Followers

Selasa, Januari 31, 2012

BB1M - Antara yang bersyukur dan salahguna

Salam dan salam sejahtera.

Akhbar Utusan Malaysia melaporkan bahawa pihak polis akan bertindak sekiranya terdapat penerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang menyalahguna baucar tersebut untuk tujuan lain.

Mana-mana pelajar Universiti yang layak menerima BB1M sewajarnya tidak menyalahguna pemberian pihak kerajaan untuk perkara-perkara yang tidak perlu.

Matlamat dan niat murni kerajaan memberi baucar buku sebanyak RM200 itu amatlah baik dan sewajarnya digunakan dengan sebaik mungkin oleh mahasiswa/i.

Apabila pihak kerajaan mengumumkan pemberian baucar buku kepada mahasiswa/i, beberapa andaian sudah terlintas di fikiran saya mengenai kemungkinan akan ada yang menyalahgunakannya. Subsidi baja, petrol, diesel, minyak masak, dan pelbagai lagi bantuan juga disalahgunakan (termasuklah diseludup), inikan pula sumbangan berupa baucar buku.

Terdapat juga suara-suara yang kedengaran yang mencadangkan supaya kerajaan memberikan wang tunai RM200 kepada mahasiswa/i supaya mereka lebih bebas dan tidak dikongkong untuk membuat pilihan. Mungkinkah kesemua penerima bantuan RM200 (sekiranya diberi tunai) akan menggunakan wang tunai tersebut untuk membeli buku atau alat-alat tulis sahaja?

Langkah kerajaan memberikan mahasiswa/i baucar buku secara tidak langsung akan 'memeriahkan' kembali kedai-kedai buku yang sunyi dengan kunjungan mahasiswa/i berserta baucar-baucar buku mereka.


Bantuan sebanyak RM200 berupa baucar buku itu amat bermakna kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Walaupun kebanyakkan mahasiswa/i hari ini menerima pinjaman daripada Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan sebagainya, tetapi ada juga yang terpaksa menggunakan lebih separuh pinjaman dan biasiswa pada setiap semester untuk menyiapkan pelbagai tugasan yang memerlukan perbelanjaan agak besar.

Saya yakin dan percaya, tindakan mahasiswa/i yang menyalahgunakan BB1M ini adalah terlalu sedikit. Mahasiswa/i yang mempunyai niat untuk melelong BB1M kepada pihak lain mungkin akan membatalkan niat tersebut selepas pihak polis memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas. Mungkin masih ada yang berdegil dan akan berpegang kepada prinsip kebebasan.


Adalah sesuatu yang merugikan kepada mahsiswa/i sekiranya penyalahgunaan baucar buku sebanyak RM200 itu akan menyebabkan mereka bermalam di dalam lokap. Sekiranya mereka tidak mahu menerima baucar itu, seeloknya mereka mengembalikannya semula kepada pihak yang berkenaan.

Saya agak tertarik apabila membaca status rakan-rakan di Facebook yang sedang buntu kerana mereka tidak tahu hendak membeli buku disebabkan mereka tidak minat membaca dan juga tidak berminat hendak masuk ke dalam kedai-kedai buku kecuali kedai-kedai telefon bimbit. Inilah generasi 'laman muka buku - Facebook'.

Saya ingin mencadangkan kepada mereka yang tidak tahu hendak membeli buku dengan menggunakan BB1M itu, adalah lebih molek sekiranya mereka menggunakan BB1M untuk membeli al-Quran, buku-buku agama dan sebagainya kemudian disumbangkan kepada masjid-masjid dan surau-surau.

Kepada mahasiswa/i yang menyalahgunakan pemberian kerajaan ini, sedarlah bahawa pemberian ini adalah untuk anda. Pemberian ini untuk anda membeli buku supaya anda memperolehi ilmu. Carilah ilmu seberapa banyak yang anda mampu. Baucar ini adalah wang rakyat. Janganlah kalian mengkhianati pemberian ini.

Kematangan dan kebijaksanaan itu perlu dalam membuat keputusan. Inginkan keuntungan yang pantas pasti akan merana kelak.

Khamis, Januari 26, 2012

Jalinan Mesra IKMAR 2012 di Kampung Seri Mendapat : Seri Mendapat juga yang MENDAPAT..

Salam dan salam sejahtera.

Tajuk kali ini tiada kaitan dengan isu politik kuasa. Namun begitu politik kuasa tetap wujud kerana penulisnya juga terlibat sama.
 
Pada 20 hingga 23 Januari 2012 yang lalu, Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) Universiti Sains Malaysia telah mengadakan program Jalinan Mesra IKMAR 2012 bersama penduduk Kampung Kawasan Seri Mendapat, Mukim 7 Tanjong Semberong, Parit Raja, Batu Pahat, Johor Darul Ta'zim.


Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Kampung Kawasan Seri Mendapat, ayahanda Sa'adon Hj. Ibrahim, barisan JKKK kampung, seluruh warga Kampung Seri Mendapat dan Parit Shukor, Majlis Belia Malaysia, UMNO Bahagian Ayer Hitam, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Semarang, Majlis Daerah Yong Peng, Majlis Belia Daerah Batu Pahat, Klinik Kesihatan Ayer Hitam, Hospital Kluang, Suruhanjaya Pilihan Raya, dan semua pihak yang telah menjayakan program ini.


Masih segar dalam ingatan ini apabila melihat wajah-wajah ceria penduduk-penduduk kampung yang menerima kehadiran rombongan kami dengan dua buah bas rasmi Universiti Sains Malaysia ke kampung Seri Mendapat. Walaupun kami tiba pada jam 1.30 pagi, tetapi keikhlasan mereka menerima kehadiran kami dapat dilihat dengan lawak jenaka, senyuman, dan keceriaan yang terukir di raut wajah mereka.

Ketua Kampung Seri Mendapat, En. Sa'adon Hj. Ibrahim bersama Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), En. Mohamed Maliki mohamed Rapiee


 Derma darah

Kehadiran mahasiswa/i anak Johor khasnya dan anak-anak negeri lain amnya di Kampung Kawasan Seri Mendapat itu dikatakan sebagai membawa rezeki kepada kampung berkenaan. Alhamdulillah, jalan kampung berkenaan baru sahaja menerima peruntukan untuk dilebarkan dan kerja-kerja berkenaan masih belum selesai.

Kenduri sekampung - tahlil - berzanji & marhaban
Ada juga yang berkata kunjungan kami ke kampung tersebut turut membawa tuah kepada kampung kerana pihak kampung telah menerima sumbangan pokok-pokok bunga daripada Ahli Parlimen Ayer Hitam, Ahli Dewan Undangan Negeri Semarang, dan Majlis Daerah Yong Peng. IKMAR telah bergotong-royong bersama penduduk kampung menanam pokok-pokok bunga berkenaan.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Semarang yang juga Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Y.B. Datuk Samsolbari Hj. Jamali semasa berucap di dalam majlis penutupan rasmi program berkenaan telah menyatakan mengenai cadangan untuk memasang kemudahan wifi atau internet jalur lebar di kawasan kampung berkenaan. Saya sendiri telah bertanya kepada Setiausaha UMNO Bahagian Ayer Hitam mengenai perkara tersebut dan beliau mengesahkannya tetapi pihak kampung perlu menyusul perkara tersebut dengan membuat permohonan rasmi selepas mendapat lampu hijau daripada Y.B. Datuk Samsolbari Hj. Jamali semasa berucap.

Sa'adon Hj. Ibrahim, Prof. Madya Dr. Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim &
Nabilah Khanafi

Syukur Alhamdulillah sekiranya pembangunan berterusan wujud di kampung berkenaan.

Di samping itu saya tidak mahu ketinggalan untuk mengucapkan terima kasih kepada barisan jawatankuasa program Jalinan Mesra IKMAR 2012 yang telah bertungkus lumus membuat program ini dalam tempoh 10 hari di Kampung Seri Mendapat. Ya 10 hari. 10 hari dan bukannya 10 minggu mahupun 10 bulan. Tahniah IKMAR.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Majlis Belia Malaysia terutamanya kepada tuan Presiden, En. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee yang telah membantu dari segenap aspek untuk IKMAR merealisasikan program Jalinan Mesra bersama masyarakat ini.

***************************

Baiklah, sudah cukup rasanya untuk saya membuka penulisan ini dengan ayat-ayat di atas. Kini tiba masanya untuk saya membuka cerita sebenar disebalik program yang dianjurkan di Kampung Kawasan Seri Mendapat.

Pada 31 Disember 2011, saya telah menghantar 2 orang rakan untuk ke Batu Pahat bagi menghadiri mesyuarat bersama JKKK kampung yang terletak di dalam kawasan Parit Yaani. Pada 1 Januari, sebelum mesyuarat bermula saya telah dihubungi oleh Yang Di-Pertua (YDP) IKMAR yang menyatakan bahawa program baktisiswa tidak dapat diadakan di kampung berkenaan atas sebab-sebab yang tidak jelas. Secara spontan saya telah tertinggi suara dan mendesak supaya YDP IKMAR meminta penjelasan ketua kampung berkenaan mengenai sebab utama program baktisiswa tidak boleh diadakan di kampung berkenaan. Saya sendiri telah 'mengugut' YDP IKMAR untuk meminta penjelasan ketua kampung berkenaan dan sekiranya tidak mendapat alasan yang munasabah saya akan menulisnya di dalam blog ini.

Akhirnya, kami telah menerima alasan pihak ketua kampung, ketua pemuda UMNO cawangan, yang telah menolak untuk membuat program di kampung berkenaan. Alasan yang diberikan amat tidak munasabah dan kolot. Saya sendiri tergelak apabila mendengar perkhabaran tersebut melalui telefon. Anda bayangkan sajalah, pada awalnya ketua kampung dan semua pihak di kampung berkenaan mengalu-alukan program baktisiswa berkenaan untuk diadakan di kampung tersebut, tetapi dek kerana hal-hal yang kolot, bodoh dan tidak masuk akal akhirnya telah dibatalkan.

Saya telah mendengar alasan tersebut daripada mulut pengarah projek program berkenaan yang juga anak jati kelahiran kampung tersebut. Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada JKKK dan penduduk kampung tersebut yang tidak bersetuju dengan ketua kampung dan ketua pemuda UMNO cawangan yang menolak untuk menganjurkan program berkenaan di kampung tersebut.

Apakah alasan tersebut?

Alasan yang sampai ke telinga saya ialah IKMAR mengundang Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai tetamu kehormat dan dicatatkan di dalam kertas kerja mengenai kedudukan En. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee di dalam kertas kerja berkenaan. Sepatutnya IKMAR mengundang Ahli Parlimen kawasan berkenaan sebagai tetamu kehormat dan bukannya Presiden MBM. Saya sendiri tergelak apabila mendengar alasan yang keluar daripada mulut ketua kampung dan ketua pemudanya. Bersyukur jugalah kerana pengarah projek dan YDP IKMAR pandai 'bercakap'. Sekiranya Ahli Parlimen berkenaan ingin menjadi tetamu kehormat maka beliau perlu menghulurkan sumbangan lebih banyak berbanding Presiden MBM. Cadangan ini telah ditolak.

Satu lagi kata-kata yang telah membuatkan saya tergelak besar ialah kata-kata ketua kampung dan ketua pemuda yang menyatakan bahawa mereka bekerja dengan Ahli Parlimen berkenaan dan gaji mereka dibayar oleh Ahli Parlimen tersebut. Oleh sebab itulah mereka tidak berani mengingkari arahan Ahli Parlimen berkenaan.

Saya hendak membetulkan persepsi di sini bahawa elaun (bukannya gaji) ketua kampung dibayar oleh kerajaan negeri dan bukannya Ahli Parlimen hatta Ahli Parlimen itu sudah terlalu lama berada di kerusi tersebut. Wahai tok ketua kampung, jangan tipu anak muda!

Siapa pula bayar gaji ketua pemuda? Ooohhh mungkin 'gaji' itu boleh diterjemahkan sebagai kontrak-kontrak atau projek-projek bekalan barang bagi mereka yang memiliki Lesen Kelas F. Politik jaga periuk nasi.

Saya teringat kata-kata seorang hamba Allah S.W.T. mengenai ketua pemuda kampung berkenaan, "sebelum ni dia tak ada duit nak beli susu anak, aku bagi dia RM300, tapi sekarang ini yang dibuat dekat aku".

Sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Ketua Kampung di dalam kawasan Parit Yaani dan Ahli Parlimen yang di dalam kawasannya terdapat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kerana tidak merestui program baktisiswa mahasiswa/i bersama masyarakat.

Wahai pemimpin-pemimpin masyarakat kampung khasnya! Wahai Ahli Parlimen yang tidak memberi restu kepada kami! Kami datang dengan niat untuk berbakti kepada masyarakat dan bukannya hendak membuat demonstrasi seperti mana mahasiswa/i di UPSI. Kami datang dengan niat yang baik dan bukannya hendak terlibat dengan agenda-agenda politik yang kotor. Hendak harap kamu datang ke Pulau Pinang memang HARAM la, surat pun tidak berbalas.

Saya sendiri pelik apabila program yang pada awalnya mendapat respon positif telah bertukar sekelip mata selepas tidak direstui Ahli Parlimen berkenaan. Saya tidak pasti sama ada benar Ahli Parlimen berkenaan takut dengan kehadiran orang muda atau ketua kampung dan ketua pemuda tersebut hendak mencemarkan nama baik Ahli Parlimen berkenaan.

Pihak IKMAR sendiri telah meminta untuk bertemu dengan Ahli Parlimen berkenaan bagi menjelaskan tujuan utama program tersebut dianjurkan di kampung berkenaan tetapi malangnya tiada usaha yang dilakukan oleh pihak kampung untuk mempertemukan wakil IKMAR dengan Ahli Parlimen berkenaan.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen berkenaan kerana tidak merestui program di kampung berkenaan. Saya mengucapkan takziah kepada ketua kampung berkenaan kerana telah menerima kutukan dan caci maki penduduk kampung.

Alhamdulillah, disebabkan itulah maka Kampung Kawasan Seri Mendapat telah mendapat peluang untuk menerima kunjungan IKMAR. Walaupun tempoh masa yang diberikan untuk membentuk jawatankuasa di peringkat kampung kurang 10 hari tetapi niat yang ikhlas telah mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T.

 Keluarga kami

Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Y.B. Datuk Samsolbari Hj. Jamali, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Semarang yang juga Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam merangkap Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor kerana telah memberi 'RESTU' program ini diadakan di Kampung Kawasan Seri Mendapat yang terletak di dalam DUN Semarang dan Parlimen Ayer Hitam. Terima kasih juga kepada Penghulu Mukim 7 Tanjong Semberong yang hadir memberikan sokongan.

Kepada Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) En. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, saya tidak akan mencatatkan keseluruhan perkara yang diketahui di sini. Biarlah hanya pihak tertentu sahaja yang mengetahuinya. Saya menghormati tuan.

Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin kerana sudi memberikan 'keizinan' kepada kami untuk meletakkan nama anda di atas banner penutupan rasmi program tersebut. Ayahanda saya spontan berkata, "abah tak pernah buat surat untuk jemput timbalan menteri datang rasmi mesyuarat PIBG atau program apa pun, yang penting kita tempah jadual dia dengan pembantu dia cukup. Telefon pun jadilah". Terima kasih Datuk kerana 'membatalkan' kehadiran pada saat-saat akhir. Semoga anda tidak terpilih sebagai anggota kabinet pada masa akan datang. Oh ya Datuk Rosnah, Pembantu Datuk mengatakan bahawa Datuk berada di Sabah pada 22 Januari tersebut tapi status twitter dan Facebook Datuk menyatakan bahawa Datuk berada di Johor. Terima kasih kerana menipu kami.



Tidak mengapa, kerana IKMAR sudah biasa berhadapan dengan kes-kes pembatalan pada saat-saat akhir. Janji politik memang begitu.

Saya suka dengan kata-kata Datuk Samsolbari Hj. Jamali, "Buat tajuk Kampung Seri Mendapat juga yang MENDAPAT". Alhamdulillah, ada juga Bahagian yang sudi menerima IKMAR dengan ikhlas.

Bak kata ayahanda saya, "Kehadiran orang muda perlu dihormati dan dihargai, bukannya dihalang demi untuk mengekalkan kuasa diri dan ahli keluarga".

Belakang dari kiri :
Nabilah Khanafi (Pengarah Projek), En. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee (Presiden MBM), En. Sa'adon Hj. Ibrahim (Ketua Kampung), Mohamad Safiq Suhaimi (YDP IKMAR).

Depan dari kiri :
Cikgu Kasmat (AJK Bahagian), En. Kamal Harun (Timb. Ketua UMNO Bahagian), Y.B. Datuk Samsolbari Hj. Jamali (ADUN Semarang), En. Abd. Halid Saad (Setiausaha UMNO Bahagian Ayer Hitam)

Ahad, Januari 15, 2012

Ugut letup helikopter PM : Memalukan USM!!

Salam dan salam sejahtera.

Ugut letup helikopter PM: Pelajar USM ditangkap

Polis menahan seorang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) kampus kejuruteraan selepas membuat kenyataan berunsur ugutan menerusi laman blognya, di Georgetown hari ini.

Dalam kenyataannya pelajar terbabit dikatakan mahu meletakkan bom pada helikopter yang akan dinaiki Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam lawatannya ke kampus itu minggu hadapan.

Pelajar terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketua Polis Negeri Datuk Ayub Yaakob yang dihubungi mengesahkan perkara itu dan akan mengadakan sidang media mengenainya esok.

-Bernama



***********************************************

Semasa saya kecil, saya hanya menonton budaya demonstrasi di negara luar melalui televisyen. Hari ini budaya demonstrasi sudah seperti menjadi kebiasaan di negara ini.

Nampaknya satu lagi budaya yang akan muncul di negara ini iaitu budaya PENGEBOMAN.

Sebagai bekas mahasiswa Universiti Sains Malaysia (Kampus Induk), saya mengutuk dan tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh pelajar Universiti Sains Malaysia (Kampus Kejuruteraan) untuk meletakkan bom di helikopter Perdana Menteri.

Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak adalah Perdana Menteri Malaysia dan tindakan mahasiswa Kampus Kejuruteraan itu adalah satu tindakan JAHIL dan tidak BERAKAL kerana berniat membunuh Perdana Menteri.

Memalukan USM!!

*Seperti kata cikgu saya, "Hantar balik ............. mau?" (sedar dirilah weh!)

Khamis, Januari 12, 2012

"...gila kuasa...kawan baik PM..."

Salam dan salam sejahtera.

Sebenarnya saya tidak berminat mencampuri urusan kawasan lain, tapi tidak salah rasanya kerana masih berada di dalam satu daerah. Suatu ketika (sebelum tahun 2004), kedua-dua kawasan adalah satu.

Ketika sedang sibuk menyiapkan tugasan, saya dihubungi oleh seseorang yang meminta saya untuk melihat facebook insan yang tidak menggunakan nama sebenar. Saya hanya sekadar melihat tanpa keterujaan yang nyata kerana pemilik facebook itu 'terlalu berani' tetapi 'melontar batu dan menyembunyikan tangan'. Berani kerana benarlah bro...

Di bawah ini adalah salah satu status facebook yang saya sendiri secara peribadi cuba untuk teruja ketika membacanya;


Saya berpendapat pemilik akaun facebook tersebut sebenarnya seorang yang 'hebat' kerana wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri itu boleh mengadu kepadanya. (Mungkin salah seorang ahli keluarga seorang yang berpengaruh di Kepulauan Solomon)

Untuk makluman pembaca, DUN Parit Yaani diwakili oleh wakil MCA iaitu Y.B. Datuk Ng See Tiong sejak pilihan raya ke-11 tahun 2004. Sebelum persempadanan semula kawasan pilihan raya, DUN Parit Yaani diwakili oleh wakil UMNO iaitu Y.Bhg. Tuan Hj. Hamzah Ramli yang juga Exco Kerajaan Negeri Johor.

Kampung saya agak berdekatan dengan pekan Parit Yaani.

Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai status facebook di atas tetapi saya ingin bersetuju sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri itu tidak dipilih semula mewakili Barisan Nasional di DUN Parit Yaani. Mengapa?

Hal ini kerana kemenangan selesa yang dikecapi oleh BN pada tahun 2004 dengan majoriti 7,276 undi telah melekakan BN. Pada pilihan raya ke-12 tahun 2008 pula BN memperolehi undi majoriti sebanyak 3,857 undi di DUN Parit Yaani. (Mungkin ada kesilapan dari segi ketepatan angka)

Mengapa undi merosot dengan begitu mendadak? Saya tidak perlu menjawabnya kerana seperti biasa sudah tentulah berkaitan dengan wakil yang mewakili parti di situ.

Walaupun saya duduk di kawasan sebelah, tetapi Parit Yaani dan diri saya bukanlah asing kerana pernah berada di dalam satu kawasan. Saya juga selalu duduk 'lepak-lepak' di warung-warung di pekan Parit Yaani.

Di antara luahan atau suara-suara yang saya dengar ketika duduk di warung adalah sikap wakil rakyat yang tidak turun ke kawasan berjumpa dengan rakyat. Itu biasa. Itu belum lagi mengenai gerak kerja pilihan raya tahun 2008 di mana terdapat beberapa pemimpin UMNO tempatan yang terpaksa mengeluarkan bajet sendiri untuk mengupah dan belanja minum mereka yang bersusah payah bekerja untuk parti. Jika para pembaca tidak percaya, bolehlah kiranya untuk bertanya sendiri dengan penduduk di kawasan Parit Yaani.

Saya tidak kisah sekiranya kritikan atau suara-suara ketidakpuasan hati itu keluar daripada mulut pihak yang terang-terangan pembangkang, tetapi itu adalah kata-kata yang saya dengar daripada mulut pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat akar umbi, ketua-ketua masyarakat, para pendidik, orang-orang kampung yang juga ahli UMNO dan mereka yang berada di atas pagar. Saya juga masih ramai rakan-rakan di Parit Yaani yang memberikan laporan mengenai 'kerajinan' wakil rakyat yang 'disayangi' melawat kawasan.

Sama ada Dato' Sri Mohd Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional mahu mengekalkan ADUN itu di DUN Parit Yaani ataupun tidak, pada saya secara peribadi adalah elok ia dihantar pulang ke tempat asalnya. Masih ramai lagi penduduk tempatan yang lahir di kawasan DUN Parit Yaani layak untuk menjadi calon mewakili Barisan Nasional. Anak tempatan, ya anak tempatan kelahiran DUN Parit Yaani sama ada yang bermastautin di situ atau mencari rezeki diperantauan.

Sekiranya BN ingin meletakkan muka baru di DUN Parit Yaani, saya mencadangkan supaya tidak dipilih daripada ahli keluarga orang 'berpengaruh' di dalam kawasan Parlimen berkenaan. Adalah tidak molek sekiranya si BAPA berada di puncak kekuasaan, si IBU pula berada di posisi DUN di sebelah sana dan si ANAK mewakil DUN di sebelah sini.

Sekali lagi saya ulangi, kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bukanlah hak milik sesebuah keluarga.

Sebelum saya dituduh seperti mana yang dinyatakan di dalam facebook itu, seeloknya saya menafikan bahawasanya saya sebenarnya tidak mempunyai hubungan yang erat dengan Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan saya tidak mampu mempengaruhi Pengerusi Barisan Nasional itu untuk menjadikan, mengekalkan mahupun menggugurkan seseorang insan sebagai calon pilihan raya Barisan Nasional. Walaupun saya mengenali Dato' Sri Mohd Najib tetapi beliau sebenarnya tidak mengenali saya. Percayalah....

Saya tetap bersama;


Saya tidak mengkritik parti tetapi saya mengkritik 'pemandu-pemandunya'.


****************************************

Menunggu detik untuk pendedahan rasmi sikap seorang insan yang terlalu lama berada di puncak kekuasaan.

Rabu, Januari 11, 2012

Jangan Ada Prasangka - Kerusi Parlimen bukan untuk keluarga kamu sahaja!!

Salam dan salam sejahtera.

Penulisan kali ini mungkin yang paling pendek.

Cukup sekadar gambar untuk menggambarkan yang tersirat di sebalik yang tersurat.

JANGAN ADA PRASANGKA



Saya tujukan perkara kepada pihak yang berkenaan terutamanya pencacai atau penyokong kuat seorang manusia yang sudah terlalu lama berada di puncak kuasa.

Tarik diri dan bersara lebih elok berbanding mencalonkan anak sendiri (mahupun isteri) sebagai pengganti.

Apabila sudah terlalu lama berada di puncak kuasa, maka sudah terleka dan alpa mengenai punca kuasa yang diperolehinya itu.

Perlu disedari bahawa kerusi atau pangkat mahupun jawatan sebagai seorang Ahli Parlimen bukanlah satu warisan yang perlu diperturunkan kepada anak, cucu, cicit mahupun saudara mara.

Saya tidak akan menaip mengenai kawasan Parlimen berkenaan kerana tidak perlu menyentuhnya di sini. Hal ini kerana saya akan menaipnya tatkala masanya tiba untuk menyatakan mengenai keBONGKAKan dan keBIADABan seorang Ahli Parlimen yang tidak memberi 'restu' program kemasyarakatan mahasiswa/i di sebuah kampung yang berada di dalam kawasan Parlimen jagaannya.

Siapa anda wahai Ahli Parlimen untuk kami meminta restu kamu? Mandat kamu juga diberi oleh rakyat. Ketua Kampungnya juga JAHIL kerana terlalu menjaga hati Ahli Parlimen umpama kuda tua yang perlu dibersarakan segera. (Tidak ada kena mengena dengan gambar di atas - Saya merujuk Ahli Parlimen di Kepulauan Solomon)


Oh ya, sebelum saya terlupa elaun Ketua Kampung dan Setiausaha Kampung dibayar oleh Kerajaan Negeri Johor dan bukannya Ahli Parlimen. Saya tidak pasti pula Ketua Pemuda UMNO Cawangan turut mendapat elaun daripada Ahli Parlimen. Mungkin elaun projek-projek rasanya.


Terharu rasanya apabila seorang Ketua Kampung menipu mahasiswa/i mengenai elaun yang diperolehinya. (Saya turut merujuk Ketua Kampung di Kepulauan Solomon)

Isnin, Januari 09, 2012

801 + 901 = 1001 Persoalan

Salam dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, pada 9 Januari 2012 Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah terselamat daripada menjadi penghuni Penjara Sungai Buloh buat kali kedua.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu memperlihatkan kepada umum bahawa sistem kehakiman di negara ini benar-benar telus dan tidak dipengaruhi oleh kerajaan Barisan Nasional dan UMNO seperti mana yang sering diungkapkan oleh parti-parti pembangkang.

Seperti biasa, sekiranya sesuatu keputusan itu memihak kepada mereka (pembangkang), maka mereka akan menerima dengan hati yang terbuka dan mengatakan itu adalah keputusan yang adil dan telus. Bayangkanlah, bagaimana pula keadaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekiranya keputusan mahkamah itu tidak memihak kepada Anwar Ibrahim?

Laporan media turut memaparkan bahawa terdapat tiga letupan bom buatan sendiri di tempat berdekatan Mahkamah Tinggi. Seperti biasa Buletin Utama TV3 akan memaparkan berita mengenai pembebasan Anwar sedikit sahaja dan bersyukurlah kerana terdapat berita mengenai letupan itu sehingga mampu menutup berita pembebasan Anwar.

Pada 8 Januari 2012, bekas Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor telah dipecat daripada Pas. Pemecatan itu telah dilakukan selepas AJK Pas Pusat bermesyuarat dan keputusan drastik itu telah dilakukan ke atas Y.B. Datuk Dr. Hassan Ali yang juga Exco Selangor.

Khabarnya kelantangan Datuk Dr. Hassan Ali mempertahankan agama Islam, mengenai penjualan arak di Selangor, Perhimpunan Sejuta Ummah dan sebagainya dilihat telah merugikan Pas sendiri. Saya sebagai orang luar melihat kelantangan Datuk Dr. Hassan Ali itu perlu kerana Pas kini sudah tidak berani bersuara mengenai perjuangan menegakkan syiar Islam kerana 'menghormati' rakan di dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP.

Perjuangan membangunkan negara Islam telah berubah kepada negara berkebajikan. Timbalan Presiden PKR sendiri berani bersuara dan mencampuri urusan rumahtangga Pas.

Daripada dua individu ini, cuba kita fikirkan sejenak mengapa 801 dan 901 menjadi tarikh keramat terhadap dua insan ini?

Mengapa Datuk Dr. Hassan Ali dipecat daripada Pas pada tarik 8 Januari, selang sehari akan keputusan kes mahkamah Anwar? Mengapa Datuk Dr. Hassan Ali tidak diberikan ruang dan peluang untuk membela diri walhal Pas yang kononnya ISLAM itu tidak memberi ruang kepada Exco Selangor itu untuk menjelaskan hal yang sebenarnya. Nampak sangat Pas membuat keputusan berdasarkan kata-kata orang 'fasik' dalam Pakatan Rakyat sedangkan kita orang Islam telah diajar untuk menyiasat setiap khabar berita yang sampai ke telinga kita sendiri. Saya juga yakin, Datuk Dr. Hassan Ali bukanlah satu-satunya insan yang dipecat daripada Pas. Mungkin selepas ini akan ada lagi insan yang akan dipecat kerana berkata benar mengenai syiar Islam sehingga mengecilkan hati DAP dan PKR.

Saya melihat pemecatan Datuk Dr. Hassan Ali pada 8 Januari adalah untuk menenggelamkan kisah Datuk Dr. Hassan Ali ini dengan kisah Anwar. Sekiranya Anwar bersalah maka nama Datuk Dr. Hassan Ali tidak akan disebut-sebut setelah dipecat daripada Pas kerana media akan memberi tumpuan kepada Anwar. Namun begitu hanya media-media tertentu sahaja yang memaparkan berita mengenai Anwar setelah terselamat untuk kembali ke Sungai Buloh.

Sebab itulah seorang insan yang saya temui turut menggelengkan kepalanya apabila bercerita mengenai Pas. Insan itu yang boleh duduk semeja dengan pemimpin-pemimpin utama Pas mengatakan Pas kini hanya Islam pada nama dan perjuangannya sudah jauh terpesong berbanding zaman Allahyarham Datuk Ustaz Fadzil Noor. Inilah bahana apabila sanggup berkawan dengan syaitan demi untuk menjatuhkan UMNO yang juga saudara seagamanya sendiri.


Kita kembali kepada 901. Saya cuba membawa para pembaca untuk berfikir mengenai keputusan mahkamah. Cuba bayangkan, bagaimana keadaan di Jalan Duta itu jika sekiranya Anwar didapati bersalah dan dihukum penjara?

Saya yakin para peserta yang berhimpun di sana akan mengadakan rusuhan dan ketika itu keadaan sudah tentu tidak terkawal. Ketika itu seluruh penyokong Anwar akan mengatakan keputusan mahkamah telah dipengaruhi oleh kerajaan Barisan Nasional.

Saya berasa musykil sedikit kerana keputusan mahkamah dilihat seperti ada sesuatu yang disembunyikan. Seperti ada 'propaganda' oleh pihak tertentu untuk membebaskan Anwar 'seketika'.

Mungkin kerana tidak mahu berlaku kekacauan maka keputusan mahkamah itu berpihak kepada Anwar. Perlu diingat bahawa Saiful dan pihak pendakwa masih mempunyai ruang untuk membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Masih terngiang-ngiang di telinga saya apabila seorang yang mempunyai ilmu dalam bidang Falak mengatakan bahawa insan itu tidak sesuai dan tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri. Peluangnya juga tiada. Semoga kata-kata itu menjadi kenyataan.

Penulisan kali ini mungkin menimbulkan 1001 persoalan kepada para pembaca, tetapi naluri saya tetap mengatakan bahawa ada sesuatu yang tersirat disebalik keputusan 801 dan 901 itu.

Marilah sama-sama kita berfikir. Kepada mereka yang malas berfikir, tunggu sajalah apa yang akan berlaku.

Jumaat, Januari 06, 2012

Demonstrasi jadi Diskusi Ilmiah di USM

Salam dan salam sejahtera.

Semalam 5 Januari 2012, telah diadakan satu perjumpaan kecil dan menggunakan istilah 'diskusi' sebagai salah satu cara untuk tidak 'meniru' tindakan mahasiswa/i di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada malam tahun baru 2012 yang lalu.
Perjumpaan atau diskusi oleh pelajar Cina itu diadakan di gelanggang bola keranjang Desasiswa Bakti Permai. Saya sendiri berada di sana, bukan untuk menyokong tetapi memerhati dan mendengar tujuan utama mereka berdiskusi di sana.

Persoalannya mudah, mengapa diskusi atau perbincangan itu diadakan di gelanggang bola keranjang yang gelap? Mengapa tidak diadakan di cafe-cafe yang sudah tersedia dengan kemudahan yang lebih selesa? Mengapa tidak dianjurkan program diskusi ilmiah untuk berbincang secara lebih akademik?

Secara peribadi saya menganggap sekumpulan pelajar Cina itu hanya sekadar duduk untuk mengulangkaji pelajaran kerana keesokkan harinya mereka mungkin ada peperiksaan. Mungkinlah.

Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Jabatan Keselamatan Universiti Sains Malaysia yang mengawal kemasukan orang luar ke dalam kampus sejak petang kejadian.

Saya sendiri diberitahu bahawa program yang dianjurkan itu sebenarnya telah dirancang lama, tetapi dapat 'disekat' daripada tersebar kepada mahasiswa/i USM. Akan tetapi, mungkin kerana 'penjaga-penjaga' facebook tertentu sedang sibuk dengan peperiksaan maka info berkenaan program ini telah tersebar pada 5 Januari 2012.

Di bawah adalah salah satu mesej yang dimaksudkan;


Saya mengucapkan tahniah kepada semua mahasiswa/i USM kerana tidak menyertai program tersebut. Kehadiran yang kecil itu khabarnya telah menyebabkan penganjur menukar rancangan asal untuk menyalakan lilin.

Pada saya, disinilah letaknya kematangan mahasiswa/i USM dalam menghadapi pihak-pihak yang cuba mengganggu-gugat kestabilan dan keamanan kampus ini.


Saya juga berbangga dengan beberapa rakan kepimpinan pelajar  terutamanya Speaker Dewan Perundingan Pelajar (DPP) atau Parlimen Mahasiswa USM (gambar atas , baju kuning pegang topi keledar) yang berani menyoal tindakan penganjur dan memberikan beberapa kenyataan. Terdapat juga beberapa soalan yang tidak dijawab oleh pihak berkenaan apabila diajukan soalan oleh pihak yang tidak menyokong mereka tetapi berada di sana.


Kesimpulan yang dapat saya simpulkan di sini ialah, mereka khususnya mahasiswa/i Cina yang berkumpul atas nama untuk BERDISKUSI itu bukanlah semuanya mahasiswa/i USM. Mereka juga hanya berpandukan laporan yang diterima daripada pihak mereka sahaja mengenai kejadian di UPSI. Seperti biasa, mereka hanya akan menerima sesuatu sekiranya perkara itu memihak kepada mereka.

Sekiranya kesemua warga kampus diberitahu mengenai niat murni untuk diadakan DISKUSI ILMIAH itu, saya yakin akan ada lebih ramai yang menyertainya dengan hujah dan fakta serta bukti bergambar mahupun video.

Tahniah kepada seluruh warga kampus Universiti Sains Malaysia!

Maklumat lanjut mengenai perkara ini bolehlah rujuk link dibawah.



Rabu, Januari 04, 2012

901

Salam dan salam sejahtera.

Angka 901 kini dinanti-nantikan oleh banyak pihak khususnya mereka yang berada di pihak pembangkang. Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah bertekad untuk mengumpulkan seramai 100,000 (seratus ribu) penyokong di hadapan Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada 9 Januari 2012 ini. Tindakan tersebut merupakan tanda sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sedar ataupun tidak, akhirnya kes perbicaraan yang seringkali ditangguh, tangguh, tangguh, tangguh, tangguh, tangguh dan entah berapa kali ditangguh akan ditamatkan dengan satu keputusan yang akan diketahui pada 9 Januari ini. Sama ada Anwar bersalah ataupun tidak kesemuanya itu akan diketahui pada hari berkenaan. Putrajaya atau Penjarajaya.

Alhamdulillah ada juga usaha pihak tertentu khususnya pemimpin tertinggi parti-parti pembangkang yang berusaha untuk mengumpulkan seramai 100,000 orang bagi menyokong seorang insan 'anugerah Tuhan' dan gelaran baru seorang yang akan membebaskan.........saya tidak mahu menaip Imam Mahdi kerana itu terlalu mulia untuk insan yang terlalu banyak tuduhan itu.

Tidakkah puak-puak seperti mereka ini sedar, bahawa tindakan mereka akan menyusahkan banyak pihak? Mengganggu ketenteraman awam itu sudah pasti. Menyesakkan jalanraya itu juga pasti. Mereka sedar atau tidak? Atau mereka sebenarnya sudah terlalu taksub dengan insan bernama Anwar Ibrahim?

Aksi apakah yang bakal dipersembahkan pada 9 Januari ini? Berbaring di atas jalan itu pasti. Pertunjukkan solat hajat di atas jalanraya juga mungkin pasti. Laungan TAKBIR!! itu juga sudah pasti. Maki hamun itu sangat pasti. Laungan Hidup! Hidup! Anwar! Anwar! Agaknya pasti.

Mungkin itu adalah pertunjukkan yang wajib dilaksanakan.

Persoalannya, apakah tindakan pihak berkuasa untuk mengatasi perkara ini? Laporan polis khabarnya sudah beratus-ratus di buat oleh pihak yang tidak bersetuju rancangan perhimpunan haram 901 itu. Berapa banyak lagi laporan polis yang perlu dibuat untuk 'memaksa' polis bertindak?

Saya sudah menyampah dengan budaya demonstari di negara ini. Mengapa tidak ada tindakan untuk mengatasinya? Kebebasan bersuara? Bersuaralah, tiada siapa yang menghalang. Kebebasan berhimpun secara aman? Pastikah jumlah sebesar 100,000 orang itu kesemuanya sopan-sopan belaka? Jangan kerana seorang insan yang dituduh meliwat, mereka yang kononnya seramai 100,000 orang ini memaksa pihak polis 'meliwat' mereka dengan menyembur air, gas pemedih mata, bertindak kasar dan sebagainya terhadap mereka. Jangan selepas 'diliwat' oleh pihak berkuasa barulah mereka hendak menyalahkan kerajaan. Polis, FRU, dan pihak berkuasa yang lain bertindak berdasarkan laporan. Menjaga ketenteraman awam itu adalah tugas mereka.

Kepada mahasiswa/i yang berhasrat untuk hadir program 901 itu, bersedialah untuk dikenakan tindakan. Jangan sia-siakan harapan ibu bapa dan keluarga. Jangan berbangga sekiranya ibu bapa menyokong anda menyertai demonstrasi di jalanan. Sekiranya ada ibu bapa yang mendesak anak-anak mereka menyertai demonstrasi haram bagaimana pula? Sewajarnya mereka sekeluarga dihantar berjihad ke Palestin untuk menentang Israel. TAKBIR!!

Jangan menyusahkan orang lain! Sekiranya negara ini menjadi tidak terkawal dek kerana tindakan puak-puak jahil 901 ini, mereka adalah petualang dan pengkhianat kepada negara yang berada dalam keadaan aman dan tenteram sepanjang lebih 50 tahun ini.

Selasa, Januari 03, 2012

Demonstrasi subjek OPSYEN dan Luahan Hati

Salam dan salam sejahtera.

Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi yang sedang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.

Saya mendoakan kalian mendapat keputusan yang setaraf dengan usaha kalian sepanjang semester ini.

Kepada mahasiswa dan mahasiswa yang menjadikan DEMONSTRASI sebagai salah satu matapelajaran OPSYEN, saya juga mendoakan kalian mendapat apa yang kalian cari, buka mata, buka minda, buka hati supaya benar-benar BEBAS tanpa dicuit dan digesel oleh pemimpin-pemimpin parti politik pembangkang.

Di bawah ini saya selitkan mesej daripada seorang umat Islam di negara Malaysia. Kepada anda yang membaca terutamanya mahasiswa dan mahasiswi yang begitu terkesan dek KEZALIMAN kerajaan Malaysia, baca, fahami, dan renungilah.

Inilah mesejnya;


SAYA KECEWA!!!

Pelajar IPTA dan IPTS diberi saguhati oleh Kerajaan Malaysia sebanyak RM200 kononnya untuk belanja buku. Begitulah ditatangnya para pelajar IPTA/IPTS oleh kerajaan kita.

Tapi bagaimana dengan pelajar Institusi Latihan Kemahiran Aam (ILKA) dan Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS)? Jawapannya ialah, HAMPA dan HAMPAS!!!

Double standard yang memualkan. Tidak ada seorang pun golongan cerdik pandai di Malaysia ni yang perjuangkan nasib belia-belia berkemahiran ini.

Pernah kita dengar pelatih kemahiran berdemo? Pernah dengar hutang pinjaman belajar PTPK tertunggak macam PTPTN? Pernah dengar ke pelajar kemahiran menentang kerajaan?

Kami pelajar kemahiran seperti anjing menyalak bukit bila menyebut soal hak samarata dengan pelajar akademik. Kami dah macam barua di bumi tercinta Malaysia.

Apa pun, golongan "bodoh,bahlul,tolol dan bongok" seperti kami adalah Tangan Emas Negara dan tetap terus belajar dan bekerja dengan penuh kecintaan pada negara ini.