Followers

Isnin, April 26, 2010

Bukan kemenangan mutlak...

Salam.. Salam Sejahtera..

Keputusan Pilihan raya kecil (PRK) P094 Parlimen Hulu Selangor telah menyebelahi Barisan Nasional. Parti Keadilan Rakyat yang bertanding bagi mempertahankan kerusi parlimen itu telah mendapat kekecewaan selepas tewas kepada Barisan Nasional dengan majoriti 1,725 undi.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, pada awalnya di jangka pertandingan ialah empat penjuru di antara calon BN iaitu P. Kamalanathan, calon PKR Datuk Zaid Ibrahim, dan dua orang calon bebas iaitu Johan Mat Diah dan VS Chandran yang masing-masing adalah ahli UMNO dan MIC. Namun begitu kedua-dua calon bebas ini telah menarik diri daripada bertanding.

Undi yang diperolehi oleh BN pada PRK Hulu Selangor pada saya bukanlah sesuatu yang amat membanggakan. Akan tetapi masih boleh dibanggakan jika di kira dari jumlah undi dan majoriti yang di terima oleh calon BN yang tewas pada pilihan raya umum (PRU) tahun 2008 yang lalu.
Pada tahun 2008 memperlihatkan keputusan yang amat teruk kepada BN apabila calonnnya iaitu Datuk G. Palanivel tewas kepada calon PKR iaitu Allahyarham Datuk Zainal Abidin Ahmad dengan majoriti sebanyak 198 undi. BN ketika mendapat sebanyak 22,979 undi dan PKR pula 23,177 undi.

Pada tahun 2004, BN menang dengan jumlah undi sebanyak 27,807 undi berbanding calon Pas 13,324 undi, dan majoriti sebanyak 14,483 undi. Calon BN ketika itu ialah Datuk G. Palanivel yang kini adalah Timbalan Presiden MIC dan lawannya adalah Datuk Ismail Kamus.

Dalam PRK Hulu Selangor, BN meraih sebanyak 24,997 undi berbanding PKR 23,272 undi, majoriti sebanyak 1,725 undi. Jumlah majoriti ini cukup kecil berbanding tahun 2004. Secara jelas memperlihatkan bahawa kedudukan BN di Parlimen Hulu Selangor masih belum selamat. Persoalannya adakah kerusi Parlimen Hulu Selangor akan dapat dikekalkan oleh BN semasa pilihan raya umum akan datang? Sukar untuk menjawabnya kerana peristiwa yang hampir sama juga pernah berlaku semasa PRK di Dewan Undangan Negeri Ijok.

Saya melihat kemenangan BN di Hulu Selangor sebagai ganti kepada kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang terlepas kepada Pas. Sememangnya diakui bahawa parti yang bertanding di Hulu Selangor memerlukan kemenangan kerana hendak melihat momentum sokongan rakyat kepada agenda yang diperjuangkan. BN perlu menang sebagai tanda sokongan rakyat kepada Perdana Menteri 1 Malaysia dan gagasan yang dilaung-laungkan olehnya. PKR juga mencari kemenangan kerana Parlimen Hulu Selangor adalah kerusi parlimen yang berada di dalam negeri pentadbirannya, selain perlu untuk mendapatkan sokongan rakyat terhadap individu tertentu di dalam PKR itu sendiri.

Secara peribadi saya sebenarnya tersenyum sendiri apabila melihat aksi-aksi yang dilakukan oleh mereka yang bertanding, sama ada BN mahupun PKR. Saya tersenyum di pagi Ahad apabila membaca muka hadapan Mingguan Malaysia yang memaparkan kenyataan Naib Presiden PKR yang mencabar lawan supaya membuktikan tuduhan bahawa calon mereka adalah peminum arak. Pada saya itu cabaran yang memang mencabar dan tidak di sambut oleh BN tetapi di sambut oleh penulis-penulis blog yang mesra kepada BN.

Saya tidak gemar dengan situasi menyerang peribadi calon. Akan tetapi perlu di ingat bahawa salah seorang pemimpin parti politik pembangkang telah mengeluarkan kenyataan semasa PRK di Permatang Pasir yang mengatakan bahawa perlu membongkar kesemuanya mengenai calon supaya rakyat dapat menilainya sendiri. Apakah yang terjadi kepada calon BN yang dibongkar kesemuanya berkenaan hal rumahtangganya dan mempunyai masalah lain dalam aktivitinya sebagai peguam?

Saya sebenarnya bersetuju dengan pendapat seorang ulama yang mengatakan bahawa boleh berpolitik di dalam masjid. Saya setuju pendapat ulama 'besar' itu. Akan tetapi saya membantah jika sekiranya politik yang diamalkan di dalam masjid itu digunakan untuk memburuk-burukkan saudara seagama sendiri. Apatah lagi mengeluarkan fitnah. Baginda Sultan Selangor melarang politik di masjid mesti ada sebabnya.

Walau apa pun isu politik kepartian di dalam masjid itu saya tidak mampu ulas secara panjang kerana taraf saya sebagai insan biasa. Saya bukan ulama' terompah.

Mengapa orang Cina tidak memberikan undi yang sewajarnya kepada BN? Adakah kerana mainan psikologi daripada Penasihat DAP, YB. Lim Kit Siang? Adakah kerana perpecahan MCA selepas pemilihan yang baru diadakan? atau adakah kerana disebabkan perletakan jawatan Ketua Wanita MCA iaitu Datin Paduka Chew Mei Fun? Mungkin boleh juga dikatakan faktor pemilihan Datuk Seri Chua Soi Lek sebagai Presiden MCA yang baru dan beliau mempunyai moral yang boleh dipertikai seperti mana moral EXCO Selangor. Kita hanya mampu membuat pelbagai andaian di sini.

Kepada MIC perlu di ingat bahawa janji Presidennya iaitu Datuk Seri S. Samy Vellu yang akan bersara tidak lama lagi dan memberikan peluang kembali kepada Datuk G. Palanivel selepas tidak bertanding di Hulu Selangor.

Kemenangan BN melalui calon daripada MIC adalah salah satu contoh perkongsian kuasa dan contoh tolak ansur daripada UMNO walaupun kerusi Parlimen Hulu Selangor itu majoritinya pengundinya adalah orang Melayu.
Sudah menjadi adat bertanding, ada yang menang dan ada yang kalah. Yang menang akan bersorak dan yang kalah akan mencari helah. Pengundi hantu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil dan pelbagai tuduhan lagi sudah menjadi tabiat kepada mereka yang masih tidak tahu menghormati keputusan yang tidak memihak kepada mereka. Cuba kita bayangkan pada suasana keputusan diumumkan dan pemenangnya adalah PKR, maka isu pengundi hantu, SPR tidak telus dan sebagainya pasti tidak akan kedengaran. Adakah ini demokrasi yang mereka canang-canangkan selama ini?

Jika anda mempunyai masa, sila baca wawancara bersama dengan mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional, Dr. Chandra Muzaffar ini. KLIK

Jumaat, April 23, 2010

Bahana mabuk : Pelajar yang maut...

Salam.. Salam Sejahtera..

Oleh sebab pemandu yang mabuk, maka satu nyawa yang tidak berdosa dan tidak mabuk telah terkorban.

Inilah padah apabila mabuk.

Berita Harian : Pelajar maut dilanggar pemandu mabuk

23/04/2010

GEORGETOWN : Seorang pelajar sebuah kolej swasta maut selepas dirempuh sebuah kereta yang dipercayai dipandu seorang lelaki yang dalam keadaan mabuk di Jalan Kelawei, di sini hari ini.

Mangsa Mohamad Haseenullah Wahibul Ameen, 24, yang dalam perjalanan dari Tanjung Tokong menghala ke pusat bandar sedang menunggang motosikal dan dirempuh oleh sebuah kereta yang melencong masuk ke jalan bertentangan.

Ketua Turus Trafik Pulau Pinang, DSP Wari Kiew, berkata mangsa dirempuh dari arah hadapan oleh seorang lelaki berusia 35 tahun yang memandu kereta jenis Honda Civic dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala. Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mabuk dan berada di bawah pengaruh akhohol yang tinggi.

"Siasatan dijalankan untuk mengenalpasti kejadian sebenar kerana ia turut membabitkan beberapa kenderaan lain dan suspek ditahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu dengan melulu sehingga menyebabkan kematian," katanya kepada pemberita ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan suspek boleh dipenjara lebih 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Wari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat dan pihaknya akan memanggil beberapa saksi kejadian untuk siasatan lanjut.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Cif Inspektor Rahim Din di talian 04-2181822 atau 019-5468658. - Bernama

****************************
Nampaknya orang yang mabuk ini sungguh bahaya. Sukar membuat keputusan yang rasional. Buktinya pemandu itu masuk ke jalan yang bertentangan sehingga membawa maut kepada mereka yang lain.

Khamis, April 22, 2010

Haram salam calon 1 Malaysia?

Salam.. Salam Sejahtera..

Ini kisah apa yang saya dengar menggunakan telinga saya sendiri. Saya terasa ingin menaip walaupun tidak berapa berminat hendak menulis mengenainya.

Di tempat berdekatan tempat saya tinggal ada manusia yang boleh dikategorikan 'alim' tapi tidak mahu menerima kehadiran tetamu yang juga seorang wakil rakyat ke majlis walimatul urus yang dibuatnya. Kerana apa? kerana wakil rakyat itu bukan beragama Islam. Yang peliknya di sini, kalau tidak mahu wakil rakyat bukan Islam itu hadir ke majlisnya, mengapa di hantar surat jemputan? Entahlah, mungkin dia hendak memalukan wakil rakyat itu jika hadir ke majlis tersebut. Niat jahatnya tidak menjadi apabila wakil rakyat tersebut tidak hadir, mungkin wakil rakyat itu sudah mengetahui perkara yang bakal berlaku.

Saya tertarik dengan tajuk berita di dalam Utusan Malaysia hari ini (22 April 2010) di muka surat 6 ruangan corat-coret yang bertajuk "Haram salam Kamalanathan".

Mengikut apa yang tercatat di dalam ruangan tersebut, kejadian itu berlaku semasa calon Barisan Nasional yang bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor iaitu P. Kamalanathan sedang berkempen di sebuah restoran berdekatan Bukit Beruntung.

Peristiwa yang berlaku itu jelas memalukan umat Islam kerana apabila P. Kamalanathan menghampiri sebuah meja untuk bersalaman dengan mereka yang berada di situ, seorang lelaki yang berkopiah enggan menghulurkan tangannya kepada calon Barisan Nasional tersebut. Lelaki itu berkata tanpa memandang Kamalanathan, "Sokong Pas, haram salam".

Kenapa masih ada yang berfikiran sempit seperti itu? Adakah lelaki berkopiah itu enggan bersalaman kerana P. Kamalanathan seorang yang bukan beragama Islam atau kerana dia calon Barisan Nasional? Kalaulah alasan lelaki itu kerana Kamalanathan calon BN, pada saya dia perlu belajar untuk menjadi bijak dalam berpolitik.

Jangan hanya menjadi penyokong yang taksub atau jahil, sedangkan pemimpin mereka di peringkat atasan boleh berpelukan walaupun berlainan ideologi, agama dan prinsip parti. Kerana apa? Kerana mereka inginkan kuasa.

Gambaran sebenar Apco..

Salam.. Salam Sejahtera..

1 Malaysia = 1 Israel.. UMNO-Apco..

Ini penjelasan mengenai isu tersebut yang di tulis oleh ROHANI IBRAHIM dalam ruangan rencana Utusan Malaysia.

Baca dan fahamkanlah.

Terima kasih.

Gambaran sebenar Apco

BIARPUN berhadapan dengan tindakan beberapa penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keluar parti kebelakangan ini, kreativiti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menghasut dan meracuni fikiran rakyat tidak pernah luntur.

Semua ini dilakukan demi mengelirukan rakyat dan meraih sokongan untuk mencapai matlamat peribadi yang diidam-idamkan selama ini.

Anwar mendakwa gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipengaruhi oleh Israel melalui khidmat syarikat perunding komunikasi antarabangsa Apco Worldwide (Apco) yang dipilih kerajaan.

Ini ditambah pula dengan dakwaan ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dalam satu artikel yang dihasilkan bersama Unit Penyelidikan Parlimen Parti Keadilan Rakyat (KPRU) dan disiarkan dalam Malaysian Insider.

Artikel tersebut mendakwa ketuanan Melayu yang pe rnah dilaungkan UMNO sebagai mempunyai persamaan dengan Zionis di Israel.

Isu Apco memberikan ruang kepada beberapa pihak untuk mengambil kesempatan menangguk di air keruh untuk menyerang dan menyemai kebencian kepada UMNO.

Terdapat gerakan di laman web sosial facebook seperti gerakan sejuta rakyat yang mahukan Apco keluar dari Malaysia serta UMNO Love Apco & Israel yang menyifatkan UMNO sebagai pihak yang bertanggungjawab memberi ruang kepada Apco untuk masuk ke Malaysia.

Dakwaan in dilontarkan ekoran tindakan kerajaan menggunakan khidmat perunding komunikasi global Apco dalam menyalurkan maklumat mengenai segala misi dan visinya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika dihubungi baru-baru ini berkata, pembangkang akan terus mengaitkan pelbagai tindakan kerajaan dengan Israel seperti mana yang dilakukan dalam isu Apco.

''Sebelum ini terdapat tuduhan ada perisik Israel di Bukit Aman. Itu tidak benar," katanya lagi.

Apco yang membuka pejabatnya di Malaysia pada tahun lalu mempunyai pengalaman 25 tahun dalam memberikan khidmat komunikasi strategik kepada 29 buah negara dan organisasi seperti Bank Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah (EU) dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Apco mempunyai seramai 50 anggota Majlis Penasihat Antarabagsa (IAC) dari pelbagai latar belakang dan pengalaman termasuklah bekas duta, pemimpin negara dan penasihat pelbagai badan dan organisasi dunia.

Daripada 50 anggota berkenaan, tiga penasihat mempunyai pengalaman bekerja dengan Israel iaitu Doron Bergerbest-Eilon yang pernah menjadi pegawai kanan di Agensi Keselamatan Israel, Itamar Rabinovich yang pernah berkhidmat sebagai duta Israel ke AS dan menjadi presiden Tel Aviv University dan Shimon Stein iaitu bekas Duta Israel ke Jerman.

Tiga penasihat ini menjadi sasaran pembangkang untuk mengaitkan Apco dengan Israel. Bagaimanapun, majoriti daripada mereka iaitu lebih 40 penasihat Apco yang lain mempunyai latar belakang yang pelbagai.

Antara penasihat Apco yang lain ialah bekas Menteri Rusia, Igor V.Kostikov; bekas presiden Poland, Aleksander Kwasniewski; bekas Duta India ke AS, Lalit Mansingh dan bekas Duta Mexico ke United Kingdom (UK), Andres Rozental.

Penasihat lain ialah bekas Pengerusi China Ocean Shipping Company America, Gao Weijie; bekas Duta Mexico ke United Kingdom, Andres Rozental dan bekas Duta Sri Lanka ke AS, Devinda R.Subasinghe.

Turut menjadi penasihat Apco ialah pensyarah felo di London School of Economics and Political Science, Maurice Fraser; bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Kellogg, Carlos Gutierrez dan bekas pengerusi majlis Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Sergio Marchi.

Apco juga pernah menafikan kaitannya dengan Israel dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman web www.apcoworldwide.com bertarikh 18 Mac 2010.

Apco menjelaskan bahawa syarikat berkenaan tidak pernah mewakili kerajaan Israel mahupun Perdana Menteri, Ehud Barak.

''Apco tidak pernah terlibat dalam kempen perhubungan awam berkaitan konsep One Israel dan segala kenyataan yang dikeluarkan di Parlimen Malaysia mengenai penglibatan Apco dalam kempen tersebut adalah palsu," tambah kenyataan berkenaan.

Jelas kenyataan tersebut, dalam tahun 2009 Apco diminta untuk membantu kerajaan Malaysia selain berkongsi pengalaman mengenai pembangunan komunikasi strategik di Eropah, Amerika Utara dan Afrika.

''Tugas-tugas yang dilaksanakan Apco termasuklah memberikan khidmat sokongan komunikasi dalam pelbagai inisiatif yang diambil oleh kerajaan Malaysia termasuklah mewujudkan pekerjaan, mempromosikan pendidikan dan memantapkan penyampaian pelbagai bentuk khidmat kepada rakyat.

''Apco rasa bangga dengan peluang yang diberikan oleh kerajaan Malaysia dalam membantu melaksanakan tugas penting ini," tambahnya.

Kata kenyataan yang sama, 1Malaysia dilahirkan oleh Perdana Menteri sebelum menggunakan khidmat Apco.

''Apco tidak memainkan sebarang peranan dalam mewujudkan konsep 1Malaysia, konsep berkenaan digubal dan diumumkan sebelum khidmat Apco diambil," jelasnya.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari laman web Apco, khidmat syarikat berkenaan di Tel Aviv, Israel ialah membantu syarikat-syarikat Israel dalam menstrukturkan pelaburan, menjalankan tanggungjawab korporat dan pemantauan media melalui penyelidikan serta khidmat analisis.

Tidak ada maklumat yang menyatakan mengenai One Israel.

''Apco menjalankan peranan mewujudkan jaringan di antara masyarakat Yahudi di seluruh dunia. Kami menawarkan khidmat memberikan kefahaman mengenai perhubungan awam masyarakat Yahudi, membantu pelanggan berhubung dengan rakan yang sesuai dan menyatakan mesej mereka secara kreatif dan efisien," jelas kenyataan tersebut.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan berkata, beliau tidak hairan dengan langkah pembangkang yang terus memainkan isu Apco dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang bakal diadakan.

"Apco adalah sebuah syarikat bertaraf antarabangsa yang dilantik oleh kerajaan bagi membolehkan Malaysia lebih dikenali dunia. Syarikat itu bukan syarikat zionis atau Israel. Untuk melakukan tugas memperkenalkan Malaysia, ia bukanlah satu tugas yang mudah, oleh itu kita memerlukan syarikat yang profesional melakukannya.

"Kita hendak memberikan gambaran yang betul kepada dunia, apa itu Malaysia sebenarnya. Pembangkang sengaja memutar-belitkan fakta jadi mereka sebarkan dakyah kononnya 1Malaysia sama dengan One Israel dengan mengaitkan Apco," katanya.

Sebagai sebuah organisasi berteraskan komunikasi dan perhubungan awam Apco semestinya mengutamakan profesional tanpa dipengaruhi sebarang ideologi.

Tidak dinafikan terdapat penasihat yang mempunyai kaitan dengan Israel dalam Apco. Bagaimanapun, ia tidak bermaksud Apco merupakan satu organisasi yang berorientasikan Israel.

Sebahagian besar daripada penasihat Apco ialah profesional AS yang berjaya dalam pelbagai pengkhususan. Namun masih belum pasti sama ada mereka penyokong kuat rejim Zionis atau sebaliknya.

Ini kerana di kalangan masyarakat AS sendiri ada yang menyokong kebebasan warga Palestin melalui gerakan Americans United for Palestinian Human Rights.

Justeru, tindakan melabelkan Apco sebagai syarikat berkaitan Israel hanya kerana tiga penasihatnya berkenaan tidak lebih dari bertujuan menghasut rakyat.


Pakat Keluar Ramai-ramai...

Salam.. Salam Sejahtera..

Mari kita kongsikan bersama info yang menarik daripada beberapa blog..

Sumber : http://aspirasi-bangsa.blogspot.com

1. Bekas Timbalan Presiden, Dr. Chandra Muzaffar,

2. Bekas Ketua Angkatan Muda, Ezam Mohd. Noor,

3. Ketua Penerangan, Ruslan Kassim

4. Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Zainur Zakaria

5. Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Datuk S. Nallakarupan.

6. Pimpinan awal ketika PKR mula ditubuhkan seperti bekas Naib Presiden, Marina Yusuff

7. Pimpinan awal ketika PKR mula ditubuhkan Bekas Setiausaha Agung, Mohd. Annuar Tahir

8. Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari

9. Bekas Setiausaha Angkatan Muda Keadilan iaitu Lokman Noor Adam

10. Bekas Naib Ketua Pemuda Keadilan, Muhammad Zahid Md. Arip

11. Bekas Timbalan Pengarah Pilihan Raya Keadilan, Hamdan Taha.

12. Bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Salehuddin Hashim

13. Setiausaha Pergerakan Pemuda PKR Sabah, Faizal Julaili

14. Setiausaha PKR bahagian Papar, Awang Mumin Awang Marali

15. Bekas Bendahari Agung, Abdul Rahman Osman

16. Bekas naib presiden PKR, Saidatul Badru Tun Said Keruak

17. Naib Presiden, Jeffrey Kitingan,

18. Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Christina Liew

19. Ketua Angkatan Muda (AMK) Kuala Selangor , Nazaruddin Darmawan

20. Ketua Wanita Kuala Selangor, Fauziah Sulaiman

21. Bekas calon PKR teluk kemang/ antara pengasas PKR Abdul Manap Shahardin

22. Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Selangor Datuk Dr Halili Rahmat
23. Ketua PKR Tanjung Malim / Ketua Penerangan PKR Perak Soraya Sulaiman
24. Timbalan Ketua PKR Bagan Serai Roshanita Mohd Basir



Kerusi Parlimen

1. Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed

2. Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng

3. Ahli Parlimen Bagan Serai Mohsin Shamsuri

4. Ahli Parlimen Kulim Baru Zulkifli Nordin


Kerusi DUN

1. Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi

2. Adun Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu

3. Adun Ngemah, Gabriel Adit Demong

4. Adun Lunas, Md Radzi Salleh

5. Adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah

6. ADUN Bukit Selambau, V. Arumugam

Selasa, April 20, 2010

JOHOR BAKAL MUFLIS 2012?

Salam.. Salam Sejahtera..


JOHOR BAKAL MUFLIS 2010? Tuduhan daripada mereka yang muflis idea..
KLIK SINI

Sebagai rakyat, kita perlu mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak.

Kebenaran yang pahit..

Salam.. Salam Sejahtera..

Untuk mengelak daripada 'tersesat' maka saya akan cuba untuk tidak menulis mengenai agama. Orang jahil seperti saya tidak boleh bertanya atau pun mempersoal mengenai agama apatah lagi mengeluarkan pendapat yang bercanggah sedikit walaupun hanya sekadar persoalan kerana akan menjatuhkan martabat golongan-golongan tertentu.

Akhirnya kini saya dapat kepastian mengenai kata-kata guru saya yang pernah bersekolah pondok di Perlis dan kini menetap di Batu Pahat. Saya dan rakan-rakan memanggil beliau dengan panggilan profesor - bebas. Beliau mengatakan bahawa kebenaran itu sesuatu yang sukar untuk di terima oleh mereka yang sudah terbiasa dengan perkara tersebut. Apakah yang cuba beliau maksudkan?

Apabila di minta untuk memberikan pendapat sama ada dalam bidang ilmu mempertahankan diri, agama, jabatan-jabatan kerajaan, hatta pemimpin-pemimpin di peringkat bawahan mahupun negara, kita perlu mengatakan kebenaran tanpa perlu menjaga hati orang yang mendengar pendapat kita. Itulah yang cuba disampaikan. Pemimpin negara, sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

Barulah saya sedar apa yang cuba disampaikan oleh profesor itu, "kalau kita tahu sesuatu perkara kita kena beritahu supaya mereka yang tidak tahu akan menjadi tahu.. tapi kita kena ada kekuatan untuk mempertahankan hujah kerana mereka ini sudah sebati mengatakan bahawa Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam.. mereka kena sedar bahawa Islam itu adalah agama dan Melayu itu adalah bangsa..".

Disebabkan kelantangan profesor itu suatu ketika, beliau telah di 'gam' daripada stesyen televisyen. Adakah Dr. Mohd Asri Zainul Abidin -mantan Mufti Perlis- juga akan menerima nasib yang sama? Kita tunggu dan lihat.

Ahad, April 18, 2010

"Henti Cemar Keharmonian Kampus"

Salam.. Salam Sejahtera..

Ini artikel daripada ASPIRASI CORNER USM

Teguran berupa ingatan ini ditujukan khas kepada kumpulan pelajar tertentu; Jangan cemari keharmonian kampus kita ini dengan anasir politik luar yang bertentangan dengan Perlembagaan Universiti dan AUKU!

AC mengambil berat perkembangan mutakhir ini apabila semakin banyak edaran fylers haram di dalam kampus yang menyentuh pelbagai isu termasuk yang melibatkan kes liwat seorang pemimpin pembangkang. Rungutan dan keluhan para pelajar juga semakin banyak berhubung perkembangan ini.

Terbaru-baru dan lebih berat, AC telah menerima kiriman MMS daripada seorang sahabat yang memberikan maklumat tentang kewujudan poster ceramah sebuah badan politik pro-pembangkang yang diadakan di luar kawasan kampus pada 10hb April yang lalu. Poster tersebut telah ditampal di tiang nombor 3 Foyer Perpustakaan Hamzah Sendut 1, betul-betul di hadapan pintu utama.

Tidak lama dahulu, AC juga menerima maklumat berkenaan edaran flyers haram yang menggesa para pelajar berhimpun di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyokong seorang bekas pelajar USM yang mencabar kesahihan AUKU dalam Perlembagaan Malaysia.

AC percaya kegiatan sebegini didokong oleh kumpulan pelajar tertentu yang mempunyai hubungan rapat dengan badan-badan politik di luar kampus. Modus operandi mereka juga agak licik dan mensasarkan golongan pelajar tertentu saja sebelum beredar.

Mereka mungkin berasa selesa kerana tiada sebarang tindakan tegas diambil sehingga kini. Namun sebagai mewakili hak dan keselesaan para pelajar USM yang lain, AC berharap kegiatan sebegini tidak diteruskan lagi atau berhadapan dengan lebih banyak kesulitan pada masa akan datang. Tak salah hendak memperjuangkan isu tertentu tapi biarlah berlandaskan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

Poster yang dimaksudkan.

Tumpuan dialihkan seketika.. Takziah kepada keluarga Achik Spin..

Salam.. Salam Sejahtera..

Seorang yang gemar menulis pasti akan berasa tidak senang duduk jika sekiranya tidak menulis mengenai sesuatu isu. Bukanlah mencari publisiti murahan supaya laman blog ini mendapat kunjungan yang tinggi, tetapi dengan niat supaya apa yang difikirkan oleh diri ini akan turut sama diketahui oleh orang lain. Apa guna bercakap di warung kopi, mengumpat di masjid dan surau tetapi tidak diketahui oleh orang lain. Berikan peluang kepada orang lain untuk berhujah sama.

Atas prinsip demokrasi yang dilaung-laungkan di dalam negara ini saya menggunakan medium media baru ini sebagai salah satu ruang untuk meluahkan apa yang dirasakan perlu untuk diluahkan asalkan perkara yang diluahkan itu bukanlah satu hasutan. Setiap pendapat dan ulasan saya tidak mewakili mana-mana institusi apatah lagi menjadikan blog ini sebagai sumber pendapatan.

Kini terdapat pelbagai isu yang menarik untuk diperbincangkan antaranya ialah pilihanraya kecil Hulu Selangor yang menarik untuk dibincangkan kerana pelbagai pendedahan pasti akan berlaku. Akan tetapi atas faktor kekangan masa dan keadaan kesihatan yang kurang memuaskan sejak beberapa hari ini, saya ingin memaklumkan bahawa saya selaku empunya blog ini akan berehat buat seketika daripada menulis dan memberi komen kepada komen-komen yang diberikan.

Selamat menduduki peperiksaan kepada rakan-rakan seperjuangan semua..

Salam takziah kepada keluarga Allahyarham Achik Spin yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya petang tadi (17 April 2010).. Semoga Allah S.W.T mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatehah...

Sekian..

Salam.. Salam Sejahtera..

Sabtu, April 17, 2010

Adakah sejarah tanah air bakal di ubah?

Salam.. Salam Sejahtera..

Sejarah tanah air bakal di ubah???


MELAKA : Sepasukan penyelidik yang dilantik kerajaan Melaka mendapati kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada 1278 dan bukannya pada 1400 sebagaimana diketahui umum selama ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata 1278 itu dipilih berdasarkan kepada Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu, salah seorang kerabat diraja Johor ketika itu yang ditugaskan menyalin naskhah itu, yang menjadi asas rujukan dan sumber oleh kumpulan penyelidik berkenaan.

"Jawatnkuasa Penyelidik bersetuju Melaka bermula sebagai satu entiti politik yang dikenali sebagai Kesultanan Melayu Melaka di Alam Melayu pada 1278", katanya.

Bercakap kepada pemberita di sini, Mohd Ali berkata hasil penyelidikan itu dibentangkan kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob di pejabatnya di Ayer Keroh di sini, semalam.

Jawatankuasa penyelidik dengan 15 anggota itu dipengerusikan Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka, Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff Hashim manakala ketua penyelidik Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya.

Jawatankuasa itu diberi tugas membuat kajian dan penyelidikan bagi mengenalpasti tahun penubuhan kerajaan Melayu Melaka sebagai satu entiti politik di alam Melayu dan memulakan penyelidikan pada Jun tahun lalu.

Mohd Ali berkata kumpulan penyelidik berkenaan menolak 1400 sebagai tahun kerajaan Melayu Melaka diasaskan kerana ia hanya berdasarkan kepada kesepakatan sarjana barat, bukan berdasarkan kepada fakta sejarah.
"Suma Oriental (dunia Timur) yang ditulis oleh Tome Pires pada 1512-1515 hanya berdasarkan pengumpulan maklumat menggunakan kaedah dengar cakap, bukan dokumen bertulis, dan menyatakan bahawa Melaka bermula sebagai satu entiti politik pada 1400," katanya.

Diketahui umum, Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh Parameswara antara 1400 dan 1403.

Berikutan penemuan baru itu, Mohd Ali berkata satu seminar akan diadakan pada tahun ini bagi membincangkan lebih lanjut perkara berkenaan.

Sementara itu, Dr Abdullah Zakaria berkata mereka menjalankan penyelidikan dan kerja lapangan di negara ini dan Indonesia.

Beliau berkata tahun penubuhan kerajaan Melayu Melaka adalah berasaskan tempoh pemerintahan Raja-raja Melaka seperti yang dikisahkan dalam Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu.

Katanya mereka juga mempunyai bukti lain yang dapat mengesahkan kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada 1278. - Bernama

***********************************************

Sebelum ini pun banyak pihak menimbulkan tanda tanya kerana kita hanya menumpukan perhatian kepada Melaka sahaja, sedangkan Kedah dikatakan sebuah kerajaan yang lebih tua dan wujud dahulu berbanding Melaka.

Menanti penyelesaian oleh mereka yang berkenaan..

Rabu, April 14, 2010

PKR = Zaid Ibrahim - BN = ???

Salam.. Salam Sejahtera..

Kita kembali kepada cerita politik seketika.

Sebentar tadi Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menamakan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon PKR bagi bertanding di kerusi Parlimen Hulu Selangor dalam pilihan raya kecil yang bakal diadakan pada 25 April 2010, hari Ahad. Tarikh penamaan calon pula ialah pada hari Sabtu 17 April 2010.

Datuk Zaid Ibrahim sebelum ini pernah bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu atas tiket Barisan Nasional pada tahun 2004. Pada tahun 2008 beliau tidak bertanding semula dan telah di lantik sebagai Senator dan Menteri ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

Persoalannya sekarang ini ialah siapakah lawan kepada Datuk Zaid Ibrahim? Siapakah calon yang bakal diturunkan oleh Barisan Nasional? Adakah Barisan Nasional akan menurunkan bekas calon yang tewas kepada Allahyarham Datuk Zainal Abidin Ahmad iaitu Datuk G. Palanivel yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC? Atau adakah calon lain yang merupakan anak tempatan bakal diturunkan oleh Barisan Nasional? Persoalan demi persoalan kedengaran ketika PKR dengan 'selamba' sudah mengumumkan calon mereka.

Datuk G. Palanivel tewas kepada Allahyarham Datuk Zainal Abidin Ahmad dengan majoriti kecil iaitu hanya 198 undi. Walaupun majoriti itu kecil tetapi mempunyai maksud tersirat yang perlu di lihat oleh pemimpin-pemimpin dan mereka yang berkenaan. Mengapa ini berlaku?

Timbul persoalan di benak fikiran saya ialah mengapa majoriti -kekalahan- yang diterima oleh Barisan Nasional melalui calonnnya Datuk G. Palanivel hanya 198 undi sahaja? Sedangkan pada tahun 2004 undi majoriti yang diperolehi ialah sebanyak 14,483 undi. Datuk G. Palanivel bukan baru bertanding pada tahun 2004 yang ketika itu mungkin kemenangan besar Barisan Nasional disebabkan oleh 'kebersihan' watak Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Datuk G. Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC sudah bertanding di kerusi Parlimen yang sama beberapa penggal. Mengapa pada tahun 2008 beliau di tolak dengan majoriti 198 undi? Timbul persoalan di sini.

Terdapat beberapa sumber yang mengatakan bahawa Datuk G. Palanivel akan dicalonkan sekali lagi di Parlimen Hulu Selangor. Jika benar itu berlaku maka Barisan Nasional perlu bersedia jiwa dan raga untuk menerima kekalahan. Mesej sudah jelas dipaparkan oleh pengundi Hulu Selangor yang menolak Datuk G. Palanivel pada tahun 2008. Persoalannya yang perlu di jawab ialah adakah perlu untuk Barisan Nasional meletakkan calon pilihan pengundi Parlimen Hulu Selangor atau meletakkan calon pilihan pemimpin parti? -Pilihan Presiden MIC-

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional mungkin di lihat mempunyai kuasa penuh untuk memilih calon, tetapi harus disedari bahawa kerusi Parlimen Hulu Selangor adalah kuota untuk MIC. Maka sudah tentulah Datuk Seri S. Samy Vellu akan meletakkan calon pilihannya sendiri. Nampaknya UMNO tidak menindas MIC dengan bertanding di kerusi tersebut. Tidak rasis nampaknya seperti mana yang diperkatakan oleh pihak-pihak tertentu.

Sebagai pemerhati yang jauh daripada Parlimen Hulu Selangor saya melihat PKR memiliki kelebihan kerana menampilkan calon yang sudah dikenali oleh pengundi. Secara realitinya PKR tidak perlu bersusah payah memperkenalkan calon kerana walaupun Datuk Zaid Ibrahim adalah orang Kelantan tetapi beliau sudah 'ada nama' di peringkat persekutuan suatu ketika sebagai menteri.

Kini hanya menunggu siapakah yang bakal diturunkan oleh Barisan Nasional untuk menentang Datuk Zaid Ibrahim yang berhasrat mengekalkan kedudukan atau kerusi PKR di dalam Dewan Rakyat yang sedikit demi sedikit berkurangan akibat aktiviti melompat keluar oleh mereka yang mempunyai alasan tersendiri.

*Tidak setuju jika Datuk G. Palanivel menjadi calon Barisan Nasional kerana beliau telah di tolak semasa pilihanraya umum yang lalu.

**Penuhi hasrat akar umbi atau penuhi hasrat pemimpin parti..

"RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN"
PENUHI PERMINTAAN AKAR UMBI

Isnin, April 12, 2010

Pelajar sekolah & rokok - Tak Nak Serius pun...

Salam.. Salam Sejahtera..

Baru-baru ini di media melalui ruangan berita memaparkan berita mengenai gejala merokok dalam kalangan pelajar sekolah. Perkara yang menarik ialah mereka yang bergelar pelajar sekolah itu merokok dengan keadaan lengkap berpakaian sekolah.

(gambar hiasan)

Ruangan berita itu memaparkan situasi yang berlaku di Kuching, Sarawak. Pada saya situasi pelajar sekolah merokok itu sebenarnya berlaku di mana-mana dan tidak hanya tertumpu di Kuching, Sarawak sahaja.

Mengapa pelajar sekolah merokok? Semasa saya menjadi penolong ketua pengawas pada tahun 2005 dan ketua pengawas tahun 2007, perkara ini sudah tidak asing bagi saya sendiri. Tempat-tempat seperti dalam tandas, blok-blok yang sunyi, dalam dan luar dewan yang tidak berpenunggu, dan tempat-tempat yang tertentu menjadi tempat utama untuk pelajar-pelajar menghisap rokok. Bukan sahaja pelajar yang merokok di situ, malahan ada juga cikgu yang merokok tetapi secara senyap-senyap tanpa pengetahuan pihak 'berkuasa'.

Sesuatu yang kerap diperkatakan oleh rakan-rakan saya yang menghisap rokok semasa zaman persekolahan ialah mereka ingin mendapatkan ilham. Sungguh banyak ilham mereka ketika menghembuskan asap ke muka rakan-rakan yang tidak merokok. Selain itu mereka turut mengatakan bahawa ingin menjaga badan, maksudnya di sini mereka ingin kekal 'langsing'. Faktor tekanan juga penyebab mereka menghisap merokok. Ada alasan yang diberikan oleh rakan saya ialah dia tertekan kerana tidak mempunyai duit yang cukup, tapi saya pelik kerana dia ada bajet untuk membeli rokok. Tak apalah, jangan nafikan hak mereka.

Untuk menghalang pelajar-pelajar sekolah daripada merokok, kerajaan telah menguatkuasakan undang-undang melarang penjualan rokok bawah 20 sebatang sekotak. Maknanya di pasaran kini hanya ada rokok yang di jual sekotak 20 batang dengan harga yang telah ditetapkan. (saya tidak merokok, jadi tidak tahu berapa harga sekotak rokok).

Adakah tindakan kerajaan itu berhasil? Pada saya tidak. Undang-undang sedia ada iaitu melarang penjualan terhadap mereka yang berumur 18 tahun ke bawah juga telah diingkari maka mengapa tidak peraturan baru itu?

Di tempat saya sendiri (saya tidak mahu nyatakan di Yong Peng sebenarnya) ada kedai runcit yang menjual rokok tidak disertakan dengan kotaknya sekali, maksud saya peniaga kedai runcit itu menjual rokok sebatang-sebatang kepada pelajar sekolah. Saya pun tak tahu berapa harga sebatang rokok.

Sikap peniaga seperti ini secara jelas melanggar undang-undang. Saya sendiri pernah membangkitkan perkara ini kepada pihak yang berkaitan dan peniaga tersebut telah di beri amaran oleh pihak berkuasa. Namun begitu, baru-baru ini saya mendapat berita bahawa peniaga kedai runcit itu masih lagi menjual rokok sebatang-sebatang kepada pelajar sekolah. Nampaknya keuntungan lebih penting kepada peniaga tersebut daripada masa depan pelajar-pelajar sekolah.

Kempen yang buat oleh pihak kerajaan pada saya tidak membuahkan hasil. Gambar-gambar ngeri yang dipaparkan seiring dengan kenaikkan kos harga rokok tidak mendatangkan impak yang besar kepada perokok. Sesuatu yang sia-sia untuk membelanjakan wang rakyat untuk kempen terhadap mereka yang merokok. Namun begitu langkah kerajaan itu perlu diteruskan kerana mungkin kempen itu tidak memberikan impak yang besar, sekurang-kurangnya ia perlu diadakan demi tanggungjawab bersama.

Kempen Tak Nak merokok pada saya perlu disusuli dengan menutup semua kilang rokok di negara ini. Saya teringat gurauan rakan saya mengenai iklan Tak nak, "memang saya TAK NAK rokok bengkok, saya nak rokok lurus..." Apa guna kempen yang memakan kos besar tetapi pada masa yang sama masih mengekalkan kilang rokok yang setiap hari mengeluarkan rokok untuk diedarkan ke seluruh negara. Namun kesan negatif penutupan kilang rokok adalah pemberhentian tenaga kerja kilang tersebut. Ada kesan positif dan negatif nampaknya di sini.

Untuk melakukan sesuatu tindakan, semua pihak perlu serius dan tidak hanya bertindak mengikut musim-musim tertentu.

Rabu, April 07, 2010

Saman.. Saman.. Saman.. dan teruskan menyaman..

Salam.. Salam Sejahtera..

Saman, saman, saman... Siapa saman? Entahlah...

Kalau salah letak kenderaan mesti kena saman. Tak berhenti apabila lampu trafik menyala merah polis akan kejar dan keluarkan saman. Tak patuh had laju pun kena saman. Tapi pihak berkuasa tempatan (PBT) tak keluarkan saman bila kita salah letak kenderaan, mereka cuma keluarkan kompaun je yang lebih kurang sama seperti saman.

Samam.. Saman.. Saman.. dan Saman...

Untung mereka yang bernama Saman..

Salah cakap mesti kena saman. Salah tulis laporan dalam akhbar pun boleh kena saman. Elok juga pihak akhbar kena saman sebab ini akan mengajar pihak akhbar daripada melaporkan berita-berita yang tidak tepat.

Negara kita Malaysia kini kerap bermain 'drama' saman menyaman. Saman yang berjuta-juta ringgit. Main juta je nampaknya... Yang untung siapa? Kalau menang saman mesti untung, kalau kalah saman silap-silap kena saman balas.

Sampaikan ada orang yang menyaman orang lain hingga mampu menjadikannya bilionair. Sungguh kaya jika sekiranya ia berjaya dalam kesemua samannya itu.

Saman dan saman dan teruskan menyaman.

Jangan nafikan hak mereka untuk terlibat dalam drama saman menyaman. Tetapi adakah mereka juga telah menafikan hak pihak-pihak yang di saman untuk bersuara? Aaahh kebebasan untuk menyaman rasanya.

Saman oh saman..

Samanlah sesiapa jua yang bernama musuh, sama ada musuh politik, musuh dalam selimut atau musuh yang hipokrit. Samanlah sehingga mereka muflis dan tidak berdaya bersuara lagi. Hapuskanlah hak mereka untuk bersuara. Mungkin itu impian mereka.

Mungkin selepas itu tiada lagi yang berani bersuara kerana tiada wang untuk membayar saman.

Isnin, April 05, 2010

Wacana : Terima kasih semua..

Salam.. Salam Sejahtera..


Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang memberikan sokongan dan dorongan di dalam merealisasikan penganjuran forum / Wacana : Generasi Muda dan Demokrasi di Malaysia.

Penganjuran forum atau wacana oleh Kelab Sains Politik Universiti Sains Malaysia itu bolehlah di anggap sebagai salah satu pengisian di dalam penjenamaan semula Kelab Sains Politik.

Tahniah kepada Yang Di-Pertua (YDP) Kelab Sains Politik, saudara Mohd Fahmi Ibrahim, Naib YDP saudari Ainatul Fathiyah dan timbalan pengarah projek yang juga selaku moderator forum, saudara Mohd. Izzuddin Ramli kerana berjaya merealisasikan projek tersebut.

Terima kasih juga kepada semua ahli jawatankuasa yang memainkan peranan penting walaupun masing-masing mempunyai komitmen peribadi.

Tidak dilupakan juga kepada semua yang hadir pada malam tersebut, terima kasih diucapkan. Kehadiran anda semua amat dihargai.

Kepada barisan pelapis Kelab Sains Politik, segala kritikan yang dilontarkan pada malam tersebut perlu di lihat dari sudut positif. Ini baru permulaan kepada langkah untuk perjalanan yang masih jauh.

"Paradigma Mahasiswa Berintelek"