Followers

Khamis, Oktober 29, 2009

Boleh jalanlah.. "Get out you!"

Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia..

Berita MalaysiaKini petang ini telah membuatkan saya tersenyum, sebab seorang Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional yang terkenal dengan kelantangannya mendesak supaya dua orang menteri meletak jawatan.
Ahli Parlimen Sri Gading, Yang Berhormat Datuk Haji Mohamad Haji Aziz telah mendesak YB. Datuk Seri Ong Tee Keat yang juga Menteri Pengangkutan dan Presiden MCA meletak jawatan kerana tidak mendapat kepercayaan parti dan imejnya yang telah tercalar.

Selain itu, YB. Datuk Mohamad Aziz juga turut mendesak Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, YB. Senator Tan Sri Koh Tsu Koon meletak jawatan kerana gagal menunjukkan prestasi yang baik sebagai seorang menteri.

Datuk Mohamad Aziz menyatakan perkara sedemikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 di Dewan Rakyat. Beliau mengatakan bahawa sebagai barisan hadapan kabinet, seorang menteri itu tidak seharusnya hilang kepercayaan anggota parti apatah lagi jika maruah dan imejnya jatuh di mata rakyat.

Ahli Parlimen Sri Gading Johor itu berkata menteri-menteri tersebut perlu berundur kerana sejajar dengan slogan kerajaan sekarang iaitu "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Beliau turut membidas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon kerana tidak menunjukkan prestasi yang baik walaupun bertanggungjawab terhadap KPI (Petunjuk Prestasi Utama).

Beliau turut menggelar Tan Sri Koh Tsu Koon sebagai pengampu kerana tidak pernah hadir ke Parlimen kecuali apabila Perdana Menteri hadir.

Segala apa yang diperkatakan beliau ini mendapat sokongan ahli-ahli dewan termasuklah pihak pembangkang.

Terima kasih juga kepada Ahli Parlimen Sri Gading berkenaan kerana membangkitkan berkenaan dasar terbaru kerajaan yang mengarahkan supaya semua kenderaan penumpang yang berusia lebih 15 tahun menjalani pemeriksaan tahunan di PUSPAKOM sebelum memperbaharui cukai jalan.

Sememangnya dasar ini amat menyusahkan rakyat yang berpendapatan rendah. Kereta hari ini bukanlah barang kehendak tetapi sudah menjadi satu keperluan bagi mereka yang mempunyai ramai ahli keluarga.

Walau apa pun saya amat kagum dan hormat dengan YB. Datuk Mohamad Aziz kerana sejak dulu lagi beliau terkenal dengan kelantangan dan ketegasannya. Sebagai Ahli Parlimen Sri Gading beliau berani menyatakan perkara yang hak dan bathil. Tauke Cina kaya pun dia 'basuh' sebab nak jaga kepentingan rakyat kawasan dia.

Masa zaman Pak Lah beliau marah Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga masa itu Ketua Pergerakan Puteri UMNO. Kini beliau desak pula Presiden MCA dan Gerakan berundur daripada jawatan kabinet.

Kita perlukan pemimpin yang tegas dan lantang seperti beliau.

Berani menyatakan yang hak..bukan berpura-pura demi memelihara kuasa politik..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan