Followers

Selasa, Oktober 26, 2010

Usul Tergempar Dewan Perundingan Pelajar @ Parlimen Mahasiswa USM

Memorandum Pengecaman Penganjuran Festival Busana Muslim Atau Dikenali Sebagai Islamic Fashion Festival (IFF) Kepada

Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Penaung Festival Busana Islam.

Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri,

Dewan Perundingan Pelajar Universiti Sains Malaysia merupakan Parlimen Mahasiswa pertama di Malaysia telah bersidang buat kali yang pertama pada 23 Oktober 2010 yang lalu. Dewan Perundingan Pelajar Universiti Sains Malaysia ini diwakili oleh 39 ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia dan 19 ahli yang terpilih daripada Yang Di-Pertua persatuan-persatuan/ kelab-kelab/ sekretariat-sekretariat yang berdaftar di bawah Universiti Sains Malaysia telah bersetuju sebulat suara tanpa perbahasan iaitu menerima usul tergempar mengecam penganjuran Festival Busana Muslimah atau dikenali Islamic Fashion Festival (IFF).

Pengecaman Festival Busana Islam ini juga meletakkan kami, Dewan Perundingan Pelajar Universiti Sains Malaysia antara senarai Badan Bukan Kerajaan (Non-Government Organization), parti politik dan orang perseorangan lain yang turut membuat kecaman dan bantahan atas isu tersebut.

Pertamanya kami mengecam penganjuran ini adalah kerana konsep yang dibawa bertentangan dengan syariat Islam dan menghina agama Islam. Jelas terpampang di dada-dada akhbar online, dalam salah satu fesyen yang diketengahkan didapati bahawa terdapatnya nama Nabi Muhammad S.A.W pada pakaian yang tidak menepati syariat Islam dengan pendedahan aurat. Pada festival tersebut, beberapa perkataan “Muhammad” dalam tulisan Arab ditulis secara terbalik dan dicatit di dada pakaian salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat dan tindakan ini sememangnya menghina Nabi Muhammad S.A.W.

Justifikasi kami yang kedua adalah berkenaan Festival Busana Islam yang memperagakan fesyen yang tidak sesuai dengan budaya penganjuran festival ini secara terang melanggar Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 iaitu antara lain menetapkan Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan dan berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini.

Justifikasi Dewan Perundingan Pelajar yang ketiga adalah berdasarkan kenyataan yang jelas Al-Quran dalam Surah An-Nur Ayat 31 yang bermaksud :

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

dan Surah Al-Ahzab Ayat 33 dengan terjemahan ringkas :

“..dan janganlah mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyyah zaman dahulu..”

Perlaksanaan Festival Busana Islam jelas tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan dalam ayat Al-Quran yang diutarakan. Justeru pihak Dewan Perundingan Pelajar Universiti Sains Malaysia menuntut agar:

  1. Pihak penganjur tampil memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia, memberi penjelasan atas penganjuran Festival Busana Islam dan mengistiharkan bahawa festival yang dianjurkan itu bukanlah ‘islamik’
  2. Mendapatkan khidmat panel penasihat syariah untuk Festival Busana Islam yang terdiri daripada Ulama’ dan Mufti-Mufti agar fesyen yang diketengahkan tidak bertentangan dengan syariat Islam sekiranya mahu diteruskan penganjuran.
  3. Memastikan Festival Busana Islam ini diketengahkan dengan cara yang berbeza bukan seperti pertunjukan fesyen yang kerap kali diadakan. Wanita dalam Islam adalah golongan yang harus dipelihara dari pelbagai aspek dan bukan untuk dipamerkan dihadapan khalayak ramai.
  4. Memastikan segala etika dan tuntutan-tuntutan syarak berkenaan dengan aurat lelaki atau wanita dipenuhi dalam penganjuran Festival Busana Islam dengan tiada percampuran diantara lelaki dan wanita.
  5. Sekiranya perkara tuntutan diatas tidak dipenuhi, pihak penganjur mesti menggugurkan perkataan ‘ISLAM’ dan tidak mengaitkan Fetival Busana ini dengan Islam.

Harus ditegaskan bahawa Dewan Perundingan Pelajar tidaklah menolak sebarang penganjuran festival yang ingin dianjurkan namun ianya haruslah dipastikan selari dengan syariat yang telah ditetapkan. Bahkan kami menyokong dan akan berusaha mempromosikan mana-mana festival islam yang berada diatas landasan syariat.

Yang menjalankan tugas,

MOHAMMAD SHAFIQ BIN ABDUL AZIZ

Speaker,

Dewan Perundingan Pelajar sidang 2010/2011,

Parlimen Mahasiswa

Universiti Sains Malaysia.


sk. YAB Dato' Seri Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Senator Mejar Jeneral(B) Datuk Jamil Khir Baharom, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri(Hal Ehwal Agama Islam)

YB Datuk Seri Mohd Khaled Bin Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.

Datuk Raja Rezza Shah, Pengerusi Festival Fesyen Islam.

Prof Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

KLIK

1 ulasan:

  1. wah dasyat...

    semoga usul ini sampai kepada pihak yang sepatutnya

    BalasPadam