Followers

Khamis, Januari 12, 2012

"...gila kuasa...kawan baik PM..."

Salam dan salam sejahtera.

Sebenarnya saya tidak berminat mencampuri urusan kawasan lain, tapi tidak salah rasanya kerana masih berada di dalam satu daerah. Suatu ketika (sebelum tahun 2004), kedua-dua kawasan adalah satu.

Ketika sedang sibuk menyiapkan tugasan, saya dihubungi oleh seseorang yang meminta saya untuk melihat facebook insan yang tidak menggunakan nama sebenar. Saya hanya sekadar melihat tanpa keterujaan yang nyata kerana pemilik facebook itu 'terlalu berani' tetapi 'melontar batu dan menyembunyikan tangan'. Berani kerana benarlah bro...

Di bawah ini adalah salah satu status facebook yang saya sendiri secara peribadi cuba untuk teruja ketika membacanya;


Saya berpendapat pemilik akaun facebook tersebut sebenarnya seorang yang 'hebat' kerana wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri itu boleh mengadu kepadanya. (Mungkin salah seorang ahli keluarga seorang yang berpengaruh di Kepulauan Solomon)

Untuk makluman pembaca, DUN Parit Yaani diwakili oleh wakil MCA iaitu Y.B. Datuk Ng See Tiong sejak pilihan raya ke-11 tahun 2004. Sebelum persempadanan semula kawasan pilihan raya, DUN Parit Yaani diwakili oleh wakil UMNO iaitu Y.Bhg. Tuan Hj. Hamzah Ramli yang juga Exco Kerajaan Negeri Johor.

Kampung saya agak berdekatan dengan pekan Parit Yaani.

Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai status facebook di atas tetapi saya ingin bersetuju sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri itu tidak dipilih semula mewakili Barisan Nasional di DUN Parit Yaani. Mengapa?

Hal ini kerana kemenangan selesa yang dikecapi oleh BN pada tahun 2004 dengan majoriti 7,276 undi telah melekakan BN. Pada pilihan raya ke-12 tahun 2008 pula BN memperolehi undi majoriti sebanyak 3,857 undi di DUN Parit Yaani. (Mungkin ada kesilapan dari segi ketepatan angka)

Mengapa undi merosot dengan begitu mendadak? Saya tidak perlu menjawabnya kerana seperti biasa sudah tentulah berkaitan dengan wakil yang mewakili parti di situ.

Walaupun saya duduk di kawasan sebelah, tetapi Parit Yaani dan diri saya bukanlah asing kerana pernah berada di dalam satu kawasan. Saya juga selalu duduk 'lepak-lepak' di warung-warung di pekan Parit Yaani.

Di antara luahan atau suara-suara yang saya dengar ketika duduk di warung adalah sikap wakil rakyat yang tidak turun ke kawasan berjumpa dengan rakyat. Itu biasa. Itu belum lagi mengenai gerak kerja pilihan raya tahun 2008 di mana terdapat beberapa pemimpin UMNO tempatan yang terpaksa mengeluarkan bajet sendiri untuk mengupah dan belanja minum mereka yang bersusah payah bekerja untuk parti. Jika para pembaca tidak percaya, bolehlah kiranya untuk bertanya sendiri dengan penduduk di kawasan Parit Yaani.

Saya tidak kisah sekiranya kritikan atau suara-suara ketidakpuasan hati itu keluar daripada mulut pihak yang terang-terangan pembangkang, tetapi itu adalah kata-kata yang saya dengar daripada mulut pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat akar umbi, ketua-ketua masyarakat, para pendidik, orang-orang kampung yang juga ahli UMNO dan mereka yang berada di atas pagar. Saya juga masih ramai rakan-rakan di Parit Yaani yang memberikan laporan mengenai 'kerajinan' wakil rakyat yang 'disayangi' melawat kawasan.

Sama ada Dato' Sri Mohd Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional mahu mengekalkan ADUN itu di DUN Parit Yaani ataupun tidak, pada saya secara peribadi adalah elok ia dihantar pulang ke tempat asalnya. Masih ramai lagi penduduk tempatan yang lahir di kawasan DUN Parit Yaani layak untuk menjadi calon mewakili Barisan Nasional. Anak tempatan, ya anak tempatan kelahiran DUN Parit Yaani sama ada yang bermastautin di situ atau mencari rezeki diperantauan.

Sekiranya BN ingin meletakkan muka baru di DUN Parit Yaani, saya mencadangkan supaya tidak dipilih daripada ahli keluarga orang 'berpengaruh' di dalam kawasan Parlimen berkenaan. Adalah tidak molek sekiranya si BAPA berada di puncak kekuasaan, si IBU pula berada di posisi DUN di sebelah sana dan si ANAK mewakil DUN di sebelah sini.

Sekali lagi saya ulangi, kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bukanlah hak milik sesebuah keluarga.

Sebelum saya dituduh seperti mana yang dinyatakan di dalam facebook itu, seeloknya saya menafikan bahawasanya saya sebenarnya tidak mempunyai hubungan yang erat dengan Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan saya tidak mampu mempengaruhi Pengerusi Barisan Nasional itu untuk menjadikan, mengekalkan mahupun menggugurkan seseorang insan sebagai calon pilihan raya Barisan Nasional. Walaupun saya mengenali Dato' Sri Mohd Najib tetapi beliau sebenarnya tidak mengenali saya. Percayalah....

Saya tetap bersama;


Saya tidak mengkritik parti tetapi saya mengkritik 'pemandu-pemandunya'.


****************************************

Menunggu detik untuk pendedahan rasmi sikap seorang insan yang terlalu lama berada di puncak kekuasaan.

5 ulasan:

  1. salam,sy masih tetunggu2 apa dia transformasi yg di canang pee emm.rasanya x sampai di peringkat bawahan.cuba u siasat,ketua kg bahru mk 7 n ketua cawangan dh bertahun2 terlibat dalam skandal kehilangan duit masjid n peruntukan kampung.sampai skang x terungkap wlupun seluruh warga kg dh tau.sy hairan kpd parasit2 ini yg sanggup menjadi liabiliti kpd parti sendiri.apa kejadahnya jika ajk masjid pn lantik kt tepi jalan?why?takut sangat hilang jawatan sampai sampah sarap pun dibawa balik kerumah?

    BalasPadam
  2. ada wakil dh g buat laporan ke penghulu tp apa jawab penghulu?...saya makan gaji..info kt ahli parlimen...apa ahli parlimen jawab?...saya xnk hilang pengaruh,dh nk pilihanraya...info kt ketua pemuda...apa kp jawab...itu pak cik saya.ingat,rakyat akan ajar anda2 semua kali ini.

    BalasPadam
  3. rindu kat kampong sendiri...walaupun duduk kat sempadan kampong...

    BalasPadam
  4. cam ne ngan duit persatuan kompang...dah settele ke...

    BalasPadam
  5. Melayu itu orang yang bijaksana
    Nakalnya bersulam jenaka
    Budi bahasanya tidak terkira
    Kurang ajarnya tetap santun
    Jika menipu pun masih bersopan
    Bila mengampu bijak beralas tangan

    Melayu itu berani jika bersalah
    Kecut takut kerana benar
    Janji simpan di perut
    Selalu pecah di mulut
    Biar mati adat
    Jangan mati anak

    Dalam sejarahnya
    Melayu itu pengembara lautan
    Melorongkan jalur sejarah zaman
    Begitu luas daerah sempadan
    Sayangnya kini segala kehilangan

    Melayu itu kaya falsafahnya
    Kias kata bidal pusaka
    Akar budi bersulamkan daya
    Gedung akal laut bicara

    Malangnya Melayu itu kuat bersorak
    Terlalu ghairah pesta temasya
    Sedangkan kampung telah tergadai
    Sawah sejalur tinggal sejengkal
    Tanah sebidang mudah terjual
    Meski telah memiliki telaga
    Tangan masih memegang tali
    Sedang orang mencapai timba
    Berbuahlah pisang tiga kali

    Melayu itu masih bermimpi
    Walaupun sudah mengenal universiti
    Masih berdagang di rumah sendiri

    Berkelahi cara Melayu
    Menikam dengan pantun
    Menyanggah dengan senyum
    Marahnya dengan diam
    Merendah bukan menyembah
    Meninggi bukan melonjak

    Watak Melayu menolak permusuhan
    Setia dan sabar tiada sempadan
    Tapi jika marah tak nampak telinga
    Musuh dicari ke lubang cacing
    Tak dapat tanduk telinga dijinjing

    Maruah dan agama dihina jangan
    Hebat amuknya tak kenal lawan
    Berdamai cara Melayu indah sekali
    Silaturrahim hati yang murni
    Maaf diungkap senantiasa bersahut
    Tangan diulur sentiasa bersambut
    Luka pun tidak lagi berparut

    Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
    Selaga yang ada sanggup diberikan
    Sehingga tercipta sebuah kiasan:
    “Dagang lalu nasi ditanakkan
    Suami pulang lapar tak makan
    Kera di hutan disusu-susukan
    Anak di pangkuan mati kebuluran”

    Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
    Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
    Jangan takut melanggar pantang
    Jika pantang menghalang kemajuan;
    Jangan segan menentang larangan
    Jika yakin kepada kebenaran;
    Jangan malu mengucapkan keyakinan
    Jika percaya kepada keadilan

    Jadilah bangsa yang bijaksana
    Memegang tali memegang timba
    Memiliki ekonomi mencipta budaya
    Menjadi tuan di negara Merdeka!

    BalasPadam