


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak
Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka!
Memorandum Pengecaman Penganjuran Festival Busana Muslim Atau Dikenali Sebagai Islamic Fashion Festival (IFF) Kepada
Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Penaung Festival Busana Islam.
Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri,
Dewan Perundingan Pelajar Universiti Sains Malaysia merupakan Parlimen Mahasiswa pertama di Malaysia telah bersidang buat kali yang pertama pada 23 Oktober 2010 yang lalu. Dewan Perundingan Pelajar Universiti Sains Malaysia ini diwakili oleh 39 ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia dan 19 ahli yang terpilih daripada Yang Di-Pertua persatuan-persatuan/ kelab-kelab/ sekretariat-sekretariat yang berdaftar di bawah Universiti Sains Malaysia telah bersetuju sebulat suara tanpa perbahasan iaitu menerima usul tergempar mengecam penganjuran Festival Busana Muslimah atau dikenali Islamic Fashion Festival (IFF).
Pengecaman Festival Busana Islam ini juga meletakkan kami, Dewan Perundingan Pelajar Universiti Sains Malaysia antara senarai Badan Bukan Kerajaan (Non-Government Organization), parti politik dan orang perseorangan lain yang turut membuat kecaman dan bantahan atas isu tersebut.
Pertamanya kami mengecam penganjuran ini adalah kerana konsep yang dibawa bertentangan dengan syariat Islam dan menghina agama Islam. Jelas terpampang di dada-dada akhbar online, dalam salah satu fesyen yang diketengahkan didapati bahawa terdapatnya nama Nabi Muhammad S.A.W pada pakaian yang tidak menepati syariat Islam dengan pendedahan aurat. Pada festival tersebut, beberapa perkataan “Muhammad” dalam tulisan Arab ditulis secara terbalik dan dicatit di dada pakaian salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat dan tindakan ini sememangnya menghina Nabi Muhammad S.A.W.
Justifikasi kami yang kedua adalah berkenaan Festival Busana Islam yang memperagakan fesyen yang tidak sesuai dengan budaya penganjuran festival ini secara terang melanggar Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 iaitu antara lain menetapkan Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan dan berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini.
Justifikasi Dewan Perundingan Pelajar yang ketiga adalah berdasarkan kenyataan yang jelas Al-Quran dalam Surah An-Nur Ayat 31 yang bermaksud :
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
dan Surah Al-Ahzab Ayat 33 dengan terjemahan ringkas :
“..dan janganlah mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyyah zaman dahulu..”
Perlaksanaan Festival Busana Islam jelas tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan dalam ayat Al-Quran yang diutarakan. Justeru pihak Dewan Perundingan Pelajar Universiti Sains Malaysia menuntut agar:
Harus ditegaskan bahawa Dewan Perundingan Pelajar tidaklah menolak sebarang penganjuran festival yang ingin dianjurkan namun ianya haruslah dipastikan selari dengan syariat yang telah ditetapkan. Bahkan kami menyokong dan akan berusaha mempromosikan mana-mana festival islam yang berada diatas landasan syariat.
Yang menjalankan tugas,
MOHAMMAD SHAFIQ BIN ABDUL AZIZ
Speaker,
Dewan Perundingan Pelajar sidang 2010/2011,
Parlimen Mahasiswa
Universiti Sains Malaysia.
sk. YAB Dato' Seri Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.
Senator Mejar Jeneral(B) Datuk Jamil Khir Baharom, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri(Hal Ehwal Agama Islam)
YB Datuk Seri Mohd Khaled Bin Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.
Datuk Raja Rezza Shah, Pengerusi Festival Fesyen Islam.
Prof Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.
Salam.. Salam sejahtera..
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Peribahasa ini sebenarnya tidak berapa sesuai untuk mengambarkan hubungan antara dua buah negara serumpun iaitu Malaysia dan Indonesia. Namun begitu saya beranggapan hanya peribahasa ini sahaja yang melepasi tahap kelayakkan untuk digunakan bagi mengambarkan hubungan Malaysia dan Indonesia.
Seperti mana yang dilaporkan di media-media sama ada media cetak, media elektronik, dan media baru, hubungan Malaysia dan Indonesia di lihat semakin keruh walaupun kedua-dua pemimpin cuba mempertahankan keutuhan semangat erat kedua-dua negara. Terima kasih kepada Presiden Indonesia, Bapak Susilo Bambang Yudhoyono yang memberikan perlindungan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia. Jika tidak dengan arahan itu mungkin tapak Kedutaan Besar itu sudah ‘dicabut’ oleh para perusuh rakyat Indonesia.
Mengikut kepada laporan akhbar, perkara ini berlaku kerana disebabkan oleh peristiwa penangkapan tiga pegawai Penguatkuasa Laut Indonesia oleh Polis Marin Malaysia terhadap tujuh nelayan Malaysia oleh bahagian Penguatkuasaan Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia yang didakwa menceroboh perairan Indonesia berhampiran Bintan, Kepulauan Riau pada 13 Ogos 2010 yang lalu. Pihak Malaysia pula mendakwa nelayan tersebut berada di dalam perairan Malaysia apabila di tahan oleh Penguatkuasa Indonesia. Pada 17 Ogos 2010 pula kesemua mereka telah dibebaskan dan kumpulan penunjuk perasaan telah menuntut supaya Malaysia memohon maaf serta meminta Pemerintah Indonesia memanggil pulang Duta Besar Indonesia di Malaysia. Inilah puncanya.
Satu persoalan yang ingin saya ajukan di sini ialah, mengapa apabila melibatkan Malaysia, mereka khasnya rakyat Indonesia begitu ‘teruja’ untuk mengadakan demonstrasi? Saya tidak mampu menjawab persoalan ini.
Pada pertengahan bulan Mei yang lalu, saya dan rakan-rakan Kelab Sains Politik telah membuat pembentangan kertas kerja di Universitas Airlangga dan Universitas Surabaya, kedua-duanya di wilayah Surabaya. Semasa di Universitas Airlangga kami telah ‘berkesempatan’ diajukan persoalan oleh teman-teman di sana mengenai hasrat Malaysia untuk mendapatkan kawasan blok Ambalat yang berada diperairan antara Sabah dan Kalimantan Indonesia. Walaupun soalan-soalan yang diajukan itu agak panas tetapi sebagai mahasiswa mereka berjaya mengawal emosi.
Di Universitas Airlangga, Surabaya juga kami berkesempatan mengadakan kuliah bersama dengan teman-teman di sana. Di sana adalah sesi yang paling mencabar kerana sebahagian kami rombongan Kelab Sains Politik ‘terpaksa’ berpaling tadah menjadi penyokong Indonesia dan menghentam Malaysia, begitu juga teman-teman di sana yang menjadi pembela kepada Malaysia apabila di hentam habis-habisan mengenai isu-isu yang menjadi duri dalam daging hubungan Malaysia dan Indonesia. Isu yang dibangkitkan seperti pembakaran hutan di Indonesia yang mengakibatkan jerebu di negara-negara jiran, keadilan kepada pekerja-pekerja Indonesia di Malaysia, dan beberapa isu lagi yang sensitif dibincangkan termasuklah isu blok Ambalat yang dikatakan memiliki sumber asli petroleum. Soalan panas yang diajukan oleh wakil Malaysia yang ‘khianat’ (teman kami dari Malaysia) berbunyi, “adakah kerana disebabkan kawasan blok Ambalat itu memiliki petroleum maka Malaysia menuntut hak keatasnya?”.
Cuba bayangkan, apa akan berlaku jika kami yang berada di sana pada bulan Mei yang lalu berfikir seperti para perusuh dan tidak mahu menggunakan akal fikiran yang waras untuk menyelesaikan sebarang konflik? Sudah tentu banyak kerusi meja akan terbang dan keputusannya kami dari Malaysia akan tewas kerana bilangan kami yang sedikit.
Apabila media melaporkan berita mengenai rakyat Indonesia mengadakan demonstrasi di Kedutaan Besar Malaysia, mereka memijak bendera dan membakar bendera Malaysa malahan mereka turut melontar najis manusia ke dalam kawasan Kedutaan Besar itu, saya berasa amat dukacita dengan perkara ini. Saya tidak dapat gambarkan bagaimana sesaknya jalanraya di hadapan Kedutaan Besar Malaysia itu kerana pada hari-hari biasa pun kawasan itu sudah terlalu padat.
Teman saya di Universitas Surabaya, Universitas Airlangga di Surabaya dan Universitas Paramadina ada berhubung dengan saya dan mereka menyatakan kekesalan dan rasa kurang senangnya mengenai insiden yang berlaku itu. Maksudnya mereka kesal dengan tindakan tidak siuman daripada saudara-saudara mereka yang bertindak di luar kawalan minda waras sebagai seorang manusia. Mereka juga tidak bersetuju dengan pandangan daripada individu yang dikatakan sebagai pemimpin yang mengeluarkan kenyataan “Jika hari ini Bapak Sukarno adalah Presiden Republik Indonesia, sudah tentu dia akan GANYANG MALAYSIA!!”.
Alhamdulillah, saya bersyukur kerana teman-teman mahasiswa dan mahasiswi di Indonesia masih mampu berfikir secara rasional dalam menghadapi krisis yang melibatkan Malaysia dan Indonesia. Mereka juga mengatakan kepada saya, “kamu tidak perlu risau kerana yang berdemonstrasi itu mendapat upah beberapa ribu rupiah, diberikan makan dan minum, mereka juga kadangkala tidak tahu apa yang mereka lakukan itu..”.
Secara peribadi saya melihat isu ini daripada kaca mata seorang mahasiswa yang hanya mendapat maklumat daripada media massa. Maka disebabkan oleh itu, saya beranggapan bahawa agen yang sebenarnya menyebabkan isu ini dibesar-besarkan ialah media itu sendiri. Saya melihat apabila berlaku sesuatu isu yang melibatkan Malaysia maka media di sana akan membuat satu slot khas yang membicarakan mengenai tindakan Malaysia khasnya melibatkan isu ini, dan secara tidak langsung akan membangkitkan semangat rakyat mereka yang anti kepada Malaysia. Di Malaysia adakah wujud slot khas seperti itu?
Satu persoalan bermain di benak fikiran saya, jika rakyat Indonesia menghalau kesemua rakyat Malaysia yang berada di Indonesia, adakah Malaysia juga akan mengambil tindakan yang sama dengan menghalau kesemua rakyat Indonesia yang dikatakan hampir 3 juta orang berada di Malaysia mencari rezeki? Saya lebih suka kita Malaysia mengambil tindakan yang bijaksana daripada mencurahkan minyak ke dalam api yang sedang marak.
Saya tertarik dengan kata-kata daripada tenaga pengajar tutorial Sains Politik saya dan teman-teman, beliau mengatakan sesuatu isu yang kecil akan dibesar-besarkan oleh media supaya ia memberikan impak. Beliau juga berkata media adalah pemain penting dalam menghidupkan sesuatu isu. Analogi yang kerap digambarkan kepada kami ialah, “Kalau ada anjing menggigit orang, itu bukan berita...tapi kalau ada orang menggigit anjing itu baru berita..”. Saya harap media di Malaysia tidak seperti yang digambarkan dek kata-kata ini.