program.

Sesungguhnya saya amat kecewa dengan permainan politik pemimpin-pemimpin tertentu yang menjadikan mahasiswa/i sebagai mangsa politik sempit mereka.

Saya teringat kata-kata di antara insan yang paling saya hormat di dunia ini, "Pemimpin-pemimpin ni ramai penasihat tapi ramai yang cuma nak penuhkan tembolok je. Ada penasihat tu tak bawa hasil langsung, akhirnya bapak mertua sendiri pun kena berundur selepas di desak letak jawatan berkali-kali oleh golongan pendesak".

Kesimpulannya adakah politik di negara kita terlalu kotor? Jawapannya ada pada anda. Saya hanya memberikan sedikit contoh sahaja.

Kepada pihak-pihak tertentu yang selama ini berurusan dengan saya khasnya di dalam Parlimen Sri Gading dan Parlimen Ayer Hitam, saya ingin memaklumkan kepada anda semua bahawa saya sudah mengetahui bahawa keris pusaka mana yang perlu dijaga dan keris yang mana pula perlu dibuang ke laut.

Akhir kata, biarlah orang muda merencana sesuatu untuk mendapat masa depan yang lebih gemilang dan orang tua hanya perlu menjadi penegur atau penasihat supaya sesuatu itu dapat dilaksanakan tanpa kesilapan yang berulang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan