Followers

Khamis, Disember 22, 2011

Demonstrasi itu menyusahkan! Era kerajaan tahu segalanya sudah berakhir..

Salam dan salam sejahtera.

Pada 21 Disember 2011 telah diadakan perhimpunan aman di hadapan bangunan Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya. Seperti mana sedia maklum, perhimpunan aman itu dihadiri oleh para mahasiswa/i dan alumni Universiti yang menggelarkan diri mereka ASPIRASI.


Saya sendiri secara peribadi telah menerima dua mesej untuk turut sama berada di sana bagi menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri dan mendesak Timbalan Menteri Menteri Pengajian Tinggi meletak jawatan.
Mesej pertama yang saya terima pada 18 Disember 2011 adalah seperti di bawah;

Salam ASPIRASI : Jemputan ke Himpunan Aman Sokong PM - 21 Disember 2011 (Rabu) 2.30 petang di hadapan bangunan KPT Putrajaya. Mahasiswa dan Alumni di semua IPT seluruh Malaysia dijemput untuk menunjukkan sokongan kepada YAB DS Najib sebagai PM Malaysia bagi terus memimpin negara ini dan mendesak Saifuddin Abdullah melepaskan jawatan dalam kabinet dan parti kerana telah memalukan nama baik pemimpin no 1 negara. Mari bersama tunjukkan bahawa kita lebih ramai yang mahukan YAB DS Najib terus meneraju negara......

Di bawah ini pula adalah mesej yang kedua yang saya terima pada 20 Disember 2011;

"WE LOVE PM"
Tunjukkan sokongan kepada YAB DS Najib. Himpunan Aman Sokong PM. 21 Disember 2011. Rabu. 2.30 petang. Di hadapan bangunan KPT.
Saya sayang PM
Dia sayang PM
Mereka sayang PM
Kami sayang PM
Semua sayang PM
"WE LOVE PM"
"WE LOVE PM"
"WE LOVE PM"
"WE LOVE PM"
"WE LOVE PM"
 
Saya tidak mahu menulis semula mengapa perhimpunan aman ini diadakan. Tidak perlu rasanya menyatakan semula apa yang berlaku di PWTC dek kerana tindakan BIADAB mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menurunkan bendera/gambar Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Sekadar gambar hiasan

Saya berharap mahasiswa daripada UPSI itu akan mendapat balasan yang setimpal. Jika tiada undang-undang untuk mengadili mahasiswa yang bakal bergelar pendidik itu, saya berharap akan ada pihak yang akan mengadilinya sendiri. Disebabkan terlalu ghairah berdemonstrasi maka ia sesuka hati melakukan 'rampasan kuasa' di PWTC. Berani buat maka kena berani untuk menanggung akibatnya. Tidak perlu membuat laporan polis sekiranya menerima ugutan/ancaman dek kerana keberanian yang tidak bertempat itu. Sungguh memalukan UPSI!

Secara peribadi saya tidak suka dengan budaya demonstrasi yang semakin menjadi-jadi di negara ini. Suatu ketika kita hanya melihat budaya demonstrasi di negara-negara luar dan hanya menontonnya di kaca televisyen. Namun begitu, hari ini negara tercinta ini semakin kerap diadakan demonstrasi. Saya rindukan cara pentadbiran Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad, seorang 'DIKTATOR' yang baik.

Tindakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) yang berdemonstrasi dan berlaku BIADAB di PWTC itu bukanlah tindakan daripada golongan yang terpelajar.

Saya lebih terkilan apabila menerima dua mesej seperti di atas yang secara jelas turut ingin mengadakan demonstrasi di hadapan Kementerian Pengajian Tinggi walaupun nama demonstrasi itu telah 'dimurnikan' menjadi perhimpunan aman.

Saya sendiri telah diajukan soalan oleh seorang pembantu peribadi seorang insan yang 'berpengaruh' mengenai undangan tersebut.

Secara peribadi saya menjawab bahawa tindakan untuk mengadakan perhimpunan aman itu adalah membuang masa. Hal ini kerana golongan mahasiswa/i yang berideologikan fahaman ASPIRASI itu sudah tentunya mempunyai hubungan akrab dengan Menteri dan Timbalan Menteri. Persoalannya di sini ialah mengapa mereka tidak mahu menggunakan saluran yang lebih baik untuk mendapatkan respon daripada Kementerian Pengajian Tinggi khususnya Datuk Saifuddin Abdullah?

Adalah tidak wajar demonstrasi di lawan dengan demonstrasi. Jika SMM dan Bebas itu melakukan tindakan BODOH, mengapa ASPIRASI juga melakukan perkara yang sama?

Saya beranggapan perhimpunan aman itu adalah sia-sia kerana memorandum yang diserahkan itu tidak diberi terus kepada Datuk Saifuddin sendiri. Jika saya tidak silap, Datuk Saifuddin sendiri ada membuat satu status di dalam facebook yang menyatakan bahawa ketika perhimpunan aman itu dilakukan, beliau mempunyai program di Batu Pahat dan Seremban. Ohh, mungkin perhimpunan aman itu hanya sekadar simbolik untuk mendesak Datuk Saifuddin meletak jawatan.

Saya tetap berpegang bahawa golongan yang berhimpun atas nama ASPIRASI itu perlu mengadakan perjumpaan secara bersemuka dengan Datuk Saifuddin untuk mendengar sendiri dari mulut beliau mengenai isu-isu yang dipertikai oleh mereka.

Saya mohon maaf kepada para pembaca. Saya bukanlah hendak menyokong Datuk Saifuddin, tetapi saya perlu menyatakan pandangan bahawa UMNO dan Barisan Nasional yang merupakan parti mentadbir urus negara ini tidak memiliki menteri dan timbalan menteri yang rapat dengan mahasiswa/i. Saya tidak nampak menteri yang begitu rapat dengan kecuali Datuk Saifuddin. Menteri-menteri dan timbalan menteri yang lain mungkin tidak mahu mencampuri urusan Kementerian Pengajian Tinggi, mungkinlah.

Saya tidak berasa pelik sekiranya Datuk Saifuddin lebih akrab dengan mahasiswa/i, hal ini kerana beliau adalah bekas pemimpin belia dan merupakan pemimpin mahasiswa/i ketika beliau di institusi pengajian tinggi.

Kita jangan terlalu mudah menjatuh hukum. Mungkin kita mencari kesalahan para mahasiswa/i yang berdemonstrasi di PWTC, tetapi kita tidak pernah mencari puncanya.

Cuba kita fikirkan, berapa kerap kerajaan melalui kementerian membuat program bersama mahasiswa/i di IPT? Berapa kerap juga Menteri Pengajian Tinggi beramah mesra bersama mahasiswa/i secara SANTAI tanpa protokol? Siapakah wakil-wakil pemimpink hususnya Setiausaha Politik yang telah mengadakan perjumpaan bersama mahasiswa/i dan mendengar masalah mereka?

Mungkin itu semua tidak dilakukan kerana hendak mengelakkan budaya politik luar masuk ke dalam kampus. Itu bukanlah alasan kerana jika mereka khususnya menteri masuk ke dalam kampus, menteri itu bukanlah menteri UMNO/BN tetapi menteri itu adalah menteri kerajaan Malaysia.

Saya yakin, sehingga saat saya menaip ini, masih ada perjumpaan diadakan di antara mahasiswa/i dengan pemimpin-pemimpin parti politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Perjumpaan yang diadakan secara tertutup di hotel-hotel bersama pemimpin-pemimpin mahasiswa/i bukanlah langkah yang baik kerana 'sudah terlambat'. Mengapa 'sudah terlambat'? Sengaja saya timbulkan persoalan di sini supaya para pembaca berfikir mengenainya.

Saya akui akan ada pihak yang tidak menyukai penulisan ini. Salah satunya adalah pihak yang telah saya nyatakan pada beberapa penulisan saya sebelum ini. (Bahagian doktrinisasi).

Sekali lagi saya ulangi di sini bahawa UMNO/BN dan pihak kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi kekurangan manusia yang boleh bersama dan akrab dengan mahasiswa/i. Sewajarnya mereka (mahasiswa/i) diberikan sentuhan peribadi dan pihak kementerian perlu kerap mengadakan perjumpaan bersama mahasiswa/i supaya mahasiswa/i akan berasa lebih dihargai.

Saya tertarik dengan kata-kata Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mengatakan bahawa era kerajaan tahu segalanya telah berakhir. Adakah itu hanya sekadar retorik atau kata-kata politik?

Jika era kerajaan tahu segalanya sudah berakhir, mengapa pandangan dan idea mahasiswa/i dan golongan muda tidak diambil kira? Adalah lebih molek sekiranya suara mahasiswa/i dan generai muda/belia didengari juga.

2 ulasan:

  1. Syuk, apa diaorang nak sebenarnya?
    Orang tu nak baik dengan semua orang. Takkan nak duk sama puak jek? Nape orang tak mau macam kita?
    Aspirasi ka, pro-m ka, bebas ka, duk sama2 satu kelas, satu meja minum, kongsi makanan, mandi sungai sama-sama, gelak ketawa takde beza.
    Ni ke kebebasan yang diaorang nak? berpecah belah? Kucar-kacir macam nyamuk larikan asap nyamuk?

    Remie.

    BalasPadam
  2. Susah nak faham apa yg mereka nak. Rasanya kita lebih matang berbanding mereka kerana kita berbeza ideologi tapi masih mampu duduk bersama bersembang pelbagai isu. Baik dalam kelas, kedai mamak, masa mendaki bukit, mandi air terjun, tu semua kita jadikan platform untuk berbincang secara rasional dan mengenepikan emosional dalam perbincangan.

    BalasPadam