Followers

Rabu, Februari 16, 2011

IKMAR - Karnival Sukan Anak Johor IPTA - UKM

Pada 28, 29, dan 30 Januari 2011 yang lalu, Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai Karnival Sukan Anak Johor (KSAJ) IPTA di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. Seramai 38 orang daripada IKMAR telah turut serta dalam program tersebut.

Sebanyak sembilan Persatuan Anak Negeri Johor di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah menyertai KSAJ ini, antaranya ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Terdapat dua pasukan jemputan iaitu sebuah kolej swasta dan Persatuan Belia 4B Negeri Johor.

Sebanyak lima acara telah dipertandingkan di KSAJ, antaranya ialah futsal, badminton, bola tampar, sepak takraw, dan bola jaring. IKMAR telah menghantar peserta untuk acara bola tampar lelaki, futsal lelaki, badminton campuran, dan bola jaring perempuan.

Acara perasmian KSAJ diadakan pada sebelah pagi 28 Januari 2011 dan dirasmikan oleh Yang Berbahagia Prof. Dato’ Ir. Dr. Hassan Basri, Timbalan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga selaku wakil rasmi Yang Berhormat Dato’ Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Pada sebelah malamnya pula telah diadakan Majlis Makan Malam bersama Yang Berbahagia Ustaz Syahrin Md.. Jamaluddin, Pengerusi Belia 4B Negeri Johor dan juga merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Pelajaran Malaysia, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Muhyiddin bin Mohd. Yassin.

Acara sukan yang dipertandingkan bermula pada sebelah pagi hari Sabtu. Sukan-sukan yang dipertandingkan seperti futsal, sepak takraw, bola jarring, dan bola tampar diadakan serentak di Kompleks Sukan UKM, manakala acara badminton pula diadakan berasingan iaitu di Kolej Keris Mas UKM.

Pasukan Universiti Sains Malaysia (USM) memberikan saingan yang hebat dalam perlawanan futsal dan memenangi beberapa perlawanan. Namun begitu nasib tidak menyebelahi pasukan USM apabila gagal membawa pulang sebarang pingat dalam acara tersebut.

Kemarau pingat dan kemenangan turut melanda pasukan bola jaring apabila pasukan bola jaring perempuan USM tewas kepada pasukan yang lebih berpengalaman iaitu Belia 4B. Namun begitu saingan yang hebat telah diberikan oleh mereka terhadap pihak lawan.

Pasukan bola tampar turut menerima nasib yang sama, namun begitu jurang mata kekalahan adalah amat sedikit berbanding pasukan yang menang. Pasukan bola tampar ini dinobatkan sebagai pasukan bola tampar paling ceria semasa perlawanan dan selepas menerima kekalahan. Pasukan Belia 4B Negeri Johor telah memenangi perlawanan tersebut.

USM berjaya diatasi selepas pasukan badminton berjaya memenangi tempat ketiga selepas mengalahkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan 3 – 0. Pasukan yang diketuai oleh Mohd. Saifullah bin Musa telah berjaya menyumbang pingat kepada pasukan USM. Dalam karnival tersebut, pasukan Belia 4B Negeri Johor telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas berjaya memenangi kesemua acara yang dipertandingkan.

Karnival Sukan Anak Johor IPTA ini dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Anak Johor (PERMAJ), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Karnival sukan yang diadakan buat julung kalinya ini akan diadakan secara bergilir-gilir di IPTA yang mempunyai Persatuan Anak Negeri Johor berdaftar. Majlis penutupan rasmi telah dilaksanakan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Ab. Rahim bin Md Noor, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan