Followers

Rabu, Februari 08, 2012

Johor bakal terima Menteri Besar baru!

Salam dan salam sejahtera.

Benar, Johor Darul Ta'zim bakal menerima Menteri Besar yang baru.

Percayalah! Perkhabaran ini adalah sesuatu yang benar!

Perkhabaran ini akan menjadi perkhabaran yang benar sekiranya Pakatan Rakyat (bukan gabungan berdaftar) memenangi secara majoriti kerusi-kerusi di dalam Dewan Negeri atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Negeri Johor.

Siapakah bakal Menteri Besar dari Pakatan Rakyat itu?

Khabar angin (seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian) mengatakan bahawa Naib Presiden Pas iaitu Salahuddin Ayub bakal menjadi Menteri Besar Johor sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan tiang seri UMNO dan Barisan Nasional itu.


Pada saya atas nama demokrasi beliau bebas untuk bertanding di mana jua kawasan Parlimen mahupun DUN.

Dua penggal bertanding di Parlimen Kubang Kerian dan sudah pasti beliau mahu bertanding di negeri kelahiran beliau sendiri.

Apabila bertanding di dalam pilihan raya, cuma dua sahaja keputusannya iaitu menang ataupun kalah.

Sekiranya beliau menang dan Pakatan Rakyat menguasai Negeri Johor, bersediakan beliau menjadi Menteri Besar yang lebih bagus berbanding Menteri Besar sekarang? Atau adakah beliau mampu menjadikan Negeri Johor lebih Islamik tanpa terikat dengan Buku Jingga? Atau mungkin beliau mampu mentadbir Negeri Johor tanpa terikat dengan desakan-desakan sekutu di dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP? Persoalan ini sekiranya Pakatan Rakyat menang dan menguasai Negeri Johor.

Bagaimana pula sekiranya Salahuddin Ayub tewas apabila bertanding di Johor? Bersediakah beliau menerima kekalahan? Akan wujudkah kisah-kisah pengundi hantu yang menjadi penyebab kekalahan beliau? Bersediakah Pas meletakkan Naib Presidennya untuk bertarung di dalam kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional?

Walau apa pun kita tunggu dan lihat. Pilihan raya sudah semakin hampir. Khabarnya Dato' Sri Mohd Najib sudah memperolehi ilham untuk memohon perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat.

Transformasi sudah kelihatan jelas di Negeri Johor. Para pemimpin sudah mula menerima cadangan orang-orang muda. Hanya segelintir yang sukar menerima dan itu bukanlah halangan dan bukanlah alasan untuk menyalahkan UMNO.

Untuk makluman para pembaca, Parlimen Bakri, DUN Senai, DUN Skudai, DUN Bentayan dan DUN Mengkibol telah dimenangi oleh DAP pada pilihan raya umum tahun 2008, manakala DUN Sungai Abong dan DUN Maharani pula dimenangi oleh Pas.

Walaupun penguasaan DAP dan Pas agak kecil tetapi itu tidak boleh diperlekehkan. Saya yakin Pakatan Rakyat akan menambah beberapa kerusi DUN lagi pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan kepada beberapa kerusi DUN yang majoriti undinya amat tipis dimenangi oleh Barisan Nasional seperti di DUN Penggaram (dalam kawasan Parlimen Batu Pahat).

Namun begitu, usaha keras perlu dilakukan supaya UMNO dan Barisan Nasional berjaya mengekalkan kekuasaan di Negeri Johor Darul Ta'zim serta menguasai kerajaan Persekutuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan