Followers

Khamis, Januari 26, 2012

Jalinan Mesra IKMAR 2012 di Kampung Seri Mendapat : Seri Mendapat juga yang MENDAPAT..

Salam dan salam sejahtera.

Tajuk kali ini tiada kaitan dengan isu politik kuasa. Namun begitu politik kuasa tetap wujud kerana penulisnya juga terlibat sama.
 
Pada 20 hingga 23 Januari 2012 yang lalu, Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) Universiti Sains Malaysia telah mengadakan program Jalinan Mesra IKMAR 2012 bersama penduduk Kampung Kawasan Seri Mendapat, Mukim 7 Tanjong Semberong, Parit Raja, Batu Pahat, Johor Darul Ta'zim.


Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Kampung Kawasan Seri Mendapat, ayahanda Sa'adon Hj. Ibrahim, barisan JKKK kampung, seluruh warga Kampung Seri Mendapat dan Parit Shukor, Majlis Belia Malaysia, UMNO Bahagian Ayer Hitam, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Semarang, Majlis Daerah Yong Peng, Majlis Belia Daerah Batu Pahat, Klinik Kesihatan Ayer Hitam, Hospital Kluang, Suruhanjaya Pilihan Raya, dan semua pihak yang telah menjayakan program ini.


Masih segar dalam ingatan ini apabila melihat wajah-wajah ceria penduduk-penduduk kampung yang menerima kehadiran rombongan kami dengan dua buah bas rasmi Universiti Sains Malaysia ke kampung Seri Mendapat. Walaupun kami tiba pada jam 1.30 pagi, tetapi keikhlasan mereka menerima kehadiran kami dapat dilihat dengan lawak jenaka, senyuman, dan keceriaan yang terukir di raut wajah mereka.

Ketua Kampung Seri Mendapat, En. Sa'adon Hj. Ibrahim bersama Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), En. Mohamed Maliki mohamed Rapiee


 Derma darah

Kehadiran mahasiswa/i anak Johor khasnya dan anak-anak negeri lain amnya di Kampung Kawasan Seri Mendapat itu dikatakan sebagai membawa rezeki kepada kampung berkenaan. Alhamdulillah, jalan kampung berkenaan baru sahaja menerima peruntukan untuk dilebarkan dan kerja-kerja berkenaan masih belum selesai.

Kenduri sekampung - tahlil - berzanji & marhaban
Ada juga yang berkata kunjungan kami ke kampung tersebut turut membawa tuah kepada kampung kerana pihak kampung telah menerima sumbangan pokok-pokok bunga daripada Ahli Parlimen Ayer Hitam, Ahli Dewan Undangan Negeri Semarang, dan Majlis Daerah Yong Peng. IKMAR telah bergotong-royong bersama penduduk kampung menanam pokok-pokok bunga berkenaan.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Semarang yang juga Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Y.B. Datuk Samsolbari Hj. Jamali semasa berucap di dalam majlis penutupan rasmi program berkenaan telah menyatakan mengenai cadangan untuk memasang kemudahan wifi atau internet jalur lebar di kawasan kampung berkenaan. Saya sendiri telah bertanya kepada Setiausaha UMNO Bahagian Ayer Hitam mengenai perkara tersebut dan beliau mengesahkannya tetapi pihak kampung perlu menyusul perkara tersebut dengan membuat permohonan rasmi selepas mendapat lampu hijau daripada Y.B. Datuk Samsolbari Hj. Jamali semasa berucap.

Sa'adon Hj. Ibrahim, Prof. Madya Dr. Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim &
Nabilah Khanafi

Syukur Alhamdulillah sekiranya pembangunan berterusan wujud di kampung berkenaan.

Di samping itu saya tidak mahu ketinggalan untuk mengucapkan terima kasih kepada barisan jawatankuasa program Jalinan Mesra IKMAR 2012 yang telah bertungkus lumus membuat program ini dalam tempoh 10 hari di Kampung Seri Mendapat. Ya 10 hari. 10 hari dan bukannya 10 minggu mahupun 10 bulan. Tahniah IKMAR.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Majlis Belia Malaysia terutamanya kepada tuan Presiden, En. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee yang telah membantu dari segenap aspek untuk IKMAR merealisasikan program Jalinan Mesra bersama masyarakat ini.

***************************

Baiklah, sudah cukup rasanya untuk saya membuka penulisan ini dengan ayat-ayat di atas. Kini tiba masanya untuk saya membuka cerita sebenar disebalik program yang dianjurkan di Kampung Kawasan Seri Mendapat.

Pada 31 Disember 2011, saya telah menghantar 2 orang rakan untuk ke Batu Pahat bagi menghadiri mesyuarat bersama JKKK kampung yang terletak di dalam kawasan Parit Yaani. Pada 1 Januari, sebelum mesyuarat bermula saya telah dihubungi oleh Yang Di-Pertua (YDP) IKMAR yang menyatakan bahawa program baktisiswa tidak dapat diadakan di kampung berkenaan atas sebab-sebab yang tidak jelas. Secara spontan saya telah tertinggi suara dan mendesak supaya YDP IKMAR meminta penjelasan ketua kampung berkenaan mengenai sebab utama program baktisiswa tidak boleh diadakan di kampung berkenaan. Saya sendiri telah 'mengugut' YDP IKMAR untuk meminta penjelasan ketua kampung berkenaan dan sekiranya tidak mendapat alasan yang munasabah saya akan menulisnya di dalam blog ini.

Akhirnya, kami telah menerima alasan pihak ketua kampung, ketua pemuda UMNO cawangan, yang telah menolak untuk membuat program di kampung berkenaan. Alasan yang diberikan amat tidak munasabah dan kolot. Saya sendiri tergelak apabila mendengar perkhabaran tersebut melalui telefon. Anda bayangkan sajalah, pada awalnya ketua kampung dan semua pihak di kampung berkenaan mengalu-alukan program baktisiswa berkenaan untuk diadakan di kampung tersebut, tetapi dek kerana hal-hal yang kolot, bodoh dan tidak masuk akal akhirnya telah dibatalkan.

Saya telah mendengar alasan tersebut daripada mulut pengarah projek program berkenaan yang juga anak jati kelahiran kampung tersebut. Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada JKKK dan penduduk kampung tersebut yang tidak bersetuju dengan ketua kampung dan ketua pemuda UMNO cawangan yang menolak untuk menganjurkan program berkenaan di kampung tersebut.

Apakah alasan tersebut?

Alasan yang sampai ke telinga saya ialah IKMAR mengundang Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai tetamu kehormat dan dicatatkan di dalam kertas kerja mengenai kedudukan En. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee di dalam kertas kerja berkenaan. Sepatutnya IKMAR mengundang Ahli Parlimen kawasan berkenaan sebagai tetamu kehormat dan bukannya Presiden MBM. Saya sendiri tergelak apabila mendengar alasan yang keluar daripada mulut ketua kampung dan ketua pemudanya. Bersyukur jugalah kerana pengarah projek dan YDP IKMAR pandai 'bercakap'. Sekiranya Ahli Parlimen berkenaan ingin menjadi tetamu kehormat maka beliau perlu menghulurkan sumbangan lebih banyak berbanding Presiden MBM. Cadangan ini telah ditolak.

Satu lagi kata-kata yang telah membuatkan saya tergelak besar ialah kata-kata ketua kampung dan ketua pemuda yang menyatakan bahawa mereka bekerja dengan Ahli Parlimen berkenaan dan gaji mereka dibayar oleh Ahli Parlimen tersebut. Oleh sebab itulah mereka tidak berani mengingkari arahan Ahli Parlimen berkenaan.

Saya hendak membetulkan persepsi di sini bahawa elaun (bukannya gaji) ketua kampung dibayar oleh kerajaan negeri dan bukannya Ahli Parlimen hatta Ahli Parlimen itu sudah terlalu lama berada di kerusi tersebut. Wahai tok ketua kampung, jangan tipu anak muda!

Siapa pula bayar gaji ketua pemuda? Ooohhh mungkin 'gaji' itu boleh diterjemahkan sebagai kontrak-kontrak atau projek-projek bekalan barang bagi mereka yang memiliki Lesen Kelas F. Politik jaga periuk nasi.

Saya teringat kata-kata seorang hamba Allah S.W.T. mengenai ketua pemuda kampung berkenaan, "sebelum ni dia tak ada duit nak beli susu anak, aku bagi dia RM300, tapi sekarang ini yang dibuat dekat aku".

Sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Ketua Kampung di dalam kawasan Parit Yaani dan Ahli Parlimen yang di dalam kawasannya terdapat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kerana tidak merestui program baktisiswa mahasiswa/i bersama masyarakat.

Wahai pemimpin-pemimpin masyarakat kampung khasnya! Wahai Ahli Parlimen yang tidak memberi restu kepada kami! Kami datang dengan niat untuk berbakti kepada masyarakat dan bukannya hendak membuat demonstrasi seperti mana mahasiswa/i di UPSI. Kami datang dengan niat yang baik dan bukannya hendak terlibat dengan agenda-agenda politik yang kotor. Hendak harap kamu datang ke Pulau Pinang memang HARAM la, surat pun tidak berbalas.

Saya sendiri pelik apabila program yang pada awalnya mendapat respon positif telah bertukar sekelip mata selepas tidak direstui Ahli Parlimen berkenaan. Saya tidak pasti sama ada benar Ahli Parlimen berkenaan takut dengan kehadiran orang muda atau ketua kampung dan ketua pemuda tersebut hendak mencemarkan nama baik Ahli Parlimen berkenaan.

Pihak IKMAR sendiri telah meminta untuk bertemu dengan Ahli Parlimen berkenaan bagi menjelaskan tujuan utama program tersebut dianjurkan di kampung berkenaan tetapi malangnya tiada usaha yang dilakukan oleh pihak kampung untuk mempertemukan wakil IKMAR dengan Ahli Parlimen berkenaan.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen berkenaan kerana tidak merestui program di kampung berkenaan. Saya mengucapkan takziah kepada ketua kampung berkenaan kerana telah menerima kutukan dan caci maki penduduk kampung.

Alhamdulillah, disebabkan itulah maka Kampung Kawasan Seri Mendapat telah mendapat peluang untuk menerima kunjungan IKMAR. Walaupun tempoh masa yang diberikan untuk membentuk jawatankuasa di peringkat kampung kurang 10 hari tetapi niat yang ikhlas telah mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T.

 Keluarga kami

Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Y.B. Datuk Samsolbari Hj. Jamali, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Semarang yang juga Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam merangkap Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor kerana telah memberi 'RESTU' program ini diadakan di Kampung Kawasan Seri Mendapat yang terletak di dalam DUN Semarang dan Parlimen Ayer Hitam. Terima kasih juga kepada Penghulu Mukim 7 Tanjong Semberong yang hadir memberikan sokongan.

Kepada Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) En. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, saya tidak akan mencatatkan keseluruhan perkara yang diketahui di sini. Biarlah hanya pihak tertentu sahaja yang mengetahuinya. Saya menghormati tuan.

Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin kerana sudi memberikan 'keizinan' kepada kami untuk meletakkan nama anda di atas banner penutupan rasmi program tersebut. Ayahanda saya spontan berkata, "abah tak pernah buat surat untuk jemput timbalan menteri datang rasmi mesyuarat PIBG atau program apa pun, yang penting kita tempah jadual dia dengan pembantu dia cukup. Telefon pun jadilah". Terima kasih Datuk kerana 'membatalkan' kehadiran pada saat-saat akhir. Semoga anda tidak terpilih sebagai anggota kabinet pada masa akan datang. Oh ya Datuk Rosnah, Pembantu Datuk mengatakan bahawa Datuk berada di Sabah pada 22 Januari tersebut tapi status twitter dan Facebook Datuk menyatakan bahawa Datuk berada di Johor. Terima kasih kerana menipu kami.



Tidak mengapa, kerana IKMAR sudah biasa berhadapan dengan kes-kes pembatalan pada saat-saat akhir. Janji politik memang begitu.

Saya suka dengan kata-kata Datuk Samsolbari Hj. Jamali, "Buat tajuk Kampung Seri Mendapat juga yang MENDAPAT". Alhamdulillah, ada juga Bahagian yang sudi menerima IKMAR dengan ikhlas.

Bak kata ayahanda saya, "Kehadiran orang muda perlu dihormati dan dihargai, bukannya dihalang demi untuk mengekalkan kuasa diri dan ahli keluarga".

Belakang dari kiri :
Nabilah Khanafi (Pengarah Projek), En. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee (Presiden MBM), En. Sa'adon Hj. Ibrahim (Ketua Kampung), Mohamad Safiq Suhaimi (YDP IKMAR).

Depan dari kiri :
Cikgu Kasmat (AJK Bahagian), En. Kamal Harun (Timb. Ketua UMNO Bahagian), Y.B. Datuk Samsolbari Hj. Jamali (ADUN Semarang), En. Abd. Halid Saad (Setiausaha UMNO Bahagian Ayer Hitam)

4 ulasan:

  1. Tahniah IKMAR kerana dapat membawa pemimpin muda seperti Presiden MBM ke kawasan luar bandar untuk memprogramkan agenda memperkasakan golongan belia di kampung. Amat malang Parlimen yang menolak program murni ini, dari kilas ikan di Air tahu jantan betinanya, walaupun penulis tidak menjelaskan parlimen mana yang dimaksudkan saya percaya yang dimaksudkan adalah Parlimen Seri Gading. Kenapa saudara penulis takut untuk berterus terang dan berselindung untuk menyatakan kebenaran? Inilah taktik yang digunakan oleh MP Seri Gading, pantang datuk nenekmoyang dia kalau ada orang lebih pandai dari dia masuk ke kawasan Seri Gading, takut orang keliling beliau yang selama ini dicucuk hidung tahu kebodohan beliau, maklumlah kelulusan setakat darjah 6, Apatah lagi yang nak datang Presiden MBM berkelulusan PhD (insyallah)
    Lihatlah betapa ramai orang UMNO yang ingin berbKti kepada Bahagian Seri Gading, telah dibunuh kedudukan politiknya, antaranya Hj Zahar Bacik, Hj Ali Shekh Ahmad,Datuk Mustapha, Datuk Yusak, dan ramai lagi termasuk YB Aziz Kaprawi and the geng. Saya percaya Bapa penulis blog ini tahu, sebab beliau antara penyokong tegar satu masa dulu.
    Hari ini bila beliau sudah berada di kedudukan Tim. Pengerusi tetap UMNO Malaysia, saya sangat pasti beliau telah menggunakan kedudukannya untuk mengugut Datuk Rosnah ( ketua Puteri) dari menyokong program MBMyang secara tak langsung akan menaikkan nama Mohd Maliki yang berasal dari Kg Baru dalam parlimen Seri Gading yang menjadi ancaman kepada kedudukan beliau sebagai MP SG.
    Pesanan saya, jika penulis, Mohd Maliki serta pemimpin muda ikhlas hendak merubah landskap politik SG, teruskan usaha, jangan takut, persetan halangan yang dibuat oleh MP SG yang berhajat menongkat langit. Dia perasan tak ada orang lain yang sepandai beliau memerintah Seri Gading. Yb Aziz Kaprawi dia anggap bukan ancaman kerana pasti takut untuk menentang arus, kalau dia berani dari dulu lagi masalah ini dah selesai. Saya melihat YB Aziz hanya nak kedudukan wakil Rakyat yang tak perlu gaduh2, sebenarnya YB aziz akan terkubur seperti mereka yang telah disebutkan tadi.

    BalasPadam
  2. Terima kasih saudara/i yg memberikan sokongan. sengaja saya tidak menyatakan kawasan parlimen tersebut supaya para pembaca berfikir dan terus berfikir. tugas kami bukannya berpolitik untuk merebut kuasa tetapi kami berpolitik untuk membantu dan berkhidmat kembali kepada masyarakat.

    benar ayahanda saya bekas pembantu khas beliau dan kini semuanya sudah berubah. bersyukur kerana ayahanda saya tidak berfikiran sempit seperti bekas majikannya itu.

    BalasPadam
  3. Mcm2 masalah rupanya di Daerah BP ini.. Sekadar memerhati dari jauh...

    BalasPadam
  4. pandai makan pandai simpan itulah yg berlaku. dipermukaan nampak tenang tapi didasarnya berkocak kuat. bayangkanlah, 80 orang mahasiswa kembali ke kampung dan kemudian perlu berhadapan dengan sikap ketidakmatangan seorang pemimpin veteran di peringkat bahagian dan kampung, sudah pasti persepsi anak-anak muda terhadap umno/BN akan berubah kepada negatif. jangan salahkan anak muda sekiranya tidak menyokong umno/BN

    BalasPadam