Followers

Jumaat, Oktober 30, 2009

1 Malaysia..1 Aliran Sekolah..

Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia..

Untuk mengelak daripada kontroversi dan cuba untuk tidak memanaskan punggung-punggung pihak tertentu, maka lebih elok saya menulis mengenai isu-isu semasa ataupun politik. Sekurang-kurangnya isu tersebut telah diperkatakan di media massa.

1 Malaysia.. 1 Aliran Sekolah.. 1 Bangsa Malaysia

Banyak pihak dan tidak terkecuali saya cukup tertarik dengan saranan daripada tokoh akademik iaitu Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim supaya kerajaan melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan perpaduan kaum tercapai. Cadangan beliau ini turut mendapat sokongan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Akan tetapi saranan bagi mewujudkan satu aliran sekolah di negara ini mendapat tentangan daripada pihak Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Persatuan Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Malaysia.

Menurut Chow Siew Hon yang merupakan Timbalan Pengerusi Dong Zong, cadangan tersebut tidak boleh diterima kerana setiap bangsa di negara ini mempunyai warisan kebudayaan termasuklah bahasa ibunda yang perlu dipertahankan menerusi pendidikan.

Timbalan Pengerusi Dong Zong itu juga turut menyatakan bahawa terdapat pendekatan lain yang boleh dilakukan bagi mengukuhkan perpaduan nasional, termasuklah menerusi pelaksanaan politik yang adil dan saksama.

Ada juga pihak yang mengatakan bahawa cadangan Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim itu tidak rasional. Jika mereka tahu mengkritik, saya ingin bertanya adakah mereka mempunyai cadangan lain yang lebih rasional? Jangan hanya tahu mengkritik sahaja tetapi tidak disertakan dengan alternatif.

Saya pernah menulis supaya Malaysia mewujudkan satu aliran sekolah sebelum ini.

YAB. Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menyatakan bahawa Malaysia merupakan negara yang paling unik di dunia kerana mempunyai pelbagai aliran sistem pendidikan. Melayu, Cina dan India mempunyai sekolah masing-masing. Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (termasuklah sekolah menengah).

Kita sudah merdeka lebih 52 tahun dan Persekutuan Malaysia sudah wujud lebih 46 tahun, oleh sebab itu sistem pendidikan yang berasaskan kaum ini perlu dirombak semula.

Saya cukup tertarik dengan hujah yang dilontarkan oleh wakil Dong Zong yang mengatakan bahawa setiap bangsa di negara ini mempunyai warisan kebudayaan tersendiri termasuklah bahasa ibunda yang perlu dipertahankan menerusi pendidikan.

Persoalannya, adakah hanya melalui sistem pendidikan sahaja warisan kebudayaan termasuklah bahasa ibunda itu boleh dikekalkan sampai bila-bila?

Jika itulah yang dihujahkan oleh mereka yang membantah maka saya beranggapan bahawa Malaysia perlu mewujudkan lebih banyak lagi Sekolah Jenis Kebangsaan. Maksud saya di sini ialah kerajaan perlu mewujudkan SJK Iban, SJK Kadazan, SJK Bidayuh, SJK Murut, SJK Dusun, SJK Melanau, SJK Orang Asli, SJK Bajau, (SJK Jawa dan SJK Banjar kalau perlu..). Sebagai orang Melayu berketurunan Banjar saya sendiri tidak mahu bahasa ibunda saya hilang begitu saja. Adakah permintaan saya untuk mewujudkan SJK Banjar itu rasional? Mestilah tidak..

Melentur buluh biarlah daripada rebung. Perpaduan perlu dipupuk sejak daripada sekolah rendah. Jika sudah sampai di universiti memang susah nak di bentuk.

Rombak semula sistem pendidikan yang berasaskan kaum ini dan bentuk semula supaya semua pihak mendapat manfaat daripadanya.

Jika takut sesuatu bahasa ibunda itu hilang kerana SJK tidak ada, maka saya mencadangkan supaya "Sistem Satu Sekolah" itu perlulah mengajar ketiga-tiga matapelajaran. Adalah lebih elok jika bahasa Melayu, Cina dan Tamil dijadikan matapelajaran wajib lulus kepada pelajar-pelajar.

Bagi bahasa-bahasa ibunda yang lain perlulah dijadikan sebagai matapelajaran pilihan, terbuka untuk para pelajar sama ada hendak mempelajarinya atau pun tidak.

Jika bahasa Melayu, Cina dan Tamil dijadikan sebagai matapelajaran teras dan wajib lulus, adalah tidak mustahil suatu masa nanti kita akan dapat melihat pelajar Melayu, Cina dan India akan berkomunikasi dalam bahasa ibunda mereka sendiri ketika mengadakan perbincangan atau sebagainya. Hari ini situasi seperti yang saya nyatakan amat sukar untuk dilihat.

Alangkah indahnya jika kita dapat melihat perbahasan di Parlimen antara YB. Datuk Mohamad Aziz (BN - Sri Gading), YB. Tan Seng Giaw (DAP - Kepong) dan YB. Karpal Singh (DAP - Bukit Gelugor) yang masing-masing berbahas dan bertikam lidah dengan menggunakan bahasa ibunda masing-masing serta mereka memahaminya antara satu sama lain. Jika sistem satu sekolah diwujudkan maka perkara ini tidak mustahil akan berlaku.

Ini hanya cadangan dan pandangan saya, terpulang kepada pihak berkenaan yang berkuasa dalam menentukan hala tuju pendidikan negara kita.

Perkara yang elok perlu diteruskan. Bantahan hanya dilakukan oleh mereka yang mempunyai kepentingan sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan