Followers

Rabu, Julai 28, 2010

Guru dah dapat.. Mahasiswa bila?

Salam.. Salam Sejahtera..

Tajuk utama akhbar hari ini menyatakan mengenai keizinan untuk guru-guru berpolitik. Tatkala sedang bersarapan di cafeteria saya termenung seketika mengenai tajuk akhbar tersebut. Saya termenung sambil tersenyum sinis kerana tajuk tersebut dan air teh o yang agak panas menerpa ke bibir.

Kenapa tajuk tersebut tidak 'menghairahkan' saya? Kerana setakat mana yang saya tahu selama ini pun sudah ada dalam kalangan guru yang menceburkan diri dalam bidang politik. Tidak kiralah sama ada sebagai ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Parti Keadilan Rakyat (PKR), atau pelbagai jenis parti lagi yang ada di negara ini.

Apabila akhbar melaporkan mengenai keizinan untuk guru berpolitik suatu perkara yang sudah di jangka ialah terdapat suara-suara sumbang yang dengan penuh sinis berkata keizinan itu hanya diberikan kepada mereka yang menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN), tetapi dilarang kepada mereka yang ingin berjinak-jinak dengan Pakatan Rakyat (PR).

Selama ini pun sudah ramai guru yang memegang jawatan di dalam politik. Sebagai contoh di dalam sebuah parti terbesar di negara ini ada dalam kalangan guru yang memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa di peringkat bahagian. Tidak terkecuali juga yang memegang jawatan sebagai setiausaha bahagian. Jika mempunyai rezeki pula akan bertanding semasa pilihanraya.

Apabila keizinan berpolitik diberikan kepada guru mengikut tahap, terdapat pula cadangan daripada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang mengemukakan cadangan supaya mahasiswa diizinkan berpolitik. Saya amat bersetuju dengan cadangan tersebut. Hal ini kerana mahasiswa perlu diberikan hak untuk bersuara dalam isu-isu yang lebih luas merangkumi isu-isu nasional. Sebagai mahasiswa saya sendiri berasa terpanggil untuk memberikan pandangan mengenai perkara-perkara tertentu, akan tetapi tidak mempunyai saluran-saluran yang sesuai.

Persoalannya di sini sejauhmanakah mahasiswa tidak akan menjadi alat kepada parti-parti politik? Adakah tugas hakiki mahasiswa tidak akan terganggu? Bersediakah kita untuk bertindak jika wujud pengasingan ideologi politik yang seterusnya akan menyebabkan pelajar-pelajar universiti berpuak-puak? Jika mahasiswa diizinkan berpolitik, sudah bersediakan pihak universiti untuk memberikan keizinan kepada parti-parti politik membuka cawangan-cawangan mini di dalam kampus? Kesemua ini hanyalah persoalan yang timbul di benak fikiran saya.

Bukanlah saya ingin menuduh sesiapa di sini kerana saya yakin terdapat juga rakan-rakan mahasiswa dan mahasiswi yang menceburkan diri di dalam politik kepartian di luar sana. Ada juga rakan-rakan yang berkata secara sinis bahawa mahasiswa tidak boleh terlibat dengan politik dan jika hendak terlibat mereka hanya boleh menganggotai Putera dan Puteri UMNO sahaja. Penguatkuasaan Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) tidak mengira parti politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Saya sendiri hendak memasuki sebuah pertubuhan mengikut keturunan (keturunan nenek moyang) pun memerlukan keizinan daripada Naib Canselor. Apalah salahnya jika sekiranya rakan-rakan seperjuangan bersabar seketika untuk menceburkan diri daripada politik kepartian.

Namun begitu cadangan supaya mahasiswa diizinkan berpolitik perlu diperhalusi lagi. Setiap perkara yang ingin dilaksanakan mempunyai kesan positif dan negatif. Saya di sinimengambil sikap berkecuali dalam perkara ini kerana kedua-dua keputusan sama ada mahasiswa itu diizinkan berpolitik ataupun tidak ia semestinya memberikan impak kepada mahasiwa dan mahasiswi serta pihak universiti.

Sabtu, Julai 17, 2010

Program Akademik di Indonesia

Salam.. Salam Sejahtera..

Kelab Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan lawatan akademik ke universitas di Surabaya dan Jakarta pada 19 Mei hingga 26 Mei 2010 yang lalu.

Lawatan akademik Kelab Sains Politik (KSP) ini disertai seramai 16 orang pelajar dan seorang pensyarah Sains Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Dr. Mohamad Zaini Abu Bakar.

Lawatan akademik yang diadakan bukan sahaja sekadar lawatan akademik tetapi turut diselitkan dengan agenda atau sesi pembentangan kertas kerja oleh barisan exco KSP. Di antara pembentang kertas kerja tersebut ialah Mohd Fahmi Ibrahim, Ainatulfathiyah Abdul Rahim, Mohd Izzuddin Ramli, Nur Fadhilah Othman, Nur Rafidah Khairuddin, Jeyaluxmy Rajendran, Sharon John Joseph, Amirah Rafhanah Abdul Wahab, dan Muhammad Syukri Sa'adon. Selain pembentang kertas kerja, program KSP ini turut disertai oleh beberapa orang delegasi iaitu Mohd Hafifi Shafiee, Remie Ramli, Dedona Singgoi, Siti Nurfarziah Kamil, Norjawahir Raduian, dan juru gambar rasmi kami Wan Nur Syazana Wan Ariffin. Seorang juru iring dan penasihat kami semua Pak Suyatno Ladiqi.

Pada 14 Mei 2010 hari Jumaat ketika kebanyakkan rakan-rakan sedang bercuti semester, semua pembentang kertas kerja di minta untuk berkumpul di Desasiswa Cahaya Gemilang untuk sesi menyiapkan kertas kerja, sesi 'tapisan' kertas kerja, dan sesi latihan pembentangan kertas kerja. Sesi ini berakhir pada 18 Mei 2010 hari Isnin. Sesi latihan diadakan di cafe Cahaya Gemilang USM.
(YDP KSP '10/'11 Izzuddin sedang membentangkan kertas kerja sambil diperhatikan oleh En. Suyatno Ladiqi)

19 Mei 2010 hari Selasa, tepat jam 4.00 pagi kami bergerak daripada USM ke Terminal Penerbangan Tambang Merah (LCCT) Kuala Lumpur menggunakan bas sewa khas. Kami tiba di LCCT dalam jam 11.00 pagi dan berlepas ke Surabaya pada jam 2.00 petang waktu Malaysia dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya pada jam 4.40 petang waktu Malaysia (3.40 waktu Indonesia). Bandara Juanda = Bandar Udara Juanda.

Setibanya di Bandara Juanda Surabaya, kami telah di jemput oleh teman-teman daripada Universitas Airlangga, Surabaya. Mereka membawa kami makan malam di Pusat Membeli belah SOGO Surabaya dan pengalaman paling berharga bagi saya ialah kali pertama membeli makanan dengan harga yang mahal, 38 ribu (RUPIAH). Kami menetap di Hotel Elmi Surabaya.

Aktiviti Akademik KSP bermula pada 20 Mei 2010, hari khamis. Aktiviti bermula di Universitas Airlangga Surabaya. Sesi pembentangan kertas kerja di Universitas Airlangga telah disertai kesemua rombongan KSP dan pembentangan dilakukan oleh mantan Yang Dipertua KSP sendiri iaitu saudara Mohd Fahmi Ibrahim, Ainatulfathiyah Abdul Rahim, Mohd Izzuddin Ramli (YDP), dan Nur Fadhilah Othman. Sebelum sesi pembentangan berlangsung, Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Prof. Madya Ismail Baba telah menyampaikan ucapan dengan tema "Peran Pemuda dalam Menjembatani Krisis Indonesia-Malaysia".

Mohd Fahmi Ibrahim membentangkan kertas kerja yang bertajuk "Peta Kekuatan Politik Malaysia", Mohd Izzuddin Ramli "Masyarakat Pribumi di Malaysia", Nur Fadhilah Othman "Cabaran Sistem Pendidikan di Malaysia", dan Ainatulfathiyah Abdul Rahim pula "The Rise and Challenge of Democracy in Malaysia".

(bergambar dengan sebahagian warga Universitas Airlangga)

Pada sesi soal jawab selepas pembentangan pula saya beranggapan ia agak mencabar kerana terdapat beberapa soalan yang agak sensitif ditujukan kepada pembentang daripada KSP, namun begitu atas kebijaksanaan dan nasihat yang diberikan oleh Pak Suyatno para pembentang telah dapat memberikan jawapan tanpa beremosi dan mengeruhkan keadaan. Antara isu yang dibangkitkan ialah berkenaan dengan isu blok Ambalat, Tenaga Kerja Indonesia (TKI), kebudayaan dan beberapa lagi isu.

Selepas sesi pembentangan di Universitas Airlangga tamat pada jam 2.00 petang, rombongan KSP bergerak menuju ke Universitas Surabaya (UNESA). Perjalanan ke Universitas Surabaya agak jauh kerana jalanraya yang sesak dengan kenderaan sama seperti keadaan di Kuala Lumpur dan Georgetown.

Sesi pembentangan kertas kerja di Universitas Surabaya telah disertai oleh Amirah Rafhanah Abdul Wahab dan Muhammad Syukri Sa'adon (saya sendiri) dan seorang daripada UNESA. Amirah membentangkan kertas kerja yang bertajuk "Media dan Politik Perpaduan di Malaysia", manakala saya "Cabaran Gagasan 1Malaysia". Pada saya sesi pembentangan di UNESA agak mencabar kerana disertai hampir 200 orang mahasiswa dan mahasiswi UNESA, berbeza di Universitas Airlangga dan Universitas Paramadina Jakarta. Saya terpaksa mengakui lutut saya agak mengigil dan gemuruh apabila berdepan dengan peserta yang begitu ramai. Alhamdulillah teman-teman di UNESA semuanya mesra dan peramah. Setidak-tidaknya hilang rasa gemuruh dalam hati ini.

(bersama warga Universitas Surabaya)

Di antara soalan yang diajukan oleh mereka kepada saya berkenaan dengan keadilan sosial yang terdapat di dalam gagasan 1Malaysia dan TKI. Jawapan Pak Suyatno yang telah saya guna pakai semula berkenaan dengan media dan TKI ialah "Media ; kalau ada anjing menggigit orang itu bukan berita, tapi kalau ada orang menggigit anjing itu baru berita..", jawapan ini terpaksa saya guna semula kerana seakan-akan sudah kerap berhadapan dengan soalan-soalan atau isu-isu yang menjadi duri dalam daging antara Malaysia dan Indonesia.

Pada 21 Mei 2010 hari Jumaat kami telah mengadakan kuliah bersama-sama dengan pelajar Airlangga. Sebahagian daripada kami telah 'menyebelahi' Indonesia -termasuk saya. Kami telah di minta untuk berdebat mengenai isu yang menyebabkan berlakunya konflik di antara Malaysia dan Indonesia. Alhamdulillah, program itu berjaya dilakukan tanpa emosi yang tidak terkawal. Terima kasih sama teman-teman di Airlangga yang telah memberikan layanan terbaik kepada kami sepanjang kami berada di sana.

24 Mei 2010 hari Isnin, sesi pembentangan di Universitas Paramadina di Jakarta. Program dimulakan dengan majlis menandatangani dokumen di antara Dr. Mohamad Zaini Abu Bakar dengan pihak Universitas Paramadina. Pembentangan dilakukan oleh Nur Rafidah Khairuddin, Jeyaluxmy Rajendran, dan Sharon John Joseph dengan tajuk "Women and their involvement in the democratization process". Walaupun Sharon kurang sihat tetapi beliau telah dapat memberikan pembentangan yang baik di sana.

(sesi pembentangan kertas kerja di Universitas Paramadina, Jakarta)


(di Gunung Bromo)

Di dalam aktiviti akademik itu kami turut mengambil kesempatan untuk mengadakan program di Gunung Bromo. Perjalanan menggunakan bas mini ala-ala van dan sebuah Toyota Avanza ke Gunung Bromo yang mengambil masa hampir 4 jam daripada hotel penginapan kami di Surabaya.

(melihat matahari terbit & gunung berapi)

Di antara pengalaman paling berharga ialah corak pemanduan saudara-saudara kita di sana yang amat dahsyat dan saya yakin jika diamalkan di Malaysia sudah tentu kadar kemalangan akan meningkat 100% atau lebih. Pengalaman melihat gunung berapi, melihat kawasan yang lebih 1,600 hektar ditenggelami lumpur dan menenggelami perkampungan, kediaman, masjid, tanah perkuburan nenek moyang dan sebagainya amat menyayatkan hati. Di Jakarta kami turut pergi ke Monumen Nasional (MONAS) dan terima kasih kepada bekas pelajar USM yang telah memberikan layanan bertaraf VIP kepada kami semua. Terima kasih juga kepada teman sekuliah, Hasween yang bersama-sama semasa di Jakarta.

Seperti mana yang kerap diperkatakan oleh ayahanda saya, "kalau ada peluang pergi tempat orang pergilah..". Pengalaman paling berharga dan sukar untuk dilupakan ialah sifat peramah teman-teman di sana. Pengalaman yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila ialah semasa di Dunia Fantasi (DUFAN) ketika menaiki Tornado. Sumpah saya tak akan cuba naik benda tu lagi.


Kepada penasihat KSP Dr. Mohamad Zaini Abu Bakar, terima kasih dan kami berbangga kerana mempunyai pensyarah yang sentiasa tenang ketika berhadapan dengan karenah kami semua. Kami tidak menyangka seorang pensyarah akan bersama-sama menjelajah pusat membeli belah antara yang terbesar di Jakarta iaitu Mangga Dua. Kami juga tidak menyangka Dr. Zaini akan turut bersama-sama kami menaiki Tornado semasa di DUFAN.

Saya dan KSP mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Universiti Sains Malaysia (USM) yang memberikan kelulusan dan peluang kepada kami mengadakan lawatan akademik ke Indonesia. Terima kasih juga kepada Dekan PPSK Prof. Madya Ismail Baba yang bersama-sama kami semasa di Universitas Airlangga. Terima kasih tidak terhingga kepada pihak Universitas Airlangga dan semua teman di sana, juga kepada pihak Universitas Surabaya dan Universitas Paramadina yang mesra dan memberikan layanan mesra kepada kami. Kami juga tidak perasan sebenarnya kediaman kami semasa di Jakarta itu berdekatan dengan Kedutaan Malaysia. Terima kasih kepada pihak Kedutaan Malaysia di sana yang menghubungi kami walaupun kami ketika itu sedang menuju ke lapangan terbang untuk berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Terima kasih kepada semua yang berpenat-lelah dalam merealisasikan program ke Surabaya dan Jakarta ini. Jasa anda semua jadi kenangan..

Ahad, Julai 11, 2010

Dia bogel USM dapat TAHNIAH..

Salam.. Salam Sejahtera..

Hampir 2 bulan blog ini terabai kerana kekangan masa yang menyekat untuk meneruskan kehidupan di dunia media maklumat tanpa sempadan ini. Hari ini juga blog Mencari Cahaya Pelita ini sudah berusia 1 tahun. Seperti baru kelmarin menceburkan diri di dalam dunia media baru ini.

Sepanjang tempoh masa 'berehat' daripada arena penulisan blog ini terlalu banyak isu menarik yang membuatkan hati meronta-ronta untuk menulis bagi menyatakan pendirian dan pendapat. Namun begitu kesemuanya itu perlu diketepikan bagi memberikan tumpuan kepada perkara yang lebih penting. Di antara isu yang menarik untuk di ulas ialah berkaitan dengan CADANGAN pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR. Tahniah kepada rakan yang memberikan pendapat rasional di akhbar.

Satu isu yang saya rasa cuba mencari publisiti murahan ialah ....Dalam Botol. Maafkan saya jika saya mengatakan bahawa pengakuan BERBOGEL yang dilakukan oleh pelakon bernama Arja Lee itu sebenarnya salah satu cara untuk MEMPROMOSI filem tersebut. Dikhabarkan juga ada seorang lagi pelakon lelaki telah mengaku turut berbogel di dalam filem yang bakal ditayangkan nanti kerana menjiwai watak akibat di rasuk. Hebat betul mereka semua menjiwai watak.

Saya ingin merujuk Siti Jarum tulisan dalam ruangan SITIJARUM di dalam Pancaindera Mingguan Malaysia yang secara tidak langsung menghina Universiti Sains Malaysia (USM). Secara jelas, terang dan nyata tidak perlu bersuluh lagi bahawa si Cik Siti Jarum ini telah menghina USM. Cik Siti Jarum berkarat yang menulis itu dengan bangga mengucapkan TAHNIAH kepada USM kerana melahirkan pelakon bogel. Adakah kerana seorang manusia maka seluruh USM perlu di kutuk? Jangan kerana sebatang JARUM BERKARAT yang suka bergosip maka beliau telah memalukan seluruh warga USM dengan menggunakan jenama MINGGUAN MALAYSIA.

Saya tidak mahu menyalahkan sepenuhnya SITI JARUM dalam perkara ini. Di antara punca utama ialah daripada pelakon itu sendiri. Arja Lee terlalu 'GHAIRAH' menjiwai watak ketika berlakon tetapi dia perlu mengetahui bahawa dia sedang berlakon di MALAYSIA dan bukannya di negara BARAT. Jika sekiranya beliau berlakon di BARAT, perkara seperti ini sudah tentu tidak akan disensasikan.

Saya bersetuju dengan kenyataan mantan Mufti Johor Dato' Nooh Gadut, beliau telah meminta supaya mereka yang bersekongkol dalam perkara itu untuk bertaubat nasuha kerana khuatir akan mati dalam keburukan dan maksiat serta mendapat kemurkaan Allah S.W.T.

Seperti mana yang diperkatakan oleh Dato' Nooh Gadut, golongan haiwan pun tahu malu apabila tidak menunjukkan kemaluannya kepada manusia. "Inilah akibatnya apabila iman tiada, malu pun hilang", kata beliau.

Satu pertanyaan yang ingin saya ajukan di sini, kenapa dalam banyak-banyak isu sosial yang ada di Malaysia ini tajuk ......Dalam Botol menjadi pilihan? Filem yang sebelum ini pun ada kaitan dengan seks. Adakah pihak yang berkaitan tidak serik-serik atau sememangnya gila seks? Berkaryalah dengan sopan, filem seperti Adnan Sempit pun mampu mencapai keuntungan besar tanpa pelakonnya berbogel.

Ahad, Mei 16, 2010

SELAMAT HARI GURU..

Salam.. Salam Sejahtera..

Di sudut kecil ini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada semua guru yang lebih mesra dengan panggilan CIKGU.

Ucapan SELAMAT HARI GURU ini ditujukan kepada semua warga pendidik khasnya di Sekolah Kebangsaan Sri Pasir Puteh (1996 - 2000) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Seth, Batu Pahat Johor (2001 - 2007), dan seluruh warga pendidik amnya.

Ibu bapa juga adalah guru kepada kita. Mereka merupakan guru pertama dalam kehidupan kita.

Kata-kata orang cerdik pandai, "Guru boleh menjadi cikgu, tetapi cikgu belum tentu boleh menjadi guru..".


Terima kasih CIKGU..

Jumaat, Mei 14, 2010

LESEN PERTARUHAN PIALA DUNIA - SAYA BANTAH!!!

Salam.. Salam Sejahtera..

Saya membantah keras cadangan kerajaan yang sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2010.

Saya melihat perkara ini adalah satu keputusan dan alasan yang amat jahil pernah dilakukan oleh kerajaan dan alasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kewangan itu adalah alasan yang TIDAK MASUK AKAL dan TIDAK MATANG. Memang wajarlah Datuk Dr. Awang Adek Hussein kalah bila dinamakan sebagai bakal Menteri Besar Kelantan jika Barisan Nasional berjaya menumbangkan PAS.

Kerajaan tidak perlu mempertimbangkan perkara ini lagi. Keputusan yang sewajarnya adalah tidak perlu mengeluarkan lesen pertaruhan tersebut. Jangan hendak menggalakkan rakyat negara ini berjudi.

Kerajaan timbang beri lesen pertaruhan Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein, berkata jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).

"Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan kerana kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Awang Adek berkata, jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini.

Beliau mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu tetapi beliau enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.

Terdahulu, isu itu dibangkitkan pada sesi soal jawab oleh Senator Ng Fook Heng yang mahukan penjelasan kemungkinan kerajaan mengeluarkan lesen pertaruhan kejohanan Piala Dunia untuk mengelakkan perjudian haram.

Awang Adek berkata, kerajaan memandang serius aktiviti perjudian tanpa lesen yang membabitkan pertaruhan nombor ramalan, permainan mesin slot dan pertaruhan membabitkan bookie bagi permainan bola sepak dan permainan lain.

"Aktiviti perjudian tanpa lesen adalah aktiviti yang boleh mewujudkan kegiatan sampingan lain seperti peminjam wang tanpa lesen, jenayah terancang, penyeludupan dan pengubahan wang haram.

"Oleh itu sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya, kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya dan sebarang langkah perlu dilakukan secara berkesan bagi menangani masalah bookie tanpa lesen termasuk membenarkan pertaruhan bookie bola sepak dilaksanakan melalui perlesenan sah," katanya. - Bernama

Rabu, Mei 12, 2010

Nepotisme yang tak sengaja diamalkan..huhhh!!

Salam.. Salam Sejahtera..

Cakap tak serupa bikin

Dulu semasa Dr. Mahathir Mohamad menerajui Malaysia, beliau dicap sebagai Mahafiraun. Beliau dituduh sebagai orang yang mengamalkan nepotisme, kronisme dan macam-macam lagi.

Beliau dicap acap kali oleh penulis upahan seperti Kickdefella dan blogger-blogger lain, yang kemudiannya ada yang dipilih bertanding pilihan raya, baik mewakili PKR mahupun DAP.

Idea itu kemudian dibawa mulut ke mulut dan disebarkan oleh cerdik pandai, terutamanya Melayu, termasuk yang berada di universiti-universiti di serata tempat. Orang kampung pun termakan dengan slogan-slogan itu.

Parti-parti pembangkang menggunakan modal itu siang dan malam. Pendek kata mereka menang dengan perang saraf itu. Pihak arus perdana, parti yang memerintah sebaliknya terlalu defensif.

Istilah nepotisme digunakan secara meluas. Para pemimpin negara dikatakan mengamalkan nepotisme dan kronisme.

Apa itu nepotisme. Ia berasal dari perkataan Latin nepos, bermakna ‘anak saudara’ atau ‘cucu’. Istilah mudah bahasa Melayu ialah politik anak-beranak. Ia banyak diamalkan oleh pihak gereja di Zaman Pertengahan, apabila paus-paus Katolik dan ketua-ketua paderi yang tiada anak, memberikan kepada anak-anak saudara mereka kedudukan yang tinggi.

Nepotisme biasa berlaku dalam politik. Para pemimpin yang menerajui sesebuah parti akan menurunkan kepada anak beranaknya kuasa tertinggi, walaupun ada yang tidak layak untuk mendudukinya.

Di Malaysia, amalan ini juga berlaku. Kita jangan cakap kepada pihak lain, tapi kepada pihak pembangkang yang dulu amat juara dalam hal ini. Sebenarnya mereka menjuarainya kerana, mungkin, mereka mahu menutup pekung di dada sendiri.

Saya tertarik membaca artikel dalam portal berita sarawakupdate.com mengenai kisah bagaimana DAP dikatakan mengamalkan amalan itu, selama ini.

Benarkah? Susah hendak percaya, kerana DAP kan sebuah parti sosialis demokratik - takkan cakap tak serupa bikin pula?

Tulisan itu bertajuk Nepotism at its best in DAP, atau Nepotisme di kemuncaknya dalam DAP oleh penulis Freddy Kulleh.

Yang menariknya menurut Freddy, DAP menggunakan slogan manifesto di Sibu berbunyi Agenda Perubahan atau Jom Ubah. Tapi DAP sendiri tidak berubah, terutamanya apabila ia melibatkan kaum kerabat dan anak-beranaknya?

Artikel itu menarik untuk direnungkan. Berikut sedutannya:

Perubahan mesti berlaku, dan kita semua menyokong perubahan dalam semua aspek kehidupan, kecuali kita tidak boleh ubah kaum keluarga sendiri.

Sebagai sebuah negara, sudah tentu kita akan berubah, atau melalui transformasi daripada apa yang kita kecapi 50 tahun dulu. Tiada mana-mana orang yang berfikiran waras, walaupun dia dari Ulu Kapit sekali pun akan menafikan hakikat ini.

Perubahan sebagaimana yang kita alami di negara ini merupakan satu proses evolusi, bukan revolusi. Kita mesti berubah demi negara, tapi bukan berubah untuk memuaskan nafsu segelintir individu atau parti milik-keluarganya.

Susah untuk memuaskan semua pihak, terutama di Sarawak yang mempunyai 30 etnik berbeza. Tapi, apakah negara kita ini ialah sebuah negara yang gagal? Fikir!

Berbalik kepada DAP yang lantang meminta penduduk Sibu berubah. DAPlah yang harus berubah dulu.

Freddy terus menulis: DAP sebagai parti politik tidak pernah berubah sejak lima dekad lalu (iaitu 50 tahun).

Sejak pembentukan rasminya pada 1966, DAP ialah Lim Kit Siang dan Lim Kit Siang ialah DAP. DAP ialah parti Satu-Orang, yang disokong oleh Dinasti Lim.

Struktur kepemimpinan DAP tidak pernah melalui perubahan sebenar sejak kewujudannya pada 1966. Supremo parti itu masih Lim Kit Siang dan ‘putera mahkotanya’ Lim Guan Eng (yang berubah hanya jawatan).

Semasa hampir kesemua parti politik mengalami perubahan dalam barisan kepemimpinan (kecuali mungkin MIC) sejak beberapa dekad lalu, tapi apa sudah jadi dengan pihak yang sering bertempik mengenai perubahan, seperti DAP?

Sepanjang riwayat politiknya, Kit Siang sering mendesak para pemimpin BN meletak jawatan kerana ‘kamu sudah terlalu lama’, ‘beri peluang kepada yang lain’, ‘anda sudah tua’, tapi dia sendiri pula macam mana?

Di mana perubahan yang anda laung-laungkan itu saudara Lim Kit Siang?

Nepotisme berada di kedudukan tertinggi dalam DAP, sehinggakan para penyokong parti sosialis itu mempersenda DAP sebagai sebuah syarikat sendirian berhad - ‘DAP Sdn. Bhd.’

Jangan salahkan kritik-kritik itu kerana nepotisme telah menjadi sebati dalam DAP.

Panjang lagi artikel Freddy itu. Bacalah di www.sarawakupdate.com. Beliau turut mengulas mengenai percaturan-percaturan politik Dinasti Lim bagi membolehkan politik anak-beranaknya tercapai.

Oleh kerana amalan Dinasti Lim itu, kini di Sarawak juga menurut penulis itu wujud politik DAP anak-beranak – Dinasti Chong. Di sebabkan amalan ini, banyak anak-anak muda yang layak ditolak ke tepi bagi memberi ruang kepada anak-beranak itu.

Dengan nasihat Dinasti Limlah, Dinasti Chong membawa slogan agenda perubahan itu di Sibu. Sungguh ironis sekali bukan?

Berikut ialah salahsilah politik anak-beranak DAP:

LIM KIT SIANG (Bapa)

- Penasihat DAP

- Ahli Parlimen Ipoh Timur

LIM GUAN ENG (Anak Kit Siang)

- Setiausaha Agung DAP (menggantikan bapanya)

- Ketua Menteri Pulau Pinang

- Ahli Parlimen Bagan

- ADUN Air Puteh

BETTY CHEW GEK CHENG (Menantu Kit Siang)

- Isteri Lim Guan Eng

- ADUN Kota Laksamana (Melaka)

- Bekas ADUN Durian Daun

KARPAL SINGH (Bapa)

- Pengerusi DAP

- Ahli Parlimen Bukit Gelugor

GOBIND SINGH DEO (Anak Karpal)

- Ahli Parlimen Puchong

- Ahli Jawatankuasa Pusat Kebangsaan DAP

- Ahli Jawatankuasa Pemuda DAP

JAGDEEP SINGH DEO (Anak Karpal)

- ADUN Dato Keramat

CHONG SIEW CHIANG (Bapa)

- Naib Pengerusi DAP Sarawak

- Ketua Dinasti Chong

CHONG CHIEN JENG (Anak Siew Chiang)

- Naib Pengerusi Kebangsaan DAP

- Setiausaha Agung DAP Sarawak

- Ahli Parlimen Bandar Kuching

(Freddy akan terus memperbaharui

senarai nepotisme ini…)

Sumber : Utusan Malaysia 12 Mei 2010

Khamis, Mei 06, 2010

Lesen Pertaruhan Piala Dunia - SAYA BANTAH!!!

Salam.. Salam Sejahtera..

Saya membantah keras cadangan kerajaan yang sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2010.

Saya melihat perkara ini adalah satu keputusan dan alasan yang amat jahil pernah dilakukan oleh kerajaan dan alasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kewangan itu adalah alasan yang TIDAK MASUK AKAL dan TIDAK MATANG. Memang wajarlah Datuk Dr. Awang Adek Hussein kalah bila dinamakan sebagai bakal Menteri Besar Kelantan jika Barisan Nasional berjaya menumbangkan PAS.

Kerajaan tidak perlu mempertimbangkan perkara ini lagi. Keputusan yang sewajarnya adalah tidak perlu mengeluarkan lesen pertaruhan tersebut. Jangan hendak menggalakkan rakyat negara ini berjudi.

Kerajaan timbang beri lesen pertaruhan Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein, berkata jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).

"Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan kerana kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Awang Adek berkata, jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini.

Beliau mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu tetapi beliau enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.

Terdahulu, isu itu dibangkitkan pada sesi soal jawab oleh Senator Ng Fook Heng yang mahukan penjelasan kemungkinan kerajaan mengeluarkan lesen pertaruhan kejohanan Piala Dunia untuk mengelakkan perjudian haram.

Awang Adek berkata, kerajaan memandang serius aktiviti perjudian tanpa lesen yang membabitkan pertaruhan nombor ramalan, permainan mesin slot dan pertaruhan membabitkan bookie bagi permainan bola sepak dan permainan lain.

"Aktiviti perjudian tanpa lesen adalah aktiviti yang boleh mewujudkan kegiatan sampingan lain seperti peminjam wang tanpa lesen, jenayah terancang, penyeludupan dan pengubahan wang haram.

"Oleh itu sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya, kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya dan sebarang langkah perlu dilakukan secara berkesan bagi menangani masalah bookie tanpa lesen termasuk membenarkan pertaruhan bookie bola sepak dilaksanakan melalui perlesenan sah," katanya. - Bernama

Selamat bercuti & Tahniah..

Salam.. Salam Sejahtera..

Selamat bercuti kepada semua rakan seperjuangan di semua universiti satu Malaysia.

Kepada rakan-rakan Kelab Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM) semoga kita semua berjaya melaksanakan tanggungjawab semasa di Jakarta Indonesia semasa cuti semester ini, InsyaAllah.

Tahniah kepada barisan kepimpinan Kelab Sains Politik USM yang baru di pilih. Dengan gandingan orang lama dan baru di dalam KSP diharapkan dapat mengembalikan kegemilangan KSP seperti suatu ketika dahulu.



Tidak lupa juga kepada Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR), diharapkan kita semua dapat merealisasikan segala projek yang telah di rancang untuk sidang depan. Pengalaman mengajar kita untuk menghadapi tembok penghalang.

Sekali lagi saya ucapkan selamat bercuti kepada mereka yang bercuti dan semoga kita bertemu kembali pada sidang 2010/2011 nanti, InsyaAllah..

Salam.. Salam Sejahtera..

Rabu, Mei 05, 2010

Antara TANGGUNGJAWAB - Perkara dah jadi..

Salam.. Salam Sejahtera..

Ada beberapa soalan provokasi daripada rakan-rakan yang secara menyindir bertanya kenapa saya tidak menulis mengenai kisah remaja yang meninggal dunia kerana di tembak polis. Mereka bertanya adakah saya menyokong Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam hal ini? Jawapan paling mudah MALAS dan kalau inginkan jawapan yang jujur daripada saya ialah semua pihak yang terlibat di dalam kes itu adalah bersalah.

(gambar malaysiakini)

Dalam perkara ini kita kena melihat punca masalah itu sendiri. Bukanlah hendak menyalahkan mana-mana pihak tetapi cuba kita renungkan bersama bagaimana seorang remaja yang berusia 15 tahun boleh memandu kereta? Pada usia 15 tahun adakah remaja itu sudah memiliki lesen memandu? Daripada manakah Allahyarham belajar memandu kereta? Persoalan utama adalah siapakah pemilik kereta tersebut?

Namun begitu, kita semua termasuk saya sendiri melihat kesalahan itu adalah mutlak kepada PDRM sendiri. Kita tidak melihat faktor lain kecuali meletakkan kesalahan itu pada bahu PDRM. Persoalan yang kerap ditimbulkan di dalam laman sosial Facebook ialah adakah polis Malaysia cukup lemah untuk menghentikan kereta yang di pandu oleh remaja berusia 15 tahun? Pada saya dalam suasana yang kelam kabut itu sukar untuk menentukan usia pemandu kenderaan.

Saya tidak mahu membela mana-mana pihak dalam perkara ini. Cuba kita meletakkan diri kita di posisi sebagai anggota polis yang bertugas ketika itu dan pemandu kereta yang di kejar oleh polis.

Jika saya berada di posisi Allahyarham, sudah tentu saya akan melakukan perkara yang sama kerana saya melakukan kesalahan. Kesalahan yang saya lakukan adalah saya tidak memiliki lesen memandu. Selain itu saya juga melakukan kesalahan yang lain dan menyebabkan kenderaan saya di kejar oleh beberapa buah motosikal. Sekiranya polis sudah melepaskan tembakan kenapa tidak saya berhenti saja.

Andai kata saya adalah anggota polis yang bertugas, saya juga akan mengejar kereta yang di pandu secara mencurigakan. Jika sudah diarahkan berhenti tetapi tidak dipatuhi, hal ini sudah tentu menimbulkan tanda tanya. Kerana apa? Kerana waktu itu sudah berada pada awal pagi. Tindakan anggota polis itu juga di lihat wajar. Cuma yang menimbulkan tanda tanya adalah tembakan yang dilepaskan itu sahaja. Saya tidak tahu atas dasar apa tembakan itu dilepaskan dan kebetulan terkena Allahyarham.

Secara peribadi saya melihat wujud 'salah faham'. Anggota polis yang bertugas itu menjalankan rondaan dan tidak tahu pemandu kenderaan itu adalah remaja berusia 15 tahun. Saya yakin jika polis mengetahui pemandu itu adalah remaja mungkin isu kematian ini tidak hangat seperti hari ini.

Pada pendapat saya juga isu ini tidak sewajarnya dipolitikkan. Kita tidak sewajarnya mengadili kes tersebut tanpa mendengar daripada kedua-dua pihak, walaupun sudah ada kenyataan media dikeluarkan oleh sebelah pihak. Ini tidak adil kerana anggota polis yang terlibat juga perlu mengeluarkan kenyataan di media. Jika semua bermain di media maka yang akan mengadili kes ini adalah khalayak umum.

Saya kecewa dengan sikap sebahagian ahli politik yang mencerca PDRM sehingga melupakan tanggungjawab dan beban tugas yang mereka pikul. Sememangnya kita mengakui bahawa gaji anggota keselamatan itu di bayar melalui cukai yang dikeluarkan oleh rakyat Malaysia, tetapi kita juga perlu menyedari bahawa tanpa khidmat mereka adakah kita mampu hidup dengan aman di negara ini? Jangan kerana seekor nyamuk habis kelambu kita bakar.

Sesuatu yang menarik ialah dalam satu masa ada manusia yang menghina polis tetapi apabila ada masalah mereka akan membuat laporan kepada polis, apa ni???

Saya sedang menanti sehingga hari ini desakan daripada pihak-pihak tertentu supaya ditubuhkan suruhanjaya siasatan kematian anggota tentera yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Mersing yang melibatkan Ahli Parlimen pembangkang. Saya juga tertunggu-tunggu reaksi mereka terhadap tindakan gigit telinga yang dilakukan oleh anggota pembangkang terhadap anggota polis. Apa pula kisah dengan anggota-anggota polis yang cedera parah dan maut dalam melaksanakan tugas? Mana suara-suara yang memperjuangkan nasib mereka?

Wajarkah kematian itu dipolitikkan? Setiap perkara perlu di bela..

Semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham tabah dalam menghadapi ujian ini. Semoga Allah S.W.T mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Aminulrasyid Amzah. Al-Fatehah..

Sekali lagi tuduhan KHIANAT...

Salam.. Salam Sejahtera..

Satu lagi tuduhan sebagai PENGKHIANAT dilemparkan kepada individu ini.

KHIANATI KAWAN

Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh kerajaan menggunakan khidmat firma perhubungan awam pro-Israel APCO Worldwide dan kononnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan khidmat bekas ejen Israel dalam projek berkaitan pengurusan maklumat dan komunikasi, dikecam hebat oleh sebuah laman web berhaluan kanan Amerika.

Melalui tulisannya dalam 'The New Ledger', sebuah penerbitan Internet Amerika yang menyiarkan pendapat golongan yang menyokong sistem kapitalis dan konservatif, Rachel Motte berkata, Anwar telah membuang kawan lamanya di Washington dan menjadikan kontrak APCO Worldwide sebagai asas untuk mereka cipta teori konspirasi mengenai penguasaan Yahudi, rancangan Zionis dan kegiatan subversif di Malaysia.

Katanya, beberapa orang kanan Anwar juga telah melemparkan pelbagai tuduhan, termasuk kononnya kerajaan Malaysia telah menggunakan khidmat sebuah syarikat yang mempunyai hubungan rapat dengan rejim Zionis di Israel berkaitan projek maklumat dan komunikasi.

Dalam tulisan bertajuk "The Reversal of Anwar Ibrahim", Motte mendakwa Anwar, yang dianggapnya sebagai ahli politik berbisa dan berkarisma, menjadi punca munculnya semangat anti Yahudi di Malaysia.

Katanya, ini bukan kali pertama "beliau mengambil jalan ini" dan beliau "mempunyai sejarah menggigit Yahudi (sikap prejudis atau bermusuh dengan Yahudi) apabila keadaan memerlukan beliau berbuat demikian.

Sebagai contoh, kata penulis itu, menjelang pilihan raya umum pada 2008, dalam satu wawancara dengan IslamOnline, Anwar berkata, beliau mempunyai bukti bahawa kerajaan bukan saja memberi sokongan kepada puak pelobi Yahudi di Amerika tetapi juga kepada beberapa pihak di Israel.

Motte berkata, beliau berterima kasih kepada pengundi di Malaysia kerana tindakan mereka menyebabkan gabungan parti pembangkang yang diterajui Anwar tidak mendapat undi majoriti pada pilihan raya itu.

Katanya, sejurus selepas Anwar dibebaskan dari penjara kira-kira 10 tahun lepas, beliau datang ke Washington, D.C. dan menghabiskan masa sejak 10 tahun lepas bagi menampilkan imejnya sebagai seorang yang penuh bersopan santun dan berperibadi mulia di Barat.

"Hasilnya, pemerhati hal ehwal luar Amerika menganggapnya sebagai contoh pemimpin Islam yang demokratik dan pejuang pentadbiran yang liberal dari Asia Tenggara".

''Beberapa tahun lepas, beliau dijemput mengajar selama setahun di Johns Hopkins School of Advanced International Studies dan di situ, beliau menjalin persahabatan dengan Yahudi Amerika seperti Paul Wolfowitz — sebagai suatu cara untuk menunjukkan betapa beliau telah jauh berubah daripada imejnya sebagai seorang militan Islam suatu ketika dulu.

"Malah, pada 2008, (bekas naib presiden) Al Gore — yang terkenal sebagai lelaki yang bijak dan tajam persepsinya — terdorong untuk menulis dalam laman blognya bagi mempertahankan maruah Anwar apabila beliau dikritik.

"Beliau adalah antara tokoh hebat dari Barat yang tidak boleh dibeli — tetapi seseorang itu boleh rapat dengan beliau sekiranya beliau bermusuh dengan pihak tertentu dan mempunyai hubungan dengan media yang berpengaruh dalam Beltway (perkataan yang digunakan bagi merujuk kepada sebahagian daripada sistem politik Amerika sebenar atau yang dibayangkan dan mengambil sempena nama lebuh raya antara negeri yang melingkari ibu negara Amerika)," kata penulis itu.

Motte berkata, hubungan antara Anwar dan tokoh-tokoh Yahudi Amerika yang berpengaruh begitu rapat hinggakan jika ditanya kepada rakyat Amerika siapakah tokoh demokrat liberal di Malaysia bagi tempoh 1999 hingga 2009, mereka dengan mudah akan menjawab tokoh itu ialah "Anwar Ibrahim." "Tapi, adakah apa yang digambarkan oleh Anwar Ibrahim tentang dirinya di luar Malaysia sama dengan tindakan yang dilakukannya di negaranya sendiri?," tanya penulis itu.

Motte berkata, apabila berada jauh dari CNN, Al Gore dan Johns Hopkins, Anwar menampilkan dirinya sebagai penghasut yang menyemarakkan semangat anti-Amerika dan anti-Yahudi.

Kata Motte lagi, "dalam mencari siapa yang boleh dijadikan rakan Amerika di dunia Islam, memang sukar untuk membezakan antara kawan yang baik dan kawan yang jahat."

"Bagaimanapun, lazimnya, ahli politik yang memperjuangkan teori konspirasi anti-Yahudi bukanlah rakan Amerika," katanya bagi merujuk kepada Anwar.

Motte berkata, perkembangan di Malaysia beberapa bulan lepas menyerlahkan perubahan yang mengejutkan apabila ketua Pembangkang Anwar Ibrahim meniupkan semangat anti-Yahudi, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pula berdiri teguh bersama Presiden Barack Obama dan Amerika.

Penulis itu mengulangi kenyataannya bahawa memang sukar untuk meneka siapakah yang boleh dijadikan kawan oleh Amerika di dunia Islam, selain Raja dan Permaisuri Jordan, beberapa orang di Emiriyah Arab Bersatu dan keluarga diraja Saudi.

"Sebagai contoh, lihatlah sesuatu yang aneh di Malaysia. Negara itu dan parti yang memerintahnya sedia bekerjasama dan bersikap konstruktif terhadap Amerika, tetapi lain pula halnya dengan parti politik pembangkangnya. Keanehan inilah yang sering digambarkan oleh media Barat," katanya.

Motte berkata, kepimpinan Malaysia sekarang bersikap pro perniagaan, pro Amerika dan berani berterus terang kepada dunia Islam bahawa ia adalah sekutu strategik Amerika.

Malah, katanya, pada Sidang kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington baru-baru ini, Najib berikrar akan membantu Amerika dalam pelbagai bidang.

Katanya, nama baik Malaysia sebagai sebuah negara majoriti Islam yang stabil dan berpendirian sederhana begitu menyerlah pada dekad ini hasil usaha keras dan kepimpinan perdana menterinya sekarang dan perdana menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sumber : BERNAMA

Isnin, April 26, 2010

Bukan kemenangan mutlak...

Salam.. Salam Sejahtera..

Keputusan Pilihan raya kecil (PRK) P094 Parlimen Hulu Selangor telah menyebelahi Barisan Nasional. Parti Keadilan Rakyat yang bertanding bagi mempertahankan kerusi parlimen itu telah mendapat kekecewaan selepas tewas kepada Barisan Nasional dengan majoriti 1,725 undi.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, pada awalnya di jangka pertandingan ialah empat penjuru di antara calon BN iaitu P. Kamalanathan, calon PKR Datuk Zaid Ibrahim, dan dua orang calon bebas iaitu Johan Mat Diah dan VS Chandran yang masing-masing adalah ahli UMNO dan MIC. Namun begitu kedua-dua calon bebas ini telah menarik diri daripada bertanding.

Undi yang diperolehi oleh BN pada PRK Hulu Selangor pada saya bukanlah sesuatu yang amat membanggakan. Akan tetapi masih boleh dibanggakan jika di kira dari jumlah undi dan majoriti yang di terima oleh calon BN yang tewas pada pilihan raya umum (PRU) tahun 2008 yang lalu.
Pada tahun 2008 memperlihatkan keputusan yang amat teruk kepada BN apabila calonnnya iaitu Datuk G. Palanivel tewas kepada calon PKR iaitu Allahyarham Datuk Zainal Abidin Ahmad dengan majoriti sebanyak 198 undi. BN ketika mendapat sebanyak 22,979 undi dan PKR pula 23,177 undi.

Pada tahun 2004, BN menang dengan jumlah undi sebanyak 27,807 undi berbanding calon Pas 13,324 undi, dan majoriti sebanyak 14,483 undi. Calon BN ketika itu ialah Datuk G. Palanivel yang kini adalah Timbalan Presiden MIC dan lawannya adalah Datuk Ismail Kamus.

Dalam PRK Hulu Selangor, BN meraih sebanyak 24,997 undi berbanding PKR 23,272 undi, majoriti sebanyak 1,725 undi. Jumlah majoriti ini cukup kecil berbanding tahun 2004. Secara jelas memperlihatkan bahawa kedudukan BN di Parlimen Hulu Selangor masih belum selamat. Persoalannya adakah kerusi Parlimen Hulu Selangor akan dapat dikekalkan oleh BN semasa pilihan raya umum akan datang? Sukar untuk menjawabnya kerana peristiwa yang hampir sama juga pernah berlaku semasa PRK di Dewan Undangan Negeri Ijok.

Saya melihat kemenangan BN di Hulu Selangor sebagai ganti kepada kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang terlepas kepada Pas. Sememangnya diakui bahawa parti yang bertanding di Hulu Selangor memerlukan kemenangan kerana hendak melihat momentum sokongan rakyat kepada agenda yang diperjuangkan. BN perlu menang sebagai tanda sokongan rakyat kepada Perdana Menteri 1 Malaysia dan gagasan yang dilaung-laungkan olehnya. PKR juga mencari kemenangan kerana Parlimen Hulu Selangor adalah kerusi parlimen yang berada di dalam negeri pentadbirannya, selain perlu untuk mendapatkan sokongan rakyat terhadap individu tertentu di dalam PKR itu sendiri.

Secara peribadi saya sebenarnya tersenyum sendiri apabila melihat aksi-aksi yang dilakukan oleh mereka yang bertanding, sama ada BN mahupun PKR. Saya tersenyum di pagi Ahad apabila membaca muka hadapan Mingguan Malaysia yang memaparkan kenyataan Naib Presiden PKR yang mencabar lawan supaya membuktikan tuduhan bahawa calon mereka adalah peminum arak. Pada saya itu cabaran yang memang mencabar dan tidak di sambut oleh BN tetapi di sambut oleh penulis-penulis blog yang mesra kepada BN.

Saya tidak gemar dengan situasi menyerang peribadi calon. Akan tetapi perlu di ingat bahawa salah seorang pemimpin parti politik pembangkang telah mengeluarkan kenyataan semasa PRK di Permatang Pasir yang mengatakan bahawa perlu membongkar kesemuanya mengenai calon supaya rakyat dapat menilainya sendiri. Apakah yang terjadi kepada calon BN yang dibongkar kesemuanya berkenaan hal rumahtangganya dan mempunyai masalah lain dalam aktivitinya sebagai peguam?

Saya sebenarnya bersetuju dengan pendapat seorang ulama yang mengatakan bahawa boleh berpolitik di dalam masjid. Saya setuju pendapat ulama 'besar' itu. Akan tetapi saya membantah jika sekiranya politik yang diamalkan di dalam masjid itu digunakan untuk memburuk-burukkan saudara seagama sendiri. Apatah lagi mengeluarkan fitnah. Baginda Sultan Selangor melarang politik di masjid mesti ada sebabnya.

Walau apa pun isu politik kepartian di dalam masjid itu saya tidak mampu ulas secara panjang kerana taraf saya sebagai insan biasa. Saya bukan ulama' terompah.

Mengapa orang Cina tidak memberikan undi yang sewajarnya kepada BN? Adakah kerana mainan psikologi daripada Penasihat DAP, YB. Lim Kit Siang? Adakah kerana perpecahan MCA selepas pemilihan yang baru diadakan? atau adakah kerana disebabkan perletakan jawatan Ketua Wanita MCA iaitu Datin Paduka Chew Mei Fun? Mungkin boleh juga dikatakan faktor pemilihan Datuk Seri Chua Soi Lek sebagai Presiden MCA yang baru dan beliau mempunyai moral yang boleh dipertikai seperti mana moral EXCO Selangor. Kita hanya mampu membuat pelbagai andaian di sini.

Kepada MIC perlu di ingat bahawa janji Presidennya iaitu Datuk Seri S. Samy Vellu yang akan bersara tidak lama lagi dan memberikan peluang kembali kepada Datuk G. Palanivel selepas tidak bertanding di Hulu Selangor.

Kemenangan BN melalui calon daripada MIC adalah salah satu contoh perkongsian kuasa dan contoh tolak ansur daripada UMNO walaupun kerusi Parlimen Hulu Selangor itu majoritinya pengundinya adalah orang Melayu.
Sudah menjadi adat bertanding, ada yang menang dan ada yang kalah. Yang menang akan bersorak dan yang kalah akan mencari helah. Pengundi hantu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil dan pelbagai tuduhan lagi sudah menjadi tabiat kepada mereka yang masih tidak tahu menghormati keputusan yang tidak memihak kepada mereka. Cuba kita bayangkan pada suasana keputusan diumumkan dan pemenangnya adalah PKR, maka isu pengundi hantu, SPR tidak telus dan sebagainya pasti tidak akan kedengaran. Adakah ini demokrasi yang mereka canang-canangkan selama ini?

Jika anda mempunyai masa, sila baca wawancara bersama dengan mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional, Dr. Chandra Muzaffar ini. KLIK

Jumaat, April 23, 2010

Bahana mabuk : Pelajar yang maut...

Salam.. Salam Sejahtera..

Oleh sebab pemandu yang mabuk, maka satu nyawa yang tidak berdosa dan tidak mabuk telah terkorban.

Inilah padah apabila mabuk.

Berita Harian : Pelajar maut dilanggar pemandu mabuk

23/04/2010

GEORGETOWN : Seorang pelajar sebuah kolej swasta maut selepas dirempuh sebuah kereta yang dipercayai dipandu seorang lelaki yang dalam keadaan mabuk di Jalan Kelawei, di sini hari ini.

Mangsa Mohamad Haseenullah Wahibul Ameen, 24, yang dalam perjalanan dari Tanjung Tokong menghala ke pusat bandar sedang menunggang motosikal dan dirempuh oleh sebuah kereta yang melencong masuk ke jalan bertentangan.

Ketua Turus Trafik Pulau Pinang, DSP Wari Kiew, berkata mangsa dirempuh dari arah hadapan oleh seorang lelaki berusia 35 tahun yang memandu kereta jenis Honda Civic dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala. Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mabuk dan berada di bawah pengaruh akhohol yang tinggi.

"Siasatan dijalankan untuk mengenalpasti kejadian sebenar kerana ia turut membabitkan beberapa kenderaan lain dan suspek ditahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu dengan melulu sehingga menyebabkan kematian," katanya kepada pemberita ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan suspek boleh dipenjara lebih 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Wari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat dan pihaknya akan memanggil beberapa saksi kejadian untuk siasatan lanjut.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Cif Inspektor Rahim Din di talian 04-2181822 atau 019-5468658. - Bernama

****************************
Nampaknya orang yang mabuk ini sungguh bahaya. Sukar membuat keputusan yang rasional. Buktinya pemandu itu masuk ke jalan yang bertentangan sehingga membawa maut kepada mereka yang lain.

Khamis, April 22, 2010

Haram salam calon 1 Malaysia?

Salam.. Salam Sejahtera..

Ini kisah apa yang saya dengar menggunakan telinga saya sendiri. Saya terasa ingin menaip walaupun tidak berapa berminat hendak menulis mengenainya.

Di tempat berdekatan tempat saya tinggal ada manusia yang boleh dikategorikan 'alim' tapi tidak mahu menerima kehadiran tetamu yang juga seorang wakil rakyat ke majlis walimatul urus yang dibuatnya. Kerana apa? kerana wakil rakyat itu bukan beragama Islam. Yang peliknya di sini, kalau tidak mahu wakil rakyat bukan Islam itu hadir ke majlisnya, mengapa di hantar surat jemputan? Entahlah, mungkin dia hendak memalukan wakil rakyat itu jika hadir ke majlis tersebut. Niat jahatnya tidak menjadi apabila wakil rakyat tersebut tidak hadir, mungkin wakil rakyat itu sudah mengetahui perkara yang bakal berlaku.

Saya tertarik dengan tajuk berita di dalam Utusan Malaysia hari ini (22 April 2010) di muka surat 6 ruangan corat-coret yang bertajuk "Haram salam Kamalanathan".

Mengikut apa yang tercatat di dalam ruangan tersebut, kejadian itu berlaku semasa calon Barisan Nasional yang bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor iaitu P. Kamalanathan sedang berkempen di sebuah restoran berdekatan Bukit Beruntung.

Peristiwa yang berlaku itu jelas memalukan umat Islam kerana apabila P. Kamalanathan menghampiri sebuah meja untuk bersalaman dengan mereka yang berada di situ, seorang lelaki yang berkopiah enggan menghulurkan tangannya kepada calon Barisan Nasional tersebut. Lelaki itu berkata tanpa memandang Kamalanathan, "Sokong Pas, haram salam".

Kenapa masih ada yang berfikiran sempit seperti itu? Adakah lelaki berkopiah itu enggan bersalaman kerana P. Kamalanathan seorang yang bukan beragama Islam atau kerana dia calon Barisan Nasional? Kalaulah alasan lelaki itu kerana Kamalanathan calon BN, pada saya dia perlu belajar untuk menjadi bijak dalam berpolitik.

Jangan hanya menjadi penyokong yang taksub atau jahil, sedangkan pemimpin mereka di peringkat atasan boleh berpelukan walaupun berlainan ideologi, agama dan prinsip parti. Kerana apa? Kerana mereka inginkan kuasa.