Followers

Selasa, Januari 31, 2012

BB1M - Antara yang bersyukur dan salahguna

Salam dan salam sejahtera.

Akhbar Utusan Malaysia melaporkan bahawa pihak polis akan bertindak sekiranya terdapat penerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang menyalahguna baucar tersebut untuk tujuan lain.

Mana-mana pelajar Universiti yang layak menerima BB1M sewajarnya tidak menyalahguna pemberian pihak kerajaan untuk perkara-perkara yang tidak perlu.

Matlamat dan niat murni kerajaan memberi baucar buku sebanyak RM200 itu amatlah baik dan sewajarnya digunakan dengan sebaik mungkin oleh mahasiswa/i.

Apabila pihak kerajaan mengumumkan pemberian baucar buku kepada mahasiswa/i, beberapa andaian sudah terlintas di fikiran saya mengenai kemungkinan akan ada yang menyalahgunakannya. Subsidi baja, petrol, diesel, minyak masak, dan pelbagai lagi bantuan juga disalahgunakan (termasuklah diseludup), inikan pula sumbangan berupa baucar buku.

Terdapat juga suara-suara yang kedengaran yang mencadangkan supaya kerajaan memberikan wang tunai RM200 kepada mahasiswa/i supaya mereka lebih bebas dan tidak dikongkong untuk membuat pilihan. Mungkinkah kesemua penerima bantuan RM200 (sekiranya diberi tunai) akan menggunakan wang tunai tersebut untuk membeli buku atau alat-alat tulis sahaja?

Langkah kerajaan memberikan mahasiswa/i baucar buku secara tidak langsung akan 'memeriahkan' kembali kedai-kedai buku yang sunyi dengan kunjungan mahasiswa/i berserta baucar-baucar buku mereka.


Bantuan sebanyak RM200 berupa baucar buku itu amat bermakna kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Walaupun kebanyakkan mahasiswa/i hari ini menerima pinjaman daripada Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan sebagainya, tetapi ada juga yang terpaksa menggunakan lebih separuh pinjaman dan biasiswa pada setiap semester untuk menyiapkan pelbagai tugasan yang memerlukan perbelanjaan agak besar.

Saya yakin dan percaya, tindakan mahasiswa/i yang menyalahgunakan BB1M ini adalah terlalu sedikit. Mahasiswa/i yang mempunyai niat untuk melelong BB1M kepada pihak lain mungkin akan membatalkan niat tersebut selepas pihak polis memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas. Mungkin masih ada yang berdegil dan akan berpegang kepada prinsip kebebasan.


Adalah sesuatu yang merugikan kepada mahsiswa/i sekiranya penyalahgunaan baucar buku sebanyak RM200 itu akan menyebabkan mereka bermalam di dalam lokap. Sekiranya mereka tidak mahu menerima baucar itu, seeloknya mereka mengembalikannya semula kepada pihak yang berkenaan.

Saya agak tertarik apabila membaca status rakan-rakan di Facebook yang sedang buntu kerana mereka tidak tahu hendak membeli buku disebabkan mereka tidak minat membaca dan juga tidak berminat hendak masuk ke dalam kedai-kedai buku kecuali kedai-kedai telefon bimbit. Inilah generasi 'laman muka buku - Facebook'.

Saya ingin mencadangkan kepada mereka yang tidak tahu hendak membeli buku dengan menggunakan BB1M itu, adalah lebih molek sekiranya mereka menggunakan BB1M untuk membeli al-Quran, buku-buku agama dan sebagainya kemudian disumbangkan kepada masjid-masjid dan surau-surau.

Kepada mahasiswa/i yang menyalahgunakan pemberian kerajaan ini, sedarlah bahawa pemberian ini adalah untuk anda. Pemberian ini untuk anda membeli buku supaya anda memperolehi ilmu. Carilah ilmu seberapa banyak yang anda mampu. Baucar ini adalah wang rakyat. Janganlah kalian mengkhianati pemberian ini.

Kematangan dan kebijaksanaan itu perlu dalam membuat keputusan. Inginkan keuntungan yang pantas pasti akan merana kelak.

1 ulasan:

  1. cadangan TERBAIK utk sesiapa yg berfikir utk menyalahgunakan baucar berkenaan

    BalasPadam