Followers

Sabtu, Januari 16, 2010

Manusia seperti lalat & langau???

Salam.. dan Salam Sejahtera..

Ramai dalam kalangan kita sebenarnya mempunyai sifat seperti lalat mahupun langau.

Kenapa saya berkata sedemikian? Jawapannya mudah.

Cuba kita fikirkan sejenak.

Dalam keadaan kita berkumpul bersama-sama rakan dan tiba-tiba kita terhidu bau harum ataupun wangi maka kita lazimnya akan diam untuk seketika. Biasanya diam sahajalah. Apabila di tanya mengapa diam, maka akan ada yang menjawab, "Ada 'benda' lalu..jangan kecoh-kecohlah..".

Cuba bayangkan pula dalam keadaan yang sama kita duduk bersama rakan-rakan dan tiba-tiba terhidu bau busuk. Sudah tentu ada dalam kita masa itu akan berkata, "Siapa yang kentut ni?".

Inilah sebab mengapa saya mengatakan ramai dalam kita ini sebenarnya mempunyai sifat seperti langau mahupun lalat. Mereka hanya akan 'bersuara' apabila terhidu bau busuk tetapi akan mendiamkan diri apabila terhidu bau harum. (kadangkala ada juga yang bersuara).

Perkara ini juga berkaitan dengan rancangan yang ada di stesyen televisyen negara kita. Sebagai contoh program rancangan di salah sebuah stesyen televisyen swasta negara memaparkan kisah-kisah gosip artis yang bercerai, bercinta dengan suami orang, berkhalwat, dan sebagainya.

Adakalanya rancangan yang berkaitan dengan gosip ini di lihat tidak menyumbang kepada peningkatan taraf industri hiburan tanah air.

Banyak artis yang ada pada hari ini kita kenali mereka bukan kerana bakat tetapi kerana gosip dan publisiti murahan seperti di tahan di pusat-pusat hiburan, di tahan kerana dadah, di tangkap khalwat, berkahwin dengan Datuk dan sebagainya.

Contohilah rancangan seperti Bersamamu, Aduan Rakyat, 360, Panorama, Majalah 3, dan sebagainya. Mengapa mesti membuka aib para artis?

Indonesia sudah mengeluarkan fatwa mengharamkan program rancangan berbentuk gosip, Malaysia bila lagi???

Jumaat, Januari 15, 2010

"Hartawan - Dermawan - Pemalsuan"

Salam.. Salam Sejahtera.. Salam 1 Malaysia..

Pada era kepimpinan yang melaung-laungkan Islam Hadhari, negara kita digemparkan dengan pengumuman oleh seorang lelaki yang mengaku sebagai hartawan daripada Lubnan yang ingin menyumbang sebanyak RM1 bilion bagi membina pusat penyelidikan dan rawatan kanser untuk Majlis Kanser Negara (Makna).

Saya ulangi RM1 bilion ya bukannya RM1 Malaysia..

Kini lelaki daripada Lubnan yang bernama Elie Yousseff Najem ini kembali mendapat publisiti daripada media kerana memiliki wang palsu.

Jika anda hendak tahu apa yang dilakukannya eloklah anda membaca akhbar ataupun menonton berita di televisyen. Jangan tengok hiburan je.

Siapa sebenarnya lelaki yang berumur 50 tahun ini?

Mengapakah jutawan-jutawan dan bilionair-bilionair di negara kita ini tidak mahu memberikan 'sumbangan' seperti mana yang 'ingin' dilakukan oleh Elie Yousseff Najem ini?

Dia yang berstatus 'hartawan' pun ada niat hendak menderma mengapa pula tidak jutawan-jutawan dan bilionair-bilionair kita?

Niat dia dah ada tapi mungkin ada banyak halangan. Ada niat lain la tu..

Memandangkan hari ini semuanya hendak nombor satu (1), saya berharap selepas ini ada yang bermurah hati akan menderma untuk membina 'INSTITUT JANTUNG NEGARA 1 MALAYSIA' (IJN1M) yang lebih 'MESRA' dengan golongan yang tidak berkemampuan.

Rabu, Januari 13, 2010

"KES BUANG AYAH..."

Salam.. Salam Sejahtera.. Salam Prihatin..

Pada 13 Januari 2010 bersamaan 27 Muharram 1431 Hijrah, tajuk muka surat depan akhbar Harian Metro ialah "Gara-gara ikut cakap bini - Buang ayah tepi jalan".

Suatu perkara yang amat menyayat hati kita apabila seorang anak sanggup membiarkan bapanya yang baru menjalani pembedahan jantung ditinggalkan di tepi jalan.

Abdul Rahman Talib yang berumur 57 tahun itu baru keluar daripada Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana menjalani pembedahan jantung.

Tidak kesiankah dengan bapa yang masih belum sembuh sepenuhnya?

Adakah kerana mengikut cakap isteri/bini maka bapa yang membesarkan lelaki yang juga merupakan seorang anak sanggup membiarkan bapanya tidur di pondok menunggu bas?

Alhamdulillah kerana masih ada insan yang sudi menumpangkannya tidur di rumah.

Oleh sebab lelaki itu tiada perasaan kasihan dan sanggup melihat bapanya terseksalah maka dia rela melakukannya.

(dah kena NASI KANGKANG ke!!!!?????)

Dimanakah perasaan belas kasihan di dalam diri mereka?

"Menitis air mata saya ketika melangkah kaki keluar daripada kenderaan milik anak saya kerana tak menjangka dia tergamak melakukan perbuatan ini selepas saya memelihara dan menjaganya bagaikan menatang minyak yang penuh". Inilah kata-kata daripada bapa yang malang ini.

Siapakah yang tidak menitiskan air mata jika diperlakukan sedemikian rupa? Lebih-lebih lagi yang tergamak melakukan itu adalah darah daging sendiri.

Sedangkan haiwan pun tahu mengasihi antara satu sama lain, mengapa tidak kita sesama manusia?

Saya termenung seketika apabila membaca tajuk berita ini. Saya berdoa supaya saya tidak menjadi seperti ini. Sama ada menjadi anak mahupun bapa yang malang ini.

Di dalam dunia ini kita hanya ada seorang ibu dan seorang bapa, jadi jagalah mereka sementara mereka masih ada. Hormatilah dan taatilah mereka sementara Allah S.W.T masih memberikan kita peluang untuk berbakti kepada mereka.

Sedarlah, suatu masa dan ketika kita juga InsyaAllah akan bergelar ibu dan bapa, maka berbuat baiklah dengan kedua ibu bapa kita.

Bagaimana pula jika suatu ketika anak-anak kita (khas kepada lelaki yang membuang bapanya itu..) pula melakukan tindakan yang serupa? Apakah pula perasaan mereka?

Terima kasih dan tahniah kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis kerana bertindak pantas membawa lelaki yang bergelar bapa ini ke Rumah Kebajikan Batu Bertangkup, Beseri Perlis.

Ahad, Januari 10, 2010

Al-Fatehah : Tun Dr. Fatimah Hashim

Salam.. Salam Sejahtera..

Sebentar tadi telefon saya menerima mesej pada pukul 12.28 pagi dan mesej itu berbunyi begini;

"Menteri Wanita Pertama Kabinet, Tun Dr. Fatimah Hashim meninggal dunia pada 11.35 malam ini (9 Januari 2010) kerana sakit tua./BERNAMA".

Salam takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarhamah Tun Dr. Fatimah Hashim.

Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan berada dalam kalangan orang-orang yang diredhai Allah S.W.T.

Al-Fatehah...

Tahniah Presiden MBM..

Salam.. Salam Sejahtera.. Salam Perpaduan.. Salam Satu Malaysia..

Pada ruangan ini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Encik Mohamed Maliki bin Mohamed Rapiee yang berjaya menjadi pemimpin utama kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi tahun 2010 sehingga 2012, InsyaAllah.

(Presiden dan Mantan Presiden)

Presiden Majlis Belia Pulau Pinang itu di pilih sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi menggantikan Datuk Shamsul Anuar Nasarah yang sudah melebihi usia 40 tahun dan tidak mempertahankan jawatan tersebut. Beliau menang tanpa bertanding.

Sebagai anak Negeri Johor saya turut berbangga kerana anak kelahiran Kampung Baru Parit Ya'ani berjaya berada dikedudukan tersebut.

Saya juga berkongsi kegembiraan bersama-sama semua warga Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Seth, Yong Peng kerana beliau juga merupakan bekas pelajar sekolah ini.

Kali pertama mengenali beliau melalui telefon jelas menunjukkan beliau seorang yang akan membantu sesiapa jua yang memerlukan bantuan. Perjumpaan kali pertama di Dewan Utama Pelajar pada hari pertama di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ini juga jelas menunjukkan bahawa beliau bukanlah seorang yang sombong.

Saya pernah menemui beliau secara peribadi di Pusat Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di IPT dan beliau seorang yang amat mesra, dan beliau hanya menggunakan bahasa "Aku dan Kau" bagi menunjukkan kemesraan itu. Untuk makluman, beliau juga seorang kaunselor.

Saya bukanlah seorang yang pandai membodek atau memuji setinggi langit, tetapi hanya sekadar ingin mengucapkan tahniah di atas komitmen yang baru diterima itu.

Sekali lagi salam tahniah diucapkan..

Wassalam..

Khamis, Januari 07, 2010

Bertemu DILEMA di Pasar Chowrasta..

Salam dan Salam Sejahtera..

Kali ini saya bukan hendak menulis mengenai isu semasa ataupun isu-isu kontroversi mahupun kisah peribadi.

Tiada kaitan juga dengan pertikaian mengenai penggunaan nama ALLAH S.W.T mahupun Pilihanraya Kampus (PRK).

Mungkin juga hanya sekadar kenangan.

Pada sekitar tahun 1999 dan 2000 saya terpegang dan terbaca tajuk sebuah buku yang penuh kontroversi pada era Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj semasa menjadi Perdana Menteri. Pada era kepimpinan Almarhum Tunku buku tersebut telah diharamkan.

Memandangkan saya ketika itu berada di sekolah rendah dan minat untuk membaca buku tersebut belum wujud lagi maka saya abaikan buku tersebut dan hanya meletakkannya di rak buku yang ada di rumah.

Pada tahun 2003 apabila ibu bapa saya mengalami kemalangan dan rakan-rakan bapa saya datang menziarah, buku tersebut telah di pinjam oleh salah seorang 'pengunjung'.

Sehingga tahun 2009 saya meminta bapa saya supaya meminta semula buku yang di pinjam itu kerana saya ingin mengetahui apakah sebab buku tersebut diharamkan.

Harapan hanya tinggal harapan. Apabila meminjam maka perlulah dipulangkan. Sehingga kini, buku tersebut masih belum kelihatan di rak buku rumah saya.

Ketika berada di saat-saat akhir tahun 2009, saya dan beberapa orang rakan telah pergi ke sebuah tempat yang dikenali sebagai Pasar Chowrasta Pulau Pinang. Kami ke sana bukannya hendak mencari ikan mahupun sayur-sayuran tetapi hendak mencari buku di kedai buku terpakai.

Ketika kali pertama menjejakkan kaki di kedai buku itu saya hanya mampu mengangkat kedua-dua kening kerana terlalu banyak buku di sana. Memang pening hendak memilih buku kerana ruangan di kedai itu agak sempit. Tetapi kita boleh dapat buku yang sukar untuk ditemui di kedai-kedai buku yang lain.

Untuk menjelajah kedai-kedai buku di Chowrasta memerlukan masa yang lama. Saya rasa dalam sehari pun belum tentu cukup. Ada bermacam-macam buku di sana. Yang penting kena bersabar dalam melihat dan mencari kerana jika tidak memang pening kepala dibuatnya.

Walaupun niat di hati ke Chowrasta hanya mengikut kawan tetapi apabila ternampak kelibat buku yang saya nanti-nantikan kepulangannya di rumah saya lantas saya membelinya dengan harga RM18.

Buku yang agak kontroversi pada zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman ini akhirnya saya temui. Buku sama yang bapa saya miliki sebelum ini masih belum temui jalan pulang. Akhirnya ku temui penggantinya.

Inilah bukunya.. Tapi saya baru baca mukadimahnya sahaja.

Cetakan pertama pada tahun 1982 selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981.


Rabu, Januari 06, 2010

Prinsip Pertama : Kepercayaan Kepada ALLAH

Salam.. Salam Sejahtera..

Konflik.. Konflik.. Konflik.. dan Konflik..

Siapa yang betul sekarang ini?

Kata-kata siapa yang kita perlu percayai?

Kenapa di media banyak memaparkan kenyataan daripada ahli politik?

Dimanakah para Mufti?


Islam sesama Islam berhujah dan amat mengelirukan umat Islam sedangkan pihak di sebelah sana sedang bergelak ketawa melihat kita.

Jika Mahkamah Rayuan (jika gagal ke Mahkamah Persekutuan pula) masih mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, maka dengan ini Prinsip Rukun Negara yang pertama perlu di ubah kepada "Kepercayaan Kepada ALLAH", dan bukan lagi "Kepercayaan Kepada Tuhan".

Saya hanya menunggu dan melihat kenyataan mereka yang agak arif dengan hal ini.

Harap selepas ini media tidak menjadi BATU API yang melaga-lagakan alim-alim ulama'.

Isnin, Januari 04, 2010

Masjid Kristian : Sembahyang atau Solat?

Salam.. Salam Sejahtera..

Salam tahun baru Masihi 2010.

Saya tertarik dengan kenyataan Menteri Besar Kelantan yang juga merupakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Suatu ketika beliau mengatakan bahawa tidak salah jika ada orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah bagi merujuk kepada Tuhan.

Baru-baru ini Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menukar pendiriannya mengenai isu ini.

Saya tidak mahu mengulas panjang lebar mengenai isu ini kerana InsyaAllah kita semua sedia maklum mengenainya.

Tuan Guru mengatakan bahawa penggunaan nama Allah oleh agama lain tidak boleh dibenarkan sama sekali kerana ia akan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam. Ini adalah kenyataan terbaru Menteri Besar Kelantan.

Saya tertarik dengan kenyataan Tuan Guru yang mengatakan bahawa selepas ini mungkin mereka akan minta gereja di panggil sebagai Masjid Kristian.

Allah adalah Tuhan sekalian alam. Semua yang ada di langit, di bumi, didaratan mahupun dilautan adalah milik-Nya.

Saya pernah terdengar orang Cina beragama Buddha mengakui bahawa Tuhan mereka adalah Allah Ta'ala tetapi patung yang mereka sembah itu adalah perantara antara mereka dengan Tuhan. Hal ini saya tidak mahu ulas panjang lebar kerana saya sendiri tergamam dengan kenyataan orang tersebut.

Saya kerap bergurau dengan rakan-rakan yang mengajak saya pergi bersembahyang. Apabila mereka mengajak saya bersembahyang saya bertanya sama ada kita perlu ke masjid, kuil, tokong atau gereja? Pada saya yang paling tepat adalah mari kita menunaikan SOLAT.

Kenapa tidak menggunakan perkataan sembahyang? Sembahyang itu perkataan yang 'diMelayukan'.

Adalah sesuatu yang biasa kita dengar jika saya mengatakan Samy Vellu bersembahyang di kuil. Tetapi adalah tidak sesuai dan amat janggal jika saya mengatakan bahawa Samy Vellu berSOLAT di kuil.

Begitu juga halnya dengan nama Tuhan. Mengapa selepas lebih 50 tahun merdeka baru agama lain hendak menggunakan nama ALLAH sebagai merujuk nama Tuhan bagi mereka?

Adakah selama ini mereka tiada Tuhan?

Orang Islam sememangnya berpecah kerana berbeza ideologi politik. Akan tetapi mereka akan bersatu jika sekiranya agama mereka di ganggu.

*Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah mengubah pendirian mengenai isu ini. Saya ingin melihat pendirian terbaru PERSATUAN MAHASISWA ISLAM USM (PMIUSM) pula. Adakah mereka masih 'setia' seperti mana Ahli Parlimen Shah Alam? Tunggu dan lihat.

Isnin, Disember 28, 2009

Tidak peka atau buat-buat pekak???

Salam.. Salam Sejahtera.. Salam Perpaduan.. Salam 1 Malaysia..

Tidak peka atau buat-buat pekak? Kenapa?

Lazimnya apabila tiba sahaja tarikh ulang tahun kelahiran seseorang maka kita akan mengucapkan selamat hari lahir kepada mereka. Inilah yang kerap dilakukan oleh ramai orang di sekeliling kita.

Saya juga tidak terkecuali melakukannya. Tetapi tahun ini saya mengubah sedikit caranya. Khas untuk rakan-rakan sebaya, saya tidak mengucapkan "Selamat Hari Lahir", tetapi "Esok jangan lupa pergi pejabat pos untuk daftar sebagai pemilih, dah cukup umur 21 tahun tu..".

Malangnya masih ramai dalam kalangan kita yang sudah cukup umur agak liat untuk mendaftar sebagai pemilih atau pengundi.

Awal bulan ini (Disember), Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof mengumumkan bahawa kira-kira 3.7 juta orang rakyat Malaysia yang melepasi umur 21 tahun masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Mengikut apa yang dinyatakan oleh Pengerusi SPR itu, kaum Melayu merupakan peratusan terbesar yang masih belum mendaftar sebagai pengundi, diikuti oleh kaum India dan kaum Cina.

Secara peribadi saya juga mengakui saya di antara mereka yang liat hendak mendaftar sebagai pengundi.

Umur saya genap 21 tahun pada 21 Mac 2009 tetapi saya hanya mendaftar sebagai pengundi di pejabat pos pada bulan Julai 2009.

Kenapa lewat sangat? Alasannya, saya memang kurang peka pada masa itu dan buat-buat pekak apabila bapa saya menyuruh saya mendaftar sebagai pengundi. "Malas betul la nak beratur kat pejabat pos...".

Rakan-rakan saya juga masih ramai yang belum mendaftar sebagai pengundi. Alasan mereka juga sama seperti saya.

Alhamdulillah, selepas saya menerangkan serba sedikit kepentingan mendaftar sebagai pengundi, mereka sudah mendaftar. Itu pun selepas seorang rakan saya yang bekerja di stesen minyak di soal oleh pegawai SPR sama ada beliau sudah mendaftar sebagai pengundi. Nak kena hentak baru tersedar rupanya.

Sebagai orang Melayu saya agak terkilan kerana masih ramai orang Melayu yang belum mendaftar sebagai pengundi. Sedangkan kini orang Cina semakin ramai yang mendaftar sebagai pengundi.

Janganlah pula nanti orang Melayu yang merupakan majoriti di Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk memilih pemimpin negara.

Tolak ke tepi dahulu perasaan tidak puas hati terhadap pihak-pihak tertentu, yang penting kini ialah mendaftar sebagai pengundi.

Jika tidak puas hati dengan kerajaan maka gunakanlah kuasa anda sebagai pengundi dan bukan hanya berdemonstrasi.

Jangan bercerita soal pengundi hantu jika kita masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Hanya 'hantu' yang boleh nampak hantu..

Ahad, Disember 27, 2009

Tahun baru, Semester baru, Nahas baru, Cerita lama?

Salam.. Salam Sejahtera.. Salam Tahun Baru.. Salam Hari Assyura..

Hari ini 27 Disember 2009 bersamaan 10 Muharam 1431 Hijrah.

Selamat pengantin baru kepada mereka yang melangsungkan perkahwinan pada hari ini. Khasnya kepada kulaan (saudara) di Kampung Seri Mendapat, Parit Raja Johor.

Tepat jam 1 pagi waktu Yong Peng saya bergerak balik ke Pulau Pinang, dan tepat jam 7.05 pagi waktu Pulau Pinang bas yang saya naiki memasuki jambatan Pulau Pinang.

Alhamdulillah bas yang saya naiki tidak mengalami nasib yang sama seperti bas Sani Express.

Terima kasihlah kepada pemandu bas KBES yang memandu secara berhemah walaupun agak laju. Hanya perlahan jika ternampak kelibat kereta peronda PDRM.

Kepada semua rakan yang berstatus pelajar, selamat kembali selepas bercuti lebih sebulan ini.

Kepada seluruh keluarga mangsa kemalangan bas Sani Express, saya ucapkan takziah di atas kehilangan orang yang tersayang. Semoga roh-roh mereka dicucuri rahmat oleh-Nya.

Kepada pihak berkenaan, jalankanlah tugas anda dengan sebaik mungkin. Jangan kerana sebuah bas yang baru digunakan 3 bulan menghadapi kemalangan maka seluruh operasi syarikat berkenaan hendak digantung.

Fikirkanlah sesuatu yang lebih munasabah.

Adakah wajar bas ekspres di larang beroperasi pada waktu malam? Adakah pada waktu siang tidak berlaku kemalangan? Inilah yang perlu difikirkan bersama.

Kesemua ini adalah cerita yang diulang-ulang apabila berlakunya tragedi nahas bas ekspres.

Khamis, Disember 17, 2009

Salam Maal Hijrah..

Salam.. Salam Sejahtera.. Salam Maal Hijrah..

Hari ini adalah hari terakhir kita berada dalam tahun 1430 Hijrah.

Malam ini (Maghrib) insyaAllah kita akan bersama-sama melayari kehidupan di tahun baru 1431 Hijrah.

Sambutan tahun baru Hijrah ini diraikan bersama dengan perlawanan akhir di antara pasukan bola sepak Malaysia yang menentang Vietnam bagi menentukan pingat emas sukan SEA.

Siaran langsung yang bakal disiarkan oleh RTM dan TV3 bakal menjadikan masjid hanya di monopoli oleh generasi veteran dan generasi muda pula bakal berada di depan TV. *Ini adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh 'orang-orang masjid'.

Walau apa pun kita menyambut kemunculan tahun baru Hijrah ini dalam keadaan yang sederhana.

Selamat tahun baru Hijrah kepada anda semua..

*Jangan lupa baca Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun..

SALAM MAAL HIJRAH

Gejala ponteng di Dewan Rakyat..

Salam.. Salam Sejahtera..

Ponteng dan ponteng lagi. Nampaknya gejala ponteng ini bukan sahaja masalah kepada pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru tetapi masalah ini telah menular ke Dewan Rakyat.

Siapakah yang telah mempengaruhi antara satu sama lain? Adakah Ahli-Ahli Yang Berhormat terpengaruh dengan pelajar-pelajar sekolah? Atau adakah pelajar sekolah yang terpengaruh dengan YB? Entahlah..

Akhbar melaporkan kerajaan Barisan Nasional yang memerintah negara lebih 50 tahun hampir-hampir kehilangan kuasa pada 15 Disember 2009 kerana ramai Ahli Parlimen Barisan Nasional tidak hadir di Dewan Rakyat semasa pengundian untuk meluluskan Bajet 2010.

Peristiwa yang agak bersejarah ini sememangnya perlu direkodkan supaya selepas ini tidak akan ada lagi Ahli-Ahli Yang Berhormat ponteng Persidangan Dewan Rakyat.

Undian Bajet 2010 bagi negara diluluskan dengan undian 66 menyokong dan 63 menentang.

Bajet 2010 ini hampir-hampir tidak diluluskan kerana perbezaan undi yang amat tipis.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengatakan bahawa berdasarkan konvensyen sebuah negara berparlimen jika bajet tidak diluluskan maka kerajaan terpaksa dibubarkan dan pilihanraya terpaksa diadakan.

Selain itu kerajaan juga tidak akan mendapat perbelanjaan yang dibentangkan oleh YAB. Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak buat kali pertama sebagai Perdana Menteri kerana tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Akhbar melaporkan undian yang meluluskan Bajet 2010 hanya 66 undi dan menentang ialah sebanyak 63.

Undian yang sepatutnya diterima bagi meluluskan Bajet 2010 ialah sebanyak 139 undi. Hal ini kerana seramai 139 orang Ahli Parlimen yang mendapat kerusi empuk di dalam Dewan Rakyat ialah melalui tiket atau lambang Barisan Nasional.

Perdana Menteri dan Timbalannya sendiri turut hadir di dalam pengundian tersebut. Persoalannya ialah di mana 73 orang Ahli Parlimen yang mewakili BN? Ponteng atau bersikap sambil lewa? Mana tanggungjawab mereka? Ada program yang lebih penting daripada Bajet Negara? Berhenti sahajalah..

Alhamdulillah, kerana 19 Ahli Parlimen pembangkang tidak hadir semasa pengundian tersebut. Cuba bayangkan jika semua 82 Ahli Parlimen pembangkang hadir sudah tentu Malaysia akan mengadakan pilihanraya umum dalam masa terdekat ini.

Kepada Ahli-Ahli Parlimen (BN) yang ponteng semasa pengundian Bajet 2010, jangan terkejut jika penggal ini adalah penggal terakhir YB sebagai Yang Berhormat.

Nampaknya gejala ponteng ini bukan sahaja berlaku di dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti, malahan turut berlaku dalam kalangan mereka yang dipilih bagi mewakili rakyat.

Malangnya...

*Alhamdulillah tak ada pilihanraya.. Daftar bulan Julai tapi nama tak keluar lagi dalam senarai SPR.. Bengang betul..


Selasa, Disember 08, 2009

3 Abdul versi Malaya..

Salam.. Salam Sejahtera.. Salam Perjuangan..

Di sini saya ingin melahirkan rasa kagum terhadap 3 abdul yang benar-benar berani melakukan sesuatu yang sudah tentu tidak semua berani melakukannya.

Mari kita lihat yang mana satu 3 Abdul Malaya..

Inilah pelajar Universiti Malaya (UM) yang menggelar isteri perdana menteri iaitu Datin Seri Rosmah Mansor sebagai puaka dan pembunuh altantuya.

Satu sahaja yang menjadi persoalan dalam fikiran saya ialah dari mana mereka mendapat maklumat yang mengatakan bahawa Datin Seri Rosmah adalah pembunuh altantuya? Hebat sungguh 'agensi risikan' mereka ini.

Saya tidak mahu menuduh siapakah yang menghasut mereka bertiga untuk bertindak sedemikian, tetapi tidakkah kita terfikir bahawa mungkin mereka ini menjadi alat oleh pihak-pihak tertentu untuk menghasut pelajar-pelajar UM.

Kini mereka sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah. Nampaknya tujuan mereka ke universiti bukanlah untuk belajar tetapi lebih kepada menjadi agen propaganda pihak-pihak tertentu.

Sungguh malang apabila menjadi pelajar universiti tetapi mensia-siakan peluang yang diberikan. Sungguh malang juga apabila mereka menyebabkan ibu bapa yang bersusah-payah mencari rezeki terpaksa membayar wang ikat jamin mereka yang di tahan pihak berkuasa.

Jika mereka ini golongan yang berfikir menggunakan akal yang waras, sudah tentulah mereka tidak tergamak melakukan hal-hal yang sedemikian.