Salam
dan salam sejahtera..
Minggu
ini, parti terbesar umat Melayu beragama Islam sedang mengadakan mesyuarat
agungnya. Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO adalah tunjang utama
kepada Barisan Nasional dan parti yang berjaya menyatukan pertubuhan-pertubuhan
serta orang Melayu untuk menuntut kemerdekaan tanah air ini.
UMNO
lahir di dalam istana. UMNO tidak lahir di tepi jalan dengan laungan reformasi.
UMNO tidak lahir kerana hendak membela seorang individu. UMNO tidak lahir untuk
menghapuskan hak istimewa orang Melayu. UMNO tidak lahir untuk menjadikan
negara ini sebagai negara republik. UMNO tidak lahir untuk menjadikan agama
Islam sama haknya seperti agama-agama lain di negara ini. UMNO lahir untuk
menyatukan seluruh umat Melayu/Islam bagi menuntut kemerdekaan seterusnya mengisi
kemerdekaan sehingga apa yang kita semua kecapi hari ini.
UMNO
tetap UMNO. Pernah 'dimatikan' seketika pada tahun 1988, namun begitu berjaya
'dihidupkan' semula oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan nama UMNO (Baru).
UMNO,
walaupun pernah 'mati' seketika tetapi roh perjuangannya masih tetap sama. Demi
AGAMA, BANGSA dan TANAH AIR.
UMNO
tidak pernah mengecewakan kita semua. UMNO hanya sebuah parti, organisasi,
wadah, dan platform. UMNO tidak bergerak secara sendirinya tetapi digerakkan
oleh ahlinya. Di dalam berjuta ahli UMNO, ada barisan kepimpinan yang diberi
tanggungjawab untuk membawa ahli dan parti menuju ke puncak kejayaan yang
cemerlang.
UMNO
hari ini sudah berbeza. Tersentuh hati saya apabila menonton rakaman ucapan
wakil UMNO Kelantan (Bahagian Ketereh), yang sebak dan ikhlas menyatakan bahawa
sukar melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat. Beliau turut menyatakan
supaya jangan ada yang berebut untuk menjadi pemimpin. Saya simpulkan ucapan
beliau, kita perlu berjuang dengan ikhlas, tidak perlu berebut hendak menjadi
wakil rakyat dan yang paling utama ialah tidak perlu menurut kehendak kaum-kaum
lain yang cuba hendak menuntut yang bukan-bukan. Analogi kisah tuntutan Puteri
Gunung Ledang kepada Sultan Melaka.
Keikhlasan
itu penting dalam perjuangan. Jika tiada keikhlasan, maka akan berlakulah
pengumpulan kekayaan apabila memegang sesuatu jawatan di dalam parti.
Sebagai
ahli, saya memuji UMNO kerana berjaya membawa negara ini ke arah yang sangat
cemerlang. Kejayaan ini diraih bersama dengan parti-parti komponen Barisan
Nasional yang lain. Namun begitu, UMNO khususnya kepimpinan tertinggi perlu
menyedari bahawa pokok yang rendang dan mempunyai daun serta buah yang segar, sebenarnya bergantung dengan akar yang memberi sumber kepada bahagian yang paling
hujung di atas pokok itu.
UMNO
perlu menghargai jasa ahli di peringkat akar umbi. Saya maksudkan kepimpinan
parti sama ada di peringkat kebangsaan, negeri, dan lebih-lebih lagi di
peringkat bahagian perlulah menghargai jasa ahli di peringkat cawangan. Ahli di
peringkat akar umbi khususnya ahli di cawangan-cawangan inilah yang perlu
dihargai kerana mereka bertungkus lumus bekerja untuk parti semasa pilihan
raya. Mereka inilah yang memasang poster, menjaga poster supaya tidak
dirosakkan oleh 'binatang-binatang' ternakan parti lawan semasa proses kempen
pilihan raya diadakan. Mereka inilah yang menjadi pengundi 'totok' atau
pengundi setia kepada Barisan Nasional semasa pilihan raya. Mereka ini jugalah
yang hadir semasa mesyuarat UMNO di peringkat cawangan diadakan. Mereka ini
jugalah yang hadir dan memeriahkan program-program UMNO seperti program Juara
Rakyat jika diadakan di kampung-kampung. Persoalannya, adakah penghargaan
diberikan kepada mereka?
Penghargaan.
Penghargaan lazimnya diterjemahkan melalui sijil penghargaan. Semasa pilihan
raya pula, ahli-ahli yang bekerja keras ini akan mendapat makanan dan sedikit
pemberian kerana bekerja untuk kemenangan parti. Tetapi, mengapa tidak
diberikan peluang kepada ahli-ahli di peringkat cawangan untuk merasai
kemeriahan suasana Perhimpunan Agung UMNO di PWTC? Adakah Perhimpunan Agung
UMNO di PWTC itu hanya untuk golongan-golongan elit UMNO? Adakah
golongan-golongan bawahan atau bahasa kasarnya kami ini 'golongan bangsat'
tidak sesuai dan tidak layak berada di sana?
Saya
yakin akan ada pemimpin UMNO yang menjawab, "Sesiapa yang hendak pergi
silakanlah, kami tidak halang". Mengapa UMNO di peringkat bahagian tidak
menyediakan bas untuk membawa kepimpinan di peringkat cawangan untuk berada
bersama di PWTC semasa Perhimpunan Agung UMNO? Adakah kerana belanja yang
besar? Sewa bas untuk pergi ke Kuala Lumpur daripada Batu Pahat tidak sampai
RM3,000.00 (tiga ribu RINGGIT). Apa salahnya UMNO Bahagian menyediakan beberapa
buah bas untuk ahli-ahli di peringkat cawangan pergi ke Perhimpunan Agung UMNO?
Sekadar menonton slot berita TV3, RTM, Awani di televisyen sahaja itu tidak
memadai. Setidak-tidaknya mereka boleh jadikan kenangan selepas penat bekerja untuk parti.
Kos yang besar bukanlah alasan yang kukuh untuk tidak menyediakan beberapa bas kepada ahli di peringkat cawangan untuk turut sama berada di PWTC. Apa salahnya, kos membuat rombongan ke Indonesia, Thailand atau ke mana jua itu digunakan untuk ahli di peringkat cawangan?
Saya
mendapat perkhabaran daripada sumber yang berada di PWTC, lokasi di mana
berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO. Perkhabaran yang menyatakan bahawa blog rojak ini telah menyebabkan beberapa pihak panas punggung dek kerana
teguran, andaian, analisis peribadi dan saranan yang saya catatkan secara
ringkas, padat tetapi kadangkala merepek untuk tatapan umum. Saya ikhlas, dan
dalam penulisan saya sebelum ini bukanlah hendak menutup pintu pihak-pihak
tertentu tetapi itu hanya sekadar andaian dalam pemilihan calon yang dirasakan
akan memberi kemenangan kepada parti.
Sekali
lagi saya memohon maaf sekiranya penulisan saya sebelum ini menyebabkan
beberapa pihak berasa tidak senang. Saya menulis berdasarkan maklumat yang saya
perolehi daripada sumber yang boleh dipercayai. Tidak perlu sesiapa bertanya
punca maklumat itu kerana saya juga mempunyai rakan-rakan di dalam UMNO Bahagian
Parit Sulong, Batu Pahat, Sri Gading, dan Ayer Hitam.
Maaf,
saya juga tidak mempercayai laporan drama ‘Gerak Khas’.
Saya
juga hendak mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan UMNO Johor kerana
membaca penulisan di dalam blog ini. Saya berpegang kepada kata-kata seorang
pemimpin UMNO,
“Jika kita bercakap dengan
nada yang lembut, belum tentu suara kita dan apa yang kita sebutkan itu akan
didengari oleh semua pihak. Jadi, kita perlu sesekali menggunakan kata-kata
yang keras untuk menyedarkan mereka tersebut”.
Blog
ini sudah terlalu banyak menulis memuji UMNO, apalah salahnya sekiranya saya
sebagai ahli UMNO dan empunya blog ini menulis untuk menegur kepimpinan parti
yang saya anggotai. Benar, sepatutnya saya menjaga keaiban dan tidak menegur
secara umum di sini. Bagaimana pula saya hendak menyampaikan mesej yang jelas
supaya diterima oleh kepimpinan parti? Sedangkan surat yang saya hantar semasa
saya masih bergelar mahasiswa turut tidak direspon sehinggalah saya sudah
bergraduasi? Itu cerita lama. Ya cerita lama tetapi sejarah tetap sejarah dan perlu diungkap semula untuk pengajaran mereka yang mudah lupa.
Alhamdulillah,
saya bersyukur kerana belajar di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam dan
yuran pengajian saya diberi subsidi lebih RM9,000.00 (Sembilan ribu) oleh
kerajaan yang ditunjangi oleh Barisan Nasional.
Saya
menjadi mengisi borang keahlian UMNO selepas tamat tingkatan enam pada tahun
2007. Saya adalah ahli UMNO Bahagian Ayer Hitam. Jangan kerana dek teguran yang
saya lemparkan ini, ada pihak yang saya wajar gelar sebagai pencacai pemimpin
UMNO cuba hendak menegakkan benang yang basah.
Saya
sayang agama saya. Saya sayang Negara saya. Saya sayang bangsa saya. Saya tidak
akan bersekongkol dengan manusia yang cuba merosakkan Negara ini dengan niat “masuk UMNO nak jadi wakil rakyat dan nak
cari kekayaan untuk diri sendiri”.
Sebagai ahli UMNO sendiri saya sudah mula menyampah dengan sebahagian besar pemimpin parti, maka tidak peliklah sekiranya beberapa rakan saya yang sama-sama menuntut di IPTA (orang Johor) selama ini yang menyokong UMNO (tapi bukan ahli) sudah berubah arah.
Teguran ikhlas kepada kepimpinan parti sama ada di peringkat kebangsaan, negeri mahupun bahagian, seperti mana kata-kata Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak beberapa tahun sudah,
"BERUBAH SEBELUM REBAH".
saya bersetuju dgn saranan dan komen anda.TAHNIAH anak muda.
BalasPadamRahim Janggut