Followers

Khamis, Februari 17, 2011

PRKampus USM - Calon Popular?

Salam..

Salam Sejahtera..

Salam Kebebasan Mahasiswa Sejagat..

Hari ini 17 Februari 2011 (Khamis) adalah hari penamaan calon bagi pilihan raya kampus di Universiti Sains Malaysia (USM). Beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang lain turut berbuat perkara yang sama.



Pilihan raya kampus (PRK) kali ini rasanya kurang hangat dengan isu-isu yang baru kerana bolehlah dikatakan berdasarkan kepada isu-isu yang sudah sekian lama diperkatakan seperti isu KEBAJIKAN.

PRK kali ini adalah PRK kali ke-3 saya berada di USM. Hal ini juga bermaksud sudah 3 kali saya mendengar dan membaca risalah yang menjanjikan mengenai KEBAJIKAN mahasiswa/i USM. Pokok pangkalnya isu KEBAJIKAN adalah isu yang paling utama dalam setiap kali PRK.

Pada mulanya saya tidak berminat dengan PRK kali ini tetapi sedikit demi sedikit minat dan rasa ingin terlibat telah menerjah ke dalam diri. Mengapa? Hal ini adalah kerana disebabkan oleh permainan politik pihak-pihak yang berkenaan seperti 'berlakon' atau lebih kepada bermain dengan propaganda 'murahan'. Berlakon bagi 'menyelamatkan' calon-calon tertentu dan menggunakan media alternatif di alam maya untuk membaling batu tapi sembunyi tangan.

Selain itu saya 'terpaksa' mengambil tahu mengenai PRK kali ini kerana ramai calon yang bertanding adalah kenalan saya sendiri. Terasa rugi kalau menjadi katak di bawah tempurung yang tidak mahu mengambil tahu berkenaan dengan politik kampus. Hendak terlibat dengan politik kepartian di luar sudah tentu akan banyak halangan.

Pusat Pengajian saya di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) mempunyai 2 kerusi yang dipertandingkan. Terdapat beberapa calon yang akan bertanding bagi merebut 2 kerusi di PPSK. Di antara calon yang saya kenal dan tahu gerak kerja dan hasil kerja mereka ialah,

Seorang jejaka yang muncul dengan membawa kebangkitan kepada Persatuan Anak Negeri Pulau Pinang iaitu Muhammad Khazafi Md Napiah. Rasanya tidak perlu saya perkenalkan beliau di sini kerana beliau sememangnya terkenal di PPSK. Lebih mesra dengan panggilan Mat. Bab-bab kebajikan memang peranan beliau.


Seorang lagi jejaka daripada Parit Sulong, Johor iaitu saudara Ng Ming Yip telah menjadi calon bagi merebut kerusi di PPSK. Kepada Yip, saya sebagai abang memohon maaf secara terbuka kerana terpaksa menolak permintaan anda. Maklum sajalah yang bertanding di PPSK itu adalah kawan-kawan saya juga. Oleh sebab itu saya menolak permintaan beliau.

Dengar khabar ada seorang lagi calon di PPSK. Saya tidak mengenali calon ini. Oleh sebab itu saya tidak tahu apa-apa mengenai calon ini. Yang pasti namanya di dalam facebook ialah Yulfa Sudirman.




Itu serba sedikit mengenai calon-calon yang bakal merebut 2 kerusi di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan. Selain kerusi di Pusat Pengajian, terdapat juga 6 kerusi di konstituensi UMUM. Di antara calon yang bertanding di konstituensi UMUM yang saya kenal ialah,


Saudari Ismaliya Hasimi yang saya kenali beliau semasa bersama-sama di dalam Kelab Sains Politik. Seorang yang ceria dan mudah tersenyum. Anak kelahiran negeri Bumi Kenyalang (Sarawak). Kini beliau juga merupakan Setiausaha Kelab Sains Politik yang penuh berdedikasi.


Calon kedua yang bertanding di konstituensi UMUM ialah saudara Muhammad Idzuan Jamalludin. Beliau merupakan salah seorang rakan seperjuangan saya di dalam Dewan Perundingan Pelajar (DPP) atau Parlimen Mahasiswa. Beliau juga merupakan Yang Di-Pertua Majlis Penghuni Desasiswa Fajar Harapan. Yang paling utama ialah beliau anak kelahiran negeri Johor Darul Ta'zim. Pengaruh beliau cukup besar dan beliau amat dikenali di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK). Maklum sajalah kami bersama-sama di dalam kelas Sejarah. Beliau juga sangat aktif bersukan dan sangat merendah diri sehingga tidak menunjukkan diri beliau sebagai seorang pemimpin di MPD. Kemungkinan juga beliau akan menjadi YDP MPP. Segalanya mungkin.


Calon yang ketiga ialah saudara Hafiz Kassim. Beliau seorang yang sangat ceria dan agak 'main-main'. Saya mengenali beliau semasa berada di Bengkel Penggubalan Parlimen Mahasiswa bulan Mac tahun 2010 yang lalu. Saya mengingati beliau kerana apabila beliau bercakap 'didepan' mikrofon maka suara beliau akan bertukar menjadi 'formal', seperti mana pengacara di siaran langsung RTM. Apa-apa pun itu adalah cara beliau. Beliau juga merupakan salah seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sidang lepas. Adakah beliau akan menjadi YDP MPP sidang akan datang? Segalanya mungkin.

Calon yang keempat ialah saudara Tan Boon Chuan. Secara jujurnya saya tidak mengenali beliau, cuma apabila terserempak atau perlu berurusan dengan MPP di dalam sesuatu program beliau akan membantu dan lazimnya beliau yang akan melontarkan senyuman terlebih dahulu. Kami tinggal di desasiswa yang sama.


Calon yang kelima ialah Menegaa A/P Paraman. Beberapa komen daripada rakan-rakan yang sama ideologi dengan beliau mengatakan beliau seorang yang berdedikasi dan komited dengan tugas. Saya tidak mengatakan sedemikian cuma mendengar daripada rakan-rakan. Kalau mereka menipu maka saya juga menipu di sini.

Hanya ini saja nama-nama calon yang saya perolehi dan saya kenal. Saya tidak mahu sentuh calon di Pusat Pengajian yang lain khasnya di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) walaupun kerusi PPIK agak panas kerana calon yang 'direstui' mempunyai masalah dengan 'akar umbi'. Apa-apa pun saya tetap menyokong rakan saya yang bertanding di kerusi PPIK iaitu Bayang Ak Uding. Isu di PPIK di kupas oleh saudara saya SAFIQ di dalam blog beliau (KLIK SINI) kerana beliau lebih memahami senario politik di PPIK.




Kepada semua calon yang bertanding, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada anda semua dan berharap berfikir dengan rasional tanpa disertai dengan perasaan emosional. Berbeza pendapat itu perlu untuk mencapai sesuatu yang terbaik.


Adalah diharapkan supaya mereka yang bertanding itu kesemuanya bukan sahaja untuk terlibat di dalam proses demokrasi kampus tetapi bertujuan untuk benar-benar memperjuangkan isu-isu kebajikan dan menyelesaikan setiap permasalahan yang dibangkitkan selama ini. Mungkin tidak ada ada yang bertanding untuk menguji populariti dan untuk memecah undi.


Berkempenlah dengan bijaksana tanpa mengaibkan mana-mana pihak.


Hidup Mahasiswa Bersatu!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan