Followers

Isnin, September 28, 2009

Taksub..

Salam Syawal, Salam Aspirasi, Salam Mahasiswa, Salam Perpaduan dan Salam Sejahtera..

Apa itu TAKSUB???

Taksub bermaksud perlakuan atau perihal seseorang yang tidak menghiraukan pandangan orang lain dan menganggap pegangannya sahaja yang betul.

Pada zaman sebelum dan awal kemerdekaan budaya taksub ini kerap berlaku. Ketaksuban seseorang individu terhadap seseorang tokoh khasnya guru agama cukup kerap berlaku. Sebagai contoh dahulu sebelum merdeka terdapat guru agama yang mengeluarkan fatwa sendiri bahawa radio itu adalah suara syaitan. Sehinggakan apabila laporan berita mengenai awal Ramadhan dan sambutan hari raya melalui radio pun mereka tak percayai. Apa yang mereka percaya pada zaman itu hanyalah polis yang akan membuat pengumuman tentang sesuatu perkara. Oleh sebab ketokohan dan ilmu agama yang dimiliki oleh guru agama itulah maka ramai pengikut yang mengikutnya. Hari ini segalanya telah berubah.

Dahulu kita dikejutkan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh seorang ahli politik. Beliau mengatakan bahawa UMNO kafir kerana bekerjasama dengan MCA dan MIC. Binatang sembelihan orang-orang UMNO haram dimakan. Tidak sah solat berimamkan orang UMNO dan pelbagai lagi fatwa dikeluarkan. Fatwa yang dikeluarkan itu telah menyebabkan orang Islam berpecah. Berada di dalam satu masjid tetapi solat berasingan. Suami isteri ada yang tidak bersefahaman, dan pelbagai lagi. Kesemua ini adalah berpunca daripada ketaksuban terhadap seseorang individu yang berpengaruh.

Sikap taksub terhadap individu kini semakin ketara. Contoh paling jelas adalah di dalam kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saiful melafazkan sumpah di dalam masjid bagi memberitahu bahawa dirinya telah diliwat oleh bekas majikannya iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Memang agak sukar untuk membuktikan kesahihannya. Oleh sebab ketaksuban penyokong-penyokong DSAI maka Saiful telah dipersalahkan. Mengapa kita perlu menjadi hakim? Biarlah kes ini dibicarakan terlebih dahulu. Jangan kita pertikai sumpah Saiful tetapi kita perlu memuji beliau kerana berani bersumpah atas nama Allah S.W.T bagi membuktikan tuduhan beliau. Sumpah bukanlah boleh di bawa main-main. Saya kerap mendengar banyak pihak yang mengatakan bahawa sumpah Saiful itu tidak sah dan tidak mengikut Islam. Saya rasa lebih elok DSAI melakukan sumpah yang benar-benar mengikut Islam bagi menafikan sumpah Saiful itu. Saya tidak mahu menyokong Saiful mahupun DSAI, tetapi lebih elok kita memberikan peluang kes ini dibicarakan terlebih dahulu di mahkamah. Kepada penyokong-penyokong tak kiralah yang sokong Saiful mahupun DSAI, janganlah terlalu taksub..

Bagi mahasiswa dan mahasiswi saya berharap kita semua tidak terlalu taksub dengan budaya politik nasional. Kita memang dilarang untuk terlibat dengan politik nasional tetapi kita masih boleh berpolitik di dalam kampus. Jangan sesekali membawa budaya politik di luar sana yang boleh dilabel sebagai 'politik samseng' ke dalam kampus.

Budaya memburuk-burukkan calon yang bertanding di dalam kampus dilihat semakin menjadi-jadi. Tak kiralah sama ada mereka ini dari kelompok Pro-Aspirasi mahupun Pro-Mahasiswa.

Bukan mudah untuk mencari pemimpin yang benar-benar mampu memimpin, dan bukan mudah untuk memimpin sekelompok manusia yang mempunyai pelbagai ragam.

Ambil contoh di kampus wujud kelompok yang mempromosi diri mereka untuk menjadi pemimpin. Mereka menggelar diri mereka sebagai kelompok yang selalu ke masjid. InsyaAllah solat lima waktu mereka ada di masjid. Sememangnya kelompok inilah yang wajar dipilih untuk menjadi pemimpin di universiti kerana kerap ke masjid untuk berjemaah. Sekarang ini berapa ramai yang ke masjid pada waktu subuh untuk berjemaah? Kelompok inilah yang rajin melakukannya. Pada saya mereka ini memang sesuai untuk dipilih sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di kampus.

Persoalannya di sini adakah mereka benar-benar sesuai dipilih sebagai MPP? Jika sebagai sindiran mereka memang layak sebab awal-awal lagi mereka mengatakan mereka inilah yang kerap ke masjid. Tetapi sebagai realiti saya ingin menyatakan di sini bahawa calon inilah yang akan saya tolak ke tepi kerana mereka menjadikan amalan yang mereka sepatutnya buat dengan ikhlas tetapi dijadikan sebagai umpan untuk mendapatkan undi semasa piliharaya kampus. Maaf jika ada yang terasa.

Apa-apa pun kepada mereka yang berminat untuk menganggotai MPP saya sarankan anda menghayati sikap dan cara Khalifah Umar Abdul Aziz. Beliau berdoa kepada Allah S.W.T supaya dijauhkan daripada segala jawatan. Tetapi dengan izin Allah S.W.T maka beliau telah menjadi khalifah yang amat berjaya. Jangan sesekali meminta-minta jawatan kerana jawatan itu bukanlah untuk dibangga-banggakan tetapi jawatan itu adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul demi kesejahteraan semua.

Politik itu kotor??? Yang mengotorkan politik adalah mereka yang sedia kotor. Jangan kotorkan politik kita khasnya politik kampus di USM ini.

2 ulasan:

  1. Benar saranan tuan, jangan taksub.

    Izinkan saya berbeza pendapat tentang isu sumpah-menyumpah ni...

    Jikalau kita kecurian, dan katakan kita tahu siapa pencurinya, kita pun pegi masjid dan angkat sumpah bahawa si polan telah mencuri barang kita. Apakah sumpah kita itu satu alasan yang kuat bagi pihak berkuasa menahan dan menghukum si polan itu? Tidak bukan? Sebaliknya kita membuat laporan polis, dan polis pun menjalankan kewajipan mereka dengan menangkap dan menyediakan pertuduhan terhadap si polan. Si polan masih berhak mempertahankan diri beliau di mahkamah. Sehingga tahap itu, si polan masih lagi tidak bersalah sehinggalah DIBUKTIKAN bersalah.

    Kalau semua kes orang bersumpah, baik kita bubarkan pasukan polis dan mahkamah, amacam?

    Dalam undang-undang, kita ada satu prinsip iaitu doctrine of binding precedent. Doktrin ini digunakan dalam perbicaraan mahkamah. Kalau DSAI memulakan precedent mengangkat sumpah, maka ini akan diikuti dalam SEMUA kes mahkamah. Selesaikah masalah?

    Memang nampak macam ikut syariah(?), tapi kalau kes sebat Kartika pun dah kecoh, tak payah sembang la pasal syariah. Belum lagi masuk bab hudud dll...

    Wallahualam...

    BalasPadam
  2. betul jugak tu..tapi yg saya maksudkan adalah untuk meredakan sedikit kekeliruan dalam kalangan masyarakat kita yg agak kurang pengetahuan ini adalah lebih elok anwar bersumpah mengikut Islam yg sebenar..apa guna pertikai sumpah orang lain tetapi diri sendiri gentar untuk bersumpah..

    sumpah itu memang tiada bukti, tetapi sebagai umat Islam kita mengakui bahawa sumpah atas nama Allah S.W.T bukanlah boleh dibawa main2..

    Allah Maha Mengetahui..Bukti tetap di cari..tetapi jika tiada bukti maka Allah yg akan membalasnya

    BalasPadam