Followers

Isnin, April 26, 2010

Bukan kemenangan mutlak...

Salam.. Salam Sejahtera..

Keputusan Pilihan raya kecil (PRK) P094 Parlimen Hulu Selangor telah menyebelahi Barisan Nasional. Parti Keadilan Rakyat yang bertanding bagi mempertahankan kerusi parlimen itu telah mendapat kekecewaan selepas tewas kepada Barisan Nasional dengan majoriti 1,725 undi.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, pada awalnya di jangka pertandingan ialah empat penjuru di antara calon BN iaitu P. Kamalanathan, calon PKR Datuk Zaid Ibrahim, dan dua orang calon bebas iaitu Johan Mat Diah dan VS Chandran yang masing-masing adalah ahli UMNO dan MIC. Namun begitu kedua-dua calon bebas ini telah menarik diri daripada bertanding.

Undi yang diperolehi oleh BN pada PRK Hulu Selangor pada saya bukanlah sesuatu yang amat membanggakan. Akan tetapi masih boleh dibanggakan jika di kira dari jumlah undi dan majoriti yang di terima oleh calon BN yang tewas pada pilihan raya umum (PRU) tahun 2008 yang lalu.
Pada tahun 2008 memperlihatkan keputusan yang amat teruk kepada BN apabila calonnnya iaitu Datuk G. Palanivel tewas kepada calon PKR iaitu Allahyarham Datuk Zainal Abidin Ahmad dengan majoriti sebanyak 198 undi. BN ketika mendapat sebanyak 22,979 undi dan PKR pula 23,177 undi.

Pada tahun 2004, BN menang dengan jumlah undi sebanyak 27,807 undi berbanding calon Pas 13,324 undi, dan majoriti sebanyak 14,483 undi. Calon BN ketika itu ialah Datuk G. Palanivel yang kini adalah Timbalan Presiden MIC dan lawannya adalah Datuk Ismail Kamus.

Dalam PRK Hulu Selangor, BN meraih sebanyak 24,997 undi berbanding PKR 23,272 undi, majoriti sebanyak 1,725 undi. Jumlah majoriti ini cukup kecil berbanding tahun 2004. Secara jelas memperlihatkan bahawa kedudukan BN di Parlimen Hulu Selangor masih belum selamat. Persoalannya adakah kerusi Parlimen Hulu Selangor akan dapat dikekalkan oleh BN semasa pilihan raya umum akan datang? Sukar untuk menjawabnya kerana peristiwa yang hampir sama juga pernah berlaku semasa PRK di Dewan Undangan Negeri Ijok.

Saya melihat kemenangan BN di Hulu Selangor sebagai ganti kepada kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang terlepas kepada Pas. Sememangnya diakui bahawa parti yang bertanding di Hulu Selangor memerlukan kemenangan kerana hendak melihat momentum sokongan rakyat kepada agenda yang diperjuangkan. BN perlu menang sebagai tanda sokongan rakyat kepada Perdana Menteri 1 Malaysia dan gagasan yang dilaung-laungkan olehnya. PKR juga mencari kemenangan kerana Parlimen Hulu Selangor adalah kerusi parlimen yang berada di dalam negeri pentadbirannya, selain perlu untuk mendapatkan sokongan rakyat terhadap individu tertentu di dalam PKR itu sendiri.

Secara peribadi saya sebenarnya tersenyum sendiri apabila melihat aksi-aksi yang dilakukan oleh mereka yang bertanding, sama ada BN mahupun PKR. Saya tersenyum di pagi Ahad apabila membaca muka hadapan Mingguan Malaysia yang memaparkan kenyataan Naib Presiden PKR yang mencabar lawan supaya membuktikan tuduhan bahawa calon mereka adalah peminum arak. Pada saya itu cabaran yang memang mencabar dan tidak di sambut oleh BN tetapi di sambut oleh penulis-penulis blog yang mesra kepada BN.

Saya tidak gemar dengan situasi menyerang peribadi calon. Akan tetapi perlu di ingat bahawa salah seorang pemimpin parti politik pembangkang telah mengeluarkan kenyataan semasa PRK di Permatang Pasir yang mengatakan bahawa perlu membongkar kesemuanya mengenai calon supaya rakyat dapat menilainya sendiri. Apakah yang terjadi kepada calon BN yang dibongkar kesemuanya berkenaan hal rumahtangganya dan mempunyai masalah lain dalam aktivitinya sebagai peguam?

Saya sebenarnya bersetuju dengan pendapat seorang ulama yang mengatakan bahawa boleh berpolitik di dalam masjid. Saya setuju pendapat ulama 'besar' itu. Akan tetapi saya membantah jika sekiranya politik yang diamalkan di dalam masjid itu digunakan untuk memburuk-burukkan saudara seagama sendiri. Apatah lagi mengeluarkan fitnah. Baginda Sultan Selangor melarang politik di masjid mesti ada sebabnya.

Walau apa pun isu politik kepartian di dalam masjid itu saya tidak mampu ulas secara panjang kerana taraf saya sebagai insan biasa. Saya bukan ulama' terompah.

Mengapa orang Cina tidak memberikan undi yang sewajarnya kepada BN? Adakah kerana mainan psikologi daripada Penasihat DAP, YB. Lim Kit Siang? Adakah kerana perpecahan MCA selepas pemilihan yang baru diadakan? atau adakah kerana disebabkan perletakan jawatan Ketua Wanita MCA iaitu Datin Paduka Chew Mei Fun? Mungkin boleh juga dikatakan faktor pemilihan Datuk Seri Chua Soi Lek sebagai Presiden MCA yang baru dan beliau mempunyai moral yang boleh dipertikai seperti mana moral EXCO Selangor. Kita hanya mampu membuat pelbagai andaian di sini.

Kepada MIC perlu di ingat bahawa janji Presidennya iaitu Datuk Seri S. Samy Vellu yang akan bersara tidak lama lagi dan memberikan peluang kembali kepada Datuk G. Palanivel selepas tidak bertanding di Hulu Selangor.

Kemenangan BN melalui calon daripada MIC adalah salah satu contoh perkongsian kuasa dan contoh tolak ansur daripada UMNO walaupun kerusi Parlimen Hulu Selangor itu majoritinya pengundinya adalah orang Melayu.
Sudah menjadi adat bertanding, ada yang menang dan ada yang kalah. Yang menang akan bersorak dan yang kalah akan mencari helah. Pengundi hantu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil dan pelbagai tuduhan lagi sudah menjadi tabiat kepada mereka yang masih tidak tahu menghormati keputusan yang tidak memihak kepada mereka. Cuba kita bayangkan pada suasana keputusan diumumkan dan pemenangnya adalah PKR, maka isu pengundi hantu, SPR tidak telus dan sebagainya pasti tidak akan kedengaran. Adakah ini demokrasi yang mereka canang-canangkan selama ini?

Jika anda mempunyai masa, sila baca wawancara bersama dengan mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional, Dr. Chandra Muzaffar ini. KLIK

1 ulasan:

  1. Sebelum undi,dipakat pulak puak umno hok jahil agama mcm hang ni,pi sembahyang hajat mintak si kapir laknatullah ni menang.bila menang,buat solat syukur pulak.jauh sgt dh melencong juak-juak laknatullah hang ni.tobat la.umat islam sekian hari menuntut kebebasan dari kapir laknatullah ni,hangpa pi sembahyang mintak depa ni menang?ish..cari bala sungguh juak-juak hang ni.

    BalasPadam